SERONOK RANCANG KEBAKARAN

PERCIKAN api amat mengujakan golongan ini. Malah dalam keadaan tertentu, api yang membakar bangunan, hutan atau harta benda, memberi kepuasan yang tidak terhingga kepada mereka.

Golongan ini yang digelar arsonis mungkin membakar bangunan untuk menimbulkan huru-hara dan perasaan cemas, membiarkan premis pejabat atau kilang miliknya hangus bagi menuntut pampasan insurans, atau membakar kediaman bagi menakut-nakutkan penghuninya seperti yang kerap dilakukan ah long.

Terdapat juga laporan seorang pembantu rumah membakar rumah majikannya tanpa diketahui sebabnya.

Biarpun apa motifnya, tidak puas hati, kecewa, dendam atau sekadar untuk memenuhi kehendak diri, kes yang melibatkan mereka yang gemar menggunakan api sebagai senjata untuk menzahirkan perasaan semakin meningkat kebelakangan ini.

Pakar Psikiatri Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Profesor Dr. Ahmad Hatim Sulaiman menjelaskan terdapat dua kategori ‘penghidup api’ atau golongan yang mencetuskan kebakaran ini.

“Kumpulan pertama ialah arsonis atau pembakar. Golongan ini secara jelasnya terlibat dalam kebakaran yang bermotifkan jenayah,” katanya.

Ahmad Hatim menambah, kategori ini seringkali membabitkan kumpulan remaja bermasalah atau mereka yang mengalami kecelaruan tingkah laku.

Lebih menakutkan, golongan ini tidak mempedulikan tentang kerosakan besar yang mungkin mereka lakukan. Bahkan ia seolah-olah menjadi permainan yang menyeronokkan.

“Sebanyak 75 peratus daripada penjenayah yang ditangkap melakukan kebakaran datang daripada kumpulan ini.

“Mereka bermula dari umur remaja dan tingkah laku ini sukar dihentikan walaupun menginjak usia dewasa.

“Justeru, tidak hairan mengapa golongan pembakar ini mempunyai sejarah gemar melakukan kebakaran melibatkan harta benda awam, persendirian atau apa saja sejak remaja,” ujar Ahmad Hatim.

Kegilaan

Bukan sekadar itu, kanak-kanak juga tidak terlepas daripada mempunyai kecenderungan menggunakan api sebagai medium meluahkan perasaan.

“Ini seringkali melibatkan kanak-kanak berumur lima hingga 10 tahun.

“Mereka tidak menyedari bahaya api dan menggunakannya untuk mendapat perhatian daripada ibu bapa,” beliau memberi amaran.

Namun tambahnya, golongan ini akan berhenti apabila semakin dewasa.

Bagi kategori kedua, Ahmad Hatim menyatakan ia lebih kepada permasalahan mental yang dikenali sebagai pyromania.

“Ia berasal daripada perkataan Greek yang bermaksud kegilaan kepada api. Dalam penilaian psikiatri, ia merupakan kecelaruan dan kegagalan mengawal impuls.

“Berbeza dengan arsonis, mereka gagal menolak atau mengawal diri daripada menghidupkan api.

“Ini berbeza sama sekali dengan arsonis yang akan merancang sesuatu kebakaran,” jelasnya.

Menurut Ahmad Hatim, meskipun peratusan penghidap pyromania di negara ini tidak sampai satu peratus, kecenderungan untuk menggunakan api sebagai cara menghilangkan tekanan tidak harus dipandang remeh.

“Walaupun tidak bermotifkan jenayah, ia mampu membawa kecelakaan kepada orang lain serta persekitaran,” katanya.

Selain mencetuskan euforia, penghidap pyromania seringkali terpaku apabila melihat balai bomba, ahli bomba atau peralatan memadamkan api.

Bagi Penolong Ketua Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Putrajaya, Amer Yusof, terdapat profil tertentu bagi arsonis secara umum.

Dengan kejadian kebakaran yang diklasifikasikan sebagai niat jahat, Amer menjelaskan ia biasanya berlaku secara berturut-turut di beberapa tempat tetapi dalam sela masa yang agak dekat.

“Selepas saja kebakaran pertama, akan berlaku kebakaran di tempat lain yang tidak jauh dari situ dan disusuli pula dengan dua atau tiga lagi kebakaran,” terang Amer.

Profil arsonis

Tambah beliau, penggunaan bahan pencetus api yang bersifat tahan lama dan marak seperti kerosin dan gasolin turut menjadi salah satu profil arsonis

“Terdapat juga kemungkinan mereka menggunakan peralatan elektrik bagaimanapun setakat ini pihak bomba belum berhadapan dengan kes sebegitu.

“Namun, di luar negara, ia merupakan perkara biasa walaupun penggunaan bahan terbabit agak rumit,” katanya.

Bercakap mengenai beberapa kes kebakaran yang berlaku di dalam negara baru-baru ini, Amer memberitahu secara amnya boleh dikatakan ia dilakukan oleh golongan amatur.

Dengan statistik kebakaran dengan niat jahat sebanyak 152 kes pada tahun 2009, ia jelas menunjukkan satu lagi corak jenayah sedang berkembang di Malaysia.

“Tidak seperti di luar negara, arsonis serta cara kebakaran yang dilakukan kelihatan lebih cukup profesional dan kompleks.

“Malah turutan masa kebakaran adalah lebih pendek dan melibatkan skala kebakaran yang besar,” ujarnya.

Dalam pada itu, bukti fizikal yang sering diperoleh oleh unit siasatan kebakaran bomba ialah pemindahan barang-barang berharga dari kawasan kebakaran sekali gus membuktikan kebakaran itu memang dirancang.

Amer juga tidak menolak pelaku arsonis mempunyai sifat penakut, suka merancang sendiri dan sukar dijangka.

“Daripada siasatan pihak Bomba berhubung pencetus kebakaran menunjukkan ia dilakukan oleh seseorang yang kurang berani.

“Namun, dengan mencetuskan kebakaran, bukan hanya satu malah beberapa kebakaran, ia memberi kepuasan kepada si arsonis,” ujar Amer.

Baca Lagi...

MENARA KUNO MUSNAH SEBAB API MERCUN

BEIJING - Sebuah menara lama yang menjadi pintu pagar kepada sebuah kota purba di bandar Zhengding, wilayah Hebei musnah dalam kebakaran dipercayai akibat mercun yang menyebabkan kerugian sehingga sejuta yuan (RM498,000).

