Cara Obama dekati musuh AS

PRESIDEN Barack Obama kelmarin bertindak mempertahankan cara beliau "mengendalikan politik dunia". Sebagai tokoh yang menentang pendekatan keras oleh bekas Presiden George W. Bush, Obama berhujah tindakan itu mampu menjana semula imej baik Amerika Syarikat.

Presiden yang mahu membawa gaya baru kepada dasar luar AS itu menegaskan, kedudukan Washington akan bertambah kukuh dengan mendekati negara musuh. Beliau mahu memahami konflik serta bentuk "kebencian" negara-negara musuh terhadap AS dan menyelesaikannya tanpa menjejaskan dasar luar.

Bagi Obama, cara itu akan memastikan AS terus menjadi pemimpin dalam usaha mempromosikan demokrasi. Beliau tidak mahu Washington hanya sekadar bertindak sebagai "pensyarah" tetapi gagal dalam bentuk pelaksanaannya.Beliau tidak mahu AS terus diejek sebagai double standard dalam usaha mempromosikan demokrasi.
Doktrin dasar luar Obama iaitu "mahu mendekati negara musuh" direalisasikan menerusi lawatan pertama beliau ke Amerika Latin, kelmarin. Benua berkenaan merupakan rantau yang menyaksikan paling banyak 'negara musuh' bagi AS.
Diterajui oleh Cuba yang menjadi musuh tradisi, sikap membenci AS dipopularkan lagi oleh ketegasan Venezuela, Chile, Argentina, Bolivia dan Ecuador. Mereka melabelkan AS sebagai "empayar baru yang cuba meluaskan pengaruh" ke rantau berkenaan.

Tetapi kelmarin, sikap keras pemimpinpemimpin bersuara lantang Latin ternyata berubah. Pemimpin Venezuela, Hugo Chavez dan Presiden Cuba, Raul Castro menerima Obama dengan baik.Keadaan itu tidak mengejutkan. Chavez dan Castro telah menaruh keyakinan terhadap Obama dari awal-awal lagi iaitu ketika beliau berkempen untuk jawatan Presiden AS pada akhir tahun lalu. Kenyataan lembut Obama terhadap Amerika Latin turut meredakan kebimbangan mereka terhadap kerakusan dasar luar AS.

Harapan untuk menjalin hubungan lebih baik AS-Latin dipamerkan oleh mereka menerusi sambutan hangat kepada Presiden berkulit hitam pertama AS itu. Tiada kritikan atau cemuhan memalukan diberi kepada Obama. Ia amat berbeza berbanding Bush yang sebelum ini pernah mengunjungi beberapa negara Latin. Bush diberi pelbagai gelaran buruk.

Jika tempoh beberapa bulan ini boleh dijadikan ukuran, mungkin rakyat AS tidak tersilap memilih pemimpin. Obama ternyata menyukai pendekatan lembut.Baginya, rundingan dan dialog tidak akan menjatuhkan maruah AS. Negara itu tidak akan dilihat lemah hanya kerana sanggup "berbaik-baik" dengan negara-negara yang menjadi musuh tradisi seperti Venezuela, Cuba atau Iran sekalipun.

"Berjabat tangan atau berbicara sopan dengan Chavez tidak akan membahayakan kepentingan strategik AS," tegas Obama ketika mematahkan kritikan.Obama bijak menggunakan kesempatan. Ketika bertemu Castro, beliau meminta pemimpin Cuba itu membebaskan tahanan politik dan melakukan pembaharuan demokratik. Malah beliau turut meminta Castro untuk tidak mengenakan cukai ke atas wang yang disalurkan oleh rakyat AS berketurunan Cuba kepada keluarga mereka di negara komunis itu. Sebagai usaha mencapai status "menang-menang", Obama turut berikrar menghentikan beberapa sekatan ke atas Cuba. Hasilnya, Castro memberi maklum balas positif untuk usaha damai.

Sementara itu, hubungan baik dengan Venezuela akan menguntungkan AS. Negara keempat pengeluar minyak terbesar dunia itu pastinya tidak akan menghentikan eksport minyak ke AS jika Washington tahu menjaga hati Caracas.

Template by : kendhin x-template.blogspot.com