BRUSSELS 18 April - Negara-negara Islam 'ketawa' dengan usaha Eropah bergelut dalam krisis hutang yang melemahkan Greece, sekali gus memberi kesan buruk kepada pasaran terbuka terbesar dunia, menurut ketua Forum Ekonomi Dunia Islam.
Tun Musa Hitam yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia berkata demikian kepada AFP di Brussels ketika Kesatuan Eropah (EU) merancang memberi bantuan jaminan bagi membolehkan Athens membuat pembiayaan semula berpuluh-puluh bilion euro untuk pembayaran hutang dan menghapuskan komitmen belanjawan kepada anggota EU.
"Ia (tindakan menyelamat) sama seperti dilakukan oleh negara di timur, negara membangun. Kami ketawa kerana mereka tidak melakukan seperti apa yang mereka ajar kepada kami," kata Tun Musa mengulas keputusan EU untuk melindungi Greece berbanding merujukkan Athens kepada Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).
"Anda mendapati negara Eropah dapat menerima apa pun amalan, tetapi berhasil. Malangnya ia kini menyebabkan bencana yang menyebabkan nama dan martabat EU terancam, yang lebih penting ekonominya.
"Cara biasa untuk menyelesaikan masalah ini ialah dengan IMF. Negara-negara membangun melakukannya tetapi tidak EU. Ia mungkin ya, tidak atau mungkin setiap hari," katanya.
Musa berkata demikian selepas menteri kewangan EU bersetuju Ahad lalu, untuk menyuntik 30 bilion euro (RM129 bilion) kepada tabung negara Greece tahun ini jika diperlukan iaitu pada kadar pasaran sekitar lima peratus kadar faedah.
Dengan rundingan EU bersama IMF sedang dijalankan berhubung penglibatannya dan 15 bilion euro (RM65 bilion) pinjaman yang diharapkan pada 2010 dari Washington, Musa tetap menyalahkan sistem Barat sebagai punca malapetaka fiskal Greece.
"Kehilangan sikap 'tanggungjawab, ketelusan dan kewibawaan' jelas tidak ada dalam laporan palsu Greece kepada EU, yang ada dalam kewangan Islam," tegas Musa.
NEGARA ISLAM KETAWAKAN EROPAH SELAMATAN GREECE
PENERBANGAN KE EROPAH MASIH LUMPUH
LONDON 18 April - Perjalanan udara di seluruh Eropah lumpuh buat hari keempat berturut-turut hari ini ekoran kepulan debu dari gunung berapi Iceland yang masih menyelubungi ruang udara, namun penerbangan ujian Belanda dan Jerman yang berjalan lancar tanpa sebarang masalah, memberikan harapan baru.
Kebanyakan negara menutup ruang udara mereka sehingga hari ini atau esok, mengakibatkan berpuluh-puluh ribu penumpang terkandas di seluruh dunia dan pakar kaji cuaca mengatakan, corak angin menunjukkan kepulan debu itu akan tersebar lebih jauh sehingga minggu depan.
Menurut pakar, kepulan debu yang terapung di atmosfera dari Iceland itu akan menjadi bertambah tebal Selasa dan Rabu ini, membawa risiko yang lebih tinggi serta memburukkan lagi kerugian yang ditanggung industri penerbangan pada jumlah lebih AS$200 juta (RM700 juta) sehari.
Larangan penerbangan dikuatkuasakan kerana debu yang mengandungi partikel batu halus serta kaca boleh melumpuhkan enjin dan menjejaskan kerangka pesawat, namun penerbangan ujian semalam menggambarkan perkembangan baik dari pegawai-pegawai syarikat penerbangan.
Syarikat penerbangan Belanda KLM memberitahu, pihaknya menerbangkan pesawat Boeing 737-800 pada ketinggian biasa 10 kilometer sehingga 13 kilometer.
Penerbangan Jerman, Lufthansa memaklumkan, ia menerbangkan 10 pesawat ke Frankfurt dari Munich pada ketinggian sehingga 8 kilometer.
"Kami dapati tiada apa yang luar biasa, baik semasa penerbangan atau semasa pemeriksaan pertama pesawat di darat.