Kejadian itu berjaya dikawal pihak bomba awal pagi semalam manakala tiada kemalangan jiwa dilaporkan sepanjang empat jam kebakaran besar tersebut berlaku, kata agensi berita rasmi Xinhua yang dipetik akhbar China Daily.

Pihak berkuasa tempatan berkata, siasatan awal menunjukkan api bermula daripada tempias api mercun namun, ia tidak menyebut pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kemusnahan dahsyat menara tua berusia lebih 1,600 tahun itu.

Sejumlah 90 kes kebakaran akibat mercun direkodkan antara menjelang sambutan Tahun Baru Cina sehingga seminggu perayaan itu berlangsung di seluruh Beijing dan mengakibatkan 347 mangsa mengalami kecederaan.

Baca Lagi...

MASJID RUNTUH HEMPAP JEMAAH

RABAT - Hujan lebat menjadi punca sebuah menara masjid berusia 400 tahun di Meknes, 140 kilometer dari Rabat, ibu negara Maghribi, tiba-tiba runtuh sebelum menghempap ratusan jemaah yang sedang mendengar khutbah Jumaat kelmarin.

Kementerian Dalam Negeri berkata, sekurang-kurangnya 41 dikhuatiri maut manakala 86 cedera dalam kejadian tragis di Masjid Lalla Khenata dalam daerah Bab Berdieyinne yang dibina Sultan Moulay Ismail sewaktu Meknes menjadi ibu negara abad ke-16.

Pemerintah Maghribi, Raja Mohamed VI menitahkan pihak berkuasa untuk segera membina semula masjid itu yang juga mercu tanda utama Meknes setelah diiktiraf sebagai tapak warisan dunia UNESCO dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Angka maut dijangka bertambah kerana masih ramai mangsa terperangkap belum dikeluarkan daripada runtuhan manakala mereka yang parah terpaksa dihantar ke bandar berdekatan Fes, kata ahli Parlimen tempatan, Dr. Abdallah Bouanou.

Sepasukan pakar psikologi turut dihantar tetapi pasukan penyelamat mendakwa, usaha mencari mangsa agak perlahan kerana hujan lebat berterusan menyukarkan mereka mengesan mangsa.

Baca Lagi...

JANGAN BANDINGKAN PUTRAJAYA DENGAN KL

PUTRAJAYA - Putrajaya tidak seharusnya dibandingkan dengan Kuala Lumpur (KL) dari segi kerancakan atau tarikan hiburan malamnya, kata Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Beliau berkata, perbandingan seumpama itu tidak adil memandangkan KL merupakan pusat ekonomi dan perdagangan yang wujud sejak kurun ke-19 manakala Putrajaya pula adalah pusat pentadbiran negara.

"Contoh yang paling dekat adalah antara Washington DC dan New York, di mana Washington DC adalah seperti Putrajaya iaitu 'pusat kuasa' manakala New York ialah bandar raya yang tidak pernah tidur.

"Kedua-dua bandar raya ini seperti juga KL dan Putrajaya saling melengkapi antara satu sama lain," katanya semasa merasmikan karnival Wow! Putrajaya di sini semalam.

Baca Lagi...

SEBAHAGIAN PULAI CHONDONG HANGUS



MACHANG – Sebahagian pekan Pulai Chondong di sini musnah dijilat api dalam kebakaran besar di pekan itu malam kelmarin.

Kebakaran membabitkan 20 unit rumah kedai dua tingkat melibatkan kerugian mencecah RM1 juta.

Bagaimanapun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Antara yang musnah dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu ialah kedai emas, kedai kek, kedai telekomunikasi dan kedai gigi palsu.

Menurut salah seorang mangsa, Mohd. Faizal Che Musa, 32, beliau menyedari kejadian ketika pulang dari majlis kenduri di kampung isterinya tidak jauh dari situ.

Baca Lagi...

MATI SERTA MERTA


MASJID TANAH: Keakraban dua sahabat yang bermain di atas sebuah jentolak yang bergerak berakhir dengan tragedi apabila seorang maut dihempap kenderaan berat itu yang terbalik di Kampung Sungai Jernih, Lubok Cina, di sini, semalam.
TERBALIK...jentolak yang menghempap Muhammad Aiman.
TERBALIK...jentolak yang menghempap Muhammad Aiman.


Kejadian dipercayai berlaku ketika jentolak dipandu seorang lelaki berusia 40-an berkenaan dikatakan hilang kawalan lalu terbalik dan menghempap kedua-dua mangsa sewaktu menyusur tebing di kawasan sawah terbiar di kampung itu.

Saksi, Junirapi Jemain, 38, yang juga pemilik jentolak, berkata dia ada di lokasi berhampiran dan ternampak dua kanak-kanak bermain di sekitar kawasan kejadian ketika kenderaan berat itu membuat kerja mengisi tanah di dalam karung untuk menambak tanah.


“Pemandu jentolak itu menekan kayu di atas pembetung. Apabila siap, ia (jentolak) mahu berundur untuk menolak tanah. Yang saya dengar, dia (pemandu) menghalau kedua-dua kanak-kanak itu turun (dari jentolak).

“Dia (pemandu) juga beritahu mahu membawa karung guni mengandungi tanah untuk menahan air sementara saya mengambil karung guni. Tiba-tiba saya lihat jentolak itu terbalik ke kiri dan menghempap budak-budak itu,” katanya.

Junirapi berkata, dia sempat melihat seorang remaja cuba bangun selepas dihempap jentolak manakala seorang lagi rakannya tidak bergerak lalu terus memaklumkan kejadian kepada ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di situ.

“Apabila datang balik ke tempat kejadian, baru saya perasan kaki budak yang bangun tadi sudah putus manakala rakannya sudah tidak bernyawa kerana kepalanya terhimpit pada palang bumbung jentolak.

“Saya dan pemandu jentolak cuba menyelamatkan mangsa yang tersepit dengan mengalihkan jentolak, tetapi gagal kerana keadaan mangsa ketika itu di tengah-tengah palang bumbung hingga menyukarkan usaha kami disebabkan tiada kekuatan.

“Berikutan itu, saya terus memaklumkan JKKK, Sidang dan penduduk kampung berhubung kejadian, dan pemandu jentolak terus pergi ke Balai Polis Lubok Cina untuk membuat laporan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, ibu bapa mangsa yang maut dalam kejadian, Mohd Derus Jantan, 47, dan Esam Eddie, 42, yang masih bersedih atas kematian anak kedua daripada lima beradik berkenaan enggan memberi sebarang ulasan.

