SAO PAULO 19 Dis. – Pakar-pakar bedah Brazil semalam berjaya mengeluarkan empat batang jarum dari paru-paru dan kawasan berhampiran jantung seorang budak lelaki berusia dua tahun yang dilakukan oleh bapa tirinya dalam upacara sihir selama sebulan.
Pembedahan berjalan selama hampir lima jam dan kini kanak-kanak itu berada dalam keadaan stabil, kata jurucakap sebuah hospital di timur laut bandar Salvador, Susy Moreno.
“Dia dalam keadaan baik, pembedahan berjaya dilakukan,” katanya dalam satu wawancara menerusi telefon.
Berpuluh-puluh jarum berukuran lima sentimeter masih lagi berada dalam badan budak lelaki itu namun empat jarum yang dikeluarkan adalah yang paling membahayakan nyawanya.
Doktor akan menilai keadaan kanak-kanak malang itu sebelum melakukan sekurang-kurangnya dua pembedahan lagi untuk mengeluarkan lebih banyak jarum.
Polis berkata, bapa tiri budak itu, Roberto Carlos Magalhaes, 30, mengaku memasukkan jarum tersebut atas arahan kekasihnya dalam ritual yang dilakukan selama sebulan supaya mereka kekal bersama.
Pihak berkuasa mengesyaki wanita itu cuba membalas dendam ke atas isteri Magalhaes dengan mempengaruhi lelaki itu untuk melukakan anaknya.
Wanita itu, Angelina Ribeiro dos Santos, membayar sejumlah wang untuk mendapat jarum-jarum yang dijampi oleh bomoh wanita yang mengamalkan Candomble, agama keturunan Afro-Brazil.
Pihak berkuasa menganggarkan terhadap kira-kira 50 jarum dalam badan budak lelaki itu namun selepas beberapa ujian dijalankan, pasukan doktor percaya jumlah yang lebih hampir adalah 30 batang jarum.
Kanak-kanak itu mengalami jangkitan daripada satu jarum namun telah diberikan antibiotik dan berada dalam keadaan stabil serta mampu bernafas sendiri sebelum dibedah.
Magalhaes dan dos Santos kini ditahan di sebuah lokap yang dirahsiakan lokasinya selepas sebuah balai polis yang menempatkan mereka dibaling batu oleh orang ramai.
4 JARUM BERJAYA DIKELUARKAN