JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, 78, mangkat malam tadi selepas dimasukkan ke Hospital Pakar Puteri di sini pada pukul 5 petang kelmarin kerana gering.
Baginda yang memerintah Johor selama hampir tiga puluh tahun mangkat pada pukul 7.15 malam.
Kemangkatan baginda diumumkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman pada sidang media di kediamannya di sini.
Sebelum itu, pada sebelah petang, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail dilantik sebagai Pemangku Raja berikutan kegeringan ayahandanya.
Jenazah Sultan Iskandar dibawa ke Istana Besar di sini menaiki ambulans hospital pada pukul 11.20 malam.
Istiadat pemakaman akan diadakan di Makam Diraja Mahmoodiah di sini pada pukul 2 petang ini.
Sejam sebelum itu, majlis pertabalan sultan baru akan diadakan di Istana Besar sebelum jenazah baginda dimakamkan.
ALMARHUM SULTAN ISKANDAR DIMAKAMKAN HARI INI
BAYI 18 HARI BERJAYA DISELAMATKAN
PORT-AU-PRINCE - Seorang bayi perempuan yang baru berusia 11 hari ketika Haiti musnah akibat gempa bumi pada 12 Januari lalu, mencipta keajaiban apabila dia berjaya dibawa keluar daripada runtuhan rumah keluarganya di sini pada Rabu lalu.
Elizabeth Joassaint dikeluarkan oleh anggota-anggota pasukan penyelamat Perancis yang kembali semula seminggu kemudian sebelum mereka terdengar bunyi tangisan bayi itu dan tidak percaya mangsa masih hidup ketika rumah tersebut ranap.
Dia yang cedera dengan mengalami sedikit calar ditemui di ruang kecil di bawah runtuhan dan masih lagi baring di atas katil.
Katil itu merupakan tempat terakhir dia diletakkan oleh ibunya, Michelene sejurus sebelum gempa melanda pulau itu minggu lalu.
Kelmarin, wanita berusia 22 tahun itu akhirnya dapat memeluk semula anaknya di sebuah khemah hospital dan bersyukur dengan penemuan bersejarah tersebut yang disebutnya sebagai 'satu keajaiban dan rahmat daripada tuhan'.
Suaminya, Michelet, 47, berkata: "Semua orang menyangka dia sudah meninggal dunia kecuali tuhan. Ini bukan cara yang dikehendaki oleh tuhan untuk dia menemui ajalnya."
Michelene mendakwa, dia baru sahaja menyusukan Elizabeth dan kemudian membaringkan bayi itu sebelum berlaku gempa. Dia cuba untuk menyelamatkan anaknya namun gagal apabila dinding rumah runtuh menutup bangunan itu.
Pasangan itu yang hampa dan menetap di sebuah padang bola sepak sebelum seorang petugas penyelamat Perancis memaklumkan Elizabeth masih hidup dan mereka sedang berusaha mengeluarkan bayi itu.
"Saya cuma mampu menangis dan berlari ke arah bayi saya. Saya tidak percaya dia masih panjang umur dan dengan sedikit kekuatan, dia mampu hidup di sebalik runtuhan dinding tanpa cedera teruk," kata Michelene.
Kira-kira 200,000 orang dipercayai terbunuh dalam gempa bumi itu.
SEKOLAH PONDOK TERTUA TERBAKAR
PASIR MAS - "Masa itu saya baru masuk tidur, tiba-tiba saya dengar bunyi kecoh di luar rumah.
"Saya keluar dan nampak api sudah mula membakar bangunan sekolah pondok."
Demikian kata seorang saksi Hanipa Zakaria, 59, mengenai tiga blok Sekolah Pondok Lubuk Tapah di sini yang terbakar pada pukul 1.45 pagi semalam.
Rumah banglo Hanipa turut terbakar 70 peratus akibat dijilat api yang bermula di sekolah itu.
Cerita Hanipa, bangunan sekolah itu terletak bersebelahan dengan rumahnya.
"Saya belum lelap kerana baru masuk ke bilik selepas anak tiba dari Terengganu pukul 1.30 pagi," kata Hanipa di sini semalam.
Melihat api semakin marak, Hanipa mengalihkan dua buah kereta miliknya sebelum mengejutkan empat orang anaknya yang sedang tidur.
"Nasib baik banyak benda dapat diselamatkan namun akibat kejadian itu juga, saya mengalami kerugian dianggarkan lebih RM100,000," katanya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Adnan Said berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 1.55 pagi dan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian bersama empat jentera dan 19 anggota bomba.
MINUM RACUN LEPAS DITEGUR GURU
BATU GAJAH: Hanya kerana ditegur guru sekolahnya supaya belajar lebih rajin dan tekun, seorang pelajar berusia 12 tahun bertindak nekad minum cecair dipercayai racun serangga di rumah bapa saudaranya di Taman Pusing Baru, dekat sini, kelmarin.
S Uvaneswaran, 12, yang juga yatim piatu, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan di Hospital Batu Gajah kira-kira jam 6 petang, dipercayai selepas tiga jam meminum racun serangga itu.
Ketua Polis Batu Gajah, Asisten Superintendan Najib Mohammad, berkata berdasarkan maklumat bapa saudara pelajar terbabit, mangsa kelihatan murung dan resah sebaik pulang dari sekolahnya kira-kira jam 1.30 petang.
“Apabila ditanya, mangsa memberitahunya dia mempunyai masalah di sekolah.
