KELIRU LAPORAN DAKWA RAKAN DIPUKAU MASUK ISLAM

JITRA: Gadis yang dilaporkan hilang selepas menerima gaji daripada majikannya baru-baru ini, disahkan sudah memeluk Islam di Pusat Bimbingan Saudara Baru (Pusba) di Sungai Petani, seminggu selepas kehilangannya.

Rakan Michelle Lim Shiau Wei atau nama Islamnya Nur Elishah Abdullah, 20, Mohd Azlishah Jaafarshah, 26, mendakwa, dia mengenali Nur Elishah sejak tiga bulan lalu dan rakannya itu pernah menyatakan hasrat untuk memeluk Islam dengan kerelaan hatinya.


“Saya kesal terdapat beberapa laporan akhbar mengatakan Nur Elishah dipukau untuk masuk Islam dan selepas sedar dia kembali kepada agama asalnya.


“Laporan akhbar berkenaan turut menyiarkan gambar Nur Elishah yang lengkap berpakaian menutup aurat keluar dari Pusba dan juga gambarnya menyembah berhala bersama ibu bapanya,” katanya.


Menurutnya, hal itu menimbulkan kekeliruan kerana dia tidak pasti sama ada Nur Elishah masih Islam atau tidak.

Sementara itu, pihak Pusba ketika dihubungi mengesahkan Nur Elishah memeluk Islam di situ dan akan berjumpa gadis berkenaan serta keluarganya bagi mendapatkan kepastian mereka mengenai situasi sebenar.

Template by : kendhin x-template.blogspot.com