'SAYA NAK KE SYURGA'

KANGAR: “Sejak seminggu lalu, dia sering bertanya soalan mengenai syurga. Kali terakhir malam tadi (kelmarin) apabila dia menanyakan soalan sama iaitu bagaimana kita mahu masuk syurga,” kata Zamunir Shaapari Putih, 42, yang kematian anak ketiga dalam nahas pada Hari Bapa, semalam.
Dalam kemalangan itu, anaknya, Muhamad Taufiq Asyraf, 11, terbunuh selepas seketul besi seberat lebih dua kilogram terjatuh dari sebuah treler ke jalan raya sebelum terpelanting dan terkena muka dan kepala mangsa yang berada dalam kereta dipandu bapa saudaranya, Muhamad Mustakim Ramjan, 19, di persimpangan Permatang Bongor, Jalan Kangar-Alor Setar, pada jam 2.30 petang.

“Sebelum kemalangan, saya secara berseloroh memberitahu arwah bahawa dia akan ke sana (syurga) kerana belum akil baligh dan layak memasuki syurga jika meninggal dunia pada usia begini,” katanya ditemani isteri, Suzita Ramjan, 40, ketika menuntut mayat mangsa di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini.

Ketika kejadian, mangsa berada di tempat duduk belakang sambil berbual dengan bapa saudara dan seorang lagi penumpang dengan meletakkan tangan di tengah tempat duduk pemandu sebelum terkena besi penyendal yang jatuh dari treler sebelum memasuki kereta Honda City dipandu Mustakim.

Anak ketiga daripada empat beradik itu yang parah di kepala dan mata kanan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya dibawa ke HTF.

Bagaimanapun, pemandu dan seorang penumpang lain kereta itu tidak mengalami seberang kecederaan.

Zamunir berkata, anaknya, murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Sungai Baru, dekat sini, menyatakan itulah kali terakhir dia akan menaiki kereta ketika meminta kebenaran mengikuti bapa saudaranya ke Alor Setar.

“Dia seolah-olah tahu ajalnya bakal tiba dan sering menanyakan pelbagai persoalan termasuk syurga dan mahu menaiki kenderaan kali terakhir,” katanya yang menitis air mata ketika diminta menyiram air mawar di Bilik Mayat HTF.
Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Baru, semalam.


Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Rosli Yahaya, berkata pihaknya sudah menahan pemandu treler berusia 44 tahun itu sebaik hadir melaporkan kemalangan terbabit di Balai Polis Simpang Empat, semalam.

Katanya, pemandu itu didapati cuai ketika memandu dan akan didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 di mahkamah hari ini.

“Dia kini ditahan untuk siasatan lanjut di Lokap Balai Polis Kangar dan akan dibawa ke mahkamah esok untuk pendakwaan,” katanya.

Beliau berkata, ketika kemalangan, treler terbabit dalam perjalanan dari arah Alor Setar ke Kangar manakala mangsa yang menaiki kenderaan dipandu bapa saudaranya dari arah bertentangan sebelum secara tiba-tiba seketul besi seberat lebih dua kilogram dari treler itu jatuh ke jalan raya dan terpelanting terkena muka mangsa.

Baca Lagi...

IKAN SEMBILANG PELIK


PORT DICKSON: Dua lelaki bersaudara yang memancing ikan pada waktu malam di Pantai Batu 12, Telok Kemang, dekat sini, terkejut apabila seorang daripada mereka berjaya mendapat seekor ikan sembilang berwajah pelik, malam Rabu lalu.

Lebih mengejutkan lagi, ikan sembilang yang berukuran 35 sentimeter panjang itu yang dipancing Ali Mohamad, 37, mirip wajah seekor burung hantu dengan memiliki sepasang mata menghala ke hadapan dan bentuk hidungnya mirip hidung manusia.

Sebelum itu, Ali bersama sepupunya Ibrahim Jalil, 42, yang menetap di Kampung Tanjung Agas, dekat sini, merancang memancing pada sebelah pagi namun berubah fikiran dan mengambil keputusan memancing pada sebelah malam.

Ali berkata, kira-kira jam 8 malam hari kejadian, mereka berdua pergi ke lokasi biasa untuk memancing, tetapi tersilap jangkaan kerana air baru hendak pasang penuh ketika itu dan terpaksa menunggu seketika.

“Biasanya kami pancing di lubuk yang sudah biasa kami pergi, tapi hari itu kami terpaksa mencari tempat lain yang berdekatan kerana tempat itu sudah diambil oleh pemancing lain. Kami tiada pilihan dan beredar di sebelah hujung sedikit.

“Ketika itu ikan galak menyambar umpan dan saya mendapat beberapa ekor ikan termasuk gelama, senangin dan ikan kerapu sebesar tapak tangan. Ketika hendak balik, pancing saya seperti disentap-sentap dengan kuat.

“Saya biarkan seketika sebelum menggulung tali perlahan-lahan, tetapi sentapan ikan itu semakin kuat dan menguatkan adaian saya.

“Selepas beberapa minit bertarung saya berjaya mendaratkan ikan dan selepas diperiksa didapati ia seekor ikan sembilang,” katanya.

Ali berkata, ketika hendak membuka mata kail pada mulut ikan sembilang dia terkejut melihat ia memiliki kepala yang besar dan selepas diukur panjangnya hampir 35 sm.

Baca Lagi...

JUDI BOLA SEPAK

KUALA LUMPUR: Polis mengenal pasti lebih tujuh orang kenamaan dipercayai terbabit dengan sindiket pertaruhan judi bola sepak Piala Dunia dalam talian yang dipercayai telah melarikan diri ke luar negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata, polis masih menjalankan siasatan bagi menjejaki mereka yang terbabit dengan kerjasama Interpol.


"Kita masih menjalankan siasatan dan risikan dengan pihak Interpol bagi mengesan mereka yang terlibat dengan sindiket perjudian ini di luar negara," katanya pada sidang media di sini, hari ini.


Beliau berkata, sejak dua minggu Ops Soga dijalankan dari 11 Jun hingga semalam, sebanyak 156 serbuan dilakukan di seluruh negara dengan 120 orang ditahan membabitkan nilai pertaruhan berjumlah RM300.7 juta. Katanya, daripada jumlah itu, Bukit Aman sendiri melalui operasi yang dijalankan oleh Bahagian Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) menahan 30 orang membabitkan nilai pertaruhan sebanyak RM200 juta. "Seramai 100 lelaki, 20 wanita dan sembilan warga asing yang berumur antara 15 dan 73 tahun ditahan dalam operasi yang dijalankan oleh kontinjen seperti Melaka, Johor, Pulau Pinang, Selangor dan Bukit Aman sendiri," kata Mohd Bakri.


Beliau berkata, ada di antara mereka yang ditahan adalah pelajar, namun beliau enggan mengulas lanjut jumlah mereka yang ditahan itu.


Katanya, selain itu terdapat tiga sindiket perjudian di negara ini yang menjalankan kegiatan itu di luar negara selepas kegiatan mereka di sini dikesan polis.


Beliau percaya lebih 200,000 orang rakyat negara ini yang terbabit dengan pertaruhan judi bola sepak itu sejak Piala Dunia bermula pada 11 Jun.


"Kita juga ada bukti bahawa sindiket ah long turut terbabit dalam sindiket pertaruhan judi bola sepak ini dalam memberi pinjaman kepada orang yang ingin berjudi.


Nilai pertaruhan bagi setiap individu dipercayai antara RM50 dan RM2,000 bagi setiap perlawanan," katanya.


Mohd Bakri berkata, nilai pertaruhan bagi setiap satu sindiket boleh mencecah RM30,000 hingga RM40,000 bagi satu perlawanan dan boleh mencapai sehingga RM100,000 bagi tiga perlawanan sehari. Katanya, Ops Soga akan diteruskan sehingga tamat Piala Dunia, 12 Julai, namun polis akan meneruskan operasi pemantauan terhadap sindiket perjudian bola sepak yang membabitkan liga-liga bola sepak yang lain.


"Kita akan terus memantau kegiatan perjudian bola sepak ini dan polis tidak akan berganjak daripada mengambil tindakan undang-undang terhadap sindiket yang terbabit," tegasnya

Baca Lagi...

PELAJAR DIBELASAH SAMSENG SEKOLAH

KUALA LUMPUR - Alasan bergurau, seorang pelajar tingkatan dua, Ameer Farhan Ramlan, 14, pengsan akibat dibelasah di dalam kelas oleh sekumpulan pelajar samseng satu sekolah di Desa Pandan baru-baru ini.

"Ketika saya berada di dalam kelas, mereka telah memanggil dan terus memukul di seluruh bahagian badan saya dan selepas itu mereka menghentak kepala saya ke lantai.

"Mereka kata apa yang dilakukan hanyalah untuk bergurau, tetapi mereka memukul saya hingga bengkak kepala dan pengsan," ceritanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Ampang semalam.

Tidak cukup dengan itu dakwanya, pada Selasa lalu, kumpulan pelajar samseng itu sekali lagi bertindak kasar dengan memeras ugut mangsa.

Baca Lagi...

TAKTIK SEMBUNYI HEROIN

KUALA TERENGGANU - Taktik seorang janda menyorokkan dua bungkusan dadah jenis heroin di dalam coli yang dipakainya terbongkar selepas dia ditahan di perhentian bas di sini Khamis lalu.

Dalam operasi pada pukul 6 pagi, polis menemui 20 botol heroin seberat 83 gram yang dibungkus menggunakan surat khabar bertulisan Thailand dan disembunyikan di coli kanan dan kiri yang dipakai janda berusia 43 tahun itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Supritendan Roslan Abd. Wahid berkata, turut ditahan dalam operasi itu rakan suspek yang juga seorang janda berusia 30 tahun.

Kedua-dua janda itu mempunyai dua kerakyatan iaitu Malaysia dan Thailand.

Baca Lagi...

DIUSIR KERANA TERLALU GEMUK

GATWICK - Hasrat seorang lelaki Britain untuk menziarahi ibu saudaranya yang nazak di Kanada tidak kesampaian setelah diusir dari satu penerbangan antarabangsa kerana terlalu gemuk, lapor sebuah akhbar semalam.

Sandy Russell (gambar) yang memiliki berat badan 203 kilogram tidak dapat menahan air mata apabila pramugari membawanya keluar daripada pesawat Air Transat.

Dia bagaimanapun ditawarkan penerbangan lain sekiranya dia bersetuju membayar penuh tiket untuk dua kerusi bagi penerbangan dari Gatwick ke Toronto.

Russel, 32, tidak mampu untuk membayar tambang sebanyak AS$ (RM3,700). Ibu saudaranya, Judy, meninggal dunia akibat kanser usus dua hari selepas tarikh sepatutnya Russel menemuinya.

"Saya sangat kecewa dan malu di tengah-tengah lapangan terbang itu. Saya tidak diberitahu bahawa saiz saya menjadi masalah. Malah, saya melepasi balai pelepasan dan daftar masuk tanpa sebarang masalah," katanya.

Baca Lagi...

DOKTOR MENGAKU BUNUH PESAKIT

LONDON - Seorang doktor, Howard Martin (gambar) berusia 75 tahun yang mengaku membunuh hampir 20 orang pesakit, termasuk anak lelakinya sendiri akan berdepan tuduhan tidak lama lagi.

Pada tahun 2005, Martin didapati tidak bersalah membunuh tiga orang pesakit menggunakan suntikan penahan sakit secara berlebihan. Sejak itu, lesennya telah dibatalkan.

