KOLKATA - Sebuah kereta api ekspres, Uttarbanga Express merempuh belakang sebuah lagi kereta api penumpang Vananchal Express yang sedang berhenti di timur India mengakibatkan 61 orang terbunuh semalam.
Nahas berlaku di stesen Sainthia, 260 kilometer dari ibu negeri Bengal Barat, Kolkata kira-kira pukul 2 pagi (4 pagi waktu Malaysia) dan polis mendakwa ia mungkin angkara sabotaj oleh gerila-gerila komunis di negeri itu yang menukar laluan landasan.
Kemalangan itu mengakibatkan beberapa gerabak terangkat ke udara.
Menteri Kereta Api, Mamata Banerjee enggan mengulas mengenai nahas itu tetapi beberapa teori mengaitkannya dengan kecuaian pemandu atau kesilapan lampu isyarat.
Beliau mengumumkan pampasan sebanyak 500,000 rupees (RM34,261) dibayar untuk setiap waris keluarga mangsa yang terbunuh manakala 100,000 rupees (RM6,850) kepada mangsa yang cedera.
61 MAUT NAHAS KERETA API
60 MAUT TAUFAN CONSON MEMBADAI FILIPINA
MANILA - Sekurang-kurangnya 67 penduduk Filipina disahkan maut manakala 87 lagi masih hilang akibat taufan Conson melanda utara negara itu Selasa lalu, kata jurucakap Majlis Penyelarasan Bencana Negara di sini semalam.
Angka korban dijangka lebih tinggi kerana pihak pengawal pantai dilaporkan menemui banyak lagi mayat bergelimpangan di perairan Teluk Manila dan Bicol di Pulau Luzon yang dipenuhi tumpahan minyak daripada beberapa paip dasar laut yang pecah.
Conson yang bererti tapak bersejarah dalam bahasa Vietnam kini menghampiri Pulau Hainan di wilayah selatan China selepas membadai Vietnam kelmarin dan menyebabkan pihak berkuasa negara itu mengarahkan 40,000 penduduk segera berpindah.
Namun pihak Pentadbiran Meteorologi China berkata, tiupan angin taufan tropika itu dikesan semakin lemah tetapi dijangka mengakibatkan bahagian pantai di timur China mengalami hujan lebat secara berterusan selama 24 jam.
SEBULAN TERPUTUS BEKALAN GULA
DENPASAR - Penduduk pulau peranginan terkenal Bali resah selepas sebulan mereka langsung tidak dapat membeli gula ekoran tiada kapal yang membawa bekalan itu dari Makassar tiba di sini kerana cuaca buruk di perairan Sulawesi.
Pihak berkuasa Indonesia berkata, bekalan baru sepatutnya tiba bulan lalu namun sumber tunggal stok gula itu sudah lewat sebulan dan menyebabkan Bali yang kini mempunyai 10,000 tan simpanan kecemasan gula kini diancam terputus bekalan.
"Masyarakat tempatan memerlukan 5,000 tan sebulan dan 1,500 tan lagi khusus untuk pelancong asing tetapi dengan keadaan sekarang, penduduk digesa tidak membazir gula dan berjimat menjelang bulan Ramadan," katanya.
TERTELAN NYAMUK SEMASA MEMBACA BERITA
TAIPEI - Seorang penyampai berita televisyen Taiwan, Huang Ching dikejarkan ke sebuah hospital selepas tertelan seekor nyamuk yang muncul ketika dia sedang membaca berita secara langsung di udara, lapor sebuah akhbar semalam.
Wanita tersebut tercekik diserang asma apabila serangga itu tersangkut di kerongkong dan menyebabkan pengurusan stesen China Television Co. memutuskan siaran berita dengan iklan selama empat minit.
Dia masih meneruskan tugas walaupun kelihatan nafasnya tercungap sebelum siaran diputuskan seketika dan seorang lagi rakan penyampai berita segera mengambil alih tempat Huang Ching yang sedang menerima rawatan kecemasan.
"Saya tidak pernah menjangka penangan seekor nyamuk boleh memberi kesan amat besar dan menjadikan hari itu bertukar sebagai begitu teruk," kata Huang Ching yang menghabiskan masa beberapa hari di sebuah hospital tempatan.
MALAYSIA LOBI JADI TUAN RUMAH FORMULA FUTURE
MALAYSIA akan melobi untuk menjadi tuan rumah Kejohanan Formula Future Dunia tahun depan.
Sebelum ini, Malaysia gagal menjadi tuan rumah pada kejohanan itu dua tahun lalu ekoran penularan wabak Influenza A (H1N1).
Pengarah Urusah H20 Sports Sdn. Bhd., Datuk Yahya A. Jalil berkata, beliau sudah berbincang dengan Presiden Badan Dunia Sukan Air Bermotor (Union International Motonautique) bagi menyatakan hasrat Malaysia menganjurkan kejohanan tersebut.
Beliau berkata, Putrajaya menjadi pilihan kerana ia mempunyai prasarana yang cukup untuk penganjuran Formula Future.
"Kejohanan Formula Future Dunia tahun ini akan berlangsung di Merseyside, England pada 13 hingga 15 Ogos depan," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Kejohanan Formula Future Kebangsaan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek di Putrajaya semalam.
Yahya berkata, antara negara yang turut membida untuk menjadi tuan rumah kejohanan itu ialah England, Jerman, Portugal, Itali, serta Amerika Syarikat dan keputusan pembidaan akan dikeluarkan awal tahun depan.
Dalam pada itu, sebanyak 13 negeri bersaing pada kejohanan kebangsaan tahun ini dengan Sabah negeri yang terbaru mengambil bahagian.
Kejohanan itu merupakan medan untuk mencari remaja lelaki dan perempuan yang berusia tujuh hingga 18 tahun yang mahir dalam pengendalian bot, untuk mewakili negara ke Kejohanan Formula Future Dunia.
MURID SK TAMAN SEA CATAT REKOD MEMBACA
PETALING JAYA - Warga Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sea Seksyen 2 di sini melakar sejarah apabila memecahkan rekod membaca tanpa henti melalui program Bacathon sekali gus tercatat di dalam Malaysia Book of Records.