“Mangsa memasuki sebuah bilik yang dipercayai dijadikan stor di belakang rumahnya kira-kira jam 1.30 petang,” katanya. Bagaimanapun, Najib berkata, kira-kira jam 3.30 petang, mangsa keluar dari bilik berkenaan dalam keadaan muntah-muntah dan tidak bermaya.
KELIRU LAPORAN DAKWA RAKAN DIPUKAU MASUK ISLAM
JITRA: Gadis yang dilaporkan hilang selepas menerima gaji daripada majikannya baru-baru ini, disahkan sudah memeluk Islam di Pusat Bimbingan Saudara Baru (Pusba) di Sungai Petani, seminggu selepas kehilangannya.
Rakan Michelle Lim Shiau Wei atau nama Islamnya Nur Elishah Abdullah, 20, Mohd Azlishah Jaafarshah, 26, mendakwa, dia mengenali Nur Elishah sejak tiga bulan lalu dan rakannya itu pernah menyatakan hasrat untuk memeluk Islam dengan kerelaan hatinya.
“Saya kesal terdapat beberapa laporan akhbar mengatakan Nur Elishah dipukau untuk masuk Islam dan selepas sedar dia kembali kepada agama asalnya.
“Laporan akhbar berkenaan turut menyiarkan gambar Nur Elishah yang lengkap berpakaian menutup aurat keluar dari Pusba dan juga gambarnya menyembah berhala bersama ibu bapanya,” katanya.
Menurutnya, hal itu menimbulkan kekeliruan kerana dia tidak pasti sama ada Nur Elishah masih Islam atau tidak.
Sementara itu, pihak Pusba ketika dihubungi mengesahkan Nur Elishah memeluk Islam di situ dan akan berjumpa gadis berkenaan serta keluarganya bagi mendapatkan kepastian mereka mengenai situasi sebenar.
PELAJAR MAUT DIGILIS BAS
MASAI: Seorang pelajar tingkatan enam hancur separuh badan selepas digilis sebuah bas persiaran di Jalan Kongkong berhampiran tanah perkuburan Kristian dekat sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 pagi itu, Mohd Nasir Rosli, 18, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah dari pinggang ke bawah selepas digilis oleh bas persiaran tanpa penumpang itu.
Ketua Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Seri Alam, Asisten Superitenden Suffian Abdullah, berkata kejadian ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda C70 dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Pasir Gudang 2 dari rumahnya di Kampung Cahaya Baru.
Menurutnya, motosikal ditunggang mangsa dikatakan gagal dikawal sebaik memotong sebuah kenderaan lain sebelum terjatuh dan masuk ke laluan bertentangan.
KAKI TERPELANTING
KUALA TERENGGANU: “Selepas dirempuh, saya cuba berdiri tetapi terjatuh semula....Saya nyaris pitam apabila kaki kanan sudah tiada,’’ kata Mohammad Ikhwan Muhammad, 16, menceritakan detik cemas dia kehilangan kaki kanannya selepas dirempuh kereta di Kampung Tualan, Manir jam 8.30 malam, Sabtu lalu.
PILU...Mohammad Ikhwan meratapi kehilangan kakinya.
Beliau berkata, sebelum kejadian, dia sudah tidak sedap hati, namun tidak mengendahkannya dan tetap ke keluar ke pekan Manir kira-kira dua kilometer dari rumah untuk membeli kad tambah nilai.
“Disebabkan hati tidak keruan ketika itu, saya menunggang motosikal perlahan sehinggalah dikejutkan dengan silauan cahaya yang terang dan mengaburi mata.
“Saya tidak dapat melihat apa-apa ketika itu sehinggalah muncul sebuah kereta terus merempuh motosikal saya. Saya tercampak beberapa meter dari tempat kejadian,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), semalam.
Anak keenam daripada lapan beradik itu berkata, selepas itu dia mendapati bahagian bawah badannya kebas dan tidak mampu bangun semula untuk mengambil motosikalnya.
“Hanya Tuhan saja tahu perasaan saya sebaik menyedari betis kanan terputus akibat kemalangan itu,’’ katanya sebak sambil memberitahu dia dibantu orang kampung.
“Saya dimaklumkan betis kanan yang terputus itu tercampak beberapa meter dari kawasan saya terjatuh dan tidak boleh disambung kembali kerana dijangkiti kuman," katanya.
Bapanya, Muhammad Abdullah, 49, ketika ditemui berkata, dia mengetahui insiden menimpa anaknya selepas dihubungi warisnya kira-kira 30 minit selepas kemalangan berlaku.
Dia yang bekerja sebagai pemandu van berkata, dirinya tergamam menerima berita menyedihkan itu terutama memikirkan masa depan anaknya it
ANAK SETAN
KUALA LUMPUR: Berpelajaran tinggi tapi tak mampu membuat pertimbangan wajar! Itulah sikap seorang pelajar jurusan perubatan yang baru pulang bercuti di tanah air apabila sanggup memukul bapa kandungnya sendiri selepas permintaannya untuk mendapatkan wang RM1 juta tidak dipenuhi.
Difahamkan, bapa berusia 50-an itu baru menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) dan sedang berehat di rumahnya di Ampang di sini, manakala anaknya yang berusia 20-an yang kini menuntut di luar negara, pulang untuk bercuti sejak beberapa hari lalu.
Dalam kejadian jam 11.30 malam Ahad lalu, mangsa sedang menonton televisyen seorang diri di rumah sebelum tiba-tiba anaknya yang baru pulang terus memukul badannya menggunakan besi.