“Buat masa ini, kami tidak mahu komen apa-apa kerana keadaan kurang sesuai, lagipun seisi keluarga masih bersedih. Insya-Allah bila keadaan tenang kami akan memberi kenyataan,” katanya.

Ketua Umno Cawangan Kampung Sungai Jernih, Datuk Mulup Jantan, berkata beliau tidak menyangka kejadian itu boleh menimpa anak saudara dan juga rakannya kerana pihak kontraktor sepatutnya melarang mana-mana individu yang cuba menghampiri kawasan tapak projek atas aspek keselamatan.

“Sepatutnya mereka menekankan aspek keselamatan, apatah lagi di kawasan kampung di mana kanak-kanak suka perkara sebegini.

“Namun ini semua takdir dan kami reda dengan pemergian arwah dengan cara ini, serta meminta pandangan perundangan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Baca Lagi...

2 JAM PISAU DILEHER ADIK


BERANANG: Akibat ketagih dadah, seorang abang sanggup mengugut membunuh adiknya dengan pisau pemotong daging.

Lebih mencemaskan, dia menjadikan adik perempuan berusia 21 tahun itu sebagai tebusan lebih dua jam dalam kejadian di Pangsapuri Baiduri, Bandar Tasik Kesuma di sini, semalam, selepas ayah mereka enggan memberi wang untuk membeli dadah.


Walaupun si adik menangis dan meraung ketakutan, lelaki berusia 22 tahun itu tidak mengendahkannya dan terus meletakkan pisau di leher gadis itu.


Polis terpaksa mengambil masa lebih dua jam memujuk lelaki terbabit yang terlebih dulu mengunci pintu jeriji bagi mengelak ayahnya yang berada di dalam rumah keluar atau orang lain memasuki unit pangsapuri terbabit.


Difahamkan, suspek yang terlalu panik dengan kehadiran pihak berkuasa terbuang air besar hingga menyebabkan lantai ruang tamu rumahnya dipenuhi najis.

Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Mohd Shakaruddin Che Mood berkata, polis menerima panggilan kecemasan jam 10 pagi sebelum bergegas ke tempat kejadian.


Menurutnya, sebaik tiba, seorang lelaki didapati sedang memeluk adiknya menggunakan tangan kiri manakala sebelah tangan lagi memegang pisau pemotong daging yang diletak rapat di leher gadis itu.

Mohd Shakaruddin berkata, punca lelaki terbabit bertindak demikian kerana bapanya enggan memberikan wang diminta untuk membeli dadah.


Katanya, polis dengan bantuan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bangi dan Mantin terpaksa memecahkan kunci mangga yang dipasang di pintu jeriji rumah terbabit.


“Pegawai polis terpaksa berunding dengan suspek lebih dua jam untuk memujuknya membebaskan adik yang dalam keadaan terlalu takut.


“Bapa suspek yang berusia 54 tahun terlebih dulu dikeluarkan dari rumah itu bagi memudahkan proses rundingan. Hasil pujukan, lelaki itu akhirnya menyerahkan pisau pemotong daging yang dipegang sebelum membebaskan adiknya.


“Rundingan itu berjaya menyelamatkan adiknya daripada terkorban dan suspek ditahan jam 1.30 tengah hari,” katanya.


Menurutnya, siasatan awal pihaknya mendapati lelaki terbabit penagih dadah tegar jenis heroin dan ketika kejadian dalam keadaan gian.


Katanya, suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau kini ditahan di Balai Polis Beranang untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu ugutan jenayah.


“Adiknya yang calar di lengan kiri dikejar menggunakan ambulans ke klinik berhampiran untuk rawatan,” katanya.


Jiran mangsa, Hamidah Ibrahim, 35, berkata dia mendengar jeritan lelaki terbabit memarahi bapanya kira-kira jam 8 pagi semalam.


“Selepas mendengar suara itu, lelaki terbabit mengunci jeriji dari dalam rumah.

“Lelaki itu berterusan memarahi bapanya kerana enggan memberinya wang. Saya juga terdengar jeritan adik perempuannya,” katanya.


Difahamkan, selain mengugut untuk membunuh adik perempuannya, lelaki terbabit turut mengancam membunuh diri dengan meminum racun rumpai.

Baca Lagi...

DIPENJARA KERANA MEMBUNUH KUCING

SINGAPURA: Seorang lelaki dihukum penjara 10 minggu selepas mengaku bersalah menghempas seekor kucing ke dinding hingga haiwan itu mati.
Seorang wanita melihat ZamZam Ismail, 41, menghayun dan menghempas kucing itu ke dinding sebelum membuangnya 1 Januari lalu. Saksi melaporkan tindakan itu kepada polis dan juga Pertubuhan Menghalang Kekejaman ke atas Haiwan (SPCA).


“SPCA menyokong keputusan ini,” kata pegawai eksekutif, Deirdre Moss.


Beliau turut menggesa orang ramai memberi maklumat kepada agensi itu andai melihat haiwan dianiaya.


“Banyak kes gagal diselesaikan kerana tiada saksi atau bukti kami peroleh. Penganiayaan terhadap haiwan adalah satu jenayah,” katanya lagi.


SPCA menyiasat 864 kes pada tahun lalu, meningkat 13 peratus berbanding 2008

Baca Lagi...

PENCURI BISU DIBERKAS

JASIN – Misteri kehilangan wang dalam tabung di tiga buah masjid di sekitar daerah ini sejak awal Februari terjawab apabila polis dapat memberkas seorang lelaki kurang upaya ketika sedang mencuri di Masjid Al-Taqwa Kampung Rim di sini baru-baru ini.

Tangkapan pukul 7.45 pagi pada 8 Februari lalu itu dilakukan selepas polis membuat intipan selepas pihak berkuasa tersebut menerima tiga laporan mengenai kehilangan wang tabung masjid di sekitar daerah ini.

Modus operandi suspek yang bisu berusia 24 tahun itu ialah bertindak sekitar pukul 8 pagi antara Isnin dan Jumaat dengan memilih masjid yang tidak mempunyai pengawal keselamatan dan akan menggunakan alat pemotong untuk membuka kunci tabung.

Baca Lagi...

WAJIB PAKAI LENCANA

KUALA LUMPUR - Setiap pendatang asing sepatutnya diwajibkan memakai pas atau lencana khas bagi memudahkan pihak berkuasa memantau dan membuat pemeriksaan terhadap status mereka di negara ini.

Dokumen itu juga wajar dilengkapi ciri-ciri keselamatan khas dengan warna serta logo bendera negara asal sebagai mekanisme baru pengawalan warga asing.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman berkata, penggunaan kad atau lencana itu akan memudahkan pihak berkuasa membuat pengecaman identiti warga asing sewaktu membuat pemeriksaan.