Tetapi pengakuan yang dibuatnya kepada akhbar Daily Telegraph membuatkan polis dan pihak pendakwaraya menimbang untuk membuka semula kes terbabit.

Dalam video pengakuan itu, Martin menyatakan dia tidak menyesal. Sebaliknya mendakwa tindakan itu dibuat berdasarkan kepada belas kasihan untuk menamatkan penderitaan pesakit.

"Saya tidak ada apa yang hendak ditakutkan. Apa lagi yang boleh saya lakukan kepadanya selain memastikan dia masih mempunyai maruah?" kata Martin ketika memberitahu keputusan untuk mengakhiri hayat anaknya Paul yang menderita penyakit kanser pada tahun 1988.

Namun, Badan Perubatan Awam Britain menyifatkan tindakan Martin sebagai langsung tidak boleh diterima. Malah, dalam beberapa kes tidak wujud bukti bahawa pesakit menderita.

Baca Lagi...

PERHENTIAN BAS PALING MEWAH DI BRITAIN


UNST - Sebuah pondok perhentian bas paling mewah di Britain menerima sentuhan tema bola sepak sempena kejohanan Piala Dunia 2010, lapor sebuah akhbar semalam.

Perhentian bas di kepulauan Shetland, Scotland itu dilengkapi dengan sebuah sofa, beberapa kusyen bertemakan bola sepak, sebuah televisyen, telefon dan bunga.

Sejak beberapa tahun lalu, ia berjaya menarik kehadiran ribuan pelancong yang kagum dengan dekorasi perhentian bas itu.

Inisiatif hiasannya bermula beberapa tahun lalu, selepas seorang lelaki meletak sebuah sofa dan meja di perhentian bas berkenaan. Manakala kemudahan lain termasuk sebuah komputer dan ketuhar gelombang mikro telah ditambah secara beransur-ansur oleh penduduk setempat.

Pelancong bagaimanapun, tidak dapat menonton perlawanan Piala Dunia di perhentian bas Unst kerana semua kemudahan itu merupakan hiasan semata-mata dan tempat itu tidak ada bekalan elektrik.

Baca Lagi...

PEMIMPIN JUNDOLLAH DIGANTUNG

TEHERAN - Pemerintah Iran mengenakan hukuman gantung ke atas pemimpin sebuah kumpulan pemberontak Sunnah, Abdolmalek Rigi semalam atas penglibatannya dalam beberapa serangan di Iran, lapor agensi berita rasmi IRNA.

Rigi ditahan oleh pihak berkuasa pada Februari lalu, empat bulan selepas kumpulan pimpinannya, Jundollah (askar Tuhan) mengaku bertanggungjawab dalam satu serangan bom yang membunuh puluhan mangsa, termasuklah beberapa orang pegawai elit Pengawal Revolusi Iran.

"Abdolmalek Rigi digantung pada waktu subuh hari ini (semalam). Dia didapati bersalah kerana menjadi dalang di sebalik banyak serangan maut dan membunuh ramai orang yang tidak berdosa," lapor sebuah stesen televisyen.

"Tuduhan ke atas Rigi juga meliputi rompakan bersenjata, menculik, penyeludupan dadah, di samping menubuhkan dan memimpin kumpulan pengganas Jundollah," lapor agensi berita Fars.

Hukuman gantung itu dijatuhkan oleh mahkamah Revousi Teheran dan dilaksanakan oleh Mahkamah Agung. Rigi digantung di dalam penjara Evin yang turut dihadiri oleh beberapa orang ahli keluarga mangsa pengeboman.

Iran menyatakan kumpulan Sunnah mempunyai hubungan dengan pergerakan Al-Qaeda, selain menuduh Pakistan, Britain dan Amerika Syarikat (AS) menyokong Jundollah untuk mencetuskan ketidakstabilan di Iran. Kumpulan hak asasi manusia dan Barat mengutuk hukuman gantung tersebut.

Baca Lagi...

UPSR,PMR MUNGKIN DIMANSUH

MUAR - Kementerian Pelajaran membayangkan kemungkinan akan memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada masa hadapan.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau melihat ada kewajaran untuk berbuat demikian kerana aspek pembelajaran ketika ini dilihat lebih berorientasikan kepada peperiksaan sehingga tujuan utama untuk memberikan pendidikan holistik tidak dapat dilakukan sepenuhnya.

"Pihak kami sedang fikirkan sama ada akan kekalkan atau perlu hanya satu sahaja peperiksaan awam, seperti (contohnya) di peringkat SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) sahaja," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pagoh di Kompleks Seri Pekembar, Pagoh semalam.

Baca Lagi...

KEJADIAN HARI BAPA

SEREMBAN - Hari Bapa yang disambut semalam sepatutnya menjadi hari paling bermakna untuk mereka yang bergelar bapa.

Bagaimanapun, bagi seorang mekanik semalam adalah sejarah hitam dalam hidupnya apabila isteri sendiri ditangkap berkhalwat dengan seorang lelaki di dalam sebuah bilik hotel di Port Dickson dekat sini.

Lebih memalukan ketika ditahan pada pukul 4.25 pagi oleh sepasukan Penguat Kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), wanita itu hanya memakai tuala manakala pasangannya berpakaian lengkap.

Kegiatan tidak bermoral pasangan berkenaan terbongkar selepas suami wanita itu sendiri melakukan intipan dan terus melaporkan perkara tersebut kepada JHEAINS.

Menurut suami wanita itu yang hanya mahu dikenali sebagai, Zul, 26, mereka sudah lima tahun berkahwin dan dikurniakan dua orang anak berusia empat dan tiga tahun.

Baca Lagi...

46 MAUT LETUPAN DI LOMBONG ARANG CHINA

BEIJING: Sekurang-kurangnya 46 pekerja lombong dikhuatiri maut apabila terperangkap dalam letupan di sebuah lombong arang batu di tengah China, awal hari ini.

Letupan berlaku berdekatan Bandar Pingdingshan di Wilayah Henan apabila stor simpanan bahan letupan tiba-tiba meletup, lapor Jabatan Pengurusan dan Keselamatan Pekerjaan Henan.
Kejadian berlaku di Lombong No 2, di Xingdong kira-kira jam 1.40 pagi waktu tempatan (1740 GMT) dengan 72 pelombong bekerja ketika itu.
Daripada jumlah itu, 26 orang berjaya diselamatkan keluar, lapor China Central Television

Baca Lagi...

KETULAN JANIN DITEMUI DALAM MANGKUK TANDAS

PELABUHAN KLANG: Satu ketulan darah sebesar tapak tangan yang dipercayai janin ditemui di dalam mangkuk tandas di sebuah stesen minyak di Pendamar Indah 2 di sini, pagi tadi.

Janin itu ditemui kira-kira jam 7 pagi yang dipercayai sengaja dibuang di situ.
"Berdasarkan siasatan, kita percaya ketulan darah yang dipercayai janin itu dibuang antara tengah malam tadi dan awal pagi ini," kata Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop.
Beliau berkata, janin tersebut ditemui penyelia stesen minyak berkenaan yang sebelum itu melihat beberapa kesan tompokan darah di laluan menuju ke tandas berkenaan.

"Pemeriksaan polis di tandas berkenaan turut menemui satu tulisan yang ditulis dengan darah dalam bahasa Tamil yang berbunyi "Sumayya" pada dinding tandas itu," katanya.

Mohamad berkata, berdasarkan imej yang dirakamkan oleh kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak tersebut, polis mengesan pasangan yang kelihatan memasuki tandas berkenaan.

Ketulan darah itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah

Baca Lagi...

BANTAH BUKA HIJAB

MELBOURNE: Seorang wanita Islam tidak berpuas hati kerana disuruh membuka hijab ketika menghadiri sesi temuduga di sebuah hospital di Northern Territory.

Akhbar Northern Territory News, melaporkan bahawa berikutan aduan wanita berkenaan, pegawai Suruhanjaya Anti-Penindasan Northern Territory sudah menjalankan penyiasatan berhubung kes itu.
Bagaimanapun, pemangku pesuruhjaya, Lisa Coffey enggan mengesahkan sama ada pihaknya telah menerima aduan tentang perkara tersebut.
Seorang doktor dikatakan meminta wanita berkenaan membuka hijabnya ketika menghadiri temuduga bagi jawatan dalam bidang pentadbiran di Royal Darwin Hospital tetapi wanita itu enggan berbuat demikian dan membuat aduan rasmi mengenainya.

Undang-undang Australia melarang perbuatan menindas seseorang kerana agama yang dianutinya.

Baca Lagi...

RAKYAT MALAYSIA DITAHAN DI MESIR

KUALA LUMPUR: Seorang warga Malaysia berumur 41 tahun ditahan oleh pihak berkuasa Mesir pada 13 Jun lalu, kata Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

"Wisma Putra menerima laporan pada 13 Jun daripada Kedutaan Malaysia di Kaherah mengenai penahanan seorang rakyat Malaysia, Muhamad Zulkifli Mohamad Zakaria, 41, oleh pihak berkuasa Mesir pada hari yang sama (13 Jun)," katanya dalam satu kenyataan di sini, malam tadi.
Beliau berkata, Muhamad Zulkifli ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah sebelum menaiki penerbangan pulang ke tanah air.
Katanya, Muhamad Zulkifli masih dalam tahanan pihak berkuasa Mesir untuk siasatan lanjut dan Kedutaan Malaysia di Kaherah sudah membuat beberapa representasi konsular ke atas pihak berkuasa berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung penahanan itu.

"Wisma Putra dan Kedutaan Besar Malaysia di Mesir sedang berusaha untuk menggesa pihak berkuasa Mesir untuk menyegerakan proses siasatan. Sekiranya tiada bukti yang kukuh untuk beliau didakwa, Wisma Putra akan menggesa kerajaan Mesir supaya membebaskan Muhamad Zulkifli," katanya.

Menurutnya Wisma Putra akan terus memantau perkembangan kes itu dan masih menunggu maklum balas daripada pihak berkuasa Mesir.

Baca Lagi...

KONSEP 1MALAYSIA KUKUH PERPADUAN

RANCANGAN Malaysia Kesepuluh (RMK-10) menyediakan rangka kerja dasar dan strategi bagi mencapai status sebuah negara maju menjelang 2020.

Rancangan ini juga dilakar berkonsepkan 1Malaysia dan dibina berasaskan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Model Baru Ekonomi (MBE) yang menggariskan dasar dan strategi baharu.

Konsep 1Malaysia berhasrat untuk mengukuhkan perpaduan negara yang penting bagi mengekalkan kestabilan sosial dan politik; satu pra syarat untuk Malaysia kekal sebagai destinasi perniagaan dan pelaburan yang menarik.

Amalan menghormati perbezaan nilai pelbagai masyarakat akan membantu rakyat menghargai perbezaan tersebut sebagai aset.

Konsep ini mengharapkan rakyat Malaysia bergerak melangkaui toleransi untuk menerima dan akhirnya berbangga dengan kepelbagaian etnik, agama, budaya dan kepercayaan.

Prinsip keadilan akan menjadi teras kepada konsep ini.

Di bawah konsep ini, semua rakyat Malaysia akan diberi perhatian dengan tumpuan khusus kepada golongan kurang mendapat manfaat.

GTP diperkenalkan pada tahun 2010 untuk mentransformasikan kerajaan agar menjadi lebih efektif dalam sistem penyampaian perkhidmatannya serta bertanggungjawab ke atas pulangan.

MBE telah menggariskan Inisiatif Pembaharuan Strategik (IPS) dalam memacu negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi yang mampan dan inklusif.