Program selama sembilan hari bermula 15 Julai lalu dijalankan selama 24 jam sehari tanpa henti melibatkan seramai 72 orang murid selain sokongan daripada 42 orang guru.
Setiap murid mengambil masa membaca selama 10 minit seorang secara bergilir-gilir dengan menggunakan bahan bacaan bahasa Melayu dalam menjayakan misi berkenaan.
Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Taman Sea, Wong Kok Beng berkata, program itu bertujuan mengumpul dana bagi membaikpulih infrastruktur sekolah serta menaiktaraf keperluan lain.
"Pihak sekolah amat terharu kerana sasaran kutipan dana sebanyak RM50,000 telah berjaya dicapai. Melalui kutipan itu nanti dapat membantu melicinkan segala perjalanan program sekolah," ujarnya kepada Kosmo! Ahad semalam.
BAYI PEREMPUAN SUMBING DIBUANG
KUALA LUMPUR 24 Julai - Apakah dosa bayi perempuan ini sehingga tidak diterima oleh ibu bapanya hanya kerana mulutnya sumbing.
Kecacatan itu mengakibatkan si kecil yang tidak berdosa ini dibuang dan mayatnya ditemui di dalam tong sampah.
Bayi yang cukup sifatnya itu ditemui oleh seorang pengutip barangan lusuh di dalam sebuah beg plastik di Flat Sri Kelantan, Bandar Baru Sentul di sini kira-kira pukul 10 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, ketika ditemui, bayi itu yang dipercayai dilahirkan semalam masih bertali pusat.
"Semasa menggeledah tong sampah dia menemui satu bungkusan plastik mencurigakan dan selepas dibuka dia terkejut melihat mayat bayi bersama urinya.
"Hasil siasatan kita dapati bayi berkenaan dilahirkan kurang dari empat jam sebelum dibuang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Khamis lalu, seorang bayi perempuan ditinggalkan dalam sebuah beg dekat tempat menunggu bas berhampiran Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru.
Namun bayi yang ditemui pada pukul 6.40 pagi itu lebih bernasib baik kerana masih bernyawa ketika ditemui sebelum dibawa ke hospital tersebut.
Zakaria menambah, mayat bayi yang mirip kaum Melayu itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.
Katanya, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
KESATUAN GURU SETUJU MANSUH UPSR, PMR
PUTRAJAYA 19 Julai – Kesatuan-kesatuan guru bersetuju dengan cadangan memansuhkan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada perbincangan Meja Bulat pertama di sini hari ini.
Bagaimanapun, pemansuhan itu bersyarat dengan menggantikan kedua-dua peperiksaan awam tersebut dengan ujian penilaian lain untuk mengukur tahap pencapaian pelajar.
Perbincangan Meja Bulat yang bermula pukul 2 petang dan berakhir pukul 5.30 petang itu dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom dan disertai kesatuan-kesatuan guru, wakil-wakil institusi pengajian tinggi (IPT) dan wakil-wakil guru.
Bercakap kepada pemberita di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, Pengerusi Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamad Sabri Mohd. Arsad berkata, fungsi sebenar UPSR dan PMR kurang jelas kerana ia berasaskan penilaian kognitif melibatkan penilaian intelek semata-mata.
“PMR dan UPSR boleh diertikan sebagai penilaian yang hanya menggunakan pensil dan kertas sahaja kerana tidak melibatkan bentuk penilaian yang meluas,” katanya.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng pula berkata, pihaknya sebelum ini memang menyatakan pendirian mereka menyokong cadangan pemansuhan PMR dan UPSR.
ANGGOTA POLIS DILANGGAR MAT REMPIT
JITRA 24 Julai - Seorang anggota polis patah kaki kanan dan cedera di kepala setelah dirempuh mat rempit ketika menyerbu kumpulan itu di Taman Nilam, Sungai Petani di sini awal pagi ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 2 pagi, ketika mangsa, Lans Koperal Shahril Yusuf, 32, serta seorang pegawai dan tiga anggota ke lokasi itu setelah menerima maklumat tentang lumba haram.
Ketua Polis negeri, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, bagaimanapun sebaik sahaja menyedari kehadiran polis, kesemua mat rempit itu bertindak melarikan diri.
Katanya, salah seorang daripada mereka telah merempuh Shahril dan mengakibatkan mangsa tercampak.
"Mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk rawatan," katanya di sini hari ini.
DUA SEPUPU LEMAS KETIKA CARI SIPUT
TUMPAT 24 Julai - Hanya selang 24 jam, dua beradik lemas ketika mencari siput di Besut, Terengganu, semalam, dua sepupu di sini pula menerima nasib sama, juga semasa mencari hidupan laut itu.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 1 petang ketika kedua-dua pelajar terbabit ke muara sungai Pantai Sri Tujuh untuk mencari siput bersama tiga lagi rakan mereka.
Kedua-duanya, Mohd. Azhar Rahim, 18, dan Mohd. Azimin Abdullah, 16, lemas sejurus terjun ke dalam sungai itu tanpa mengetahui airnya dalam.
Rakan mangsa, Mohd. Aiman Hakimi, 16, berkata, Mohd. Azhar terlebih dahulu terjun ke dalam muara sungai itu dengan diikuti Mohd. Azimin.
Katanya, selang beberapa minit kemudian, mereka melihat tangan kedua-duanya terkapai-kapai.
"Kami cuba menolong dan berjaya memegang tangan seorang daripada mereka tetapi sungai itu terlalu dalam menyebabkan tiada tempat untuk berpijak.
"Masa itu kami jadi terlalu takut lalu segera meminta pertolongan daripada penduduk kampung," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.
Mayat Mohd. Azimin berjaya ditemui pada pukul 2.46 petang oleh pasukan skuba Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor manakala mangsa kedua kira-kira enam minit kemudian.
Ibu Mohd. Azhar, Fatimah Ismail, 50, berkata, anaknya itu sebelum kejadian menyatakan hasrat untuk membantunya menyiang ikan haruan di rumah.
"Tidak sangka pula mangsa keluar mencari siput bersama rakannya. Sebelum keluar berniaga pagi tadi, arwah ada kata ingin menyiang ikan untuk makanan tengah hari.
"Saya hairan kerana sebelum ini dia tidak pernah berbuat demikian. Namun saya tidak terfikir bahawa sesuatu buruk akan berlaku padanya," katanya.