Malah, dalam laporannya kepada pihak polis, mangsa turut mendakwa jari tangan kanannya dihiris dengan pisau oleh anaknya selain turut cedera di kaki.
Mahasiswa terbabit ‘menyeksa’ bapanya dalam usaha memaksa orang tuanya itu menyerahkan wang berkenaan.
Menurut sumber polis, mangsa mendakwa kejadian berkenaan bukan kali pertama berlaku pada dirinya, malah sudah tiga kali sejak beberapa tahun lalu.
“Mangsa sudah tidak tahan dengan kelakuan anak lelakinya itu lalu melaporkan kejadian itu kepada polis.
“Susulan itu, polis menahan anak lelaki mangsa sebelum dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya diambil,” katanya.
Menurutnya, polis sedang menyiasat punca sebenar kejadian itu.
Difahamkan, mangsa bertugas sebagai pengarah di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) manakala isterinya turut menyandang jawatan pengarah jabatan di sebuah agensi kerajaan, mempunyai dua anak hasil perkongsian hidup mereka.
Anak mangsa yang memukul dan meminta wang RM1 juta daripada mangsa sedang menghabiskan cuti pengajiannya dalam bidang perubatan di India.
Menurut sumber, anak mangsa sebelum ini sudah beberapa kali meminta wang daripada bapanya, namun tidak dilayan sehingga dia akhirnya ‘naik angin’ dan melepaskan geram dengan memukul bapanya kerana permintaan itu tidak ditunaikan.
“Bagaimanapun, polis masih menyiasat tujuan anak mangsa meminta wang RM1 juta daripada bapanya dan sehingga kini siasatan menyeluruh sedang dilakukan.
“Hasil siasatan awal mendapati anak mangsa mempunyai perwatakan baik dan polis masih berusaha mengenal pasti motif sebenar di sebalik permintaan wang dalam jumlah yang besar itu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan yang dibuat mangsa berhubung kejadian itu namun enggan mengulas lanjut kerana siasatan sedang dijalankan.
PETIKAN BIBLE PADA SENJATA AS
WASHINGTON 21 Jan. - Kumpulan- kumpulan Islam berang selepas mengetahui tentera Amerika Syarikat (AS) di Iraq dan Afghanistan selama ini menggunakan senapang yang tertera petikan kitab Bible di bahagian teropong sasarannya.
Syarikat yang mengeluarkan alat optik itu yang turut melatih tentera Afghanistan serta Iraq di bawah kontrak dengan tentera AS dan Marine Corps berkata, pihaknya telah mencetak petikan daripada New Testament Bible ke bahagian senapang itu selama lebih 20 tahun.
Kementerian Pertahanan Britain sementara itu mengumumkan, pihaknya telah menempah 400 teropong sasaran dengan syarikat berkenaan, Trijicon, namun menambah ia tidak sedar tentang maksud petikan Bible itu, satu keputusan yang dikecam parti pembangkang, Parti Liberal Demokrat.
Majlis Hal Ehwal Awam Islam (MPAC), mendesak Setiausaha Pertahanan, Robert Gates supaya segera menarik balik penggunaan teropong sasaran itu yang dicetak dengan petikan Bible daripada digunakan tentera AS, selepas Trijicon dilapor mengikat kontrak membekalkan lebih 800,000 alat itu kepada tentera AS.
Pentagon dalam pada itu dilihat cuba menyangkal kontroversi tersebut dengan mengatakan, ia 'diganggu' oleh laporan-laporan tertentu.
"Sekiranya terbukti apa yang didakwa ini benar, kami akan memulihkan keadaan,'' kata jurucakap Pentagon, Komander Darryn James.
Sementara itu, Trijicon memberitahu, petikan Bible itu 'digunakan sebagai sebahagian kepercayaan kami dalam berkhidmat untuk negara.'
Pengunaan teropong sasaran yang tertera petikan Bible itu juga dianggap mencabul perintah umum unit tentera Pasukan Tengah AS yang dikeluarkan selepas pencerobohan ke atas Iraq pada 2003 yang jelas melarang 'cubaan menarik individu ke sebarang agama, kepercayaan atau amalan agama.'
"Tindakan mencetak petikan Bible pada peralatan perang mencabul prinsip dan nilai yang diasaskan negara kita,'' kata Pengarah MPAC Washington, Haris Tarin.
"Paling buruk, ia turut menimbulkan propaganda senjata kepada pelampau yang mendakwa berlakunya perang menentang Islam oleh AS,'' katanya.
5 TAHUN HIDU BAU BUSUK
MELAKA 21 Jan. – Mereka tinggal tidak sampai 10 meter dari tempat pembuangan pelbagai sisa pepejal termasuk bangkai babi.
Jika gambaran itu sudah membuatkan kita loya, fikirkan pula bagaimana mereka menahan tekak dan hidung dalam persekitaran itu sejak lima tahun lalu.
Ketika orang lain dapat membuka pintu dan tingkap untuk menikmati udara segar, mereka pula hidup bagaikan penjara di rumah sendiri.
Lebih malang, punca bau busuk tersebut bukanlah datang dari pusat pelupusan sampah haram, sebaliknya dari kawasan tempat pembuangan pelbagai sisa pasar dari Pasar Besar Melaka Sentral di sini.
Tinjauan Utusan Malaysia di sini hari ini mendapati pelbagai sisa jualan di pasar berkenaan seperti daging, ayam, perut ikan malah bangkai babi juga di buang ke dalam dua buah tong sampah beroda terbuka yang ditempatkan di belakang pasar tersebut.