RMK-10 telah mengambil kira kebanyakan strategi baru pertumbuhan ekonomi di bawah MBE dan IPS yang berkaitan.

RMK-10 juga menggabungkan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan mengemas kini kemajuan pelaksanaan sistem penyampaian kerajaan sejak GTP dilancarkan

Baca Lagi...

SUMBANGAN GURU KAFA DIIKTIRAF

KUALA LUMPUR 20 Jun - Guru-guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di negara ini semakin diiktiraf dengan pelbagai insentif bagi mencapai matlamat memastikan semua kanak-kanak Islam negara ini mendapat pendidikan Islam secara sistematik serta menguasai tuntutan Fardu Ain.

Hal ini bukan omong kosong dan buktinya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menganugerahkan Tokoh Guru KAFA 2010 kepada Abd. Halim Taib, 54, dari Kuala Nerang, Kedah dan Zaiton Jamaluddin, 58, dari Gombak, Selangor.

Pada majlis perjumpaannya bersama guru-guru KAFA peringkat kebangsaan itu juga, beliau berjanji akan menaikkan elaun mereka dalam Bajet 2011 pada Oktober ini.

Majlis diadakan bagi meraikan para guru dan pelajar yang telah menunjukkan kecemerlangan di samping menghargai pelaksana KAFA negeri yang berjaya mencapai keputusan 100 peratus kelulusan pelajar dalam Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2009.

Pada majlis tersebut, dua penerima masing-masing bagi kategori lelaki dan perempuan dipilih untuk menerima Anugerah Tokoh Guru KAFA peringkat Kebangsaan.

Tokoh Guru KAFA kategori lelaki diterima oleh Abd. Halim Taib, 54, dari Kuala Nerang, Kedah manakala bagi kategori wanita pula disandang oleh Zaiton Jamaluddin, 58, dari Gombak, Selangor.

Pemilihan Tokoh Guru KAFA ini dibuat oleh Jawatankuasa Pemilihan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Mereka menerima hadiah wang tunai bernilai RM5,000 setiap seorang serta turut menerima piala, sijil dan hadiah iringan.

Penerima bagi kategori lelaki, Abd. Halim telah bertugas sebagai guru KAFA selama 17 tahun bermula pada 1993 dan kini bertugas di Sekolah Kebangsaan Tualak, Kuala Nerang.

Beliau merupakan pengerusi jemaah hakim kegiatan kokurikulum KAFA peringkat Daerah Padang Terap, Kedah, serta merupakan Jurulatih Tahsin dan Taranum untuk pelajar-pelajar KAFA negeri tersebut.

Beliau pernah menjadi Johan Qari Majlis Tilawah al-Quran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Kedah pada 2000 serta pernah menerima Anugerah Guru dan Pegawai Agama Daerah Padang Terap selain Anugerah Guru Cemerlang dari Menteri Besar Kedah pada 2006.

Penerima bagi kategori wanita, Zaiton telah bertugas sebagai guru KAFA selama 37 tahun bermula pada 1972 dan kini merupakan Ketua Guru KAFA (Guru Besar) di KAFA Integrasi AU4, Taman Sri Keramat Tengah, Hulu Kelang, Selangor.

Tokoh ini berkelulusan empat Tsanawi dari Sekolah Menengah Agama Kampung Batu, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur serta menerima Diploma Al-Quran dan Tajwid dari Institut Pengajian Ilmu-ilmu Islam.

Beliau merupakan penggubal soalan UPKK peringkat Kebangsaan bermula 2002 sehingga kini dan merupakan pengerusi jemaah hakim bagi program Kemahiran Amal Islami Zon Keramat, Selangor.

Selain itu, beliau juga merupakan penyanyi solo kumpulan nasyid Al-Hilal pimpinan Datuk Haji Hassan Azhari dan pernah mengadakan persembahan nasyid di Majlis Tilawah Al-Quran peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa pada tahun 70-an dan 80-an.

Antara pencapaian yang pernah diterimanya ialah Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC) sempena Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor (2000) dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dari Jabatan Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri (1995).

Sementara itu, seramai 10 calon Anugerah Pelajar Cemerlang UPKK turut diumumkan pada majlis tersebut.

Mereka ialah Nurul Amiera Sakinah Abd. Jamal (Terengganu), Nur Sariha Safar (Johor), Fatimah Zahara Abu Mansor (Kedah), Mohd. Hasnol Arif Md. Salleh (Kedah), Nurin Asykin Mohd. Asli (Pahang), Farzana Omar (Negeri Sembilan), Laiya Illya Rezal (Perak), Abd. Hakim Abd. Basir (Perak), Noor Syahirah Muhammad Zahir (Selangor) dan Nur Amalin Mohd. Kamaruzaman (Kelantan).

Setiap calon menerima hadiah wang tunai RM1,000, sijil dan piala iringan.

Negeri-negeri yang mendapat keputusan 100 peratus kelulusan ialah Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Melaka, Johor, Pahang, Kelantan dan Sarawak.

Baca Lagi...

BERANI LAKUKAN SERANG BALAS

BAGAN DATOH 20 Jun - Ahli-ahli UMNO diminta supaya berani melakukan serangan balas untuk memperbetulkan persepsi salah yang yang dilemparkan pihak pembangkang terhadap parti itu dan kerajaan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, ahli-ahli UMNO tidak boleh hanya dalam posisi mempertahankan sebaliknya perlu melakukan serangan balik untuk mengembalikan keyakinan rakyat.

"Macam kita tengok Piala Dunia sekarang ini. Boleh tengok, tapi bukan hanya untuk keseronokan semata-mata. Tengok dan cuba jadikannya dalam konteks politik.

"Jangan asyik mempertahankan benteng sahaja kerana kadang kala boleh bolos. Perlu ada pertahanan dan serangan balik untuk menang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datoh 2010 di sini hari ini.

Menurut beliau, adalah menjadi tanggungjawab semua ahli UMNO untuk memperbetulkan segala persepsi salah yang dibuat oleh pembangkang dan tidak tunduk dengan sebarang ancaman.

Tegas Perdana Menteri, perlu ada barisan yang ampuh untuk mempertahankan perjuangan UMNO dan mengembalikan kejayaan parti itu seperti pada Pilihan Raya Umum Ke-11 pada 2004.

"Bukan Barisan Nasional (BN) atau UMNO tidak baik, tetapi mainan persepsi pembangkang menyebabkan rakyat menjauhkan diri.

"Berbanding suasana politik pada tahun-tahun 70-an dan 80-an, bila kita bagi peruntukan sahaja, rakyat sudah boleh menerimanya. Tetapi sekarang lain, mereka masih ada rasa tidak puas hati. Jadi ini yang perlu kita perbetulkan" katanya.

Tambah beliau, prestasi merosot UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) lalu pula bukan kerana rakyat tidak berpihak pada parti itu tetapi kerana mereka menolak pemimpin yang tidak dekat di hati rakyat, tidak menunaikan janji serta bongkak.

Bagi mengembalikan kepercayaan rakyat katanya, UMNO tidak boleh ketinggalan dengan metodologi lama sebaliknya perlu menggunakan metodologi terkini supaya dilihat sebagai parti yang dinamik dan berkesan.

"UMNO adalah parti yang terlalu lama, jadi saya nampak pembaharuan adalah sangat perlu.

"Kita perlu cari jalan untuk menjadikan 'barang' yang lama itu lebih baik untuk dipandang dan kembali disukai," katanya.

Baca Lagi...

PAHANG SEDIA JADI TUAN RUMAH

KUANTAN - Pahang bersiap sedia untuk menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) ke-14 yang dijadual berlangsung pada 2012.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Wan Adnan Wan Mamat berkata, segala persiapan telah diatur sebaik sahaja Majlis Sukan Negara (MSN) membuat keputusan tersebut pada awal April lalu.

"Kami sudah bersedia. Kepercayaan kali kedua yang diberikan kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan akan dilaksanakan sebaik mungkin," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menutup Sukma XIII di Melaka dan menyerahkan bendera Sukma kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob sebagai tanda Pahang bakal menjadi tuan rumah temasya sukan dwi tahunan itu.

Pemilihan itu merupakan kali kedua selepas Pahang menganjurkannya kali pertama pada 1996.

Menurut Wan Adnan, bagi tujuan itu kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak kira-kira RM300 juta sebagai perbelanjaan persiapan untuk membina dan menaik taraf stadium serta kemudahan sukan.

"Sebuah stadium tertutup akan dibina di Tanjung Lumpur di di sini, stadium hoki yang baru di sebelah Stadim Hoki Wisma Belia, Indera Mahkota dan lapang sasar menembak serta gelanggang silat di Temerloh," katanya.

Beliau memberitahu, beberapa kemudahan sedia ada seperti kolam renang, stadium tertutup, Stadium Darul Makmur dan balapan olahraga akan dinaik taraf untuk persediaan temasya itu.

"Kita akan menggunakan bajet yang disediakan bagi membaiki, membina dan menaik taraf fasiliti sukan di Pahang sebagai persiapan penganjuran Sukma ke-14 itu," katanya.

Bagaimanapun, tambahnya, pihaknya belum menetapkan jumlah acara yang bakal dipertandingkan namun menganggarkan ia bersamaan dengan Melaka iaitu kira-kira 33 acara padang dan balapan pada Sukma 2012 itu.

Baca Lagi...

PELACURAN REMAJA MENINGKAT DI BANDUNG

JAKARTA 20 Jun - Pihak berkuasa Bandung tenggelam punca apabila menemui kes-kes pelacuran tersembunyi yang membabitkan pelajar sekolah menengah, yang mana bilangannya semakin meningkat di ibu negeri Jawa Barat ini.

Mentor program sokongan pekerja seks Rumah Kumpulan Cemara di Bandung, Eli berkata, ia adalah sesuatu yang sukar untuk memberi bimbingan kepada golongan remaja yang terlibat dalam kes pelacuran kerana kebanyakan mereka tidak menerimanya.

Jumlah mereka yang terlibat dengan pelacuran tersembunyi itu dipercayai lebih tinggi berbanding pelacuran komersial yang terbuka, katanya kepada The Jakarta Post.

Eli telah memberikan bimbingan kepada lebih 200 orang suri rumah dan pekerja seks kanak-kanak dalam tempoh dua tahun lepas. Kira-kira 20 orang daripadanya adalah pelajar sekolah menengah lingkungan umur di antara 15 dan 16 tahun.

"Keadaan psikologi mereka tidak stabil pada umur berkenaan. Sangat sukar bagi mereka untuk mengatasi keadaan tersebut disebabkan dorongan untuk mendapatkan wang misalnya bagi membeli telefon bimbit dan kasut," kata Eli selepas menghadiri program perbincangan Menyelamat dan Mencegah Eksploitasi Seks Kanak-Kanak (ESKA) di Bandung.

Dia khuatir penularan penyakit kelamin seperti HIV/AIDS sukar dibendung di kalangan belia kerana golongan sasaran sukar dikesan.

Program ESKA meletakkan sasaran untuk menyelamatkan 300 daripada 1,000 kanak-kanak yang dianggarkan oleh badan Selamatkan Kanak-Kanak daripada Pelacuran.

Satu kes pelacuran kanak-kanak kini sedang disiasat oleh pihak polis Jawa Barat dimana ia melibatkan gadis berumur 15 tahun yang menjual dirinya pada harga AS$555 (RM1,805) kerana mahu membeli telefon bimbit dan pendakap gigi.

Pegawai badan Selamatkan Kanak-Kanak di Jawa Barat, Eko Kriswanto berkata, sumbangan teknologi moden adalah satu punca yang menyukarkan pendedahan pelacuran tersembunyi di kalangan kanak-kanak.