DUA BERADIK MAUT,ABANG PARAH
KUALA TERENGGANU 24 Julai - Demi ikatan kasih dan sayangnya, Mohd. Masril Mat Ludin, 14, akan menghantar adiknya mengikuti kelas malam dengan motosikal pada setiap Jumaat.
Namun takdir menentukan semalam merupakan detik-detik terakhir dia menghantar Mohd. Arif, 9, apabila adiknya itu terbunuh akibat dirempuh sebuah kereta.
Lebih menyedihkan, seorang lagi adiknya, Mohd. Firdaus, 4, turut terbunuh ketika mereka menaiki motosikal bersama-sama dalam kejadian pada pukul 8 malam itu.
Mohd. Masril yang menunggang motosikal itu pula koma akibat cedera parah dan dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Kejadian berlaku di Kampung Padang Machang, Manir dekat sini, semasa Mohd. Masril dalam perjalanan dari Padang Tengir untuk menghantar Mohd. Arif ke Sekolah Kebangsaan (SK) Beladau Kolam bagi mengikuti kelas malam di sekolah itu.
Ibu mangsa, Ramlah Ismail, 41, yang ditemui di HSNZ hari ini memberitahu, Mohd. Masril sering menghantar adiknya ke kelas malam setiap hujung minggu.
"Kebiasaannya Mohd. Masril enggan membawa Mohd. Firdaus tetapi disebabkan adiknya menangis, dia menukar fikiran dan membawa juga.
"Kira-kira pukul 9 malam, seorang rakan Mohd. Masril memaklumkan melihat motosikal anak saya dilanggar di sebuah jambatan," katanya sebak.
Seorang saksi memberitahu, dia melihat sebuah kereta dari arah Pekan Manir merempuh mangsa dari arah bertentangan semasa cuba mengelak seekor lembu melintas.
Katanya, akibat rempuhan itu, ketiga-tiga mangsa tercampak di tepi sebuah longkang besar.
Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Zambri Shamsuddin ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian berkenaan.
BERPANTANG MAUT SEBELUM AJAL
ITULAH yang dapat dikatakan bagi menggambarkan nasib juruterbang, Kapten Brian Bews dalam nahas jet pejuang CF-18 Hornet yang terhempas sebelum berkecai dalam letupan bebola api.
Kemalangan udara ini berlaku semalam ketika Bews menjalani latihan penerbangan menjelang pertunjukan udara di Lapangan Terbang Lethbridge County, Alberta di Kanada esok.
Seramai lapan juruterbang tentera udara Kanada maut dalam beberapa insiden melibatkan 17 pesawat tempur ini, namun Bews terselamat daripada menjadi korban kesembilan.
ULAMA WANITA ISLAM DEDAH MUKA
RIYADH 24 Julai - Seorang ulama popular Arab Saudi menyatakan wanita yang tinggal di negara bukan Islam yang mengharamkan pemakaian penutup muka perlu mematuhi peraturan tersebut.
Ulama tersebut, Sheikh Aedh Al-Garni pada masa sama mengkritik usaha Eropah untuk mengharamkan kelengkapan wanita Islam berkenaan.
Dia berkata demikian bagi menjawab persoalan dari wanita tempatan yang berada di Perancis mengenai pengharaman burqa dan niqab ke atas wanita Islam yang dikeluarkan oleh kerajaan negara tersebut. Pengharaman serupa juga sedang dipertimbangkan di Sepanyol dan Belgium.
Al-Garni menjelaskan, orang Islam tidak berhak untuk mencabar atau membantah undang-undang yang dikuatkuasakan oleh negara berkenaan dalam fatwanya yang disiarkan dalam akhbar Al-Hayat hari ini.
Sebilangan negara Eropah menghadapi masalah untuk menyeimbangkan percanggahan identiti asal negara mereka dengan peningkatan penduduk Islam dengan amalan budaya hidup mereka
PERANCANGAN IRAN
TEHERAN 24 Julai - Iran hari ini menyatakan rancangan membina reaktor eksperimen lakuran nuklear, lapor televisyen negara, ketika Barat mendesak Teheran menghentikan kerja-kerja nuklear yang sensitif.
Pada 2006, Iran menegaskan yang ia mahu mengadakan ujian penyelidikan pelakuran nuklear, sejenis reaksi atomik yang masih belum dibangunkan untuk penjanaan kuasa komersial, namun ini adalah kali pertama sejak bertahun lamanya ia diteruskan.
"Kami memerlukan dua tahun untuk melengkapkan kajian mengenai pembinaan dan 10 tahun lagi untuk mereka bentuk dan membina reaktor tersebut," kata ketua Pusat Kajian Pelakuran Nuklear, Asqar Sediqzadeh kepada Press TV.
Amerika Syarikat (AS) dan sekutu Eropahnya mengesyaki Iran cuba membangunkan bom atom dan telah mengenakan sekatan untuk mendesak Iran menghentikan usaha nuklearnya itu. Teheran berulang kali menegaskan ia adalah untuk tujuan awam.
Ketua nuklear Iran, Ali Akbar Salehi berkata, Iran sedia bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa dalam Projek Tenaga Pelakuran Kebangsaan, lapor agensi berita Iran, ISNA tanpa menyatakan rancangan pembinaan reaktor tersebut.
"Fasa saintifik projek penyelidikan tenaga pelakuran ini telah dilancarkan tanpa sebarang had belanjawan," kata Salehi lagi.
Reaktor nuklear komersial bergantung kepada proses pembelahan yang menjana tenaga dari pembelahan atom
100,000 PENDUDUK DIPINDAH
BEIJING 24 Julai – China memindahkan lebih 100,000 penduduk apabila sungai melimpahi tebing dan hujan lebat berterusan di wilayah- wilayah terjejas banjir di sepanjang sungai Yangtze, lapor media tempatan hari ini.
Satu laman web daerah melaporkan, sekurang-kurangnya 100,000 orang dipindahkan dari kediaman mereka di barat daya wilayah Sichuan selepas hujan lebat mengakibatkan paras air meningkat di Sungai Jialing.
Sungai Jialing merupakan cabang sungai utama Yangtze, sungai terpanjang di China.