"Lebih elok jika setiap warga asing itu diwajibkan memakai pas atau lencana itu sepanjang masa selagi mereka berada di negara ini,'' ujarnya ketika dihubungi semalam.

Baca Lagi...

PENDUDUK DIJADIKAN PERISAI MANUSIA

MARJAH 17 Feb. - Pejuang Taliban semakin kerap menggunakan penduduk awam sebagai perisai manusia bagi menangkis serangan besar-besaran tentera Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya ke atas kedudukan mereka di bandar di selatan Afghanistan ini.

Seorang pegawai tentera Afghan mendedahkan taktik terbaru Taliban itu hari ini ketika skuad-skuad tentera kembali menjalankan pemeriksaan dari rumah ke rumah di kubu kuat pemberontak tersebut.

Kira-kira 15,000 askar AS, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Afghan menyertai operasi di sekitar Marjah yang mempunyai kira-kira 80,000 penduduk dan merupakan bandar terbesar dikuasai oleh Taliban di wilayah Helmand.

NATO berharap untuk menghantar bekalan bantuan dan menyediakan perkhidmatan awam sebaik sahaja mereka menguasai bandar itu dalam usaha untuk memenangi hati penduduk.

Semasa operasi yang sudah memasuki hari kelima itu, pemberontak Taliban melepaskan tembakan ke arah askar Afghan dari dalam atau bersebelahan pekarangan rumah di mana kaum wanita dan kanak-kanak dipercayai diarah berdiri di atas bumbung atau dekat tingkap, kata komander briged bagi askar Afghan di Marjah, Jeneral Mohiudin Ghori.

"Pemberontak terutamanya di selatan Marjah melepaskan tembakan dari pekarangan di mana askar dapat melihat wanita dan kanak-kanak dengan jelas. Mereka cuba memaksa kami melepaskan tembakan ke arah mereka dan membunuh orang awam," kata Ghori.

Serangan ke atas Marjah ialah operasi bersama terbesar sejak tentera AS menyerang Afghanistan pada 2001.

Ia menjadi ujian besar terhadap strategi baru NATO untuk memberi fokus kepada perlindungan orang awam, bukan kepada pembunuhan pemberontak.

Ghori berkata, askarnya memilih sama ada tidak melepaskan tembakan ke arah pemberontak jika ada penduduk awam berhampiran mereka atau menyerang dan mara dengan lebih berhati-hati untuk membezakan antara militan dengan orang awam.

Namun begitu masih ada penduduk awam yang terkorban. NATO mengesahkan 15 kematian orang awam sementara pertubuhan hak asasi manusia Afghan melaporkan sekurang-kurangnya 19 orang maut setakat ini.

Baca Lagi...

KEKEJAMAN PERAGUT DAN AH LONG

SEPERTI mana tahun-tahun sebelum ini, 2009 tidak kurang dengan berita berkaitan tragedi, nahas dan jenayah yang menyentuh hati seluruh rakyat Malaysia.

Berikut peristiwa menarik sepanjang tahun termasuk jenayah ragut yang masih menghantui rakyat negara ini.

3 Mei - Seorang wanita hamil dua bulan, Jamilah Selamat, 31, yang terpaksa bertarung nyawa selepas koma dua hari akibat diragut akhirnya menghembuskan nafas terakhir di Johor Bahru.

6 Mei - Seorang lagi wanita hamil empat bulan, Saripah Mohd. Noor, 34, maut dirempuh kereta selepas terjatuh dari motosikal akibat diragut dua lelaki bermotosikal dalam kejadian di Kampung Padang Raja, Jalan Melor, Ketereh.

6 Mei - Seorang nenek, Tom Salleh, 86, pula menjadi mangsa seterusnya apabila maut akibat ditumbuk oleh dua lelaki yang cuba meragut anak perempuannya di Kampung Besar, Tasek Gelugor, Seberang Perai.

26 Nov. - Seorang wanita warga emas, Fatimah Salleh, 66, terbunuh akibat cedera parah selepas terjatuh daripada motosikal setelah diragut lelaki bermotosikal di Alor Binjai, Pendang, Kedah.

7 Dis. - Seorang lelaki, Abdul Rahman Mohd. Khadla'din, 34, maut manakala isterinya parah setelah motosikalnya merempuh pagar simen sebuah rumah setelah diragut dua lelaki di Jalan Jejaka, Taman Maluri, Cheras, Kuala Lumpur.

Nahas dan tragedi

28 Mac - Dua doktor pakar kanak-kanak Hospital Ampang Puteri ditemui mati di Bukit Tabuh, Taman Melawati, Kuala Lumpur.

18 Mei - Lima parah dan dua hilang apabila sebuah kapal tangki milik syarikat Singapura membawa kira-kira 2,000 tan metrik minyak kotor, terbakar di perairan Pengerang, Kota Tinggi, Johor.

20 Mei - Seorang penagih dadah yang terdesak mahu mendapatkan wang menikam mati seorang pengusaha salon bersama anak lelaki berusia lima tahun dan pembantu rumahnya dalam rompakan di sebuah rumah di Taman Pinji Seni, Ipoh.

29 Mei - Misteri kehilangan seorang kanak-kanak perempuan yang dirahsiakan selama tiga tahun oleh satu keluarga di Pulau Pinang terbongkar apabila adik-beradiknya mendedahkan dia telah dibunuh oleh bapa mereka sendiri.

2 Jun - Bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak yang bernilai RM292 juta dan menjadi lokasi utama Sukan Malaysia (Sukma) 2008 runtuh.

29 Jun - Seorang ibu sanggup merendam bayi perempuannya yang baru dilahirkan di dalam baldi cat sehingga mati di sebuah rumah sewa di Wisma Bola Sepak, Jalan Gambut, Kuantan.

14 Julai - Anak sulung Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Koh Hong Sun maut setelah rumahnya di tingkat 32, Kondominium Seri Bayu di Mont Kiara terbakar.

11 Sept. - Sebuah pesawat ringan meragut dua nyawa ketika cuba mendarat di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

9 Nov. - Seorang warga emas sanggup menikam isterinya hingga mati selepas wanita itu dikatakan meminta cerai di rumahnya di Alor Setar.

26 Nov. - Seramai 14 orang maut, 13 terselamat manakala dua masih hilang selepas bot yang mereka naiki untuk menyambut Hari Raya Aidiladha karam ketika dalam perjalanan dari Kudat ke Karakit, Pulau Banggi.