Katanya, sejak program itu diperkenalkan di Bandung pada tahun 2002, ia mula menampakkan perubahan sikap terhadap pelacur kerja seks kanak-kanak.

"Sebelum ini, pelacuran dikatakan secara terbuka di daerah atau lorong-lorong pelacuran. Kini, mereka boleh melakukan urus niaga tanpa dikesan seperti menerusi laman sosial Facebook atau emel dan telefon bimbit," kata Eko.

Ketua Bahagian Perlindungan Hak Kanak-Kanak dan Wanita di Pejabat Memperkasakan Wanita dan Perancangan Keluarga, Neti Supriati berkata, kerajaan hanya mengenal pasti kes dan menyediakan kaunseling kepada mangsa kekejaman seks.

Namun tambahnya, kerajaan belum lagi membuat satu gerakan agar masalah pelacuran di kalangan kanak-kanak dapat dibendung.

Baca Lagi...

132 MAUT BANJIR DI CHINA


BEIJING 20 Jun - Banjir teruk melanda selatan China mengakibatkan 132 orang terkorban selain memaksa lebih 860,000 orang meninggalkan kediaman mereka.

Menurut kenyataan Kementerian Sumber Air hari ini, kira-kira 86 orang dilaporkan hilang akibat hujan lebat sejak seminggu lalu, selain menjejaskan lebih 10 juta penduduk.

Walaupun jumlah kematian meningkat sejak semalam, namun jumlah mereka yang dipindahkan berkurangan berbanding sebelum ini yang mencatatkan angka 1.4 juta orang.

Selain itu, kenyataan kementerian itu juga menyebut pihaknya mendapati beribu-ribu rumah musnah dengan kerugian berjumlah $AS2.5 bilion (RM8.13 bilion) dicatatkan.

Biro meteorologi menjangkakan ribut petir akan terus berlaku bermula hari ini hingga esok di beberapa kawasan terjejas.

Beberapa imej dari kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan usaha menyelamat menggunakan bot, trak dan helikopter masih berjalan.

Paras air telah melepasi tahap selamat di beberapa sungai utama termasuk Pearl River di kawasan perindustrian utama China, Guangdong.

Ribut kuat yang melanda telah memusnahkan beberapa kawasan tadahan, limpahan air sungai, tanah runtuh serta memusnahkan beberapa lebuh raya

Baca Lagi...

TEMBOK PENJARA PUDU DI ROBOH

KUALA LUMPUR 20 Jun – Tiba detik 10 malam esok, tembok Penjara Pudu di sini yang berusia 100 tahun, setinggi 4.5 meter dan sepanjang 394 meter yang menghadap Jalan Pudu akan dirobohkan.

Seandainya tembok itu boleh berkata-kata, mungkin ia akan mengatakan bahawa 100 tahun sudah cukup baginya menyaksikan pelbagai peristiwa suka duka, pahit manis dan kini tiba masa untuk merelakan dirinya tumbang menyembah bumi setelah 14 tahun dilanda kesepian.

Mungkin ia juga akan mengatakan bahawa dirinya yang dahulunya gah dengan mural sepanjang 384 meter yang mencatatkan rekod sebagai yang terpanjang di dunia, kini sudah tidak tidak bererti lagi.

Penjara Pudu atau dahulunya dikenali sebagai Pudu Goal terletak di Jalan Hang Tuah mula dibina pada tahun 1891 di atas tanah seluas 10 hektar. Pembinaan penjara tersebut dibuat secara berperingkat-peringkat dan siap sepenuhnya pada tahun 1895.

Tembok penjara yang dibina daripada batu bata yang dilepa dengan simen dan diimport dari negara penjajah Britain, mula dibina pada Februari 1891 dan siap pada Ogos 1892. Kos bagi pembinaan tembok ini sahaja bernilai RM15,360.90 (harga pada tahun 1800-an).

Namun begitu, kedudukannya di dalam kawasan segitiga emas Bukit Bintang yang pesat membangun dengan bangunan pencakar langit dan kesesakan arus lalu lintas terutamanya di Jalan Pudu menyebabkan bangunan penjara ini tidak lagi dapat dipertahankan dan terpaksa akur pada arus pembangunan.

Justeru, apabila Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Fuad Ismail mengumumkan cadangan merobohkan tembok penjara Pudu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pelebaran dan laluan bawah tanah di Jalan Pudu baru-baru ini memberi isyarat bahawa penjara yang menyimpan seribu satu kenangan yang nyata dan misteri itu akan hanya tinggal dalam lipatan sejarah.

Salah satu bahagian penjara yang banyak melakarkan cerita misteri ialah di Blok D yang menempatkan bilik akhir dan bilik gantung yang menyaksikan 180 pesalah menjalani hukuman gantung sampai mati di situ dari tahun 1960 hingga 1993.

Penjara berusia lebih seratus tahun ini juga pernah mencatat sejarah hitam yang tersendiri iaitu pada tahun 1985 apabila dua orang awam, Dr. Radzi Jaafar dan Dr. Abdul Aziz Abdul Majid ditawan oleh enam orang banduan reman yang diketuai Jimmy Chuah. Penawanan berakhir selepas enam hari apabila banduan itu menyerah diri.

Pada tahun 1985 penjara ini juga mencatatkan bilangan banduan yang tertinggi iaitu seramai 6,550 orang pada satu masa yang menyebabkan kesesakan dan memaksa banduan tidur secara bergilir-gilir.

Ekoran itu pada 1996 setelah 100 tahun menabur bakti, Penjara Pudu ditutup dan digantikan dengan Penjara Sungai Buluh, Selangor, 36km dari bandar raya Kuala Lumpur.

Tinjauan Bernama mendapati, proses meratakan tanah di bahagian dalam dan bersebelahan bangunan telah selesai dan kerja meroboh tembok dijangka dimulakan malam esok, Isnin pada pukul 10 malam.

Kerja-kerja meroboh kompleks penjara itu menimbulkan pelbagai reaksi daripada warga kota terutama bagi mereka yang mengetahui sejarah dan keunikan bangunan tersebut.

Bagi Prabu Munusamy, 32, beliau terkilan dengan tindakan tersebut berikutan bangunan penjara itu mampu berperanan sebagai tarikan pelancong.

Menurutnya, walaupun bangunan tersebut pernah ”menyimpan” mereka yang melakukan jenayah, namun ia wajar dipelihara kerana mempunyai nilai yang tersendiri.

“Bangunan ini pernah menempatkan penjenayah yang terkenal sejak dulu, jadi sampai hari ini pun ramai orang datang mahu melihat dan mengambil gambar bangunan ini,” katanya.

Chew Chong Huai, 52, berkata, tindakan tersebut amat menyedihkan memandangkan bangunan tersebut mempunyai nilai sejarah dan seharusnya dijadikan tapak warisan di tengah-tengah bandar raya ini.

“Kalau di luar negara contohnya di China, bangunan bersejarah seperti ini akan disimpan dan dipelihara dan dijadikan sebagai warisan untuk tarikan pelancong,” katanya.

Bagi Irwan Hashim, 32, tindakan merobohkan tembok dan penjara berkenaan bagi tujuan pembangunan adalah tidak wajar tambahan pula bandar raya Kuala Lumpur sudah semakin sesak dengan pembangunan.

“Cukuplah pembangunan, Kuala Lumpur ini sudah padat dengan bangunan, kompleks membeli-belah dan sebagainya, janganlah sampai pembangunan memusnahkan warisan kita yang mencerminkan siapa kita,” katanya.

Sementara itu seorang pelancong dari Filipina, Farancisco B. Lopez, 49, berkata, Penjara Pudu sepatutnya dipelihara dan dijadikan tarikan pelancong seperti penjara Alcatraz di California, Amerika Syarikat.

“Ini satu pembaziran dan tidak digunakan. Saya diberitahu bahawa bangunan ini merupakan salah satu peninggalan sejarah di negara ini kerana ia dibina pada era (penjajahan) Britain pada tahun 1800,” katanya.

Baca Lagi...

1560 KES JENAYAH DI LUAR NEGARA

KUALA LUMPUR 20 Jun - Kes jenayah melibatkan rakyat Malaysia di luar negara kini adalah sebanyak 1,560 kes dengan hampir separuh daripadanya melibatkan kesalahan mengedar dadah.

Timbalan Menteri Luar, A. Kohilan Pillai berkata, daripada jumlah itu kesalahan mengedar dadah melibatkan 729 kes diikuti dengan pemerdagangan manusia, pemalsuan kad kredit dan lain-lain jenayah.

''Kes-kes jenayah ini meningkat sebanyak 150 kes seminggu dan kebanyakannya melibatkan perempuan yang berumur 20 hingga 25 tahun kerana mudah diperdaya oleh sindiket pengedaran dadah,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Live Green Line Dance anjuran Wanita Gerakan di Dewan Sri Delima, Kepong di sini hari ini.

Berikutan perkembangan tersebut, beliau menasihatkan ibu bapa supaya mengawasi pergerakan anak masing-masing supaya tidak menjadi mangsa sindiket pengedaran dadah yang menawarkan peluang bekerja di luar negara seperti Argentina, Peru, Thailand, Taiwan dan Singapura.

Baca Lagi...

SUSUK POWER DARAH BABI


KUALA LUMPUR: Demi nafsu, segolongan wanita dan lelaki sanggup mendapatkan bantuan bomoh untuk memasukkan susuk ‘power’ pada bahagian sulit masing-masing, malah sesetengah daripada mereka membiarkan diri ditusuk puluhan jarum supaya tampil lebih hebat di ranjang.
Bagi golongan wanita terbabit, mereka percaya dengan kuasa yang ada pada susuk itu mampu menghasilkan kekuatan ekstra, manakala bagi lelaki pula dapat bertahan lebih lama ketika bersama.


Mendedahkan perkara itu, Pengamal Perubatan Islam Sinar Zamdurrani, Sharhan Shafie, berkata pemakaian susuk kini bukan hanya untuk tujuan kecantikan, mendapatkan pengaruh di mata umum dan menjadi kebal, malah didorong kepuasan seksual.


Katanya, kebanyakan golongan yang memakai susuk pada anggota sulit membabitkan pelayan pelanggan (GRO), dengan tujuan menambat hati lelaki yang melanggani mereka.


“Bagi lelaki susuk pada anggota sulit supaya tahan lama dan lambat lebam, manakala di kalangan wanita untuk mendapatkan kemutan, malah ada juga wanita yang memasukkan susuk pada bahagian buah dada untuk kelihatan lebih tegang.


“Apabila benda itu dimasukkan pada bahagian sulit, keinginan seksual menjadi kuat, mahu bersama sehingga lima atau enam jam, terutama di kalangan GRO yang ramai memakainya,” katanya, yang pernah mengeluarkan susuk daripada bahagian sulit golongan terbabit.


Menurutnya, beliau juga ada menemui satu kes seorang wanita yang memakai 40 susuk, termasuk tujuh di muka dan tujuh di dada manakala 20 jarum pada anggota sulit.


“Gara-gara memakai susuk pada alat sulit juga saya menemui kes seorang wanita terpaksa bersuami sehingga 70 lelaki kerana tidak mendapat kepuasan nafsunya.


“Wanita terbabit akhirnya bertemu seorang lelaki yang juga memakai susuk pada anggota sulit dan barulah dia dapat hidup sebumbung sampai hari ini,” katanya.