"Sekiranya pemeriksaan teknikal mengesahkan perkara ini, kami sedia melakukan tujuh penerbangan dari Duesseldorf ke Amsterdam esok.
"Kami juga berharap akan diberi kebenaran secepat mungkin untuk menyambung semula sebahagian operasi kami," kata Ketua Eksekutif KLM Peter Hartman, yang turut mengambil bahagian dalam penerbangan ujian itu menerusi satu kenyataan.
Pegawai Belanda berkata, lebih banyak penerbangan ujian akan dibuat hari ini
EZAM AKAN TUNJUK SURAT HUBUNGAN ANWAR DENGAN ARKITEK PERANG ISRAEL
SHAH ALAM 18 April - Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ezam Mohd. Noor akan mendedahkan bukti hubungan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pihak Israel di Hulu Selangor dalam masa terdekat ini.
Menurut beliau, antara yang akan didedahkan adalah salinan surat membuktikan hubungan rapat Anwar dengan Pengerusi Bank Dunia, Paul Wolfowitz yang pernah bertugas sebagai arkitek perang Israel dan teman wanitanya, Shaha Ali Riza.
Dakwa Ezam, salinan surat itu mengandungi permintaan Anwar agar Shaha ditukarkan ke Foundation for the Future di mana penasihat PKR itu menjadi pengerusinya untuk menyelamatkan imej Wolfowitz daripada skandalnya dengan wanita itu.
Kata beliau, salinan surat itu diperolehnya daripada sumber di Bank Dunia.
"Anwar sebelum ini menuduh Kerajaan Pusat bekerjasama dengan Israel ekoran hubungan dengan Apco Worldwide tetapi pada saya ia hubungan profesional yang tidak memberi keuntungan kepada Israel tetapi kepada negara.
"Tetapi bagaimana hubungan rapatnya dengan Wolfowitz hingga sanggup melindungi lelaki itu daripada skandalnya," katanya.
Beliau ditemui selepas pengumuman peletakan jawatan dan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dua pemimpin AMK, Nor'isham Manap dan Muhammad Ali Mukhtar di sini hari ini.
Ditanya mengenai kenyataan yang mengatakan calon PKR Hulu Selangor, Datuk Zaid Ibrahim dapat membantu rakyat di kawasan itu kerana hubungan baiknya dengan kerajaan negeri, Ezam menjawab:
"Ahli Parlimen PKR sebelum ini juga mempunyai hubungan yang baik malah sangat rapat dengan kerajaan negeri, tetapi apa yang telah dilakukan kepada rakyat?"
MALAYSIA SETUJU HANTAR KUMPULAN PERUBATAN KE AFGHANISTAN
KUALA LUMPUR: Malaysia bersetuju buat kali pertama menghantar kumpulan perubatan Angkatan Tentera ke Afghanistan tidak lama lagi, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya, langkah itu membuktikan komitmen negara bagi bersama-sama membantu usaha mencapai situasi damai di negara bergolak itu.
"Kemungkinan besar Malaysia menghantar kumpulan perubatan sebelum dan selepas pengunduran tentera Amerika Syarikat di Afghanistan," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Polis Pertahanan Amerika Syarikat, Michele Flournoy di Pameran dan Persidangan Pertahanan Perkhidmatan Asia (DSA2010) di sini, hari ini.
Beliau berkata, Malaysia turut menawarkan kepada Afghanistan untuk melatih jurulatih di sana.
Bagaimanapun, kata Ahmad Zahid, perkara itu akan diperincikan sebaik saja Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pulang dari Jepun sebelum beliau mengadakan lawatan susulan ke Amerika Syarikat akhir bulan depan
50 MAUT DALAM BANJIR KILAT
JEDDAH: Sekurang-kurangnya 50 orang maut dan 385 cedera apabila kawasan barat daya Arab Saudi dilanda banjir kilat, semalam.
Hujan lebat menyebabkan kawasan rendah di kaki gunung di Asir dan Najran ditenggelami air, selain banyak rumah rosak.
Media tempatan melaporkan, kebanyakan korban akibat kemalangan jalan raya membabitkan pengguna yang memandu dalam hujan lebat.
Lebih 4,500 kemalangan jalan raya dilaporkan sepanjang hujung minggu lalu.
