LONDON 19 Dis. - Eropah hari ini berdepan dengan masalah pengangkutan ketika cuaca sejuk menyelubungi sebahagian benua ini beberapa hari sebelum ketibaan Krismas.
Perkhidmatan kereta api Terowong Channel yang menghubungkan Britain dengan tanah besar Eropah terpaksa ditangguhkan berikutan kerosakan tiga kereta api penumpang Eurostar yang menghalang laluan kedua-dua landasan sehingga penumpang terpaksa dibawa keluar, kata pengendali Eurotunnel kepada pemberita.
Cuaca buruk menjejaskan benua ini dari Britain hingga ke Laut Hitam, dengan salji memenuhi lapangan terbang, jalan raya dan landasan kereta api serta memaksa sekolah ditutup selain masalah bekalan tenaga.
Eurotunnel menyatakan situasi yang berlaku adalah 'tidak dijangka' ketika usaha mengeluarkan penumpang dari terowong bawah laut terpanjang di dunia itu masih diteruskan.
"Setakat ini terowong itu masih ditutup," kata jurucakap tersebut.
Kira-kira 1,300 penumpang dari dua kereta api di satu terowong akan dibawa keluar menggunakan kenderaan dari terowong bersebelahan.
Kereta api ketiga pula dijadualkan untuk ditolak keluar kemudian.
"Ketika ini kami tidak membuat sebarang penentuan masa. Kami berharap semuanya dapat diselesaikan secepat mungkin" kata jurucakap itu lagi.
Kereta api keempat yang rosak telah ditarik kembali ke London sebelum ini.
"Disebabkan cuaca, salji dan kesejukan luar biasa, kami berdepan dengan masalah besar dengan kereta api kami," jelas seorang jurucakap Eurostar.
Katanya, perbezaan suhu luar yang membeku dengan bahagian dalam terowong yang panas menyebabkan kereta api rosak dan gangguan perkhidmatan akan berterusan sepanjang hari ini.
Di Perancis, salji menyebabkan gangguan di Paris dan penerbangan hanya dapat dilakukan di lapangan terbang Charles de Gaulle dan Orly.
Badan kaji cuaca Perancis memberi amaran, lebih banyak salji dan ais akan meliputi utara negara itu, banjaran Alps dan pulau Corsica di Mediterranean
RIBUT SALJI SELUBUNGI SELURUH EROPAH