Beliau menyediakan perkhidmatan membuang susuk dan gangguan makhluk halus di Desa Tasik, Sungai Besi, di sini, sentiasa menerima kehadiran orang ramai dari seluruh negara termasuk Singapura yang mahu mendapatkan bantuan membuang bahan kotor terbabit.


Ketika berdepan dengan pemakai yang ingin membuang susuk, beliau terlebih dulu akan menerangkan kaedah rawatan yang bakal dilakukan seperti tiga kali rawatan bagi susuk emas dan teknik menarik susuk dengan air zamzam.

Sharhan berkata, biasanya susuk yang dimasukkan itu berbentuk jarum emas yang halus dan sebelum dimasukkan kepada si pemakai, ia direndam terlebih dulu, malah ada antaranya direndam dalam darah babi selama 21 hari supaya benar-benar ‘power’.


“Ini semua supaya susuk itu benar-benar mujarab dan jin penunggu melekat pada pemakai. Disebabkan angkara jin ini yang menjadi duta di dalam badan, wajah si pemakai menjadi tegang, lebih cantik dan kuat kemutan, semuanya kerja jin,” katanya.


Pemakai susuk katanya, bukan setakat orang Melayu, bahkan ramai juga di kalangan kaum lain tanpa mengira perbezaan usia dan agama, termasuk pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), ahli politik dan selebriti untuk pelbagai tujuan.


Beliau berkata, susuk walaupun dari segi luaran mendatang beberapa keistimewaan yang sukar ditandingi kepada pemakainya, sebenarnya ia membawa banyak kesan buruk terutama bagi orang Islam terpesong dari segi akidah kerana mempercayai pada benda terbabit adalah syirik.

“Pemakai susuk ialah mereka yang mahu mengubah kejadian Allah, kerana tidak dapat menerima ketetapan Allah yang mencipta setiap manusia dengan sebaik-baik kejadian.


“Mereka hendak mengubah rupa mengikut citarasa sendiri apabila mengatakan diri hodoh dan mahu lebih cantik lagi.


“Akhirnya dengan susuk itu juga diri merana, kerana apabila sampai usia tua, 70 atau 80 tahun, mulalah badan berasa sakit.


“Mereka yang memakai susuk juga terpaksa alah kepada banyak pantang larang, seperti tidak boleh melalui bawah ampaian, tidak boleh makan sate dan pisang emas,” katanya.


Katanya, masyarakat perlu sedar bukan semua jenis susuk boleh dibuang apabila dimasukkan pada anggota badan.


Susuk diraja katanya, sangat sukar untuk dibuang kerana ia mempunyai kata kunci yang ditetapkan bomoh terbabit.


“Bagi susuk diraja, bomoh menggunakan kata kunci mengikut keinginan masing-masing, malah ada yang menyalahgunakan ayat al-Quran seperti menyatakan sebutan rabbuka sebagai niat buka kunci terbabit,” katanya.

Baca Lagi...

DENDA NIKAH

KUALA LUMPUR: Seperti harga sekeping roti canai sardin di negara ini, hanya 7,500 rupiah atau sekitar RM2.80 sen saja! Itulah kadar denda maksimum yang dikenakan terhadap pasangan yang melanggar undang-undang perkahwinan di Pulau Lombok, Indonesia.

Nilai yang seolah-olah tidak masuk akal itu didedahkan kepada wartawan Harian Metro oleh Staf Kara Bidang Bimbingan Perkahwinan dan Zakat Wakaf, Balai Nikah, Kantor Urusan Agama (KUA) Kecamatan Mataram, Lombok, Lufti Kahar ketika ditemui di pejabatnya di Mataram, Lombok, baru-baru ini.

Menurutnya, denda itu termaktub dalam Pelanggaran Perkahwinan Undang-undang 2, Nombor 1 (1974) dan Peraturan Pemerintah Nombor 9 (1975) Fasal 45.

“Mengikut undang-undang, umur perempuan boleh bernikah mesti melebihi 19 tahun, manakala umur calon lelaki perlu lebih 21 tahun.

“Wanita bawah umur 19 tahun mahu bernikah perlulah mendapat keizinan kedua-dua orang tuanya dan orang tua pihak lelaki dengan tandatangan, begitu juga sebaliknya.

“Namun, memang ada pasangan melaksanakan nikah biarpun umur tidak mencukupi dengan menggunakan petugas nikah (kadi) yang tidak diiktiraf KUA,” katanya.

Mengulas lanjut, Lufti berkata pihaknya tidak berani sama sekali mengisytiharkan pasangan berkenaan sebagai suami isteri akibat ketiadaan buku nikah dikeluarkan KUA sebab tidak melalui petugas yang sah.

Katanya, pasangan yang masih ingin meneruskan pernikahan mereka diwajibkan membayar denda maksimum 7,500 rupiah.

Ditanya mengenai denda yang terlalu rendah itu, Lufti enggan memberikan sebarang komen.

Beliau turut ditanya mengenai wanita Malaysia yang dilarikan ke Lombok dan dinikahkan dengan pasangannya di Lombok, tetapi kemudian ‘diselamatkan’ sebelum dibawa pulang ke negara asal menunjukkan buku nikah mengandungi pemalsuan identiti termasuk nama, umur dan warga negara.

Menurutnya, pihaknya mengakui kemungkinan wujud pihak tertentu mengeluarkan buku nikah palsu.

“Memang ada bentuk pemalsuan identitas (identiti) dalam buku nikah palsu yang dibuat pihak tidak bertanggungjawab.

“Tetapi mereka tidak boleh menipu pihak KUA sebab perkahwinan tiada direkodkan. Tambahan lagi pemalsuan itu boleh dikesan menerusi pemeriksaan nombor daftar perkahwinan yang dicetak halus di buku nikah tulen,” katanya.

Harian Metro pada 12 Jun 2008 lalu melaporkan seorang daripada gadis negara ini yang dilarikan kemudian berjaya pulang ke tanah air, Nurul Wahida Hamzah, 24, dibawa lari dan berkahwin dengan pemuda Lombok, Yusuf Supardi, 40-an.

Laporan memetik Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, pernikahan mereka tidak sah sebab Nurul berwalikan lelaki asing yang mengaku sebagai bapa kandungnya, Zakaria.

Yusuf dilaporkan menukar nama Nurul kepada Puteri Sofia Zakaria dan meminda umurnya daripada 17 kepada 25 tahun untuk mencapai hajat melangsungkan pernikahan mereka.

Baca Lagi...

RATAHAN KAWAN

KUALA TERENGGANU: Penangan cinta siber bukan saja menyebabkan seorang wanita hanyut diulit mimpi indah, malah sanggup menjual tubuhnya kepada seorang kenalan lelaki akibat terdesak mendapatkan duit membeli tiket pesawat bagi membolehkannya bertemu kekasih berketurunan Arab di Timur Tengah.
Malangnya, selepas tubuhnya diratah rakan terbabit, wang dijanjikan untuk membiayai kos membeli tiket penerbangan dan perbelanjaan ke Arab Saudi tidak ditunaikan, malah dia kini tertekan dengan kesilapannya terlalu mudah menyerahkan tubuh. Kisah itu diceritakan seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Ita, 35, yang kini hilang arah tujuan dan tertekan akibat terlalu terdesak mencari cinta selain sumber kewangan untuk bertemu kekasihnya itu. Menurutnya, cinta gila itu bermula selepas dia mengenali lelaki warga asing terbabit menerusi sebuah laman sosial di Internet sebelum termakan pujuk rayu kekasihnya itu supaya datang bertemunya untuk membincangkan hal perkahwinan. Ita mengakui termakan pujukan kekasihnya itu lalu membuat keputusan berangkat ke Arab Saudi, tetapi disebabkan sumber kewangan terbatas, dia berusaha mendapatkan pinjaman peribadi di beberapa institusi kewangan. “Selepas beberapa kali mencuba di beberapa institusi kewangan mereka menolak permohonan saya dengan mengatakan saya tidak layak kerana bergaji kecil.


“Kekasih pula asyik mendesak supaya segera ke Arab Saudi untuk bertemunya menyebabkan saya tertekan sebelum menceritakan masalah kepada seorang rakan lelaki yang menetap di Kuala Lumpur,” katanya yang bekerja sebagai kerani. Dia berkata, rakannya itu menunjukkan simpati sebelum menghubungi semula beberapa hari kemudian dengan menawarkan bantuan kewangan. “Pada mulanya saya gembira kerana dia sudi membantu namun terkejut apabila dia meletakkan syarat supaya saya menyerahkan tubuh sebelum permintaan saya itu dipenuhi secara percuma,” katanya. Wanita itu berkata, akibat terdesak dan terpengaruh dengan janji manis lelaki terbabit, mereka bertemu di sebuah hotel di negeri ini dan melakukan hubungan terlarang itu.


“Selepas hubungan seks tanpa rela diadakan dengan lelaki yang saya anggap rakan itu, dia berjanji memasukkan wang saya perlukan. Malangnya, selepas beberapa minggu menunggu dan memeriksa akaun bank, wang dijanjikan tiada.


“Luluh hati saya apabila saya mendapati ditipu, malah lelaki terbabit ketika dihubungi beberapa kali memberikan pelbagai alasan seolah-olah cuba mengelak menunaikan janjinya. “Saya sedar apa saya lakukan itu tidak bermoral, tetapi kerana cinta, diri saya hilang pertimbangan sehingga sanggup mengorbankan kesucian diri semata-mata untuk bertemu kekasih yang dikenali sejak sebulan lalu. “Kehangatan dan kemaruk cinta siber membuatkan saya menghabiskan empat hingga lima jam sehari melayari Internet untuk berhubung dengan kekasih saya itu yang berusia 30 tahun yang mendakwa dirinya bekerja di sebuah hotel di Arab Saudi,” katanya.


Menurutnya, kekasih warga Arab itu bukan saja pandai bermain kata, malah berjanji mendirikan rumah tangga dengannya menyebabkan dia gelap mata selepas dikecewakan beberapa lelaki tempatan sebelum ini.


Ita berkata, dia berbuat demikian kerana bimbangkan kekasihnya itu berubah hati dan untuk mengelakkan diri dikecewakan sekali lagi sehingga nekad melakukan apa saja asalkan dapat memenuhi permintaannya.


“Saya tidak mahu dikecewakan lagi, namun tidak menyangka jadi begini. Saya sendiri tidak tahu apa akan jadi selepas ini terutama selepas menjual diri hanya semata-mata untuk mendapatkan wang belanja ke Arab Saudi bagi bertemu kekasih.


“Takut nanti kekasih di Arab Saudi itu yang sebelum ini berjanji mahu berkahwin dengan saya turut mempermain dan meninggalkan saya dengan pelbagai alasan,” katanya.


Menurutnya, dia tampil menceritakan kisah hidupnya itu sebagai pengajaran kepada semua wanita supaya tidak mudah terpedaya janji manis lelaki yang berpura-pura prihatin, malah perlu berfikir sebelum mengambil jalan singkat untuk menagih cinta Internet kerana ia tidak pasti.

Baca Lagi...

DADAH DALAM BENANG

AMPANG: Bagi mengelak kegiatan jenayah dihidu polis, tiga pengedar dadah Geng Aceh mencipta taktik baru menyembunyikan bahan terlarang jenis methamphetamine atau syabu dalam gelung benang jahitan.
Benang berisi dadah itu hanya dijual kepada pelanggan yang menyebut kata laluan rahsia ‘mahu beli satu buku benang’ kepada pengedar terbabit yang juga pemilik kedai runcit di kawasan Taman Keramat Permai, di sini.