Kerajaan melaporkan banjir paling buruk dalam sedekad, mengakibatkan sekurang-kurangnya 1,100 maut atau hilang, kerugian besar ekonomi besar dan menjejaskan 120 juta penduduk.
Agensi berita Xinhua melaporkan, di Shaanxi, wilayah utara Sichuan, sungai Luofu melimpahi tebing di bandar Huayin, memaksa 6,400 penduduk meninggalkan rumah masing-masing.
Perdana Menteri Wen Jiabao mengeluarkan satu amaran rasmi terbaru tentang keadaan banjir yang dijangka semakin buruk semasa membuat satu kunjungan ke wilayah terjejas banjir di Hubei.
Beliau menggesa kerajaan tempatan di seluruh negara supaya bersedia menghadapi bencana banjir lebih buruk, dengan memberi amaran bahawa situasi kini berada pada tahap kritikal.
Xinhua melaporkan, di Hubei, banjir menyebabkan seorang maut sementara lima yang lain masih hilang selain memaksa pemindahan 1,200 penduduk apabila banjir melanda bandar Taipingxi, berhampiran Empangan Three Gorges.
Projek hidroelektrik besar di sungai Yangtze itu perlu diteliti semula ketika pihak berkuasa berusaha menyusutkan paras air di empangan itu yang dipenuhi air berpunca daripada hujan di hulu sungai, di samping memastikan bahagian hilir sungai tidak dibanjiri.
Bagaimanapun pihak berkuasa berkata, jumlah air yang mengalir ke empangan itu dari hulu sungai di Sichuan dan kawasan lain berkurangan kepada 34,000 kubik meter sesaat semalam
BOMBA PULAU PINANG SELAMATKAN RM22 JUTA HARTA BENDA
BUTTERWORTH 23 Julai - Bomba negeri ini berjaya menyelamatkan harta benda bernilai hampir RM22 juta dalam kejadian kebakaran dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin berkata, ia adalah satu kejayaan besar berbanding jumlah kerugian yang dicatat sepanjang tempoh tersebut sebanyak RM400,000.
Sehubungan itu, beliau melahirkan rasa bangga dengan kejayaan yang dicapai itu dan berharap kecemerlangan tersebut diteruskan.
Menurutnya, dengan tambahan sebuah lagi balai bomba baru di Balik Pulau, beliau mengharapkan operasi menyelamat dapat dijalankan dengan lebih berkesan.
"Balai bomba dan penyelamat di Balik Pulau telah diserahkan kepada bomba negeri pada 19 Julai lalu dan kini sedang dalam proses membawa masuk kelengkapan.
"Namun begitu, balai bomba lama masih boleh digunakan sekiranya berlaku kecemasan di kawasan tersebut,'' katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke ibu pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri di sini semalam.
Pada masa ini, Pulau Pinang memiliki 17 balai bomba termasuk sebuah unit udara di Kepala Batas dengan kekuatan 731 pegawai dan anggota.
Lajim memuji pasukan bomba sukarela di negeri ini yang disifatkan begitu aktif membantu bomba sekiranya berlaku sebarang kecemasan.
"Difahamkan terdapat 21 pasukan bomba sukarela di seluruh negeri dan mereka dibekalkan dengan pakaian kalis api serta jentera pemadam yang lengkap.
"Pihak bomba sentiasa membantu mereka dari segi kelengkapan serta latihan bagi memantapkan lagi operasi," ujarnya.
Pada majlis itu juga, Lajim turut menyampaikan sumbangan kepada Zaharah Abu Bakar iaitu balu Pegawai Bomba, Rosdi Sulaiman yang meninggal dunia baru-baru ini.
AYAT WANITA DALAM BEG PLASTIK
TELOK KEMANG 23 Julai - Seorang penoreh tidak menyangka beg plastik hitam yang disangkanya mengandungi sampah di sebuah ladang getah di Kampung Pasir Panjang, di sini hari ini, sebenarnya berisi mayat seorang wanita.
Penoreh yang hanya mahu dikenali sebagai Lim Peng, 54, berkata, dia menemui plastik itu di bawah pokok ketika sedang menoreh kira-kira pukul 7 pagi.
"Apabila saya menghampiri plastik berkenaan saya terhidu bau yang busuk. Setelah diperiksa, saya terperanjat apabila melihat kaki manusia terjulur keluar," katanya ketika ditemui ditempat kejadian di sini hari ini.
Jelasnya, dia lalu memaklumkan penemuan itu kepada seorang rakannya yang turut menoreh getah di ladang berhampiran sebelum mereka membuat laporan polis.
Tambah beliau, dia baru menoreh getah di ladangnya itu selepas berehat beberapa hari lalu.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Zaki Masroh berkata, mayat wanita tanpa identiti tersebut dipercayai dibunuh ditempat lain sebelum dicampak di kawasan kebun getah berkenaan yang terletak kira-kira tiga kilometer dari jalan besar.
"Daripada siasatan awal kita mendapati mangsa sudah mati hampir enam hari berdasarkan keadaan mayatnya yang hampir reput dan berulat.
"Mangsa dijumpai dalam keadaan berpakaian lengkap tetapi punca kematian masih belum dapat dipastikan lagi kerana keadaan mayatnya yang hampir reput," katanya.
Mohd. Zaki berkata, pihaknya juga tidak menemui dokumen pengenalan diri pada mangsa mahupun senjata ditempat kejadian.
"Mayat itu dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban untuk dibedah siasat dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," ujarnya.
Katanya, orang ramai yang ada kehilangan saudara-mara atau mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil di mana-mana balai polis berhampiran.
SEKOLAH KHAS PELAJAR HAMIL TIDAK SESUAI
BATU PAHAT 24 Julai - Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi menyifatkan cadangan untuk menubuhkan sekolah khas bagi pelajar yang mengandung akibat terlanjur atau berkahwin pada usia muda sebagai suatu idea yang pelik dan tidak sesuai dilaksanakan.
Menurutnya, cadangan itu juga tidak akan menyelesaikan masalah gejala pembuangan bayi malah dikhuatiri akan menggalakkan lebih ramai pelajar terlibat dalam perbuatan yang tidak bermoral itu.
"Pada pandangan saya ini adalah suatu idea yang agak pelik dan tidak begitu sesuai dilaksanakan kerana apakah nanti kita perlu buat sekolah khas untuk penagih dadah, sekolah khas untuk pelajar yang mencuri dan merompak.
