RAKYAT KITA MANGSA GEMPA MASIH KANDAS

KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga Malaysia yang terselamat dalam gempa bumi terburuk di Padang, Sumatera, hampir lima bulan lalu, dilaporkan masih trauma dan kini terkandas di negara itu bersama tiga anaknya berusia antara lima bulan hingga lima tahun.

Noor Azizah Azmi, 30-an, dari Temerloh, Pahang, dikatakan berkahwin dengan seorang warga Indonesia di Malaysia sebelum mengikuti suaminya pulang dan menetap di Padang, dua tahun lalu selepas melahirkan anak kedua.

Berita Harian difahamkan, ketika ditemui pasukan penyelamat sehari selepas bencana itu pada September lalu, ibu malang itu sarat mengandung anak bongsunya dan kelihatan terpinga-pinga bersama dua anaknya di kawasan runtuhan bagi mencari suaminya yang hilang.

Seorang sukarelawan kemudian dikatakan membawa Noor Azizah dan dua anaknya ke Bangkinang, Kampar di Wilayah Riau, kira-kira 65 kilometer dari Padang, sebelum memaklumkan kepada Konsulat Malaysia di Pekan Baru.

Bagaimanapun, urusan membawa pulang Noor Azizah dan anak-anaknya menghadapi masalah kerana wanita itu tidak mempunyai dokumen perjalanan, kecuali Mykad. Malah, anak bongsunya yang dilahirkan selepas bencana itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Sumber Konsulat Malaysia ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, bagi membawa pulang Noor Azizah dan tiga anaknya dalam masa terdekat.

Beliau berkata, penemuan wanita itu dan anak-anaknya mengejutkan Konsulat Malaysia kerana sebelum ini semua warga Malaysia di Padang, kebanyakannya pelajar universiti, pelancong dan ahli perniagaan, sudah dibawa keluar menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

"Bertindak atas maklumat itu, pihak konsulat menghantar pegawai untuk menemui wanita berkenaan yang tinggal bersama keluarga sukarelawan itu, selain menyelaraskan proses membawanya pulang ke tanah air.

"Dia tidak banyak bercakap ketika ditemui, malah hanya mengingati nombor telefon adiknya di kampung," katanya.

Ketika gempa melanda Sumatera Barat, ramai rakyat Malaysia, termasuk 75 pelajar di institusi pengajian tinggi di wilayah itu turut menjadi mangsa tetapi tiada kematian dilaporkan.

Template by : kendhin x-template.blogspot.com