Difahamkan, kegiatan suspek sebelum ini gagal dihidu berikutan kelicikannya menyembunyikan kegiatannya di sebalik aktiviti perniagaan kedai runcit selain dadah berkenaan disorok dalam gelung benang kecil.


Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, kegiatan suspek bagaimanapun dipatahkan selepas sepasukan polis dari Bahagian Siasatan jenayah Narkotik Ampang melakukan serbuan di kedai runcit miliknya dan sebuah rumah di Taman Keramat Permai, di sini.


Dalam serbuan jam 12.30 tengah malam kelmarin, polis memberkas tiga lelaki warga Aceh termasuk seorangnya yang memperoleh taraf penduduk tetap (PR) .


“Lelaki berstatus PR berusia 41 tahun ditahan itu pemilik kedai runcit yang mengusahakannya bersama dua suspek lain berusia 22 dan 45 tahun. Mereka dipercayai menjalankan kegiatan menjual dadah jenis syabu itu sejak lebih enam bulan lalu.


“Siasatan lanjut polis menemui 45 peket plastik lut sinar dadah jenis syabu seberat 5.5 gram. Empat dari paket dadah terbabit ditemui disembunyikan di dalam baju dipakai suspek dan 36 peket lagi di bawah almari pakaian,” katanya.


Menurutnya, polis turut menemui lima peket dadah disembunyikan di dalam gelung benang disimpan di dalam kedai runcit terbabit, selain beribu kotak rokok seludup turut dijual suspek di kedainya.


“Suspek menjual dadah di dalam gelung benang dengan harga antara RM50 hingga RM100 setiap satu berdasarkan berat dadah diminta. Taktik sembunyi dadah itu sukar dikesan berikutan modus operandi itu kali pertama didedahkan setakat ini,” katanya.


Menurutnya, benang berharga 90 sen setiap satu itu memberi keuntungan berlipat kali ganda kepada sindiket pengedaran dadah berkenaan dikesan mendapat bekalan dadah daripada pengedar di Chow Kit di sini.

Baca Lagi...

GEMPUR HOTEL

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan ‘menggempur’ hotel di seluruh negara bagi memastikan premis berkenaan memiliki sijil halal diiktiraf.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, pendekatan itu perlu bagi menjaga kepentingan pengunjung luar negara beragama Islam di samping menjaga nama baik industri pelancongan negara.


“Kami akan mengadakan kempen ini supaya pengusaha hotel memperoleh sijil halal dari Jakim atau Jabatan Agama Islam Negeri.


“Kami tidak mahu pelancong terutamanya dari Timur Tengah yang datang beramai-ramai sekarang terperdaya dengan promosi makanan ditawarkan hotel yang tiada sijil halal,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Daripada semakan laman web e-halal Jakim, hanya 60 dapur hotel di seluruh negara mempunyai sijil halal Jakim sedangkan bilangan hotel di Malaysia mencecah lebih 2,000.


Buat permulaan, Wan Mohamad berkata, pihaknya akan mengadakan kempen itu di kawasan peranginan yang menawarkan pakej pelancongan seperti Batu Feringgi, Langkawi, Genting Highlands dan Melaka.


Katanya, Jakim akan berbincang dan menasihati pengusaha hotel terbabit terlebih dulu supaya mendapatkan sijil halal.


“Jika masih ingkar, Jakim akan pergi ke premis itu dan sekiranya tetap berdegil, kami akan umumkan nama hotel berkenaan.


“Operasi ini sudah bermula, tetapi akan dibuat secara besar-besaran dalam tempoh terdekat,” katanya.


Sementara itu, katanya, semua hotel bertaraf tiga bintang ke atas di Sarawak mempunyai sijil halal. “Ini disebabkan polisi kerajaan Sarawak bahawa acara rasmi kerajaan negeri hanya diadakan di hotel yang mempunyai sijil halal,” katanya. - Bernama.

Baca Lagi...

4 PELAJAR LAHIR ANAK LUAR NIKAH

KUALA TERENGGANU: Mengejutkan apabila empat pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di daerah ini melahirkan anak luar nikah hasil hubungan dengan teman lelaki masing-masing sejak pertengahan tahun lalu.
Difahamkan pelajar perempuan berkenaan yang terjebak dengan gejala sosial belajar di tingkatan tiga dan enam melahirkan anak di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sejak April tahun lalu. Dalam kes terbaru, seorang pelajar tingkatan tiga pula melahirkan seorang bayi lelaki di HSNZ, Ahad lalu. Harian Metro difahamkan 16 lagi pelajar perempuan sekolah itu kini disahkan mengandung anak luar nikah hasil hubungan dengan teman lelaki termasuk rakan sekelas mereka.


Lantaran kes memalukan itu, ramai pihak termasuk ibu bapa pelajar terbabit dikatakan cuba menyembunyikan kelahiran berkenaan tetapi ia bocor apabila seorang pelajar mendedahkannya kepada Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, baru-baru ini.


Berikutan itu, PIBG mengadakan mesyuarat tergempar malam kelmarin bagi membincang masalah itu tetapi pengetua sekolah berkenaan tidak hadir dalam mesyuarat itu.


Seorang ahli jawatankuasa PIBG sekolah terbabit yang enggan namanya disiarkan berkata pihak sekolah hanya mengetahui perkara itu selepas seorang pelajar melahirkan anaknya, baru-baru ini.


Katanya, dalam usaha menyembunyikan kejadian memalukan itu, seorang daripada pelajar terbabit sanggup membuat permohonan bertukar ke sebuah sekolah menengah di Setiu selepas mengetahui dia mengandung enam bulan. Bagaimanapun, katanya usaha pelajar itu berpindah sekolah tidak berhasil kerana bapa saudaranya yang tinggal di daerah berkenaan enggan menerimanya tinggal bersama kerana mengetahui dia mengandung anak luar nikah. “Pelajar berkenaan tiada pilihan dan melahirkan seorang anak lelaki pada 26 April lalu. Tidak tahan menanggung malu, pelajar berkenaan kini bertukar ke sebuah sekolah lain di daerah ini dan akan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) September ini,” katanya.


Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd Rahman, berkata beliau sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dan meminta pegawai Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) membuat siasatan lanjut. “Setakat ini kita sudah dimaklumkan bahawa empat pelajar sekolah itu sudah melahirkan anak,” katanya sambil menambah pihaknya kesal dan terkejut dengan perkembangan berkenaan.

Baca Lagi...

MAUT TERTELAN GAM

ALOR SETAR: Akibat gurauan ‘terlampau’ rakan sekelasnya, seorang pelajar perempuan Tahun 3 Sekolah Kebangsaan Alor Mengkudu di sini, menemui ajal dipercayai akibat tertelan gam jenis gel dalam kelasnya, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa Nor Awatif Azzalayla, 9, yang menghidap penyakit asma sesak nafas selepas mengunyah gam berkenaan yang disangka jeli.


Difahamkan, mangsa diberikan gam yang disangkanya jeli itu oleh rakannya dan dia terus memasukkan gam gel berkenaan ke dalam mulutnya sebelum pengsan di dalam kelas.


Guru sekolah itu yang diberitahu mengenai kejadian terbabit bergegas menghantar mangsa ke sebuah klinik berhampiran di Simpang Kuala di sini, untuk mendapatkan rawatan lanjut.


Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di klinik berkenaan sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tindakan lanjut.


Seorang ahli keluarga terdekat mangsa yang enggan dikenali berkata, mangsa bergurau dengan rakan sekelasnya sebelum dia tertelan gam gel berkenaan.


“Saya diberitahu rakan sekelas anak saudara saya, arwah dipercayai menelan gam gel yang diberikan rakannya kerana menyangka gam itu jeli dan terus memakannya. Anak saudara saya tidak mengetahui rakannya mahu bergurau. “Saya diberitahu selepas itu pihak sekolah menghantarnya ke kilinik di Simpang Kuala sebelum kes itu dirujuk ke HSB kerana mangsa sudah meninggal dunia,” katanya yang ditemui di rumahnya di Alor Mengkudu di sini, semalam.


Beberapa rakan sekelas mangsa ketika ditemui di rumahnya memberitahu mangsa menelan gam gel yang diberikan seorang rakan mereka beberapa minit sebelum sesi pagi persekolahan berakhir. Beliau berkata, mangsa anak bongsu daripada tiga beradik menghidap penyakit asma.


Ibu mangsa yang ditemui di pekarangan Unit Forensik HSB enggan ditemubual kerana terlalu sedih, manakala bapa tiri mangsa yang juga Penolong Pegawai Daerah Baling juga enggan ditemubual.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Abd Ghafar Rajab ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu, namun memberitahu laporan bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia selepas mengalami pendarahan dalam selaput otak.


“Mangsa turut menghidap asma dan hasil laporan bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat pendarahan dalam selaput otak.

Baca Lagi...

BIDIK DAHI

KUALA LUMPUR: “Saya hanya ingat mati dan berserah kepada Allah sebaik saja cahaya laser senjata seorang unit komando tentera laut Israel dihalakan tepat ke dahi saya,” kata Ashwad Ismail, 25, wartawan Astro Awani ketika dihubungi sejurus melepasi sempadan Israel-Jordan, semalam.
Beliau antara 12 rakyat negara ini terselamat dalam serangan komando rejim Zionis pada Ahad lalu terhadap kapal Turki, Marvi Marmara yang membawa misi bantuan kemanusiaan bersama kira-kira 700 anak kapal lain ke Semenanjung Gaza untuk penduduk Palestin.


Ashwad berkata dalam kejadian jam 4.15 pagi waktu Turki itu, dia dimaklumkan serangan tentera Israel membabitkan 19 bot komando, empat kapal perang, tiga helikopter dan tiga kapal selam.


“Ketika itu saya bersama jurukamera saya (Shamsul Kamal Latip, 38) dan beberapa sukarelawan lain berada dalam bilik rehat di tingkat tiga kapal. Kami terdengar tembakan bertubi-tubi dan letupan, menyebabkan masing-masing bertempiaran lari menyelamatkan diri.


“Ketika itu saya terpisah dengan Shamsul Kamal, tetapi saya masih mengambil gambar kejadian dengan kamera digital milik saya. Saya menuju bahagian belakang kapal dengan harapan bersembunyi, tetapi langkah saya terhenti apabila menyedari pancaran laser merah dihalakan tepat ke dahi saya oleh komando Israel.


“Anggota komando Israel itu merampas semua barang saya hingga tinggal sehelai sepinggang sebelum mengikat tangan saya dan semua tawanan lain dengan tali kabel. Saya diarahkan berkumpul bersama anak kapal lain yang ditahan. Kami diarahkan duduk dalam beberapa kumpulan di lokasi berasingan dalam kapal,” katanya.


Menurutnya, kebimbangan maklumat mengenai serangan kapal misi keamanan itu bocor kepada umum menyebabkan tentera Israel sanggup merampas apa saja peralatan komunikasi termasuk pen kerana ingin memastikan kekejaman yang berlaku itu tidak dihebahkan ke pengetahuan masyarakat antarabangsa Ashwad berkata, menurut rakan dalam misi itu, antara tembakan terawal Israel terhadap anak kapal Marvi Marmara ditujukan kepada jurukamera stesen televisyen dari Turki yang membuat siaran langsung kejadian terbabit.


“Komando Israel sengaja menembak di bahagian tangan jurukamera itu untuk memastikan kamera videonya terlepas. Selepas itu, komando Israel menggeledah dan merampas segala alat komunikasi termasuk telefon bimbit, komputer riba, buku catatan, kamera dan pen. Tetapi buku catatan saya tidak dirampas sebab ditulis dalam bahasa Melayu...mungkin komando itu tak faham,” katanya.