BACA SURAH YASSIN HALAU GAJAH
ACEH TIMUR: Ratusan penduduk beberapa kampung di sini semalam mengadakan majlis kenduru tolak bala dengan membaca Surah Yassin yang ber tujuan mengusir gajah liar yang mengganggu kehidupan mereka.
Majlis berkenaan dilangsungkan di pinggiran hutan dengan diketuai seorang ulama tempatan dan beberapa pawang gajah.
Tokoh masyarakat, Bukhari berkata, pawang berkenaan didatangkan dari beberapa tempat di seluruh Aceh.
Majlis berkenaan diadakan selepas 51 rumah penduduk kampung dan ladang mereka musnah berikutan beberapa gajah liar naik minyak baru-baru ini, kata Bukhari.
SISWA UiTM BERBAKTI
BERTEMAKAN "Setitik Pengorbanan, Sejuta Kenangan", seramai 22 pelajar menyertai Program Khidmat Komuniti anjuran pelajar semester empat, Ijazah Sarjana Muda, Fakulti Pengurusan dan Teknologi Pejabat, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Kampung Sungai Judah, Pulau Carey, Banting, Selangor, baru-baru ini.
Program turut disertai pensyarah dan tiga sukarelawan itu memberi pendedahan kepada pelajar kepentingan semangat berpasukan di dalam kehidupan seharian.
Penganjuran program kemasyarakatan seperti itu jarang dianjurkan pelajar dan apabila di beri peluang, ia perlu disambut baik bagi membuka mata masyarakat kepentingan belia dalam pembangunan negara.
Wakil daripada universiti yang hadir adalah Hazira Mohd Nasir selaku penasihat, Abdul Latiff Abdul Rahman selaku pegawai pengiring dan Norol Hamiza Zamzuri, ketua program.
Turut Hadir ialah Tok Batin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Orang Asli Kampung Sungai Judah , Ata Anak Ya dan wakil dari Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, Majlis Daerah Kuala Langat dan Klang, Helmi.
Majlis dirasmikan Tok Batin dan Norol Hamiza diserikan dengan tarian "Jooh" dari murid-murid Sekolah Kebangsaan Sungai Judah.
Pelbagai aktiviti diadakan sempena program itu, antaranya senamrobik, tarian 'poco-poco', 'chicken dance', sumpit target, tarik guni, make-up isteri, tiup tepung, baling belon air, music chair, kumpul jajan dan pertandingan bola sepak tujuh sebelah.
Selain itu, peserta turut mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan balai raya disamping menghias dan mengubah suai ruang dalaman balai raya.
Di akhir program, penganjur menyumbangkan pakaian kepada penduduk kampung.
WAKAF SOLAT DIHUNI ANJING
PORT DICKSON: Menyedihkan apabila sebuah wakaf yang dijadikan tempat bersolat untuk kemudahan pengunjung kini tidak terurus dan dijadikan tempat tidur anjing liar di premis perniagaan di Kampung Telok Pasir Panjang di sini.
Walaupun keadaan persekitaran di kawasan itu dilihat amat cantik pada mata kasar dengan pemandangan pantai dan laut, tetapi sebaliknya turut tersembunyi situasi agak menjijikkan.
Ini berikutan tinjauan Metroplus, mendapati selain rumput yang tidak dipotong, keadaan longkang turut tersumbat dan tandas amat kotor, sekali gus menimbulkan kurang senang pengunjung.
Selain itu, terdapat wakaf yang dibina bagi mengerjakan solat, namun terbiar tanpa pengawasan sehingga menyebabkan anjing liar turut singgah ‘bermalam’ di situ.
Seorang peniaga, Zakaria Wahab, 52, berkata dia dan rakan peniaga lain kesal dengan tindakan pihak berkuasa yang membina wakaf itu tanpa membuat pintu yang boleh menutup seluruh kawasan berkenaan.
“Ketiadaan pintu di wakaf itu menyebabkan ia sering dimasuki anjing liar yang turut tidur menyebabkannya tidak lagi boleh dijadikan tempat bersolat dan perlu disamak.
“Berikutan itu, sekiranya ternampak ada pengunjung yang mahu menunaikan solat di situ, saya akan memberitahu jangan berbuat demikian,” katanya.