Kemalangan meragut nyawa

2 Jan. - Seramai 10 orang maut manakala seorang bayi parah dalam kemalangan ngeri membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 21, Jalan Kuala Krai-Gua Musang.

13 April - Enam terkorban apabila bas ekspres dua tingkat yang mereka naiki terlibat dalam satu kemalangan di Kilometer 443 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Rawang menghala ke Kuala Lumpur.

31 Mei - Tiga rakyat Indonesia maut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Urvan yang dinaiki terbalik sebelum dirempuh sebuah kereta lain di Kilometer 128.1 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), dekat Temerloh, 31 Mei lalu.

18 Sept. - Empat sekeluarga rentung manakala dua lagi parah dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 94.8, Lebuh Raya Utara Selatan, arah selatan.

6 Dis. - Dua sahabat maut apabila sebuah kereta hilang kawalan lalu terjunam dari atas tempat letak kenderaan sebelum terhempas di dalam pusat beli-belah KB Mall, Kota Bahru.

11 Dis. - Seorang pengantin lelaki, Mohd. Ariff Ab. Kadir, 23, maut tiga jam selepas bernikah dalam kemalangan di Kilometer 7, Jalan Kangar-Padang Besar.

12 Dis. - Dua beradik antara tiga yang rentung apabila sebuah lori tangki minyak terbabas dan merempuh sebuah rumah sebelum meletup di Kampung Batu Ulu Klawang, Batu 18, Jelebu, Negeri sembilan.

14 Dis. - Seorang mati manakala 20 lagi cedera termasuk enam parah apabila medan selera di tingkat bawah sebuah pusat beli-belah di Jalan Lagenda Bachang, Seremban, tiba-tiba meletup, dipercayai akibat kebocoran gas.

26 Dis. - 10 maut apabila sebuah bas ekspres dua tingkat terbabas dan melanggar pembahagi jalan di kilometer 272.8 Lebuhraya Utara Selatan di Ipoh, Perak.

27 Dis. - Empat sekeluarga maut dengan tiga daripada mereka rentung manakala dua lagi cedera apabila van dinaiki terbalik dan terbakar dalam kemalangan melibatkan empat buah kenderaan di Kilometer 6.4, Jalan Parit Bunga-Tangkak, Tangkak, Johor.

Kejayaan polis

10 Jan. - Polis Sabah melumpuhkan satu sindiket penipuan menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS), dengan tertangkapnya 15 orang termasuk dua wanita sekali gus menyelesaikan beratus-ratus kes penipuan itu di seluruh negara.

17 Feb. - Polis menembak mati enam penjenayah yang dikehendaki kerana terbabit dalam beberapa siri rompakan bersenjata di sebuah rumah di Kampung Kemunting, Sungai Karangan, Kulim, Kedah.

5 Mac - Polis Kelantan menembak mati empat penjenayah paling dikehendaki terlibat dalam 35 kes rompakan, dalam kejadian berbalas tembak di persimpangan Kampung Sungai Sam-Dabong di Jalan Kuala Krai-Gua Musang.

23 Mac - Satu sindiket dadah antarabangsa bernilai RM61.3 juta, didalangi oleh warga Taiwan tumpas selepas polis menyerbu sebuah kilang yang dijadikan makmal di kawasan perindustrian Tebrau, Johor Bharu.

3 Mei - Polis menahan tiga lelaki dan merampas sebuah lori membawa muatan 900 kilogram syabu bernilai RM254 juta di sebuah kawasan di Rompin. Anggota polis terbabit turut ditawarkan sejumlah wang RM500,000 sebagai ganjaran untuk dilepaskan.

13 Mei - Sebuah kumpulan samun warga Indonesia, 'Geng Bonding' berjaya ditumpaskan selepas polis menembak mati lima ahlinya di susur keluar Jalan Seelong ke Lebuh Raya Pasir Gudang, Johor Bahru.

13 Mei - Ketua Polis Johor, Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff menunjukkan sepucuk pistol yang berjaya dirampas dari sekumpulan perompak yang merompak di sebuah rumah di Kampung Sinaran Baru, Skudai pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis, (IPK) Johor Bahru.

8 Jun – Kastam Diraja Malaysia (KDRM) menggagalkan cubaan menyeludup masuk dadah jenis syabu oleh dua lelaki warga Iran setelah merampas 20.4 kilogram dadah itu bernilai RM5.1 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

20 Jun – Sindiket pemerdagangan manusia antarabangsa turut ditumpaskan apabila polis menahan sembilan kakitangan Jabatan Imigresen Johor termasuk lima pegawai kanan.

25 Julai – Polis menembak mati dua penjenayah yang memecah masuk rumah ibu penyanyi terkenal, Asmawi Ani, 28, atau Mawi di Felda Taib Andak, Kulaijaya.

5 Okt. – Empat penjenayah yang terbabit sekurang-kurangnya 41 kes samun bersenjata ditembak mati di sekitar Kedah dan Perlis di kawasan tangki air Bukit Kukus.

14 Dis. – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket penjualan bayi dengan tertangkapnya sembilan ejen termasuk dalang dan empat pembeli dalam tangkapan berasingan di Banting, Klang dan Kajang, Selangor.

Kegiatan ah long

27 Mei – Tiga lelaki diperlakukan seperti binatang apabila leher dan kaki mereka dirantai serta dikurung dalam ‘lokap’ buatan ceti haram itu.

12 Julai – Empat ketua ah long termasuk seorang yang bergelar Datuk ditahan bagi membantu siasatan kes membabitkan kegiatan ceti haram itu yang mempunyai rangkaian di dalam dan luar negara.

Peristiwa-peristiwa lain

6 Mac – Setiausaha politik kepada seorang menteri Kabinet berusia 40-an ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sebuah restoran kerana dipercayai menerima suapan lebih RM70,000.

7 Mei – Orang ramai gempar apabila beberapa keping gambar bogel seorang ahli politik wanita tersebar di sebuah laman blog.

12 Mei – Polis menahan Datuk Dr. Ahmad Ramzi Mohamad Zubir pada 12 Mei lalu kerana dipercayai terlibat menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN), Kuala Terengganu.

17 Ogos – Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mohd. Shukri Abdull membuat kejutan yang suruhanjaya itu akan memberhentikan sementara siasatan terhadap ahli politik berkuat kuasa serta merta.

1 Sept. – Lelaki warga Perancis yang terkenal dengan gelaran Spiderman kerana kebolehannya menakluk bangunan pencakar langit tanpa kelengkapan, akhirnya berjaya menawan puncak tertinggi Menara Berkembar Petronas. Bagaimanapun dia ditahan dan didenda RM2,000.