Apabila ditiup angin, bau busuk daripada pelbagai sisa dan bangkai tersebut pasti membuatkan sesiapa sahaja berasa ingin muntah.
Itulah situasi yang dilalui kira-kira 30 penduduk di Kampung Pantai Peringgit di sini yang terpaksa ‘menikmati’ bau tersebut sejak pasar besar itu dibuka di situ kira-kira lima tahun lalu.
Pasar Besar Melaka Sentral yang menyediakan 460 ruang niaga untuk pelbagai perniagaan barang runcit dan basah mula dibuka pada 2004.
Turut dijual di sini adalah daging babi yang ditempatkan di dalam bangunan lain yang menjual makanan tidak halal di belakang pasar bangunan utama.
Seorang penduduk, Zaidi Salim, 35, berkata, pihak berkenaan wajar memberi perhatian serius terhadap masalah itu supaya tidak berlarutan lebih lama demi keselesaan penduduk.
Menurutnya, pelbagai aduan telah dibuat kepada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sebelum ini, namun tindakan yang diambil masih belum dapat menghilangkan bau busuk itu.
“Saya berharap jika MBMB dapat mengalihkan tempat pembuangan sampah pasar ini ke tempat lain yang jauh dari penempatan penduduk.
“Siapa tahan kalau hari-hari kena bau busuk, tutup pintu dan tingkap sepanjang masa. Hendak buat kenduri kahwin pun malu dengan orang yang datang,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Seorang lagi penduduk, Salim Md. Noor, 63, berkata, sebelum pasar besar tersebut dibina, kawasan itu merupakan tapak sawah yang memberikan udara segar kepada penduduk di situ.
“Saya bimbang kalau tempat pembuangan sampah pasar ini tidak dialihkan segera, saya pula dijangkiti penyakit,” katanya.
Pendapat sama turut disuarakan Rosnah Mohd. Ali, 45, yang menyatakan tempat pembuangan sampah itu tidak sesuai diletakkan di situ kerana terlalu hampir dengan penempatan penduduk.
“Saya merayu agar pihak pengurusan pasar tersebut memikirkan nasib kami dan segera memindahkannya ke tempat lain,” katanya.
KLIA TRANSIT DADAH
PUTRAJAYA 21 Jan. - Kegiatan penyeludupan dadah menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai transit kini di tahap menakutkan.
Mendedahkan demikian, Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Mohamed Khalid Yusuf berkata, ini berikutan peningkatan nilai rampasan dadah di lapangan terbang itu begitu mendadak sebanyak RM62 juta tahun lalu berbanding RM17.6 juta pada 2008.
Serentak itu, tegas beliau, kastam terus memperhebatkan penguatkuasaannya memerangi penyeludupan dadah di KLIA.
Ini termasuk menugaskan para pegawainya memantau pesawat-pesawat antarabangsa dan warganegara tertentu yang dikenal pasti terlibat secara langsung dalam kegiatan tersebut.
"Daripada kebanyakan ketamin yang dirampas, pihak kastam mengesan rata-rata individu terlibat memegang pasport yang tertera mereka dari Trichy, sebuah kampung di Chennai, India. Demikian juga warganegara dari Asia Barat.
"Dadah itu antaranya diletakkan dalam tin berisi kunyit yang di bawahnya terdapat satu lapisan tersembunyi.
"Pelbagai modus operandi penyeludupan dadah ini antaranya kita dapati tin kunyit itu masih tertera nama pasar raya dari kawasan yang sama malahan individu terlibat juga memakai jenis kasut serupa berwarna hitam," katanya.
Beliau ditemui pemberita pada majlis Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Ibrahim Jaapar bersama media di Ibu Pejabat Kastam di sini hari ini.
Mohamed Khalid berkata, pihaknya juga mendapat kerjasama daripada Pihak Pentadbir Kastam ASEAN termasuk baru-baru ini dari Hong Kong yang menyalurkan maklumat mengenai individu yang terlepas daripada pemeriksaan di sana dengan laluannya menuju KLIA.
"Kastam sentiasa melihat trend modus operandi yang sering berubah ini antaranya dadah diseludup menerusi televisyen hitam putih dan CPU komputer," katanya.
Terdahulu, Ibrahim dalam ucapan alu-aluannya berkata, kastam memperoleh RM25.9 bilion hasil pungutan tahun lalu.
Kata beliau, 62.1 peratus daripada pungutan itu diperoleh daripada cukai dalam negara meliputi cukai eksais, jualan dan perkhidmatan manakala 30 peratus lagi hasil cukai import dan eksport.
"Tugas kastam begitu meluas, kita tidak semata-mata pungut cukai dan terlibat dalam aspek pencegahan.
"Malah, kita terlibat sebagai penasihat dan perunding para pelabur dalam menyalurkan prosedur kastam yang perlu mereka patuhi," katanya.
8 KENA TAHAN DISYAKI BAKAR GEREJA
KUALA LUMPUR: Lapan orang, termasuk dua beradik dan bapa saudara mereka ditahan polis dalam operasi dua hari bermula kelmarin, kerana disyaki terbabit dalam kes pembakaran Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati Hulu Klang di sini, dua minggu lalu.
Pembabitan mereka dalam kes berkenaan terbongkar selepas polis menerima maklumat mengenai seorang lelaki berusia 25 tahun mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana melecur di tangan dan dadanya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin, berkata hasil maklumat itu, polis menahan lelaki terbabit di HKL, kira-kira jam 3.30 petang, kelmarin.
Berikutan penahanan lelaki itu yang bekerja sebagai penghantar surat, polis menahan adik dan bapa saudaranya serta lima rakannya.
