5 TAHUN HIDU BAU BUSUK


MELAKA 21 Jan. – Mereka tinggal tidak sampai 10 meter dari tempat pembuangan pelbagai sisa pepejal termasuk bangkai babi.

Jika gambaran itu sudah membuatkan kita loya, fikirkan pula bagaimana mereka menahan tekak dan hidung dalam persekitaran itu sejak lima tahun lalu.

Ketika orang lain dapat membuka pintu dan tingkap untuk menikmati udara segar, mereka pula hidup bagaikan penjara di rumah sendiri.

Lebih malang, punca bau busuk tersebut bukanlah datang dari pusat pelupusan sampah haram, sebaliknya dari kawasan tempat pembuangan pelbagai sisa pasar dari Pasar Besar Melaka Sentral di sini.

Tinjauan Utusan Malaysia di sini hari ini mendapati pelbagai sisa jualan di pasar berkenaan seperti daging, ayam, perut ikan malah bangkai babi juga di buang ke dalam dua buah tong sampah beroda terbuka yang ditempatkan di belakang pasar tersebut.

Apabila ditiup angin, bau busuk daripada pelbagai sisa dan bangkai tersebut pasti membuatkan sesiapa sahaja berasa ingin muntah.

Itulah situasi yang dilalui kira-kira 30 penduduk di Kampung Pantai Peringgit di sini yang terpaksa ‘menikmati’ bau tersebut sejak pasar besar itu dibuka di situ kira-kira lima tahun lalu.

Pasar Besar Melaka Sentral yang menyediakan 460 ruang niaga untuk pelbagai perniagaan barang runcit dan basah mula dibuka pada 2004.

Turut dijual di sini adalah daging babi yang ditempatkan di dalam bangunan lain yang menjual makanan tidak halal di belakang pasar bangunan utama.

Seorang penduduk, Zaidi Salim, 35, berkata, pihak berkenaan wajar memberi perhatian serius terhadap masalah itu supaya tidak berlarutan lebih lama demi keselesaan penduduk.

Menurutnya, pelbagai aduan telah dibuat kepada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sebelum ini, namun tindakan yang diambil masih belum dapat menghilangkan bau busuk itu.

“Saya berharap jika MBMB dapat mengalihkan tempat pembuangan sampah pasar ini ke tempat lain yang jauh dari penempatan penduduk.

“Siapa tahan kalau hari-hari kena bau busuk, tutup pintu dan tingkap sepanjang masa. Hendak buat kenduri kahwin pun malu dengan orang yang datang,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Seorang lagi penduduk, Salim Md. Noor, 63, berkata, sebelum pasar besar tersebut dibina, kawasan itu merupakan tapak sawah yang memberikan udara segar kepada penduduk di situ.

“Saya bimbang kalau tempat pembuangan sampah pasar ini tidak dialihkan segera, saya pula dijangkiti penyakit,” katanya.

Pendapat sama turut disuarakan Rosnah Mohd. Ali, 45, yang menyatakan tempat pembuangan sampah itu tidak sesuai diletakkan di situ kerana terlalu hampir dengan penempatan penduduk.

“Saya merayu agar pihak pengurusan pasar tersebut memikirkan nasib kami dan segera memindahkannya ke tempat lain,” katanya.

Template by : kendhin x-template.blogspot.com