Menurutnya, dia sudah beberapa kali memaklumkan perkara itu kepada pihak berkaitan, namun masih tiada sebarang tindakan diambil hingga kini.
“Selain itu, keadaan longkang tandas yang tersumbat turut menjadikan kawasan ini menjijikkan termasuk keadaan rumput atau lalang yang tidak dipotong.
“Ia menyebabkan saya dan beberapa rakan peniaga terpaksa mencuci tandas, namun ia perlu diperbaiki bagi memastikan kawasan premis bersih serta cantik,” katanya.
Seorang pengunjung yang mahu dikenali sebagai Kadir, 38, berkata dia terkejut apabila didatangi seseorang yang menghalangnya daripada bersolat di wakaf itu.
“Pada waktu itu, saya melihat surau berkenaan agak kotor kerana dipenuhi najis cicak lalu membersihkannya dengan kertas.
“Bagaimanapun, ketika mahu mengerjakan solat, seseorang datang memberitahu baru saja menghalau anjing yang tidur di di situ,” katanya.
BUKIT NANAS MARKAS PERAGUT
KUALA LUMPUR: Sebahagian kawasan Hutan Simpan Bukit Nanas di sini, tidak ubah seperti lubuk jenayah ekoran kerap menjadi lokasi ragut sekumpulan lelaki dipercayai penagih di bawah bukit berkenaan.
Malah, mereka juga dipercayai menjalankan aktiviti jual-beli dadah di bawah bukit berkenaan tanpa menghiraukan orang ramai yang lalu-lalang di kawasan sekitar selain berlagak selamba seolah-olah mereka kebal dari tindakan pihak berkuasa.
Penempatan yang berada di penjuru bawah hutan simpan itu, menjadi sarang mereka memantau mangsa dan pelanggan yang lalu lalang di jalan raya berdekatan.
Difahamkan, mangsa yang melalui kawasan berkenaan akan diperangkap kumpulan penagih itu dan menakut-nakutkan mangsa, kemudian meragut barang berharga dan melarikan diri ke hutan simpan berkenaan. Tempat persembunyian mereka yang dibina daripada bahan buangan seperti kotak, plastik, kayu, payung buruk serta papan lama itu juga dijadikan sebagai ‘port’ pelanggan mencari ‘barang’ dipercayai dadah.
Tinjauan Metroplus baru-baru ini mendapati seorang dari kumpulan itu dilihat sedang berurusniaga di kawasan terbabit, berhampiran Jalan Raja Chulan di sini.
Ada yang dilihat sedang tidur, malah ada yang sedang mandi dari punca air yang dicuri dari bangunan berdekatan.
Mereka tidak malu dilihat sebegini oleh orang ramai yang lalu lalang di kawasan berdekatan, malah menunjukkan muka bengis ketika membalas pandangan orang ramai.
Difahamkan, masih terdapat banyak lagi pondok di kawasan atas bukit itu, namun gagal didekati.
Seorang pekerja di bangunan berkenaan yang mahu dikenali sebagai Zamrin, 30, memberitahu penagih di situ bukan saja meragut orang ramai, malah pelajar di sekolah berdekatan.
“Pernah saya melihat mereka turun dari bukit berkenaan beramai-ramai kemudian mengugut seorang pelajar yang pulang dari sekolah sebelum merampas duit pelajar berkenaan.
“Pekerja wanita di sini juga tidak terlepas, mereka yang berseorangan akan turut sama diragut kumpulan itu,” katanya lagi. Seorang pengunjung bangunan berdekatan, Haizam, 30, berkata kawasan berkenaan memang terkenal dengan kes ragut.
“Pihak pengurusan di bangunan ini memberi peringatan kepada wanita yang bekerja di situ untuk pulang awal dan ditemani.
“Kebanyakan kes berlaku ketika waktu habis bekerja, sekitar jam 5 petang,” katanya Sementara itu, Ketua Pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Norliana Husna Khor Abdullah, ketika dihubungi memaklumkan pihaknya sedang melakukan siasatan berhubung aktiviti berkenaan di kawasan terbabit.