2 Nov. – Seorang ahli Parlimen adalah antara lima yang didakwa SPRM di Mahkamah Shah Alam kerana dipercayai terlibat dalam kesalahan rasuah.

4 Dis. – Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan yang sepatutnya menamatkan tugasnya pada 25 Mei tahun depan mengemukakan notis bertulis kepada Pejabat Perdana Menteri untuk memendekkan tempoh perkhidmatan beliau.

Baca Lagi...

NEGARA TERLALU BERGANTUNG KEPADA PEKERJA ASING

KUALA LUMPUR 17 Feb. - Kebanjiran warga asing yang dapat dilihat di sekitar ibu kota ketika cuti perayaan Tahun Baru Cina baru-baru ini menunjukkan betapa serius negara ini bergantung kepada pekerja asing.

Penganalisis sosial, Kamal Affendi Hashim berkata, jumlah pekerja asing yang ramai menunjukkan kebergantungan negara terhadap mereka kerana rakyat tempatan tidak berminat untuk mengisi kekosongan bagi pekerjaan tertentu.

Bagaimanapun, katanya, perbuatan mereka keluar beramai-ramai memenuhi ibu kota ketika cuti panjang sejak Ahad lalu bukan sesuatu yang mengejutkan kerana mereka mendapat pelepasan cuti dari majikan.

"Apa lagi yang mereka hendak buat, mereka bukan seperti kita yang menggunakan kesempatan cuti panjang untuk pulang ke kampung halaman," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun beliau menegaskan, jika lambakan pekerja asing tidak dikawal, keadaan itu boleh membawa kepada masalah sosial dan semua pihak harus memandang serius kesan daripadanya.

Beliau merujuk beberapa kes jenayah yang melibatkan pekerja asing seperti pergaduhan dan kecurian.

"Kerajaan perlu memberi perhatian pada perkara ini khususnya aspek perdagangan manusia yang melibatkan agensi-agensi pekerjaan yang mengambil kesempatan ke atas keperluan tenaga manusia di dalam negara," kata Kamal Afendi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang berasa terkejut dengan lambakan warga asing semasa cuti panjang sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Sementara itu Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (PAPA), Alwi Bavutty menjelaskan, kebanjiran warga asing tidak sepatutnya dilihat daripada sudut negatif.

"Sudah menjadi perkara biasa untuk siapa pun sahaja menggunakan musim cuti dengan keluar melakukan pelbagai aktiviti seperti berjumpa rakan-rakan," katanya.

Bagaimanapun, Alwi berkata, pihak berkuasa masih boleh meletakkan anggotanya untuk membuat pemantauan di sekitar kawasan yang menjadi tumpuan bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.

Sementara itu, Ketua Pengarah Rela, Datuk Zaidon Asmuni berkata, kebanjiran pekerja asing itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan, malah turut berlaku ketika perayaan utama yang lain atau pada cuti hujung minggu.

"Malah ia turut berlaku di beberapa bandar besar yang lain di Malaysia," katanya.

Ditanya sama ada kebanjiran mereka dikaitkan dengan masalah pendatang tanpa izin (PATI), beliau menjelaskan, perkara tersebut lebih berkait dengan persepsi masyarakat.

"Kebanyakan kita menggambarkan mereka sebagai PATI, tetapi mereka mempunyai permit yang sah dan bekerja dalam sektor yang penting," katanya.

Bagaimanapun, katanya, jumlah mereka yang terlalu ramai akan diberi perhatian bagi memastikan ia sesuai mengikut keperluan supaya tidak menjadi bebanan kepada negara kelak.

Justeru, beliau yakin, kerajaan akan terus berusaha menangani masalah itu termasuk mengambil tindakan kepada majikan yang menggunakan kesempatan untuk mengambil pekerja asing tanpa permit.

Baca Lagi...

DAUN GERGASI


20 spesies endemik flora hanya boleh ditemui di hutan ini, tiada di tempat lain di dunia

SEKIRANYA wujud senarai keajaiban dunia bagi kategori flora dan fauna, rasanya Malaysia cukup layak untuk tersenarai kerana bumi hutan hujan tropika negara sememangnya kaya dengan khazanah alam semula jadi, mengandungi lebih 1,001 macam penemuan mengagumkan bagi dunia saintis dan pencinta alam.

Di Taman Negara Endau Rompin Peta, Johor saja sudah mencatatkan pelbagai penemuan, bahkan ketika dibuka secara rasmi oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj (Perdana Menteri Malaysia pertama) pada Jun 1985, pasukan saintis pertama menemui lapan spesies endemik flora (tumbuhan).

Lapan spesies itu disahkan hanya ada di Endau Rompin, tidak ditemui di kawasan lain seluruh dunia dan berdasarkan kajian bertajuk ‘Revised and Updated Management and Development Plan for the Endau Rompin National Park, Johor’ (Disember 2000), jumlah itu meningkat kepada 20 spesies. Itulah kelebihan dimiliki hutan hujan tropika dianggarkan berusia 240 juta tahun dulu. Bak kata Pengurus Taman, Taman Negara Endau Rompin Peta, Johor, Kamarul Azhar Abdul Hamid, hutan itu sudah wujud sebelum zaman Jurasik, itulah perbandingan dan kelebihannya.

Berita Minggu berpeluang menyingkap dan melihat sendiri tiga endemik itu yang boleh dikatakan hanya serpihan kecil daripada penemuan saintifik berkenaan iaitu Livistona endauensis (pokok kipas), Johannesteysmannia altifrons (pokok daun payung) dan katak hijau (Rhacophorus tunkuii).

Semua itu sebenarnya berkait rapat dengan hidupan harian masyarakat Orang Asli Suku Jakun yang menetap di Kampung Peta, satu daripada pintu masuk ke Taman Negara terletak kira-kira 60 kilometer dari pekan Kahang.


Pokok kipas ini tergolong dalam keluarga pokok palma dan Orang Asli memanggil sebagai pokok sabun. Tumbuhan inilah yang sebenarnya ‘memayungi’ hutan Endau, selain pelbagai jenis pokok balak spesies kayu keras yang lain.

Batang pokok kipas umpama pokok pinang hiasan yang banyak ditanam di bandar besar, cuma daunnya berbeza disebabkan saiznya yang besar dan lebar, berbentuk hampir bulat umpama kipas tangan.