"Jadi saya rasa tidak perlu kerana kadang-kadang cadangan seperti ini macam kita hendak menggalakkan pula pelajar terlibat dengan perbuatan yang tidak bermoral," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Sehari Membina Generasi Ulul Al-Bab Menurut Perspektif Al-Quran di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini hari ini.
Seminar itu dianjurkan secara bersama oleh Persatuan Kebajikan Guru-Guru Al-Quran Negeri Johor dan Pusat Islam UTHM.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan cadangan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam untuk mewujudkan sekolah khas itu bagi menangani gejala pembuangan bayi yang semakin berleluasa.
RAJA PALING KAYA
LIMA belas raja terkaya di dunia bergelut untuk mengekalkan harta mereka tahun ini.
1. Raja Bhumibol Adulyadej, Thailand
Harta: RM96 bilion
Umur: 82
RAJA di dunia paling lama bertakhta. Sejak kebelakangan ini Bhumibol berdepan masalah kesihatan dan krisis politik. Bhumibol yang disanjung dan dihormati rakyat dimasukkan ke hospital tahun lalu, dipercayai kerana jangkitan paru-paru.
Dalam pada itu krisis politik membabitkan pembangkang dan kerajaan bertambah ganas sebelum diakhiri dengan tindakan kerajaan menggunakan kekerasan Mei lalu.
Kekacauan itu termasuk pembakaran bangunan bursa saham di Bangkok yang sekali gus menjejaskan pasaran saham, menakutkan pelabur dan pelancong.
Bhumibol yang dilahirkan di Amerika Syarikat dan mendapat pendidikan di Switzerland bagaimanapun tidak campur tangan dalam krisis itu.
Harta raja diletakkan di bawah pengawasan Biro Hartanah Istana dan kebanyakannya yang membabitkan pelaburan awam serta hartanah tidak terjejas akibat krisis itu.
Bagaimanapun kekacauan, jika berterusan, mungkin mengancam kedudukannya.
2. Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Brunei
Harta: RM64 bilion
Umur: 63
SULTAN Hassanal Bolkiah menceraikan isteri ketiganya bulan lalu, kekal dengan isteri pertama yang juga bonda kepada bakal pengganti sultan, Putera Al-Muhtadee Bilah Bolkiah.
Beliau dan kerajaannya menangani kemelesetan ekonomi dunia dengan dasar ekonomi konservatif dan mengikat nilai mata wang negara itu pada dolar Singapura.
Bagaimanapun, pengeluaran minyak semakin perlahan dengan simpanannya dijangka hanya bertahan untuk 25 tahun lagi.
Dalam usaha mempelbagaikan ekonominya, sultan itu juga dilapor terus berbelanja mewah. Baru-baru ini beliau dilapor membeli 48 beg tangan dan 24 payung itik di kedai Lederer de Paris, New York. Kes terhadap adiknya, Putera Jefri berhubung penyelewengan wang berjumlah RM51 bilion masih tertunda di mahkamah.
3. Raja Abdullah bin Abul Aziz, Arab Saudi
Harta: RM58 bilion
Umur: 86
BERJAYA memimpin Arab Saudi menangani kemelesetan ekonomi global menerusi perbelanjaan kerajaan dan peningkatan pengeluaran minyak.
Ekonomi negara itu diunjur akan tumbuh empat peratus tahun ini. Hasilnya, harta raja juga meningkat. Tahun ini Arab Saudi menjadi tuan rumah Persidangan Majlis Kerjasama Teluk ke-12 dan ia turut dihadiri raja dari Qatar, Kuwait dan Dubai.
Terkenal kerana langkahnya mengendurkan undang-undang syariah yang tegas, Raja Abdullah baru-baru ini memecat seorang ulama kerana menyelar kewujudan sebuah universiti yang membenarkan pergaulan di antara lelaki dan wanita.
4. Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahayan, Emiriah Arab Bersatu (UAE)
Harta: RM48 bilion
Umur: 62
DILANTIK semula selaku Presiden Emiriah Arab Bersatu untuk penggal lima tahun kedua pada November lalu oleh Majlis Tertinggi Persekutuan emiriah.
Beliau yang juga mengetuai emiriah Abu Dhabi menyediakan pakej penyelamat berjumlah AS$10 bilion kepada Dubai, Disember lalu.
Bagaimanapun Sheikh Khalifa tidak dapat mengelak berdepan kemelesetan ekonomi dunia. Hartanya merosot RM9.6 bilion tahun lalu kesan penurunan pendapatan eksport minyak sebanyak 40 peratus.
Keadaan bertambah buruk dengan kemelesetan dalam nilai hartanah dan pasaran saham. Sheikh Khalifa bagaimanapun tetap meneruskan rancangannya untuk menjadikan Abu Dhabi pusat pelancongan dan kebudayaan menjelang 2030.
5. Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, Dubai
Harta: RM14 billion
Umur: 60
JUMLAH harta merosot berbanding tahun sebelum ini akibat hutang syarikat milik kerajaan berjumlah RM349 bilion. Hutang itu dijangka bertambah RM50 bilion lagi tahun ini.
Di samping itu, Dubai Holdings, syarikat milik persendirian Sheikh Mohammed berhutang RM38.4 bilion, sebahagian besarnya menerusi syarikat pelaburan Dubai Group dan Dubai International Capital yang memiliki saham dalam syarikat induk Sony dan Airbus.
Tahun lalu beliau menjual sahamnya dalam bank pelaburan Mesir, EFG Hermes pada harga diskaun sebanyak 60 peratus berbanding harga belian dua tahun lalu.
Sheikh Mohammed baru-baru ini berkata, ekonomi UAE mencatatkan pencapaian memuaskan dan masalah ekonomi yang dihadapinya sudah berlalu.
Pemimpin Dubai ini terkenal kerana kemahirannya berkuda dan mempunyai aset ekuin bernilai tinggi.
6. Putera Hans-Adam II von und zu Liechtenstein, Liechtenstein
Harta: RM11.2 bilion
Umur: 65
KETUA sebuah keluarga yang berusia hampir 900 tahun, Putera Hans-Adam II baru-baru ini menyambut ulang tahun kelahirannya ke-65 dengan mengadakan pameran seni di Muzium Liechtenstein, Vienna.
