29 Mac - 1 April 2009 – Badan Kebajikan Pelajar Pulau Pinang Mesir ( BKPPPM ) 08/09 telah mencatat satu lagi sejarah pada tahun ini kerana telah berjaya mengadakan jaulah AJKT 2009. Jaulah tersebut merupakan satu program tahunan bagi AJKT dan AJK HEWI BKPPPM. Tujuan jaulah tersebut diadakan adalah untuk mengeratkan tali silaturrahim di antara pihak kepimpinan dengan ahli yang berada di setiap muhafazah, untuk menziarahi ahli BKPPPM yang jarang pulang ke Kaherah kerana terlalu sibuk memberi komitmen terhadap program di DPM masing-masing, memberi kesempatan kepada kepimpinan dan ahli bermuhasabah terhadap segala gerak kerja dan pembawakan yang dijalankan oleh barisan kepimpinan sesi 2008/09 sepanjang separuh penggal pentadbiran BKPPPM pada tahun ini serta cadangan dan pandangan daripada ahli untuk memperbaiki segala kelemahan yang berlaku.
Jaulah AJKT pada tahun ini sangat bermakna bagi seluruh barisan kepimpinan kerana dianggarkan majoriti ahli BKPPPM yang berada di seluruh muhafazah hadir ke program tersebut yang diadakan di Markaz DPM dan di rumah ahli sendiri. Antara agenda ataupun tentatif sepanjang jaulah tersebut ialah tazkirah daripada AJKT / AJK HEWI angkat bagi setiap muhafazah, ucapan daripada Ahli Majlis Perwakilan Mahasiswa/wi ( Mandub/ah ), ucapan wakil AJKT setiap DPM yang hadir, ucapan YDP BKPPPM 08/09, taaruf AJKT, sesi soal jawab, muhasabah dan cadangan, penyampaian cenderahati kepada AMPM dan wakil AJKT DPM, sesi fotografi dan jamuan. Bagi menarik minat ahli, pada tahun ini juga pihak kepimpinan mengadakan sedikit pembaharuan iaitu setiap AJKT dan AJK HEWI di perkenalkan oleh taakhi masing-masing bertujuan untuk memberi kesedaran kepada semua ahli tentang kepentingan bertaakhi yang telah diamalkan oleh Rasulullah S.A.W ketika Baginda berhijrah ke Madinah.
Jaulah AJKT pada tahun ini bermula di muhafazah Iskandariah pada 29 Mac 2009, yang diadakan di Dewan Zajlatul Abidah, Markaz DPM Iskandariah pada sebelah petang. Manakala pada sebelah malam pula barisan kepimpinan mengambil kesempatan untuk menziarahi pelajar perubatan dibawah tajaan MARA yang belajar disana. Majlis tersebut diadakan di rumah Dr. Tengku Fakhruddin selaku Exco Perubatan Cawangan Iskandariah. Pada 30 Mac 2009, program diteruskan ke muhafazah Damanhur pada sebelah petang yang diadakan di rumah Ustaz Mohd Salimi Bin Ahmad dan pada sebelah malam pula di muhafazah Zaqaziq yang diadakan di Dewan DPM Zaqaziq. Pada 31 Mac 2009, muhafazah Mansurah menjadi destinasi seterusnya dan majlis tersebut diadakan pada sebelah petang di Dewan DPM Mansurah, Utubis Jadid. Muhafazah Tanta menjadi destinasi terakhir jaulah AJKT pada tahun ini, iaitu pada 1 April 2009. Majlis tersebut diadakan di Bait Izzah, DPM Tanta pada sebelah petang.
Pada tahun ini, jaulah AJKT ke DPM (MAQAZ) Shoubra, Dumyat dan Perubatan Kaherah tidak dapat dijalankan diatas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan dan barisan kepimpinan akan mengambil kesempatan untuk menziarahi ahli yang berada di DPM tersebut pada cuti Fasa ke dua yang akan datang. Barisan kepimpinan BKPPPM pada tahun ini sangat berpuas hati dan mengucapkan jutaan terima kasih di atas komitmen yang diberikan oleh semua ahli terutamanya AMPM bagi setiap muhafazah yang bertungkus lumus didalam menjayakan program Jaulah AJKT 2009. Semoga komitmen yang diberikan oleh semua ahli pada tahun ini dapat diteruskan lagi pada tahun yang akan datang demi mengeratkan lagi ukhuwah diantara barisan kepimpinan dan sesama ahli demi menjaga kebajikan dan kesatuan yang telah dibina sejak sekian lama.