Semua lelaki berusia antara 21 hingga 26 tahun yang bekerja dalam sektor swasta antaranya sebagai kerani ditahan di sekitar Ampang bermula petang kelmarin dan lelaki terakhir ditangkap, kira-kira jam 7.30 pagi semalam.
Pada sidang media di sini, Mohd Bakri berkata, adik penghantar surat itu yang berusia 21 tahun turut mempunyai kesan melecur di tangan kirinya, manakala seorang lagi suspek mempunyai kesan parut luka di mukanya.
Semua suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah, direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan.
Mengikut seksyen itu, kesalahan melakukan khianat dengan api boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda.
Dalam kejadian 8 Januari lalu, gereja berkenaan dilempar bom api, dipercayai ada kaitan kontroversi penggunaan kalimah Allah oleh majalah Herald-The Weekly Catholic.
Kebakaran itu memusnahkan perabot dan buku dalam gereja berkenaan, tetapi tiada kecederaan dalam kejadian pada jam 12 tengah malam itu.
Mohd Bakri berkata, penahanan lapan lelaki itu menyelesaikan kes kebakaran gereja di Desa Melawati, tetapi buat masa ini tiada kaitan menunjukkan kumpulan itu terbabit kes pembakaran gereja lain di sekitar Lembah Klang.
"Orang ramai diharap bersabar dan memberi peluang kepada polis menjalankan siasatan terperinci bagi membolehkan kertas siasatan dihantar kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut," katanya.
ZIKIR BLACK METAL
KUALA LUMPUR: Setiap malam Jumaat, seorang remaja Islam mendakwa dia membentuk simbol 666 menggunakan kedua-dua belah jari tangan yang diletakkan di dada sebelum membaca kalimah zikir 'f...g God' 666 kali sambil diiringi muzik black metal.
KUALA LUMPUR: Setiap malam Jumaat, seorang remaja Islam mendakwa dia membentuk simbol 666 menggunakan kedua-dua belah jari tangan yang diletakkan di dada sebelum membaca kalimah zikir 'f...g God' 666 kali sambil diiringi muzik black metal.
Sukar dipercayai kenyataannya itu, tetapi itulah hakikatnya kerana menurut remaja terbabit fahaman black metal yang sebelum ini disangka berkubur ternyata meleset kerana ramai di kalangan remaja belasan tahun sepertinya kini 'menganut' ajaran songsang itu dengan melakukan amalan zikir syaitan atau zikir 666 yang dilakukan khas bagi menghina Allah s.w.t.
Mendedahkan perkara itu, remaja lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Syamri, 13, berkata dia menganggotai kumpulan itu sejak sembilan bulan lalu selepas dipengaruhi rakannya.
Menurutnya, amalan bidaah yang diamalkan berkenaan menyebabkan keimanannya kosong serta mengakibatkan dia tidak percaya kepada kewujudan Tuhan.
Dia yang kini menjalani pemulihan akidah dan akhlak di Rumah Iman, Pertubuhan Kebajikan Sahabat Insan Dan Iman Malaysia (Sidim) berkata zikir itu yang diamalkan bukan hanya bertujuan mengeji kewujudan Tuhan, malah bagi mengagungkan syaitan di dalam hati mereka.
"Mungkin ramai yang sukar percaya (zikir keji Tuhan), namun bagi remaja black metal di Perak, Kedah dan Kuala Lumpur, ia bukan perkara asing berikutan ia umpama amalan wajib bagi mendekatkan diri dengan syaitan," katanya dalam pengakuan ketika ditemui wartawan Harian Metro, baru-baru ini.
Dia mendakwa mula 'tersesat jalan' selepas terpengaruh rakan sebaya termasuk teman wanita yang terlebih dulu bergelumang dengan 'ajaran' muzik berkenaan.
"Mulanya saya hanya suka-suka menyertai persembahan 'gig' yang diadakan di sebuah stadium di Ipoh, Perak selain konsert 'jamming' di beberapa studio atau pusat latihan muzik di sekitar Ipoh.
"Kami biasanya membayar antara RM15 hingga RM30 untuk menyertai konsert band black metal berkenaan yang boleh dikatakan dianjurkan setiap minggu termasuk di ibu kota," katanya.
Menurutnya, minat mendalam terhadap muzik keras itu menyebabkan dia kemaruk hampir saban minggu untuk mengunjungi konsert apatah lagi selepas berkawan rapat dengan beberapa ahli kumpulan muzik black metal.
"Saya dipujuk memakai rantai leher dengan lambang salib terbalik, selain lambang bintang tidak ubah seperti simbol bendera zionis sebagai bukti menjadi sebahagian daripada mereka.
"Tidak cukup dengan itu, saya diajar mengamalkan zikir khas yang perlu dilakukan untuk menyucikan hati kononnya Tuhan tidak wujud sebaliknya perlu memuja syaitan," katanya.
Syamri yang insaf menyatakan mengamalkan ajaran zikir khas terbabit yang perlu dilakukan dengan beberapa kaedah tertentu.
"Saya perlu membengkokkan jari bagi membentuk simbol 666 (syaitan) sebelum ia dirapatkan pada dada. Sambil duduk bersila, saya kemudian perlu zikir 'f.....g God' di dalam hati 666 kali.
"Biasanya saya melakukan upacara ini dalam bilik tidur sambil membuka muzik kumpulan Suicide Silent atau Devil Wear Prada.