Ia juga digelar sebagai pokok pembuli kerana daunnya yang besar membentuk seakan khemah yang disusun rapat antara satu sama lain. Susuan daun itulah yang menghalang benih pokok lain untuk membiak dan tumbuh di situ kerana tersangkut pada daun sebelum sempat jatuh ke bumi.

Kebiasaannya, anak benih pokok disebarkan melalui angin dan akan jatuh di kawasan berhampiran tetapi perkara itu jarang berlaku di kawasan hutan pokok kipas, jika ada pun, ia tidak akan tumbuh segar kerana kurang mendapat sinaran cahaya matahari disebabkan keadaan rimbun susunan daun kipas.
Kamarul Azhar (kiri) memberi penerangan lokasi Taman Negara Endau Rompin.

Ia cukup unik dan boleh hidup di kawasan berbatu, semakin tinggi kawasan, lebih subur pokok kipas hidup membiak. Daun pokok kipas yang gugur dan kering didapati sangat licin jika dipijak, manakala akar yang hidup melilit pada batangnya disahkan mengandungi sejenis manisan yang boleh diminum.

Ketika kami mendaki bukit sepanjang laluan dari tapak perkhemahan Batu Hampar ke air terjun Buaya Sangkut, kawasan bawah hutan itu didapati agak terang kerana tidak banyak tumbuhan kecil di sekeliling pokok kipas.

Jadi, tidak hairanlah, kami turut menemui kamera binatang yang dipasang di hutan pokok kipas kerana ia adalah tempat paling sesuai merakam gambar binatang yang lalu di situ. Ada dua kamera dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Kamarul Azhar ketika mengulas keistimewaan dimiliki Taman Negara berkata, ketika ini pihaknya berusaha kuat memastikan kawasan itu layak diberi status sebagai Tapak Warisan Dunia yang menetapkan syarat ia mesti memenuhi mewajibkan kriteria eko-pelancongan dan kajian saintifik.

“Aspek pelancongan memang sedang rancak, kami kini meningkatkan keupayaan kajian akademik dengan memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Universiti Sains Malaysia, Universiti Tun Hussein Malaysia dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Mereka akan menjalankan banyak kajian rasmi kerana di sini memang mempunyai pelbagai bahan kajian menarik, juga sebagai tarikan pelancong,” katanya.

Spesies lain ialah Johannesteysmannia altifrons (pokok daun payung) yang biasanya dijadikan atap dan dinding rumah bagi Orang Asli. Dari jauh pokok itu kelihatan sama saiznya daripada pokok lain, tetapi apabila berada di bawahnya, sememangnya saiznya cukup berbeza, besar dan lebar.

Penduduk Orang Asli, Seman Man, 43, berkata pokok itulah yang digunakan generasi nenek moyangnya untuk membina atap dan dinding rumah kerana saiznya yang besar dan panjang.

“Sangat sesuai untuk berteduh ketika hujan. Sebab itulah kami gelar pokok payung, ada yang panggil payung gergasi. Bukan kami saja berteduh di sini, binatang pun cari tempat macam ini,” katanya.

Hakikat itu memang benar, bahkan jika dianggarkan seekor gajah dewasa berlindung di situ, ia masih mampu melindungi sebahagian badannya daripada terkena air hujan. Bahkan, pernah suatu ketika dulu, penduduk tempatan percaya ia juga tempat berlindung binatang misteri ‘Bigfoot’.

Pokok ini tidak mempunyai batang yang tinggi tetapi mempunyai pelepah panjang yang berduri serta banyak ditemui di kawasan yang lebih rendah dan agak pamah. Kami juga menemui seekor katak hijau yang dikategorikan sebagai endemik fauna dan periuk kera ‘Nepenthes ampullaria’.

INFO: Spesies endemik flora di Taman Negara Endau Rompin.

* 1) Phllanthus watsonii
* 2) Didissandra Kiewii
* 3) Didimocarpus Falcatus
* 4) Didimocarpus Craspedodromus
* 5) Didimocarpus darisonii
* 6) Didimocarpus Furcata
* 7) Didimocarpus Staurogyne Scopulicola
* 8) Hoya endauensis
* 9) Dischidia sp
* 10) Loxocarpus tunkuii
* 11) Phyllagatis cordata
* 12) Phyllagatis stolini fera
* 13) Piptospata ridlei var lanceolata
* 14) Racemobambos setifera
* 15) Eriapudina (Johor dan Negeri Sembilan)
* 16) Schoutenic furfuracae
* 17) Calamus endauensis
* 18) Licuala dransfieldii
* 19) Licuala thoana
* 20) livistona endauensis



Pokok daun payung (Johannesteysmannia altifrons)

* Setiap pokok mempunyai lebih 15 pelepah hidup.
* 200 helai pelepah diperlukan untuk membina sebuah rumah Orang Asli
* Mampu bertahan sehingga 5 tahun jika disusun tebal.
* Saiz pelepah hampir sama ketinggian lelaki dewasa.
* Kini banyak digunakan Orang Asli untuk membina pondok dusun.
* Banyak ditemui sepanjang laluan dari Kem Kuala Marong ke Takah Kunyit.
* Bertindak sebagai penebat haba panas.



Pokok Kipas (Livistona endauensis)

* Paling banyak hidup di Gunung Janing Barat setinggi 450 meter.
* Sepanjang laluan dari Takah Kunyit ke Air Terjun Buaya Sangkut.

Baca Lagi...

RAKYAT KITA MANGSA GEMPA MASIH KANDAS

KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga Malaysia yang terselamat dalam gempa bumi terburuk di Padang, Sumatera, hampir lima bulan lalu, dilaporkan masih trauma dan kini terkandas di negara itu bersama tiga anaknya berusia antara lima bulan hingga lima tahun.

Noor Azizah Azmi, 30-an, dari Temerloh, Pahang, dikatakan berkahwin dengan seorang warga Indonesia di Malaysia sebelum mengikuti suaminya pulang dan menetap di Padang, dua tahun lalu selepas melahirkan anak kedua.

Berita Harian difahamkan, ketika ditemui pasukan penyelamat sehari selepas bencana itu pada September lalu, ibu malang itu sarat mengandung anak bongsunya dan kelihatan terpinga-pinga bersama dua anaknya di kawasan runtuhan bagi mencari suaminya yang hilang.

Seorang sukarelawan kemudian dikatakan membawa Noor Azizah dan dua anaknya ke Bangkinang, Kampar di Wilayah Riau, kira-kira 65 kilometer dari Padang, sebelum memaklumkan kepada Konsulat Malaysia di Pekan Baru.