Katanya, jika dianalisis kembali, siaran berhubung kejadian itu yang disiarkan media pro Zionis diputar belit kononnya aktivis kemanusiaan terlebih dulu melakukan provokasi walaupun realiti sebaliknya.


Menurutnya, tragedi serangan itu membuka mata dunia mengenai halangan hak kemanusiaan terburuk dan kejam bukan saja kepada misi berkenaan, malah penduduk Palestin yang mengalaminya sejak 1948 ketika Israel ditubuhkan.


Ashwad berkata, selepas ditawan kapal terbabit kemudian menuju ke Pelabuhan Ashdod yang mengambil masa kira-kira 15 jam perjalanan dari lokasi serangan Israel di perairan antarabangsa itu.

Katanya, setiba di Pelabuhan Ashdod, proses untuk keluar dari kapal saja memakan masa hampir 12 jam apabila regim Zionis itu melakukan pemeriksaan seorang demi seorang tawanan dengan prosedur terlalu ketat.


“Pakaian kami dipaksa ditanggalkan semuanya ketika pemeriksaan dilakukan, manakala untuk pemeriksaan semua dokumen itu mengambil masa lebih satu jam.


“Ketika itu, Tuhan yang tahu betapa kasarnya tentera Israel memperlakukan kami tanpa perikemanusiaan. Kami kemudian dibawa ke Penjara Be’er Sheva, Israel dengan menggunakan bas dalam perjalanan selama dua jam...bas yang hanya sesuai untuk pengganas,” katanya.


Menurutnya, Be’er Sheva penjara baru dan kumpulan misi itu ‘banduan’ pertama ditahan di dalam sel berasingan penjara berkenaan. Katanya, dia dan kumpulan misi itu menjangka berada dalam tempoh masa lama dalam penjara terbabit sebelum didatangi wakil dari Pertubuhan Palang Merah dan Kedutaan Jordan yang membawa berita gembira iaitu mereka dibebaskan.

Semalam rombongan misi kemanusiaan daripada Malaysia dibebaskan rejim Zionis sebelum diiringi dengan ketat hingga sempadan King Hussein memisahkan Jordan dan Israel.


Ashwad berkata, rombongan itu kemudian ditempatkan di Hotel Crowne Plaza di Amman, Jordan sebelum disambut Duta Besar Malaysia ke Jordan Datuk Abdul Malek Abdul Aziz.


“Sebaik melepasi sempadan, saya ucap kesyukuran kepada Allah lebih-lebih lagi selepas lebih 16 jam berada di Penjara Be’er Sheva, Israel,” katanya.


Menurutnya, layanan Israel terhadap sukarelawan misi membawa keamanan termasuk bantuan makanan itu bagaikan banduan apabila diperlakukan dengan kasar

Baca Lagi...

SETAN DICEKUP

KUALA LUMPUR: Jenayah tidak mengenal sesiapa. Itulah kejadian yang berlaku kepada Ketua Balai Polis Bandar Sunway berpangkat inspektor berusia 45 tahun apabila dia cedera selepas dibelasah pasangan dua beradik digelar ‘setan kembar’, Ahad lalu.
Bertambah malang, apabila kejadian buruk itu menyebabkan mangsa yang baru ditugaskan ke jawatan berkenaan lapan hari lalu cedera parah di kepala selepas dihentak dengan topi keledar.


Difahamkan, kedua-dua suspek terbabit berada di bawah pengaruh dadah ketika melakukan perbuatan itu.


Semuanya bermula kira-kira jam 4 pagi apabila pegawai terbabit yang berada di Balai Polis Bandar Sunway di sini, didatangi seorang pengadu warga Nigeria berusia lewat 30-an mendakwa dipukul dua samseng ketika berada di sebuah restoran.


Difahamkan, restoran berkenaan terletak kurang 50 meter dari balai polis berkenaan.


Menurut sumber, sebaik menerima maklumat terbabit, mangsa bersama dua anggota serta pengadu bergegas ke restoran berkenaan untuk memberkas kedua-dua suspek yang berusia awal 20-an.


“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa menunjukkan kad kuasanya kepada dua beradik itu sebelum mengarahkan mereka mengikutnya ke balai polis untuk siasatan lanjut.


“Bagaimanapun, tindakannya itu mengundang padah apabila seorang daripada suspek menyerangnya menggunakan topi keledar.


“Suspek meluru ke arah mangsa sebelum menghentak kepalanya menggunakan topi keledar beberapa kali,” katanya.


Tersentak dengan itu, mangsa berusaha mempertahankan diri menyebabkan berlaku pergelutan lebih 10 minit.


Difahamkan, adik kepada suspek kemudian cuba membantu abangnya.

Sumber berkata, dua anggota polis dan warga Nigeria yang mengikut mangsa kemudian meleraikan pergelutan berkenaan.


Pasangan adik-beradik itu kemudian diberkas sebelum dibawa ke Balai Polis Bandar Sunway di sini untuk siasatan lanjut.


Sumber berkata, mangsa kemudian dihantar ke pusat rawatan berhampiran .


Difahamkan, mangsa menerima lebih tiga jahitan di kepala akibat terkena hentakan suspek.

Sumber berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati pasangan adik-beradik terbabit positif dadah.


Kedua-dua beradik itu ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan.


Sementara itu, Ketua Polis Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar ketika dihubungi, berkata kedua-dua suspek sudah ditahan.


Kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 353 menggunakan kekerasan menghalang penjawat awam melakukan tugas.

Baca Lagi...

28 JAM RASAI AZAB PALESTIN

# Diacu laser raifal ke dahi
# Merangkak celah mayat
# Tak diberi makan, minum
# Tangan diikat sampai kebas

KUALA LUMPUR: Diacu raifal dengan laser senjata disasarkan ke dahi dan terpaksa merangkak di celah mayat bergelimpangan serta berlumuran darah, adalah antara episod ngeri yang dilalui wartawan penyiaran Astro Awani, Ashwad Ismail, dalam serangan tentera Israel ke atas kapal membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, Ahad lalu.
Ashwad yang menyertai misi itu bersama jurukamera, Samsul Kamal Abdul Latip dan 10 rakyat Malaysia lain, turut menceritakan layanan buruk tentera Israel terhadap mereka sepanjang ditahan sebelum dibebaskan, kelmarin.

Berikut adalah rentetan pengalaman yang diceritakan Ashwad ketika dihubungi Berita Harian, beberapa jam selepas beliau tiba di Amman, Jordan, semalam.

“Tempoh 28 jam diserang dan ditawan tentera Israel dalam kapal sudah cukup untuk saya merasai penderitaan enam dekad warga Palestin berdepan dengan kekejaman regim Yahudi itu. Perasaan takut, marah dan panik bercampur baur, apatah lagi apabila terpaksa berdepan senjata mereka yang setiap saat diacu ke arah kami.
Episod ngeri itu bermula pada jam 4.30 pagi (waktu Turki) Ahad lalu, sejurus kapal Mavi Marmara memasuki perairan antarabangsa apabila tiga kapal perang Israel yang diiringi 16 bot laju komando mengepung kapal kami.

Tidak ada jalan lain untuk menghalang mereka menaiki kapal, melainkan penjaga keselamatan kapal terpaksa menyembur air ke arah mereka. Itupun tidaklah sekuat mana, berbeza sekali dengan dakwaan media Barat yang mendakwa Mavi Marmara memulakan serangan ke atas tentera Israel.

Selama hampir satu jam kami bergelut menghalang mereka menawan kapal sebelum kemuncaknya apabila tiga helikopter menurunkan komando di lokasi siaran langsung televisyen sedang dijalankan di mana pada ketika itu dianggarkan antara 30 hingga 40 komando Israel bertindak melepaskan tembakan rambang secara bertubi-tubi bagi mengosongkan kawasan itu.

Siapa yang berani berdepan situasi sebegitu, apatah lagi ia adalah pengalaman ngeri pertama sepanjang saya bertugas sebagai media, terutama apabila melihat sendiri beberapa rakan serombongan tumbang terkena peluru sesat.

Malah, lebih menakutkan apabila sasaran serangan mereka dilihat tidak mengira siapa termasuk wartawan dan jurugambar. Ada beberapa jurugambar ditembak di tangan untuk memaksa mereka melepaskan kamera.

Saya dan beberapa rakan lain ketika itu hanya mampu berlindung di sebalik tiang kapal dan berlari ke sana sini bagi mengelak terkena tembakan sebelum terpaku apabila cahaya laser senjata mereka disasarkan ke dahi saya.

Sukar digambarkan betapa saya terpaksa merangkak di celah mayat bergelimpangan dan berlumuran darah untuk menyelamatkan diri selepas seorang penumpang kapal di sebelah saya ditembak dengan peluru getah di dada.

Kira-kira jam 7 pagi, kami semua diikat di tangan dan diarah berkumpul di satu kawasan dalam kapal. Keadaan ketika itu tegang dengan perasaan takut menyelubungi wajah semua tawanan apatah lagi muncung senjata tentera Israel sentiasa diacu ke arah kami.

Sejak itu, kami langsung tidak diberi makan atau minum, malah tidak dibenarkan ke tandas. Bayangkan beberapa warga emas, terutama yang menghidap diabetes terpaksa menahan sakit untuk membuang air kecil kerana ketegasan tentera Israel yang langsung tidak bersimpati terhadap mereka.

Mujurlah, selepas berkali-kali dirayu, baru beberapa orang dibenarkan ke tandas, itupun dengan kawalan sangat ketat dan diperlakukan umpama banduan sedangkan mereka semua tidak berdaya dan sekadar orang awam yang tidak berbahaya.

Ketika itu juga, semua kamera, komputer riba serta pen dirampas dan dihancurkan tentera Israel. Apa saja bahan yang merakamkan kejadian serangan itu, turut dihapuskan. Apa yang tinggal pada kami hanya dompet dan dokumen seperti pasport.

Sakit di tangan juga mula terasa dan kebas seperti darah tidak mengalir kerana ikatan itu sangat kuat. Nak bergerak pun sukar kerana cahaya laser senjata mereka sentiasa disasar di dada kami. Bagi menghilangkan dahaga pula, kami terpaksa meminum sisa air dalam botol minuman berhampiran kami. Paling tak dapat dilupakan, satu bar Snickers dikongsi 30 orang untuk sekurang-kurangnya memberi sedikit tenaga.

Sebaik kapal kami berlabuh di Ashdod, Israel, proses untuk keluar dari kapal saja mengambil masa hampir 12 jam. Habis semua pakaian kami ditanggalkan ketika pemeriksaan dibuat. Pemeriksaan semua dokumen itu saja mengambil masa lebih satu jam.

Ketika itu, Tuhan saja yang tahu betapa kasarnya tentera Israel memperlakukan kami meskipun sekadar orang awam. Sudahlah diperlakukan seumpama banduan, kami turut dibawa ke Be'er Sheva, lokasi penjara baru Israel menggunakan bas yang hanya sesuai untuk membawa pengganas dalam perjalanan selama dua jam.

Be'er Sheva adalah penjara baru. Jadi, kami boleh dikatakan tahanan pertama yang merasmikannya. Selepas semua dokumen kami diserahkan kembali, barulah kami dapat merasa sedikit makanan, itupun hanya air mineral, sedikit sayur dan roti. Itu sajalah makanan yang dapat kami jamah sepanjang lebih 15 jam ditahan di penjara itu.