“Kami (AADK) tidak menolak memang wujud aktiviti penagihan di kawasan terbabit dan akan bertindak secepat mungkin bagi membanteras aktiviti dadah di tempat berkenaan,” kata Norliana lagi.
TENTERA HUKUM BAJU MERAH
BANGKOK: Tentera Thailand memberi amaran akan ‘menghukum’ kumpulan antikerajaan jika mereka meneruskan niat berarak ke pusat perdagangan Bangkok, menyebabkan ketegangan semakin meningkat.
SOKONG PERDANA MENTERI...kumpulan prokerajaan mengadakan perhimpunan menyokong pentadbiran Abhisit Vejjajiva di Bangkok semalam. Mereka berkumpul melalui maklumat disebar dalam Facebook dan mendakwa bimbang terhadap konspirasi menggugat kestabilan politik Thailand.
SOKONG PERDANA MENTERI...kumpulan prokerajaan mengadakan perhimpunan menyokong pentadbiran Abhisit Vejjajiva di Bangkok semalam. Mereka berkumpul melalui maklumat disebar dalam Facebook dan mendakwa bimbang terhadap konspirasi menggugat kestabilan politik Thailand.
Kenyataan itu dibuat selepas penyokong bekas perdana menteri, Thaksin Shinawatra, menyatakan akan menuju kawasan penting di Bangkok itu walaupun undang-undang darurat diisytiharkan.
Jurucakap tentera, Sansern Kaewkamnerd, berkata pihak keselamatan tidak akan membenarkan kumpulan Baju Merah meneruskan niat mereka.
Katanya, penunjuk perasaan yang menguasai kawasan dipenuhi pusat beli-belah mewah dan hotel itu akan menerima padah.
“Anggaplah kami tidak mempunyai pilihan kecuali menguatkuasakan undang-undang,” katanya semalam.
Menurut Sansern, pasukan keselamatan beruniform akan dihantar mengawal kawasan dipenuhi pencakar langit itu bagi mengelak ‘pihak ketiga’ - merujuk kepada kumpulan pengganas mengikut definisi kerajaan - melancarkan serangan.
“Apa pun yang bakal terjadi, kami tetap bertindak. Jika perlu bertempur, kami akan bertempur. Kami perlu menguatkuasakan undang- undang dengan tegas.
“Pihak keselamatan tidak boleh sekadar menganggap kami perlu sentiasa mengelak korban. Jika tidak, negara tidak akan ke mana,” katanya.
Menurut Sansern, jika berlaku pertumpahan darah, ia hanya akan terjadi selepas pihak keselamatan cuba sedaya upaya mengelaknya.
“Misalnya penentang kerajaan cuba merampas senjata atau mengancam nyawa,” katanya.
Sementara itu, beberapa ribu penunjuk perasaan berkumpul di persimpangan Rachaprasong yang dianggap ‘medan terakhir’ mereka untuk mendesak kerajaan membubarkan parlimen bagi membolehkan pilihan raya baru diadakan.
Seorang pemimpin protes berkata, mereka mungkin mensasarkan bank terbesar Thailand, Bangkok Bank, kerana bersekongkol menjatuhkan kerajaan Thaksin sebelum ini.
Mereka turut mensasarkan bekas ketua tentera dan penasihat kehormat bank itu, Prem Tinsulanonda, yang turut bertindak sebagai ketua pembantu Raja Bhumibol Adulyadej.
LADANG HAIWAN
SEATTLE: Seorang lelaki yang pernah didapati bersalah kerana menyeludup kokain ditangkap semalam selepas disyaki menguruskan ladang ternakan yang membolehkan pelawat mengadakan seks dengan binatang.
Douglas Spink ditangkap di ladangnya berhampiran sempadan Kanada bersama-sama seorang pelancong Britain yang dituduh mengadakan seks dengan tiga anjing.
Berpuluh-puluh anjing, kuda dan tikus peliharaan dirampas bersama-sama beribu-ribu gambar manusia melakukan seks dengan haiwan.
Setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada ladang berkenaan turut dikunjungi pelancong lain.
Bagaiamanapaun, Penolong Pendakwa Raya, Susan Roe berkata, dia percaya ada pelawat lain yang datang sebelum ini.
Spink belum didakwa atas tuduhan melakukan seks dengan binatang buat masa ini.