Bagaimanapun, urusan membawa pulang Noor Azizah dan anak-anaknya menghadapi masalah kerana wanita itu tidak mempunyai dokumen perjalanan, kecuali Mykad. Malah, anak bongsunya yang dilahirkan selepas bencana itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Sumber Konsulat Malaysia ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, bagi membawa pulang Noor Azizah dan tiga anaknya dalam masa terdekat.

Beliau berkata, penemuan wanita itu dan anak-anaknya mengejutkan Konsulat Malaysia kerana sebelum ini semua warga Malaysia di Padang, kebanyakannya pelajar universiti, pelancong dan ahli perniagaan, sudah dibawa keluar menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

"Bertindak atas maklumat itu, pihak konsulat menghantar pegawai untuk menemui wanita berkenaan yang tinggal bersama keluarga sukarelawan itu, selain menyelaraskan proses membawanya pulang ke tanah air.

"Dia tidak banyak bercakap ketika ditemui, malah hanya mengingati nombor telefon adiknya di kampung," katanya.

Ketika gempa melanda Sumatera Barat, ramai rakyat Malaysia, termasuk 75 pelajar di institusi pengajian tinggi di wilayah itu turut menjadi mangsa tetapi tiada kematian dilaporkan.

Baca Lagi...

3 WANITA DISEBAT

PUTRAJAYA: Tiga wanita yang disabitkan dengan kesalahan melakukan persetubuhan luar nikah, menjadi kumpulan wanita pertama menjalani hukuman sebat mengikut undang-undang syariah di negara ini.

Pelaksanaan hukuman itu dijalankan di Penjara Wanita Kajang pada 9 Februari lalu dengan disaksikan 13 orang termasuk Pengarah Jabatan Agama Wilayah Persekutuan serta pegawai dari Bahagian Syariah Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Dalam Negeri.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata dua daripada wanita itu dikenakan enam sebatan, manakala seorang lagi empat sebatan selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 23 (2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 antara Disember 2009 hingga Januari lalu.

Sambil merujuk kebimbangan sesetengah pihak berhubung hukuman sebat ke atas Kartika Sari Dewi Shukarnor yang belum dilaksanakan, beliau menegaskan sebatan terhadap tiga wanita itu tidak langsung mendatang kecederaan.

"Dari segi pelaksanaan dan kebimbangan orang ramai kononnya apa yang berlaku (hukuman) tidak berperikemanusiaan dan mencederakan, tidak berasas dan hanya digembar-gemburkan sedangkan apa yang dilihat tiada kesan kecederaan langsung.

"Berdasarkan temubual dengan tiga pesalah wanita itu, didapati bahawa mereka reda, insaf dan bertaubat dengan hukuman yang diterima.

"Walaupun sebatan tidak mendatangkan luka pada badan, mereka mengakui ia mendatang kesan yang mendalam kepada diri," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca kabinet kementeriannya di sini, semalam.

Beliau berkata, seorang daripada wanita itu sudah dibebaskan Ahad lalu selepas menjalani hukuman penjara sebulan, seseorang lagi akan dibebaskan hujung bulan ini manakala pesalah ketiga Jun depan.

Selain tiga wanita terbabit, katanya, empat pesalah lelaki turut dikenakan hukuman enam sebatan pada hari sama pada jam 10 pagi.

Tahun lalu, keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan yang menjatuhkan hukuman enam sebatan terhadap Kartika Sari kerana kesalahan meminum arak, mencetuskan kontroversi sehingga menyebabkan hukuman berkenaan terpaksa ditangguhkan sehingga hari ini.

Beberapa pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mempertikaikan hukuman itu yang didakwa sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan walaupun Kartika Seri sendiri rela untuk dikenakan sebatan.

Hishammuddin berkata, pihaknya bekerjasama rapat dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama dan kehakiman syarie dalam melaksanakan hukuman itu.

"Saya berharap isu ini tidak disalah erti sehingga mencemarkan kesucian Islam. Hukuman berkenaan adalah untuk mendidik dan memberi keinsafan supaya mereka yang terlanjur dapat kembali ke pangkal jalan dan membina hidup baru yang lebih baik," katanya.

Baca Lagi...

PESALAH SYARIAH INSAF SELEPAS HUKUMAN SEBAT

GENTING HIGHLANDS: Tiga wanita yang menjalani hukuman sebat syarie menyatakan rasa reda dan insaf mereka terhadap kesalahan yang dilakukan selepas pelaksanaan hukuman pada 9 Februari lepas di Penjara Wanita Kajang.

Pengakuan mereka dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berdasarkan maklum balas yang diterima.

"Mereka melahirkan rasa keinsafan sebab mereka merasakan hal ini melepaskan diri mereka daripada dosa dan rasa bersalah kepada Allah SWT," katanya kepada pemberita semasa Program Pemukiman agensi di Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Jamil berkata, mereka kini sedar perbezaan antara sebatan syariah dan sivil, selain terharu selepas mengetahui apa yang didengar tentang sebatan syariah sebelum ini ternyata tidak benar.

"Kata mereka, 100 sebatan syariah tidak sama walaupun dengan satu sebatan sivil. Dia rasa keinsafan kesedaran sehingga dia memohon supaya rakan-rakan yang lain untuk tidak melakukan kesalahan seperti yang dilakukan mereka," katanya.

Ketiga-tiga mereka turut diberi khidmat kaunseling dalam konteks keagamaan sebelum dan selepas menerima hukuman bagi menyedarkan mereka tentang kesalahan yang dilakukan.

Tiga pesalah wanita itu dihukum sebat mengikut Seksyen 23(2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 (Persetubuhan Haram) selepas didapati bersalah melakukan persetubuhan luar nikah.

Sementara itu, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menyokong penuh pelaksanaan hukuman sebat dan membuktikan kerajaan serius mahu melaksanakan hukuman itu.

"Pelaksanaan ini (hukuman sebat syarie) menyangkal pandangan sesetengah pihak yang menggambarkan seolah-olah hukuman sebat adalah zalim dan tidak berperikemanusiaan," kata Presidennya, Mohamad Isa Abdul Ralip, dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, orang ramai tidak perlu takut dengan hukuman sebat syarie kerana ia sebenarnya bertujuan mendidik, memberi pengajaran dan keinsafan kepada pesalah.

Mohamad Isa berkata, hubungan sebat ke atas model sambilan Kartika Sari Dewi Shukarnor harus disegerakan bagi mengelakkan orang ramai memandang rendah institusi keadilan Mahkamah Syariah.

Baca Lagi...

Template by : kendhin x-template.blogspot.com