"Ketika itu hati perlu diletakkan penuh taksub hanya kepada syaitan yang didakwa mampu dijadikan sebagai pelindung," katanya.
Menurutnya, amalan gila ini sedikit demi sedikit menjadikan hatinya menjadi gelap selain mula tidak percaya dengan kewujudan Tuhan.
"Malah, sikap saya menjadi semakin agresif hingga sanggup memaki-hamun ibu bapa sendiri selain memusuhi ustazah di sekolah. Saya menjadi terlalu liar kerana amalan zikir syaitan itu bagaikan meresap sepenuhnya dalam sanubari," katanya.
Syamri dengan suara kesal mendakwa dia benar-benar menjadi sesat dan tidak lagi menganggap dirinya sebagai penganut ajaran Islam.
Menurutnya, pergaulan tidak terkawal menyebabkan dia melarikan diri dari rumah beberapa minggu sebelum ditemui ahli keluarga.
"Akibatnya saya diikat bapa sebelum dikurung tiga hari dalam bilik. Ketika itu saya tidak henti-henti membaca zikir 666 dengan harapan akan mendapat bantuan syaitan.
"Namun, akhirnya saya sedar, zikir karut berkenaan tidak bermakna apa-apa sebaliknya hanya menyebabkan jiwa saya semakin sesat. Zikir itu langsung tidak dapat membantu saya melepaskan diri dari dalam bilik itu. Kesedaran muncul mendadak menyebabkan saya mula berfikir sebelum dihantar keluarga ke rumah sahabat Sidim untuk menjalani rawatan kerohanian dan kembali ke jalan benar," katanya.
TANGISAN HILANG TANGAN
KUALA LUMPUR: Gara-gara dirempuh pemandu `iblis’ yang melanggarnya dari belakang sebelum melarikan diri, seorang gadis hanya mampu menangis sejak tujuh hari lalu selepas dimaklumkan doktor tangan kirinya terpaksa dipotong akibat kecederaan parah dialami.
Lebih menyedihkan apabila tulang tangan kiri mangsa yang remuk keseluruhan tidak dapat diselamatkan berikutan sel pada bahagian terbabit sudah tidak berfungsi.
Ong, 22, berkata, dalam kejadian jam 9.15 pagi Isnin lalu, dia yang bekerja sebagai kerani dalam perjalanan ke pejabatnya di Setiawangsa, di sini.
Menurutnya, dia yang tinggal di Setapak, menunggang motosikal bersendirian sebelum tiba-tiba dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta ketika melalui Jalan Setiawangsa.
“Saya tidak pasti apa yang berlaku kerana saya tiba-tiba melayang sebelum jatuh terhumban ke atas jalan raya. Sejurus kemudian saya lihat sebuah kereta memecut laju dari tempat kejadian.
“Beberapa orang awam yang melihat kejadian itu segera memberi bantuan sebelum menghantar saya ke klinik berhampiran. Bagaimanapun, kecederaan serius dialami menyebabkan saya dihantar ke wad kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya.
Menurutnya, kemalangan itu menyebabkan seluruh tubuhnya cedera termasuk menerima enam jahitan di dahi.
“Namun, saya mula tidak sedap hati apabila tangan kiri tidak dapat digerakkan malah jari tangan gagal merasai apa-apa sentuhan.
“Persoalan saya terjawab apabila doktor memberitahu tulang tangan kiri saya patah di beberapa bahagian,” katanya.
Kemalangan itu mengakibatkan sel tangannya mati selain perjalanan darah ke bahagian itu terhenti sekali gus mengakibatkan tangannya cacat.
“Saya hanya mampu menangis apabila mengenangkan nasib malang itu. Sukar saya hendak gambarkan perasaan apabila diberitahu tangan kiri yang lumpuh itu terpaksa dipotong bagi mengelak jangkitan.
“Pihak hospital mengarahkan saya menandatangani dokumen kebenaran bagi membolehkan pembedahan memotong tangan kiri itu dilakukan. Namun sehingga kini, saya masih belum membuat sebarang keputusan sama ada mengizinkan ia dilakukan,” katanya bingung.
Menurutnya, kesan daripada kemalangan langgar lari itu turut menyebabkan kaki dan pahanya luka-luka selain muntah hampir setiap hari.
BERTENANG!
PEKAN: Datuk Seri Najib Razak meminta umat Islam bertenang dan tidak terlalu 'memanaskan' isu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah 'Allah' dalam penerbitannya.
Perdana Menteri menegaskan kerajaan amat memahami perasaan dan sensitiviti umat Islam di seluruh negara dan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin untuk mempersembahkan taklimat mengenainya.
Beliau berkata, kerajaan juga sedar dan prihatin dengan pelbagai reaksi, termasuk pemimpin Islam parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung keputusan itu.
"Oleh kerana isu ini amat sensitif dan menyentuh perasaan, terutama umat Islam, maka kita hendaklah mengambil sikap bertenang dan membiarkan perkara ini diselesaikan melalui proses mahkamah.
"Keputusan dibuat oleh Mahkamah Tinggi dan masih ada Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan untuk membuat rayuan. Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan buat rayuan," katanya selepas majlis Anugerah Kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kawasan Parlimen Pekan 2009 di sini, semalam.
Semalam, media melaporkan pemimpin Islam parti politik dan NGO Islam bimbang implikasi keputusan itu dan mahu kerajaan menyegerakan proses rayuan.
Mereka berpendapat keputusan itu melanggar Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Islam sebagai agama rasmi dan mahu ia diperhalusi supaya sensitiviti agama dan kaum diambil kira.
Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri berkata, beliau akan memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berhubung proses rayuan berkenaan.
"Saya akan sembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong dan jika Seri Paduka berkenan, akan diberi taklimat dan dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja," katanya.
Najib juga berharap isu itu tidak diburukkan lagi dengan pelbagai demonstrasi, petisyen dan memorandum.
"Kerajaan putuskan akan dibuat rayuan... saya berharap keadaan ini tidak bertambah teruk lagi. Kita berharap penyelesaian penuh kebijaksanaan untuk menyelesaikan isu yang amat sensitif ini.
"Saya juga tak galakkan mereka membuat perkara yang boleh memanaskan keadaan kerana saya tahu perasaan umat Islam... macam mana mereka begitu terkilan. Saya berharap perkara amat sensitif ini, kita biarkan kerajaan tangani sebaik-baiknya melalui proses rayuan di mahkamah," katanya.
Terdahulu, sebelum Najib yang juga Ketua Umno Bahagian Pekan mempengerusikan mesyuarat Ahli Jawatankuasa Umno bahagian dan menerima memorandum daripada 24 NGO Pahang berhubung isu berkenaan.
Jurucakap NGO berkenaan, Amidi Abdul Manan yang juga Timbalan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) berkata, KDN perlu memfailkan rayuan secepat mungkin bagi melenyapkan keresahan Islam.
"Semua pihak perlu menghormati institusi Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengeluarkan fatwa bagi melindungi kedaulatan dan kesucian Islam," katanya.
Amidi juga meminta semua pihak menghormati keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan bahawa kalimah 'Allah' adalah eksklusif bagi agama Islam saja
SEORANG MAUT DUA KERETA API BERTEMBUNG
ANKARA: Dua kereta api bertembung di barat daya Turki semalam, mengakibatkan seorang daripada pemandunya terbunuh dan sekurang-kurangnya tujuh lain cedera.
Gabenor Bilecik, Musa Colak, berkata kemalangan itu berpunca daripada kerosakan bekalan elektrik yang menyebabkan sistem isyarat terpadam.
Kereta api berkenaan meneruskan perjalanannya ketika ia sepatutnya berhenti dan menghentam sebuah kereta api lain yang tidak bergerak. Bilecik terletak kira-kira 400 kilometer di selatan Istanbul.
Seorang pemandu terbunuh. Mangsa cedera termasuk dua kakitangan kereta api dan sekurang-kurangnya lima penumpang, kata Musa.
Kereta api terbabit dalam perjalanan dari arah bertentangan di antara Istanbul dan bandar Eskisehir.
GUNUNG BERAPI MELETUS DI COLOMBIA
BOGOTA: Gunung berapi Galeras di selatan Colombia meletus kelmarin, mengeluarkan batuan dan debu serta menyebabkan pihak berkuasa mengarahkan perpindahan kira-kira 8,000 penduduk.
Tiada penduduk terbunuh atau cedera ketika letusan. Namun pihak berkuasa memberi amaran gunung berapi terbabit mungkin berbahaya.
Galeras, terletak di pergunungan Andes berhampiran sempadan Colombia dengan Ecuador, meletus 10 kali pada 2009. Kebanyakan penduduk yang tinggal di sekitarnya sering mendapat amaran dan enggan berpindah apabila diarahkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Ribuan penduduk yang berpesta menyambut Karnival Hitam Putih setiap tahun di bandar berhampiran di Pasto terkejut dengan letusan kelmarin namun pesta tetap diteruskan. Satu letusan besar-besaran ke atas gunung berapi Galeras pada 1993 mengorbankan 10 orang.
MAJLIS ULAMA INDONESIA HARAM PROGRAM GOSIP TV
JAKARTA: Majlis Ulama Indonesia (MUI) mengemukakan fatwa mengharamkan Infotainmen, rancangan hiburan yang ditayangkan di televisyen Indonesia dan ditonton berjuta peminat terutama wanita, berikutan kandungannya yang tidak membangun minda dan tidak mendidik.
MUI melalui ketuanya, yang juga Ketua Pengurus Besar Nahdlatul Ulama (NU), Hasyim Muzadi memberi beberapa alasan mengapa Infotainmen diharamkan.
"Kami membuat penilaian ke atas Infotainmen berdasarkan kandungan dan pengisian rancangannya. Jika kandungan rancangan dipenuhi gosip, melaga-lagakan antara satu sama lain, menghancurkan kebahagiaan rumah tangga orang lain seperti yang dilakukan Infotainmen, ia amat dilarang agama," katanya.
Hasyim turut merujuk hasil Mesyuarat Kebangsaan Alim Ulama NU di Surabaya pada 2006 yang sudah mengharamkan Infotainmen berikutan kandungannya dipenuhi gosip, fitnah dan khabar angin.
"Kes pertelagahan antara aktres Indonesia, Luna Maya dengan Infotainmen wajar dijadikan contoh bagaimana program yang berunsur negatif, tidak mendidik akhirnya menimbulkan lebih banyak keburukan dalam masyarakat," katanya.
Beliau berkata kebebasan Infotainmen bukanlah kebebasan mutlak tetapi perlu diiringi tanggungjawab, bukan penulisan sebarangan sehingga menjejaskan kehidupan orang lain.
Katanya, tayangan Infotainmen tidak seharusnya menceritakan gosip perce
raian dan kehidupan peribadi artis tetapi sepatutnya memberi tumpuan kepada kejayaan dan prestasi kerjaya yang dicapai.
