KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan kanak-kanak mesti kekal menganut agama asal ketika ibu bapanya berkahwin walaupun selepas salah seorang pasangan itu menukar agama.
Keputusan itu, yang dibuat dalam mesyuarat Kabinet kelmarin, adalah langkah penyelesaian jangka panjang berhubung isu pertikaian status agama kanak-kanak berkenaan apabila ibu atau bapa mereka menukar agama.Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Nazri Aziz, berkata Kabinet membuat keputusan itu bagi mengelak individu yang tidak bersalah,terutama anak-anak, menjadi mangsa dan dilayan dengan tidak adil.
"Anak perlu dibesarkan mengikut agama asal ibu bapa mereka. Bagi pasangan yang bercadang menukar agama, mereka sepatutnya menyelesaikan terlebih dulu semua masalah berkaitan tanggungjawabnya. "Penukaran agama tidak boleh dijadikan alasan untuk membubarkan sesuatu perkahwinan secara automatik atau untuk mendapatkan hak penjagaan terhadap anak-anak," katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen, semalam.
Anak ikut agama asal ibu bapa