DADAH DALAM BENANG

AMPANG: Bagi mengelak kegiatan jenayah dihidu polis, tiga pengedar dadah Geng Aceh mencipta taktik baru menyembunyikan bahan terlarang jenis methamphetamine atau syabu dalam gelung benang jahitan.
Benang berisi dadah itu hanya dijual kepada pelanggan yang menyebut kata laluan rahsia ‘mahu beli satu buku benang’ kepada pengedar terbabit yang juga pemilik kedai runcit di kawasan Taman Keramat Permai, di sini.


Difahamkan, kegiatan suspek sebelum ini gagal dihidu berikutan kelicikannya menyembunyikan kegiatannya di sebalik aktiviti perniagaan kedai runcit selain dadah berkenaan disorok dalam gelung benang kecil.


Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, kegiatan suspek bagaimanapun dipatahkan selepas sepasukan polis dari Bahagian Siasatan jenayah Narkotik Ampang melakukan serbuan di kedai runcit miliknya dan sebuah rumah di Taman Keramat Permai, di sini.


Dalam serbuan jam 12.30 tengah malam kelmarin, polis memberkas tiga lelaki warga Aceh termasuk seorangnya yang memperoleh taraf penduduk tetap (PR) .


“Lelaki berstatus PR berusia 41 tahun ditahan itu pemilik kedai runcit yang mengusahakannya bersama dua suspek lain berusia 22 dan 45 tahun. Mereka dipercayai menjalankan kegiatan menjual dadah jenis syabu itu sejak lebih enam bulan lalu.


“Siasatan lanjut polis menemui 45 peket plastik lut sinar dadah jenis syabu seberat 5.5 gram. Empat dari paket dadah terbabit ditemui disembunyikan di dalam baju dipakai suspek dan 36 peket lagi di bawah almari pakaian,” katanya.


Menurutnya, polis turut menemui lima peket dadah disembunyikan di dalam gelung benang disimpan di dalam kedai runcit terbabit, selain beribu kotak rokok seludup turut dijual suspek di kedainya.


“Suspek menjual dadah di dalam gelung benang dengan harga antara RM50 hingga RM100 setiap satu berdasarkan berat dadah diminta. Taktik sembunyi dadah itu sukar dikesan berikutan modus operandi itu kali pertama didedahkan setakat ini,” katanya.


Menurutnya, benang berharga 90 sen setiap satu itu memberi keuntungan berlipat kali ganda kepada sindiket pengedaran dadah berkenaan dikesan mendapat bekalan dadah daripada pengedar di Chow Kit di sini.

Template by : kendhin x-template.blogspot.com