RAMAH MESRA BERSAMA YDP MAINPP

Kaherah - Badan Kebajikan Pelajar Pulau Pinang Mesir (BKPPPM) sekali lagi menerima kunjungan tetamu dari Malaysia. Kali ini dari rombongan wakil Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAINPP). Rombongan tersebut terdiri daripada Y.B Shabudin Bin Yahaya selaku Yang DiPertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang bersama isteri Puan Rashidah Bt. Abd. Majid. Turut hadir Tuan Hj. Sazali Bin Hussein (Pengarah JAINPP), Encik Fakhruddin Bin Abd. Rahman Setiausaha MAINPP) dan Ustaz Mohd. Redzuan Bin Abd. Wahab (Pegawai Pendidikan MAINPP).
Bagi meraikan kedatangan rombongan tersebut, BKPPPM mengadakan Majlis Ramah Mesra bersama Yang DiPertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang pada tanggal 3 februari 2009 bertempat di dewan Soleh Al-Masri asrama Pulau Pinang. Majlis ini dihadiri kira-kira 120 orang ahli BKPPPM yang terdiri daripada pelajar pengajian islam, qiraat dan perubatan. Antara tujuan lain majlis ini diadakan ialah untuk mengeratkan lagi hubungan antara MAINPP dengan BKPPPM, mengenali lebih rapat lagi individu-individu di dalam MAINPP dan JAINPP, juga menerangkan maklumat terkini serta masalah berkenaan persatuan dan juga ahli BKPPPM kepada MAINPP.
Majlis tersebut dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Quran oleh Ust. Abd Hayyi Bin Muhammad seterusnya ucapan aluan dari Yang DiPertua BKPPPM Ust. Hanif Bin Haron dan juga Pangarah Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) Dr. Jamel Bin Hashim. Kemudian majlis diteruskan lagi dengan ucapan Y.B. Shabudin. Beliau menyampaikan beberapa perkara yang perlu dilaksanakan oleh ahli BKPPPM, antaranya ialah penyertaan ahli dengan BKPPPM. Beliau juga mengharapkan agar BKPPPM memainkan peranan dua hala dan merapatkan hubungan dengan JPMK dan juga kedutaan Malaysia di Mesir untuk mendapat segala kemudahan dan memudahkan segala urusan pembelajaran. Dalam ucapan tersebut, beliau juga turut menasihati pelajar Pulau Pinang yang berada di bumi Mesir ini supaya belajar bersungguh-sungguh dan mencari ilmu sebanyak mungkin serta berbakti kepada masyarakat dan agama apabila pulang ke Malaysia kelak.
Selesai ucapan Yang DiPertua MAINPP, majlis diteruskan lagi dengan slot ramah mesra bersama tetamu (sesi soal jawab) dan penyerahan bantuan kewangan kepada BKPPPM. Y.B. Ustaz Shabudin juga menyampaikan anugerah bagi pelajar cemerlang dan tunas harapan. Ustaz Mohamad Badrul Hisham Bin Mohamed telah menerima anugerah pelajar cemerlang manakala Ust. Mohd. Miqdad bin Mohammad Jan menerima anugerah tunas harapan. Di sebelah akhawat pula, anugerah pelajar cemerlang disandang oleh Dr. Nor Liana bt. Omar dan Ustzh Jusmira Aida bt. Johari bagi anugerah tunas harapan. Sedikit cenderahati dari BKPPPM telah disampaikan oleh U. Hanif Haron kepada ahli rombongan sejurus selepas itu. Majlis disudahi dengan doa penutup oleh Ust. Khizral Firdaus Bin A’azman.
Kemudian ahli rombongan dibawa melawat ke sekitar asrama pelajar Pulau Pinang dan mengadakan perjumpaan dengan pelajar perubatan tajaan Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JAINPP). Sesi bergambar diadakan sebelum keberangkatan pulang ahli rombongan ke tempat penginapan.

Template by : kendhin x-template.blogspot.com