GEMPUR HOTEL

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan ‘menggempur’ hotel di seluruh negara bagi memastikan premis berkenaan memiliki sijil halal diiktiraf.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, pendekatan itu perlu bagi menjaga kepentingan pengunjung luar negara beragama Islam di samping menjaga nama baik industri pelancongan negara.


“Kami akan mengadakan kempen ini supaya pengusaha hotel memperoleh sijil halal dari Jakim atau Jabatan Agama Islam Negeri.


“Kami tidak mahu pelancong terutamanya dari Timur Tengah yang datang beramai-ramai sekarang terperdaya dengan promosi makanan ditawarkan hotel yang tiada sijil halal,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Daripada semakan laman web e-halal Jakim, hanya 60 dapur hotel di seluruh negara mempunyai sijil halal Jakim sedangkan bilangan hotel di Malaysia mencecah lebih 2,000.


Buat permulaan, Wan Mohamad berkata, pihaknya akan mengadakan kempen itu di kawasan peranginan yang menawarkan pakej pelancongan seperti Batu Feringgi, Langkawi, Genting Highlands dan Melaka.


Katanya, Jakim akan berbincang dan menasihati pengusaha hotel terbabit terlebih dulu supaya mendapatkan sijil halal.


“Jika masih ingkar, Jakim akan pergi ke premis itu dan sekiranya tetap berdegil, kami akan umumkan nama hotel berkenaan.


“Operasi ini sudah bermula, tetapi akan dibuat secara besar-besaran dalam tempoh terdekat,” katanya.


Sementara itu, katanya, semua hotel bertaraf tiga bintang ke atas di Sarawak mempunyai sijil halal. “Ini disebabkan polisi kerajaan Sarawak bahawa acara rasmi kerajaan negeri hanya diadakan di hotel yang mempunyai sijil halal,” katanya. - Bernama.

Template by : kendhin x-template.blogspot.com