PELACURAN REMAJA MENINGKAT DI BANDUNG

JAKARTA 20 Jun - Pihak berkuasa Bandung tenggelam punca apabila menemui kes-kes pelacuran tersembunyi yang membabitkan pelajar sekolah menengah, yang mana bilangannya semakin meningkat di ibu negeri Jawa Barat ini.

Mentor program sokongan pekerja seks Rumah Kumpulan Cemara di Bandung, Eli berkata, ia adalah sesuatu yang sukar untuk memberi bimbingan kepada golongan remaja yang terlibat dalam kes pelacuran kerana kebanyakan mereka tidak menerimanya.

Jumlah mereka yang terlibat dengan pelacuran tersembunyi itu dipercayai lebih tinggi berbanding pelacuran komersial yang terbuka, katanya kepada The Jakarta Post.

Eli telah memberikan bimbingan kepada lebih 200 orang suri rumah dan pekerja seks kanak-kanak dalam tempoh dua tahun lepas. Kira-kira 20 orang daripadanya adalah pelajar sekolah menengah lingkungan umur di antara 15 dan 16 tahun.

"Keadaan psikologi mereka tidak stabil pada umur berkenaan. Sangat sukar bagi mereka untuk mengatasi keadaan tersebut disebabkan dorongan untuk mendapatkan wang misalnya bagi membeli telefon bimbit dan kasut," kata Eli selepas menghadiri program perbincangan Menyelamat dan Mencegah Eksploitasi Seks Kanak-Kanak (ESKA) di Bandung.

Dia khuatir penularan penyakit kelamin seperti HIV/AIDS sukar dibendung di kalangan belia kerana golongan sasaran sukar dikesan.

Program ESKA meletakkan sasaran untuk menyelamatkan 300 daripada 1,000 kanak-kanak yang dianggarkan oleh badan Selamatkan Kanak-Kanak daripada Pelacuran.

Satu kes pelacuran kanak-kanak kini sedang disiasat oleh pihak polis Jawa Barat dimana ia melibatkan gadis berumur 15 tahun yang menjual dirinya pada harga AS$555 (RM1,805) kerana mahu membeli telefon bimbit dan pendakap gigi.

Pegawai badan Selamatkan Kanak-Kanak di Jawa Barat, Eko Kriswanto berkata, sumbangan teknologi moden adalah satu punca yang menyukarkan pendedahan pelacuran tersembunyi di kalangan kanak-kanak.

Katanya, sejak program itu diperkenalkan di Bandung pada tahun 2002, ia mula menampakkan perubahan sikap terhadap pelacur kerja seks kanak-kanak.

"Sebelum ini, pelacuran dikatakan secara terbuka di daerah atau lorong-lorong pelacuran. Kini, mereka boleh melakukan urus niaga tanpa dikesan seperti menerusi laman sosial Facebook atau emel dan telefon bimbit," kata Eko.

Ketua Bahagian Perlindungan Hak Kanak-Kanak dan Wanita di Pejabat Memperkasakan Wanita dan Perancangan Keluarga, Neti Supriati berkata, kerajaan hanya mengenal pasti kes dan menyediakan kaunseling kepada mangsa kekejaman seks.

Namun tambahnya, kerajaan belum lagi membuat satu gerakan agar masalah pelacuran di kalangan kanak-kanak dapat dibendung.

Template by : kendhin x-template.blogspot.com