Ratu Moral Cantik Arab Saudi

RIYADH 7 Mei - Meskipun wajahnya berselindung di sebalik purdah hitam yang menutupi seluruh wajahnya, dan tiada siapa dapat memberitahu betapa cantiknya rupa parasnya, namun Sukaina Al-Zayer harus merasa bertuah kerana akan berpeluang untuk dipilih sebagai ratu cantik.

Para hakim tidak mengendahkan mengenai bagaimana cantiknya rupa paras satu-satunya ratu cantik dari Arab Saudi ini nanti.

Sebaliknya apa yang mereka lihat dan nilai ialah 'Ratu Moral Cantik' dalam pertandingan yang menilai peserta yang menunjukkan kasih sayang dan hormat paling tinggi kepada ibu bapa.

"Idea dalam pertandingan ratu cantik ini adalah untuk mengukur komitmen para peserta terhadap moral Islamik... ia adalah alternatif kepada pertandingan ratu cantik lain yang hanya mengambil kira rupa dan bentuk tubuh wanita," kata pengasas pertandingan, Khadra Al-Mubarak.

"Pemenang tidak semestinya cantik. Kecantikan yang kami utamakan adalah jiwa dan moral yang dimiliki seseorang," tambahnya.

Selepas pertandingan itu dibuka Sabtu lalu, kira-kira 200 peserta akan menghabiskan masa 10 minggu berikutnya untuk mengikuti kelas dan kemudiannya diuji kuiz berasaskan tema 'meneroka kekuatan dalaman', 'pembentukan pemimpin' dan 'syurga di bawah telapak kaki ibu', seperti yang disarankan oleh Nabi Muhammad SAW yang menitikberatkan sikap hormat kepada ibu bapa, yang juga antara perkara asas Islam.

Para peserta dalam pertandingan berkenaan juga akan menghabiskan masa sehari bersama ibu mereka di rumah untuk dinilai oleh para hakim wanita mengenai cara interaksi antara mereka, kata Khadra.

Pertandingan yang masuk tahun kedua ini mengalami peningkatan berbanding hanya 75 peserta yang mengambil bahagian pada tahun 2008. Ia dibuka untuk wanita berusia 15 hingga 25 tahun.

Juara dan naib naib juara yang akan diumumkan pada Julai depan akan membawa pulang hadiah wang tunai AS$2,600 (RM9,360) dan AS$1,300 (RM4,680) setiap seorang di samping hadiah-hadiah iringan lain.

Template by : kendhin x-template.blogspot.com