Sebanyak 140 hasil seni yang diperoleh sepanjang beliau bertakhta, termasuk hasil lukisan Rembrandt dan Rubens, dipamerkan. Beliau turut mempromosi buku barunya, ‘The State in the Third Millennium’.
Dalam pada itu Liechtenstein berusaha mengurangkan perbelanjaan kerajaan untuk menangani jurang belanjawan sebanyak 15 peratus. Keuntungan dalam bank miliknya, LGT, merosot 35 peratus tahun lalu.
7. Raja Mohammed IV, Maghribi
Harta: RM8 bilion
Umur: 46
MENAIKI takhta selepas kematian bapanya pada 1999. Memberi tumpuan terhadap usaha membasmi kemiskinan dan meningkatkan rekod hak asasi kemanusiaan bapanya.
Aset keluarga diraja termasuk saham dalam kumpulan OCP, satu-satunya syarikat perlombongan fosfat negara itu di samping beberapa syarikat hartanah.
Harga fosfat kian meningkat selepas merudum tahun lalu. Cita-cita Raja Mohamed untuk menarik 10 juta pelancong setahun ke negara itu menjelang 2010 hampir tercapai dengan bantuan Hollywood.
Negara itu baru-baru ini menjadi lokasi penggambaran drama televisyen dan filem, termasuk ‘Sex and the City 2’ dan ‘Prince of Persia’.
8. Sheikh Hamad bin Khalifa Al Thani, Qatar
Harta: RM8 bilion
Umur: 58
MENJADI pemerintah selepas menggulingkan bapanya dalam rampasan kuasa pada 1995. Mengetuai satu daripada negara yang mencatat pencapaian terbaik ekonomi di dunia. Keluaran Negara Kasar meningkat 9.5 peratus tahun lalu dan dijangka mencatat pertumbuhan dua angka tahun ini.
Qatar Holding membeli pusat beli-belah Harrods di London dengan harga RM6.4 bilion awal tahun ini. Emir Qatar ini juga berusaha membida untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia Bola Sepak 2022. Jika bidaan itu berjaya, inilah julung kalinya kejohanan itu berlangsung di Asia Barat.
Pada masa lapang, Sheikh Hamad menghabiskan masa di atas kapal layarnya sepanjang 133 meter, Al Mirqab, antara yang terbesar di dunia.
9. Putera Albert II, Monaco
Harta: RM3.2 bilion
Umur: 52
KETUA keluarga Grimaldi ini berusaha membesarkan wilayah Monaco yang lebih kecil dari Central Park, New York dengan menambak laut.
Beliau mempromosi filemnya, ‘Antarctica 2009: A Continent in a State of Alert’ yang berdasarkan penjelajahannya selama 17 hari di daerah baru itu. Jun lalu, Albert mengumumkan pertunangannya dengan bekas perenang Afrika Selatan, Charlene Wittstock.
Albert kini berdepan tindakan undang-undang oleh bekas kakitangannya, Robert Eringer, yang didakwa menjalankan perisikan untuk Monaco berhubung pembayaran gaji tertunggak.
Harta keluarganya termasuk hartanah, hasil seni, kereta antik, setem dan saham dalam kasino Monte Carlo.
10. Putera Karim Al Husseini, Aga Khan
Harta: RM2.6 bilion
Umur: 73
SATU-satunya pemimpin yang tidak mempunyai negara untuk diperintah ialah Aga Khan, ketua 17 juta penganut Ismaili yang bertaburan di seluruh dunia.
Putera Karim ialah imam masyarakat Ismail ke-49 selepas menggantikan datuknya, Sultan Mahomed Shah Aga Khan pada usia 20 tahun pada 11 Julai 1957. Beliau mempengerusikan Rangkaian Pembangunan Aga Khan yang menggalakkan pelaburan di Asia dan Afrika.
Beliau yang meminati kuda mempunyai kira-kira 800 ladang ternak haiwan berkenaan di Ireland dan Perancis, memegang saham dalam Goff — syarikat lelong kuda terbesar di Britain dan Aqana — syarikat lelong kuda Perancis.
11. Sultan Qaboos bin Said, Oman
Harta: RM2.2 bilion
Umur: 69
MENAIKI takhta pada 1970 selepas menggulingkan bapanya dalam rampasan kuasa.
Berjaya mengetuai Oman dalam usaha mempelbagaikan ekonomi dengan matlamat mengurangkan penggantungan pada sektor minyak, daripada 40 peratus sumbangan kepada Keluaran Negara Kasar kepada sembilan peratus saja menjelang 2020.
Sultan Qaboos juga meningkatkan industri gas dan pelancongan. Kerajaannya mempunyai saham dalam Wave, syarikat yang terbabit dalam pembangunan di kawasan pantai berhampiran ibu negara Oman, Muscat.
Meskipun menjadi peminat setia muzik klasik, Sultan Qaboos membiayai sendiri kerja membaik pulih masjid di seluruh negara itu.
Beliau pernah berkhidmat dalam pasukan tentera Britain selepas menamatkan latihan di Akademi Tentera Sandhurst. Bercerai tanpa anak, isu penggantinya kini semakin hangat dibincangkan oleh rakyat Oman.
12. Permaisuri Elizabeth II, UK
Harta: RM1.4 bilion
Umur: 84
MONARKI paling lama bertakhta dalam sejarah Britain. Meskipun menjadi permaisuri sejak berusia 25 tahun, Elizabeth belum menunjukkan tanda akan menyerahkan takhta itu kepada anaknya yang sekian lama menanti, Putera Charles.
Beliau adalah penjaga hartanah milik negara seperti Istana Buckingham, Permata Mahkota dan koleks seni diraja.
Harta milik peribadinya termasuk hartanah di England dan Scotland, hasil seni halus, permata dan koleksi setem.
Cucunya, Putera William yang menduduki tangga kedua senarai pewaris takhta dijangka mengumumkan pertunangan dengan teman wanitanya, Kate Middleton, tidak lama lagi.
