JOHOR BAHRU: “Saya tergamam melihat sekeping siling melayang jatuh di depan mata saya sebelum menghiris kelopak bawah mata kiri anak saya di atas katil,” kata Hairiszani Zailani, 29, menceritakan detik cemas bayinya yang baru berusia 24 jam, Puteri Nur Qaseh Damia, dihempap kepingan siling di wad bersalin Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 pagi itu, Puteri Nur Qaseh dilahirkan pada jam 10.32 pagi Rabu lalu dengan berat 3.4 kilogram, nyaris buta dan bahagian mata yang terhiris itu membengkak.
Hairiszani berkata, ketika kejadian dia bersama bapa dan ibu mentua, Rahmat Kastari, 53, serta Safiah Sidek, 52, sedang bersiap membawa pulang anak keduanya itu dari HSA ke rumah, manakala isterinya, Fadzliana, 29, berada di tandas.
Kakitangan kerajaan itu berkata, anaknya pula berada di atas katil sambil ibu mentua membetulkan kain bedung dan tiba-tiba sekeping siling jatuh melayang dan mengenai kelopak bawah mata kiri anaknya.
“Saya terkejut kerana langsung tidak terfikir kejadian itu boleh berlaku di depan mata. Siling itu terus jatuh dan pecah di lantai dan saya dapati darah mula mengalir keluar dari bawah kelopak mata anak saya, manakala habuk bertaburan di tubuhnya.
“Bapa mentua terus mendukung dan melihat keadaan Puteri Nur Qaseh sebelum ibu mentua memberikan anak saya itu kepada jururawat bertugas.
“Jururawat yang menerima anak saya itu membawanya ke bilik rawatan sebelum dihantar ke bilik imbasan X-Ray untuk memeriksa kecederaannya,” katanya.
Menurutnya, doktor pakar yang memeriksa mata kiri anaknya mengesahkan tiada sebarang kecederaan akibat kejadian itu, namun sehingga kini mereka masih menunggu keputusan imbasan X-Ray dilakukan.
Katanya, mereka sekeluarga kesal dengan kejadian berkenaan kerana bangunan kerajaan terutama hospital berfungsi sebagai tempat memulihkan kecederaan dan bukan sebaliknya.
Selepas kejadian itu, katanya, wakil pengurusan hospital menemuinya dan selepas pemeriksaan dilakukan, wad berkenaan dikosongkan bagi mengelak kejadian sama berulang.
“Isteri saya trauma. Walaupun dibenarkan pulang, dia masih enggan berbuat demikian kerana anak kami terpaksa ditahan selama tiga hari lagi untuk menjalani pemeriksaan.
“Jururawat dan doktor memang bertindak pantas merawat kecederaan berkenaan, namun kami terkilan dengan tahap penyelenggaraan hospital sehingga berlaku kejadian tidak diingini.
“Kali ini, mungkin hanya kelopak bawah mata kiri anak saya yang luka tetapi siapa tahu, sekiranya tidak dijadikan pengajaran, kejadian lebih serius berlaku pada masa akan datang,” katanya yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, di sini, kelmarin.
Menurutnya, selepas selesai menjalani imbasan X-Ray anaknya dibawa ke wad kanak-kanak lain tetapi masih ada kesan lebam dan calar di bawah kelopak mata akibat insiden berkenaan.
SILING JATUH HEMPAP BAYI