Dia kini ditahan kerana melanggar syarat pembebasannya.
Syerif Whatcom County, Bill Elfo berkata, ejen yang menyerbu kediaman Spink menemui video yang menunjukkan pelancong Britain, Stephen Clarke mengadakan seks dengan anjing. Dia dituduh melakukan kekejaman terhadap haiwan dan dihadapkan ke mahkamah Whatcom County.
Pihak berkuasa menyerbu ladang Spink selepas menerima aduan daripada pejabat seorang peguam di Tennesse yang sering menerima panggilan telefon daripada lelaki itu mengenai satu kes seks dengan binatang.
Suspek dalam kes itu, James Michael Tait sebelum ini mengaku membuat rakaman video mengenai seorang lelaki mengadakan seks dengan seekor kuda di negeri Washington pada 2005.
SEJARAH TERCIPTA
GANDINGAN beregu campuran negara Chan Peng Soon/Goh Liu Ying mencipta sejarah merangkul kejuaraan Kejohanan Badminton Asia selepas menewaskan gandingan Korea Selatan, Yoo Yeon Seong/Kim Min Jung 21-17, 20-22, 21-19.
Kemenangan dalam beregu campuran itu adalah pertama buat Malaysia di pentas saingan antarabangsa yang membuktikan pemain negara ada kualiti untuk maju dalam kategori terbabit.
Menurut ketua jurulatih beregu Rexy Mainaky, percaturan memfokuskan Peng Soon dalam beregu campuran mula mendatangkan hasil kerana gandingan menarik dia bersama Liu Ying menjadikan permainan mereka mantap ketika menyerang dan bertahan.
“Sekarang sudah nampak hasil percaturan yang saya dan Jeremy Gan (jurulatih beregu) aturkan. Sasaran saya adalah mahu melihat pemain ini beraksi di Kejohanan Dunia,” kata Rexy. ketika dihubungi yang berharap kejayaan Peng Soon dan Liu Ying menjadi peniup semangat kepada gandingan lain.
Biarpun gembira dengan pencapaian Peng Soon/Liu Ying, beliau berharap mereka tidak mudah selesa sebaliknya terus menggilap keserasian dan menajamkan permainan.
Kemenangan yang dicapai Peng Soo/Liu Ying bagaimanapun gagal dijejak beregu wanita negara, Vivian Hoo/Woon Khe Wei apabila tunduk kepada gandingan China, Pan Pan/Tian Qing 10-21, 6-21.
Bagaimanapun Rexy tetap berpuas hati dengan prestasi mereka yang berjaya melangkah ke final.
“Mereka berjaya melangkah ke final bermakna mereka sebelum ini mempamerkan aksi sempurna menewaskan pemain lain yang juga pesaing dalam Piala Uber. Ini adalah petanda baik untuk skuad Uber negara,” katanya.
TENUNGAN RM200,000
KUALA LUMPUR: “Selepas merenung anak matanya buat pertama kali, saya seolah-olah lupa diri dan sanggup melakukan apa saja untuk dia,” kata seorang wanita yang mendakwa menjadi mangsa pukau seorang guru sekolah rendah sehingga menyebabkan dia hampir muflis dan kerugian RM200,000 dalam tempoh kurang setahun.
Wanita berusia 31 tahun itu ‘pulih’ daripada kesan pukau selepas mendapatkan rawatan beberapa kali daripada seorang ustaz di Gombak yang mendakwa dia bukan mangsa pertama lelaki itu.
“Ustaz itu kata saya bukan orang pertama yang datang berubat dengannya, malah ada tiga wanita pernah datang membawa gambar lelaki sama,” katanya kepada Harian Metro.
Menceritakan detik perkenalan dengan suspek, mangsa memberitahu dia bertemu dengan lelaki berkenaan yang mendakwa guru berusia 30-an itu di sebuah stesen minyak di Setiawangsa, Mei tahun lalu.
“Dia datang dan menegur saya secara tiba-tiba dan meminta kad perniagaan, katanya nak berkenalan, lepas kejadian itu dia sering menghubungi saya menerusi SMS dan kami berjanji keluar makan selepas dua minggu berkenalan,” katanya.