13. Sheikh Sabah Al-Ahmad Al-Jaber Al Sabah, Kuwait
Harta: RM1.2 bilion
Umur: 81
SHEIKH Sabah tidak berkongsi kekayaan minyak negaranya seperti raja negara Teluk lain. Beliau sebaliknya menerima pendapatan tahunan. Hartanya terjejas dengan kegawatan ekonomi yang melanda Kuwait. Negara yang bergantung dengan pendapatan hasil minyak ini tidak berusaha mempelbagaikan ekonomi.
Pertelingkahan politik sejak tiga tahun lalu menyebabkan pembubaran Parlimen sebanyak tiga kali dan perletakan jawatan lima kerajaan. Ia juga menjadi punca pelabur asing menarik diri dari negara itu.
14. Ratu Beatrix Wilhelmina Armgard, Belanda
Harta: RM640 juta
Umur: 72
PERMAISURI Beatrix menyambut ulang tahun ke-30 pemasyhurannya tahun ini. Ibunya, Permaisuri Juliana mengambil langkah turun takhta untuk membolehkan Beatrix menggantikannya pada 1980.
Sebagai ketua negara, permaisuri itu dilihat sebagai kuasa penyatu kerana tidak ada parti politik mencapai kemenangan mutlak dalam pilihan raya.
Beliau melantik orang tengah untuk berunding dengan pelbagai parti bagi membentuk Kabinet. Peningkatan pendapatan eksport, pemulihan industi hartanah dan pasaran saham yang kembali kukuh membantu menstabilkan harta keluarga diraja.
Bagaimanapun, ketidaktentuan mengenai kerajaan baru dan langkah berjimat-cermat kerajaan pada masa depan untuk mengurangkan defisit bajet mungkin menjejaskan keyakinan rakyat kepada kerajaan.
Antara hartanah dimiliki Permaisuri Beatrix termasuk Istana Drakensteyn di Belanda dan sebuah villa di Tuscany, Itali.
15. Raja Mswati III, Swaziland
Harta: RM320 juta
Umur: 42
SATU-satunya raja yang masih berkuasa mutlak di Afrika. Beliau yang menaiki takhta pada usia 18 tahun terus mengekalkan cengkaman kuat terhadap pembangkang dengan menguatkuasakan perlembagaan yang mengharamkan parti politik.
Bagaimanapun, kerajaannya bertegas menyatakan parti politik bebas untuk bergerak di negara itu. Raja Mswati sering diselar kerana berbelanja mewah.
Sebahagian daripada 13 isterinya dilapor menghabiskan AS$6 juta dolar untuk membeli-belah beberapa bulan lalu.
Ketika 69 peratus penduduk negara ini hidup di bawah garis kemiskinan, 50 peratus menganggur dan suku daripada penduduknya yang aktif seks disahkan menghidap HIV, Raja Mswati masih mampu membina istana dan menyediakan kereta mewah untuk 13 isterinya.
MAYAT BAYI DALAM TONG SAMPAH
KUALA LUMPUR: Kejam apabila seorang bayi perempuan yang masih mempunyai tali pusat serta uri ditemui mati dalam tong sampah di Flet Sri Kelantan, Bandar Baru Sentul, malam kelmarin.
Pengutip terbabit terkejut sebaik membuka bungkusan apabila menemui satu objek menyerupai bayi. Selepas pasti ia adalah bayi, dia kemudian menghubungi polis.
Difahamkan, bayi itu mengalami kecacatan sumbing.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, siasatan awal mendapati mayat bayi terbabit cukup sifat dan dipercayai baru dibuang.
“Mayat bayi berkenaan dipercayai dibuang dalam tempoh dua hingga empat jam sebelum ditemui pemungut barang lusuh terbabit. Daripada pengamatan kami, bayi itu berketurunan Melayu.
“Namun kami masih menunggu laporan bedah siasat untuk mendapatkan maklumat tambahan mengenai kes terbabit,” katanya semalam.
Menurutnya, orang ramai yang ada maklumat kejadian diminta bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mengesan individu tidak berperikemanusiaan yang sanggup membuang bayi tidak berdosa itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat secara sulit.
KERETA BERTEMBUNG BAS
KOTA TINGGI: Pembantu Rendah Awam di Taman Bunga Kerajaan Istana Johor, Johor Bahru, Mohd Syairani Mohd Salleh, 25, maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah bas di Kilometer 59 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi berhampiran Felda Air Tawar 3, malam semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan Muhammad Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
“Kemalangan berlaku di lokasi menuruni bukit di sana dan akibatnya, mangsa tersepit dan dipercayai mati di tempat kejadian.
“Pemandu bas berusia 39 tahun dan berasal dari Felda Air Tawar 4 pula tidak cedera dan ketika itu dia juga memandu berseorangan,” katanya.
Ketika kejadian, mangsa yang beralamat di Kuarters Kerajaan Jalan Datin Halimah, Johor Bahru, dalam perjalanan dari arah Rengit dan anggota Bomba dan Penyelamat terpaksa memotong kenderaan itu untuk mengeluarkan mayatnya.
MATI TERCEKIK GIGI
KUCHING: Seorang warga emas terlentang dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia akibat tercekik gigi palsu.
Dia dikatakan tertelan gigi palsunya dengan sebahagian tersangkut di bahagian kerongkong.
Kejadian itu hanya disedari keluarganya apabila mendapati mangsa terlentang dan tidak sedarkan diri.
Difahamkan, warga emas berkenaan cuba mengeluarkan gigi palsunya namun gagal sebelum rebah.
Terkejut dengan kejadian itu, keluarganya membawa mangsa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk pemeriksaan.
Pemeriksaan di HUS mendapati warga emas berkenaan disahkan meninggal dunia akibat tercekik selepas doktor menemui sebahagian gigi palsu di kerongkongnya.
Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut.
Mayat warga emas terbabit dituntut keluarganya untuk urusan pengebumian.
TUHAN HINDU DILARANG URUS NIAGA SAHAM
MUMBAI: Sebuah mahkamah disini semalam memutuskan Tuhan Hindu tidak boleh menjalankan perniagaan saham selepas mengkaji permohonan untuk membuka akaun atas nama Tuhan itu.
“Untuk menjalankan urus niaga di pasaran saham memerlukan kemahiran dan kepakaran dan adalah tidak sesuai untuk mengharapkan Tuhan melakukannya,” kata hakim berkenaan, PB Majumdar and Rajendra Sawant.