Jika hendak digambarkan keganasan tentera Israel memang sukar, tetapi cukuplah sekadar dikatakan bahawa mereka langsung tidak ada belas kasihan, tidak peduli apa yang diminta walau puas dirayu dan herdikan mereka menjadi teman sepanjang kami ditawan.

Layanan terhadap kami juga tak ubah seperti banduan. Ditolak ke sana sini dengan sangat kasar. Ketika itu, tiada perkara lain yang berlegar dalam kotak fikiran kecuali rasa marah dan berserah. Melihat kepada situasi yang kami hadapi itu, sukar untuk diagak sama ada kami bakal dibebaskan atau sebaliknya.

Mulanya, kami menjangka akan lama merengkuk di penjara sehinggalah kami didatangi wakil dari Pertubuhan Palang Merah dan Kedutaan Jordan yang membawa berita gembira, iaitu kami akan dibebaskan tidak lama lagi.

Tepat jam 8 pagi kelmarin kami dibebaskan tetapi terpaksa menjalani beberapa pemeriksaan sebelum dibenarkan menaiki bas pada jam 6.30 petang. Selepas perjalanan meletihkan hampir 12 jam, kami akhirnya sampai di sempadan Jordan dan dibawa ke sebuah hotel di Amman.

Baca Lagi...

KORBAN LAUT

KOTA BHARU: Niat dua sahabat untuk belajar berkumpulan bagi menghadapi peperiksaan penggal berakhir tragedi apabila mereka lemas ketika mandi di Pantai Dasar Sabak dekat Pengkalan Chepa di sini, kira-kira 4 petang semalam.
Kejadian itu disedari rakan mereka sebaik melihat mangsa, Mohd Amirul Zahari, 14, bersama rakan sebayanya, Tuan Asyraf Tuan Nordin, dalam keadaan tangan terkapai-kapai dihanyutkan ombak. Sambil meminta tolong, lima sahabat yang berada di kawasan itu tidak mampu berbuat apa-apa berikutan kedudukan mereka terlalu jauh dari mangsa terbabit selain tidak tahu berenang. Senario itu menyebabkan mereka terpaksa mendapatkan bantuan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kelantan termasuk menggunakan khidmat Unit Skuba bagi mengesan kedudukan mangsa sebelum mayat Mohd Amirul ditemui pada jam 6.50 petang.


Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya, manakala jasad Tuan Asyraf masih gagal ditemui. Difahamkan, kejadian berlaku sebaik tujuh sahabat pulang dari sekolah, mereka me rancang memancing di kawasan terbabit.


Bagaimanapun, tanpa diketahui rakannya yang lain, kedua-dua mangsa bertolak dari rumah di Padang Tembak, di sini menuju ke pantai itu yang terletak di belakang pusat pelupusan sampah di Teluk Kitang. Mereka hanya beritahu keluarga untuk mengulang kaji pelajaran bersama rakan, sebelum berita menyedihkan itu diterima keluarga mangsa.


Rakan mangsa, Nik Mohd Fazri Hanif Che Hashim, 14, berkata, dia tidak menyangka kehilangan rakan karibnya selepas merancang memancing bersama selepas waktu persekolahan.


“Sebaik sesi sekolah berakhir semalam, kami bertujuh sepakat pergi memancing di pantai berkenaan “Namun, Amirul dan Asyraf bertolak dari rumah mereka dan pergi ke pantai itu yang terletak di belakang kawasan pusat pelupusan sampah,” katanya mengimbau rancangan diatur petang semalam.

Baca Lagi...

PUKULAN ANAK DERHAKA

AMPANG: Hanya kerana tidak mahu memperlahankan bunyi televisyen, seorang bapa cedera di kepala dan badan selepas dibelasah menggunakan topi keledar oleh anak lelakinya.
Difahamkan, kejadian berlaku Sabtu lalu kira-kira jam 9 malam ketika dua beranak terbabit berada di ruang tamu di rumah mereka di Pandan Indah di sini.


Ketika itu, mangsa yang berusia 40-an menonton televisyen dengan bunyi yang dipasang agak kuat menyebabkan anaknya menegur perbuatannya.


Menurut sumber, anak mangsa yang berusia 19 tahun terbabit meninggikan suara meminta bapanya memperlahankan bunyi televisyen itu.


“Mangsa yang tidak berpuas hati menegur sikap anaknya yang dianggap biadab. Tindakan itu menyebabkan berlaku pertengkaran.


“Dalam pertengkaran itu, anak lelakinya tiba-tiba naik marah lalu memukul kepala dan badan mangsa menggunakan topi keledar berkali-kali. Pergaduhan dua beranak itu hanya berakhir selepas anak mangsa keluar dari rumah.


“Mangsa yang cedera di kepala dan badan pergi ke Hospital Ampang untuk mendapat rawatan sebelum membuat laporan polis.


“Susulan laporan itu, polis menahan anak lelaki mangsa dan kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan, berkata pihaknya menahan anak lelaki terbabit sebaik laporan kejadian itu dibuat bapanya dan remaja terbabit akan didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.


“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada rasa tidak puas hati remaja terbabit dengan sikap bapanya yang gemar memasang bunyi televisyen dengan kuat apabila menontonnya,” katanya.

Baca Lagi...

KUTUK ISRAEL

KUALA LUMPUR: Lebih 1,000 orang berkumpul secara aman bagi membantah dan mengutuk kekejaman Israel terhadap kumpulan misi kemanusiaan ke Gaza, di depan bangunan kedutaan Amerika Syarikat, Jalan Tun Razak, di sini, semalam.

Protes yang bermula kira-kira jam 10.30 pagi itu disertai pelbagai wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan sepanduk, laungan takbir dan kecaman ke atas rejim zionis terbabit, antara lain berbunyi “hidup hidup, hidup Islam, jahanam jahanam, jahanam Israel.”
Wakil NGO terbabit termasuk daripada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), pelajar Palestin dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).
Dalam kesempatan itu wakil NGO terbabit turut menyampaikan kertas kecaman dan nota bantahan kepada Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu melalui penasihat politik di kedutaan terbabit, Brian Mc Feeters.
Mereka kemudian bersurai dan beredar dari perkarangan kedutaan itu kira-kira jam 11.30 pagi. Kira-kira setengah jam kemudian satu lagi protes secara aman diadakan, yang membabitkan sekumpulan pihak dari parti pembangkang.
Setiausaha Agung Abim, Mohamad Raimi Ab Rahim, berkata pihaknya mengecam tindakan Israel yang menggunakan kekerasan dan bertindak ala ketenteraan terhadap konvoi kemanusiaan.
Menurutnya, konvoi kemanusiaan itu dilakukan selepas semua kaedah untuk menghantar bantuan melalui jalan darat disekat.
“Ini usaha kerjasama di peringkat antarabangsa yang diiktiraf lebih daripada enam negara dan kami kesal tindakan kejam dilakukan Israel.
“Kami menyeru supaya rakyat Malaysia menyatakan sokongan dan dokongan bersama kepada bantahan ini supaya dapat mendesak masyarakat antarabangsa bertindak,” katanya.
Beliau memuji langkah Wisma Putra dalam menangani isu terbabit dan berharap kerajaan terus mengambil tindakan proaktif untuk mendesak kekejaman Israel dapat dihentikan.
Ketua Pasukan Pengurusan Krisis Talian Hayat Untuk Gaza, Zulkifli Mohd Nani, berkata protes pihaknya terhadap Israel di kedutaan Amerika Syarikat itu juga diadakan dengan harapan Amerika Syarikat menyediakan maklumat berkaitan 12 rakyat Malaysia di dalam misi terbabit.
Beliau berkata, pihaknya berharap sukarelawan terbabit diberikan perlindungan dan rawatan sekiranya tercedera, malah dibenarkan memasuki Gaza.
“Semua rakyat Malaysia tanpa mengira agama, warna kulit dan ideologi politik digesa bersama menunjukkan protes. Semua pihak perlu bergabung tenaga, jika kita semua dapat memainkan peranan kita, kita yakin kita akan mendapatkan kejayaan untuk konvoi,” katanya.
Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali, berkata pihaknya terpanggil mengadakan protes terbabit bagi melahirkan keprihatinan terhadap sukarelawan misi kemanusiaan ke Gaza yang menjadi mangsa serangan Israel.
Beliau berkata, pihaknya mengulangi kutukan dan kecaman terhadap Israel dan Amerika yang menjadi pelindung kepada Israel.

Baca Lagi...

KAMI REDHA

IPOH: “Kami reda jika suami terkorban dan menganggapnya sebagai ketentuan Allah serta kami rela jika dia dikebumikan di Palestin.
“Tipu jika kami katakan tidak sedih jika ia berlaku. Tapi dalam situasi sekarang, kami dan anak tabahkan hati dan yakin setiap yang berlaku itu kehendak Allah. Kami berdoa yang terbaik saja untuk suami,” kata Faezah Hassan, 52, dan Norizan Lazim, 54, isteri Dr Selamat Aliman, 54, sukarelawan Malaysia ke Gaza yang menjadi tebusan tentera Israel.


Selamat dan lapan lagi sukarelawan Misi Lifeline 4 Gaza (LL4G) serta dua krew televisyen Astro Awani yang berada atas kapal Mavi Marmara, diserang tentera Israel ketika misi kemanusiaan menghantar bantuan penduduk Palestin di Semenanjung Gaza, pagi kelmarin.


Namun, ketika diberitahu penulis bahawa Wisma Putra mengesahkan bahawa nasib semua rakyat Malaysia di atas kapal berkenaan selamat, Faezah berkata, hatinya tidak tenteram selagi tidak mendengar suara suaminya.


“Sudah pasti ia berita paling menggembirakan, tambahan suami juga bernama Selamat. Namun, seperti saya katakan, saya dan madu serta anak bersedia menghadapi apa juga kemungkinan.


“Kami hanya yakin dia selamat jika dapat mendengar suaranya. Saya cukup mengenali suami dan perkara pertama dia lakukan dalam situasi dihadapinya sekarang, menghubungi keluarganya. “Justeru, dia sekarang mungkin ditahan di penjara Israel atau telefon bimbitnya tiada liputan atau kehabisan bateri. Buat masa sekarang, kami berdoa dan menanti panggilan daripadanya,” kata Faezah ketika ditemui di rumahnya di Taman Rapat Setia Baru dekat sini, semalam.


Faezah berkata, kali terakhir dia berkomunikasi dengan Selamat menerusi sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) dihantar suaminya pada jam 3.55 petang, Jumaat lalu.


“Dalam SMS itu, suami memberitahu selepas 10 jam berlayar baru ada liputan telekomunikasi. Justeru, perkara pertama lakukan menghantar SMS berkenaan. Katanya, dia dan rakannya hampir dua pertiga perjalanan untuk sampai ke Gaza.


“Menurutnya, terdapat individu terdiri daripada pelbagai bangsa, agama dan fahaman politik di atas kapal itu. Namun, dia memberitahu mereka membincangkan mengenai beberapa senario buruk mungkin berlaku apabila kapal menghampiri kira-kira 40 kilometer dari perairan Gaza.


“Salah satu kemungkinan kapal ditawan komando Israel dan ia dibawa ke pelabuhan Asroud di Israel. Namun, dia yakin pengendali misi diketuai NGO dari Turki, Insani Yardim Vakfi (IHH) bersedia dengan segala kemungkinan,” katanya.


Sementara itu, Norizan berkata, dalam SMS itu lagi, Selamat memberitahu kapal dinaikinya kapal kemanusiaan dan tidak membawa sebarang senjata, sebaliknya senjata mereka ialah media dari seluruh dunia.

Baca Lagi...

Template by : kendhin x-template.blogspot.com