"Alangkah baiknya jika program Infotainmen diisi dengan pendidikan keluarga sakinah, pendidikan patriotik yang dapat membangunkan bangsa. Malangnya media hiburan seakan tidak berminat dengan perkara ini," katanya.
Hasyim berkata NU akan membincangkan isu kesan negatif Infotainmen terhadap perilaku masyarakat dalam Muktamar ke-32 pertubuhan itu di Makassar dari 22 hingga 27 Mac depan.
"Perbincangan tidak rasmi di antara ulama, pemimpin agama, tokoh pendidikan, budayawan dan cendikiawan negara juga akan diadakan beberapa hari menjelang muktamar," katanya.
Sementara itu, penganalisis media dari Universiti Airlangga Surabaya, Suko Widodo berkata berkata wartawan Infotainmen perlu dididik agar dapat menyediakan bahan berkualiti untuk masyarakat.
"Apa yang berlaku di Infotainmen Indonesia berbeza dengan negara lain. Tayangan di luar negara membicarakan semua prestasi dan karya yang dihasilkan artis atau pelakon, tetapi di negara ini mereka lebih suka membicarakan kehidupan peribadi, gosip dan khabar angin dikalangan mereka," katanya.
RIYADH KECAM KERAS KERJA PEMBINAAN ISRAEL
RIYADH: Arab Saudi kelmarin mengecam kerja pembinaan yang dilakukan Israel di kawasan pendudukannya di bumi Palestin dan menganggap tindakan Israel itu seperti kelakuan 'anak manja' yang mana masyarakat antarabangsa pun gagal memberi tekanan agar ia bertolak ansur.
Menteri Luarnya, Putera Saud al-Faisal, berkata Washington dan negara lain yang terbabit dalam rundingan damai Asia Barat, sepatutnya mengambil pendirian 'lebih tegas dan serius' bagi menamatkan kerja pembinaan di bumi yang dikehendaki rakyat Palestin itu, sebagai negeri mereka pada masa depan.
Pengumuman Israel Isnin lalu bahawa ia sedang membina hampir 700 pangsapuri baru di timur Baitulmaqdis adalah 'sesuatu yang membimbangkan' yang kami mengecam dengan sekeras-kerasnya," katanya.
Rakyat Palestin mahukan Timur Baitulmaqdis sebagai ibu negeri mereka dan sebarang langkah pembesaran kawasan perumahan Yahudi akan menjadikan usaha damai lebih sukar.
Amerika Syarikat, Palestin dan Kesatuan Eropah mengecam rancangan pembinaan baru Israel itu.
Rundingan Israel-Palestin terhenti kira-kira setahun lalu dan Palestin enggan menyambungnya sehingga kerja pembinaan Israel di Tebing Barat dan timur Baitulmaqdis dihentikan.
Palestin menolak pembekuan hanya sebahagian daripada kawasan pendudukan Israel itu dan ini tidak mencukupi.
Menteri Luar Arab Saudi itu berkata, masyarakat antarabangsa perlu lebih tegas apabila berdepan dengan Israel.
"Punca kenapa penyelesaian tidak dapat dicapai adalah kerana Israel mendapat layanan istimewa," katanya.
"Bila negara lain melanggar undang-undang antarabangsa, mereka dihukum, kecuali Israel. Jika jenayah peperangan dilakukan, negara lain dihukum, kecuali Israel.
"Di kalangan masyarakat antarabangsa, Israel menjadi seperti anak manja. Ia boleh melakukan apa saja yang dikehendaki tanpa dipersoal atau dihukum," katanya.
Putera Saud bercakap selepas mengadakan perjumpaan dengan rakan sejawatannya dari Turki, Ahmet Davutoglu, yang pernah rapat dengan Israel pada satu ketika, sehingga peperangan di Gaza.
Ahmet berkata, Israel patut menamatkan 'malapetaka dan bencana' di Semenanjung Gaza dan seharusnya membekukan pembesaran kawasan pendudukannya.
Menteri Luar Arab Saudi itu berkata, penyelesaian kepada kebanyakan isu paling sukar termasuk sempadan akhir, Baitulmaqdis dan pelarian Palestin hendaklah dikemukakan bagi rundingan.
"Jika pihak berkenaan gagal mencapai persetujuan, maka Mahkamah Keadilan Antarabangsa hendaklah dibabitkan," katanya.
TAQWIM
BLOG ARCHIVE
-
▼
2010
(204)
-
▼
January
(19)
- ALMARHUM SULTAN ISKANDAR DIMAKAMKAN HARI INI
- BAYI 18 HARI BERJAYA DISELAMATKAN
- SEKOLAH PONDOK TERTUA TERBAKAR
- MINUM RACUN LEPAS DITEGUR GURU
- KELIRU LAPORAN DAKWA RAKAN DIPUKAU MASUK ISLAM
- PELAJAR MAUT DIGILIS BAS
- KAKI TERPELANTING
- ANAK SETAN
- PETIKAN BIBLE PADA SENJATA AS
- 5 TAHUN HIDU BAU BUSUK
- KLIA TRANSIT DADAH
- 8 KENA TAHAN DISYAKI BAKAR GEREJA
- ZIKIR BLACK METAL
- TANGISAN HILANG TANGAN
- BERTENANG!
- SEORANG MAUT DUA KERETA API BERTEMBUNG
- GUNUNG BERAPI MELETUS DI COLOMBIA
- MAJLIS ULAMA INDONESIA HARAM PROGRAM GOSIP TV
- RIYADH KECAM KERAS KERJA PEMBINAAN ISRAEL
-
▼
January
(19)