“Tuhan ialah untuk disembah dan bukan untuk diheret supaya menjalankan aktiviti komersial seperti perniagaan saham,” kata mereka.
'INDIAN BEEF' SEBENARNYA DAGING KERBAU
ALOR STAR: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani meminta orang ramai tidak terkeliru dengan daging yang diimport dari India sebagai daging lembu kerana ia sebenarnya adalah daging kerbau.
Katanya, daging itu dibenarkan untuk diimport tetapi istilah "Indian beef" menyebabkan ramai orang memikirkannya sebagai daging lembu, sedangkan di India ada undang-undang yang mengharamkan penyembelihan lembu. "Kita tidak mahu orang ramai terkeliru. Harganya yang murah menyebabkan ia agak popular dan dibeli terutama untuk kenduri-kenduri..."daging kotak" sebenarnya daging kerbau," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan kementerian itu di ibu pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di sini hari ini.
Katanya, Malaysia mengimport kira-kira 80,000 tan metrik daging dari India setiap tahun.
Sementara itu, Noh berkata mulai sekarang permit import (AP) bagi mengimport daging dan ayam terutama bagi musim perayaan akan dihadkan kepada tiga bulan sahaja dan selepas itu perlu diperbaharui.
Dalam perkembangan lain, Noh berkata kementerian itu sedang dalam perancangan mewujudkan pusat latihan pada tahun depan bagi melatih modal insan di kementerian itu.
"Sekarang ini, kementerian tiada pusat latihan sendiri tetapi agensi-agensi ada pusat latihan masing-masing. Sekarang kita mahukan satu pusat untuk melatih dan menyatukan semua kakitangan di kementerian, tiga jabatan dan sembilan agensi," katanya. Katanya kementerian sedang mengenal pasti lokasi untuk pusat latihan itu dan mungkin hanya akan menaik taraf pusat latihan yang sedia ada untuk dijadikan pusat latihan khas kementerian.
Noh juga melahirkan rasa hairan bagaimana peruntukan kepada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yang berjumlah RM40 juta tahun ini masih banyak yang belum diagih-agihkan ke negeri-negeri. "Kita akan siasat bagaimana ada jumlah yang tersangkut. Mungkin ada masalah komunikasi atau salah faham tentang arahan Perbendaharaan yang menyebabkan perkara itu berlaku," katanya.
TAK SEMPAT TIMANG ANAK
SEREMBAN: Seorang pemandu lori yang bakal menimang cahaya mata pertamanya, terkorban selepas kenderaan dipandunya terbabas lalu terjunam ke dalam longkang besar di Jalan Seremban-Jelebu, Bukit Tangga, di sini, pagi semalam.
Sepupu mangsa, Samsli Abdul Rahman, 45, berkata difahamkan isteri arwah dijadualkan bersalin minggu depan dan tidak sangka arwah tidak sempat menatap wajah anak sulungnya.
Katanya, dia sekeluarga menerima kematian mangsa sebagai suratan takdir dan reda atas apa yang berlaku.
Usaha Metro Ahad untuk menemubual isteri mangsa yang juga kakitangan sebuah hospital, gagal kerana masih terkejut dengan kejadian yang menimpa suaminya.
Dalam kejadian di Jalan Seremban-Jelebu, Bukit Tangga, itu lori membawa muatan batu bata dipandu Anuar yang dalam perjalanan dari Jelebu dipercayai hilang kawalan ketika menuruni laluan berbukit dan berselekoh, menyebabkan terbabas ke kiri jalan.
Kenderaan itu kemudian terjerumus ke longkang besar di kiri jalan, menyebabkan mangsa mati di tempat kejadian dengan tersepit di dalam lori yang remuk sebelum dikeluarkan sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat Seremban.
Jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai gagal mengawal lorinya ketika menuruni laluan berbukit dan berselekoh, menyebabkannya terbabas ke kiri jalan.
“Kenderaan membawa muatan batu-bata itu kemudian terjatuh ke dalam longkang besar, menyebabkan mangsa tersepit,” katanya.
Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kemalangan itu dan meminta saksi tampil bagi membantu siasatan.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya untuk dikebumikan di Kampung Petaseh, Jelebu, Negeri Sembilan.
Sementara itu, jurucakap bomba berkata, pihaknya mengeluarkan mayat mangsa dalam masa kira 20 minit.
Mereka yang ada maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Polis Seremban, Inspektor Ahmad Khairi Roslan di talian 06- 6033394 atau mana-mana balai polis berhampiran.
TAQWIM
BLOG ARCHIVE
-
▼
2010
(204)
-
▼
July
(25)
- 61 MAUT NAHAS KERETA API
- 60 MAUT TAUFAN CONSON MEMBADAI FILIPINA
- SEBULAN TERPUTUS BEKALAN GULA
- TERTELAN NYAMUK SEMASA MEMBACA BERITA
- MALAYSIA LOBI JADI TUAN RUMAH FORMULA FUTURE
- MURID SK TAMAN SEA CATAT REKOD MEMBACA
- BAYI PEREMPUAN SUMBING DIBUANG
- KESATUAN GURU SETUJU MANSUH UPSR, PMR
- ANGGOTA POLIS DILANGGAR MAT REMPIT
- DUA SEPUPU LEMAS KETIKA CARI SIPUT
- DUA BERADIK MAUT,ABANG PARAH
- BERPANTANG MAUT SEBELUM AJAL
- ULAMA WANITA ISLAM DEDAH MUKA
- PERANCANGAN IRAN
- 100,000 PENDUDUK DIPINDAH
- BOMBA PULAU PINANG SELAMATKAN RM22 JUTA HARTA BENDA
- AYAT WANITA DALAM BEG PLASTIK
- SEKOLAH KHAS PELAJAR HAMIL TIDAK SESUAI
- RAJA PALING KAYA
- MAYAT BAYI DALAM TONG SAMPAH
- KERETA BERTEMBUNG BAS
- MATI TERCEKIK GIGI
- TUHAN HINDU DILARANG URUS NIAGA SAHAM
- 'INDIAN BEEF' SEBENARNYA DAGING KERBAU
- TAK SEMPAT TIMANG ANAK
-
▼
July
(25)