Menurut mangsa, suspek membawanya ke sebuah restoran di Bangsar dan menghadiahkan minyak wangi dan aromaterapi kononnya sebagai hadiah perkenalan.
“Suspek yang lemah-lembut dan sopan-santun meminta saya memandang tepat ke anak matanya setiap kali berbicara,” katanya.
Sebulan selepas pertemuan itu, suspek menghubungi mangsa dan mendakwa wang Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) RM30,000 yang dipegangnya dirompak.
Mangsa yang bersimpati dengan kejadian itu meminjamkan RM2,500. Wanita yang bekerja sebagai penolong pegawai teknologi maklumat itu turut diperdaya sehingga bersetuju untuk membuat pinjaman bank bagi membeli sebuah Proton Perdana bernilai RM55,000 untuk suspek .
“Saya betul-betul tidak sedar setiap perbuatan saya ketika bersama dengannya, dia seolah-olah mengawal setiap perbuatan dan tingkah laku saya termasuk memegang kad ATM dan buku bank,” katanya.
Mangsa turut diminta membuat pinjaman RM60,000 kononnya untuk membiayai kos guaman suspek yang berdepan tuduhan rasuah.
Tanpa diketahui mangsa, suspek sebenarnya menggunakan duit itu untuk membiayai kehidupannya yang mewah termasuk memiliki beberapa kereta.
Selepas lebih 10 bulan menjadi mangsa, dia akhirnya menceritakan segala-galanya kepada seorang rakan yang segera membawanya berubat dengan seorang ustaz di Gombak.
Sebaik ‘pulih’, mangsa membuat tiga laporan di Balai Polis Dang Wangi, Setiawangsa dan Batu Caves.
NOTA TERJUN TINGKAT 11
KUALA LUMPUR: Tekanan perasaan dialami selepas mendakwa sering dimarahi keluarga kerana mendapat keputusan peperiksaan tidak memuaskan membuatkan seorang pelajar tingkatan tiga sanggup terjun daripada tingkat 11 pangsapuri didiami.
Sebelum terjun, pelajar perempuan itu sempat menulis surat meluahkan perasaan kecewanya kerana kerap dimarahi ibu bapa apabila gagal mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan.
Malah, dia juga turut merakamkan gambar sendiri menggunakan telefon bimbit yang menunjukkan seolah-olah cuba menjerut leher menggunakan rantai yang dipakainya.
Sumber polis berkata, dalam kejadian jam 5 pagi itu, remaja berkenaan dipercayai bertindak terjun dari tingkap bilik tidurnya selepas meninggalkan surat dan bukti berhubung masalah dialami.
Menurutnya, pelajar yang tinggal bersama ahli keluarga di Ketumbar Height, Cheras di sini, cedera parah di kepala dan tubuh kesan dari hentakan kuat menyebabkan dia mati di lokasi kejadian sebelum mayatnya ditemui penduduk pangsapuri itu.
“Berdasarkan siasatan, mangsa kerap menginap di rumah mak ciknya di tingkat empat di pangsapuri sama, namun pada hari kejadian, mangsa dikatakan pulang ke rumahnya di tingkat 11 kediaman itu.
“Sebelum terjun, mangsa sempat menggunakan telefon bimbit kamera miliknya untuk merakam perbuatan anehnya. Berdasarkan siasatan, dia dilihat sengaja menggunakan rantai leher sambil seolah-olah cuba menjerut lehernya sendiri,” katanya.
Menurutnya, pelajar itu kemudian menulis di atas dua keping kertas mencurahkan segala masalah dan rasa isi hatinya. Antaranya mendakwa tertekan dengan keputusan akademiknya yang mengecewakan menyebabkan dia kerap dimarah oleh ibu bapa.
“Mangsa mendakwa tertekan dengan tindakan ibu bapanya yang kerap meluahkan rasa tidak puas hati sehingga dia mengambil keputusan untuk membunuh diri bagi menghentikan penderitaan dialami,” katanya.
Menurutnya, mayat remaja itu dihantar ke Pusat perubatan Hospital Kebangsaan Malaysian (PPUKM) untuk bedah siasat.
“Setakat ini siasatan mendapati kematian mangsa tidak membabitkan unsur jenayah dan ia adalah kes mati mengejut,” katanya.
Bagaimanapun, keluarga mangsa yang diambil keterangan polis tidak percaya mangsa sanggup membunuh diri hanya kerana tertekan dengan keputusan peperiksaan diperoleh.
Bapa mangsa berusia 49, mendakwa dia dan isteri tidak pernah memarahi anak gadis mereka atau memberi tekanan kepadanya.
Difahamkan, bapa mangsa meminta polis menyiasat punca kes kematian mangsa lebih terperinci bagi mengenal pasti motif sebenar di sebalik kematian anak gadisnya itu.
SEMINGGU DI RUMAH BARU
SEREMBAN: “Arwah hubungi melalui telefon menyuruh saya bersama anak bersiap untuk keluar kerana dia akan sampai tidak lama lagi,” kata isteri kepada Achik Spin yang maut dalam kemalangan di Kilometer 14.7 Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas), dekat sini, petang kelmarin.
HM Rose Zaitul Suriani Wati Maarof, berkata tidak lama selepas itu, dia dikejutkan dengan panggilan rakan memberitahu kemalangan yang meragut nyawa suaminya itu.
“Beberapa jam sebelum itu, dia beberapa kali menghubungi dan mengingatkan saya dan anak supaya menonton wajahnya dalam siaran langsung RTM.
“Saya juga ada perasan perubahan agak ketara pada dirinya, bertukar daripada seorang periang menjadi pendiam sejak beberapa hari lalu,” katanya ditemui di rumahnya di Taman Desa Ros, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang, Achik atau nama sebenarnya Abdillah Murad Md Shari, 27, maut di tempat kejadian selepas Toyota Estima yang dipandunya terbabas lalu melanggar tiang papan tanda.
Difahamkan hasil bedah siasat mendapati beliau meninggal dunia akibat perdarahan dalaman.
Rakan penyanyi itu, Mohd Solihin Shah Mohd Saleh, 29, yang patah kaki kanan dan tangan kiri kini dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS).
Sementara itu, HM Rose Zaitul Suriani berkata, suaminya bersungguh-sungguh mahu berpindah ke sebelah rumah ibunya sebelum ini.
“Saya tidak sangka ia mungkin petanda yang dia akan pergi dan mahu saya sentiasa dekat dengan ibu.
“Kami berpindah ke rumah teres setingkat yang berkembar dengan rumah ibu saya minggu lalu. Suami sangat gembira dan membersihkan rumah itu setiap hari termasuk mengecat semula dan berjanji mengemaskan dengan sempurna semalam,” katanya sambil menahan sebak.
Menurutnya, sebelum ini Achik begitu sibuk dan sepatutnya semalam mula bercuti untuk meluangkan lebih banyak masa dengan keluarga serta mengemaskan rumah.
“Dia turut memberitahu selepas ini saya mesti akan gembira kerana tinggal dekat dengan ibu dan dia juga akan selalu berada di Seremban, tidak seperti sebelum ini kerana sering berulang-alik ke Johor atas urusan perniagaan,” katanya.
Menurutnya, dia tidak sangka semua perubahan yang ditunjukkan itu adalah petanda suaminya akan meninggalkan mereka buat selama-lamanya.
TAQWIM
BLOG ARCHIVE
-
▼
2010
(204)
-
▼
April
(15)
- NEGARA ISLAM KETAWAKAN EROPAH SELAMATAN GREECE
- PENERBANGAN KE EROPAH MASIH LUMPUH
- EZAM AKAN TUNJUK SURAT HUBUNGAN ANWAR DENGAN ARKIT...
- MALAYSIA SETUJU HANTAR KUMPULAN PERUBATAN KE AFGHA...
- 50 MAUT DALAM BANJIR KILAT
- BACA SURAH YASSIN HALAU GAJAH
- SISWA UiTM BERBAKTI
- WAKAF SOLAT DIHUNI ANJING
- BUKIT NANAS MARKAS PERAGUT
- TENTERA HUKUM BAJU MERAH
- LADANG HAIWAN
- SEJARAH TERCIPTA
- TENUNGAN RM200,000
- NOTA TERJUN TINGKAT 11
- SEMINGGU DI RUMAH BARU
-
▼
April
(15)