MISKIN TEGAR MENINGKAT DI PULAU PINANG

BUTTERWORTH 19 Dis. – Setelah hampir dua tahun mentadbir negeri ini, kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng didakwa gagal menghapuskan kemiskinan tegar di negeri ini, sebaliknya meningkat.

Ketua Pembangkang, Datuk Azhar Ibrahim berkata, beliau difahamkan, Jabatan Perangkaan sedang melakukan bancian semula bagi mendapatkan jumlah baru golongan itu.

Menurutnya, setakat November ini, 697 keluarga miskin tegar dapat dikenal pasti di negeri ini.

“Jumlah itu meningkat berbanding 494 keluarga miskin tegar yang dikeluarkan jabatan itu bagi 2008, tapi itu baru setakat November sahaja, saya pasti jumlah rasminya lebih tinggi daripada itu.

“Kajian terbaru jabatan itu juga mendapati terdapat 1,888 keluarga miskin berpendapatan RM700 ke bawah, manakala kumpulan yang bergaji bawah RM1,500 adalah 8,074 keluarga.

“Bagaimana kerajaan negeri April lalu kata miskin tegar tiada lagi sedangkan masih ramai dalam golongan ini,” katanya pada sidang akhbar di pejabat Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) di sini kelmarin.

Beliau mengulas kenyataan Exco Kesihatan, Kebajikan dan Masyarakat Penyayang negeri, Phee Boon Poh yang mendakwa statistik golongan miskin tegar yang digunakan oleh Azhar iaitu 494 keluarga sudah lapuk.

Dalam laporan sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris semalam, Boon Poh berkata, Azhar sepatutnya membuat kajian serta menyemak fakta sebenar terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

Sehubungan itu, Azhar mengingatkan kerajaan negeri supaya tidak terus mengelirukan rakyat Pulau Pinang dengan menguar-uarkan bahawa mereka berjaya membasmi miskin tegar.

“Kerajaan negeri perlu berhenti daripada terus memperalatkan golongan ini, jangan mengheret mereka dengan cakap-cakap politik semata-mata nak tunjuk kononnya sudah berjaya hapus miskin tegar.

“Bantuan yang diberikan kerajaan negeri hanya cukup membeli makanan sahaja. Kenapa mereka tidak fikir bagaimana pula dengan perlatan sekolah anak-anak serta keperluan lain,” ujarnya.

Mengulas lanjut beliau memberitahu, Perda sebenarnya telah banyak membantu golongan berkenaan supaya mereka berterusan berada di luar zon kemiskinan tegar itu dengan memberikan pelbagai bantuan.

Tambahnya, usaha tersebut dijalankan sejak kerajaan negeri di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN) antaranya menganjurkan kursus dan latihan, memberikan peralatan seperti mesin jahit, alat pertukangan dan banyak lagi.

“Malah, kita juga membantu membina rumah atau membaiki rumah secara percuma, memberi perlatan serta pakaian seragam sekolah dan turut menyediakan peluang pekerjaan.

“Jadi, wakil-wakil rakyat kerajaan negeri ini dijemput untuk turun ke kampung dan lihat sendiri keadaan yang sebenarnya,” katanya.

Template by : kendhin x-template.blogspot.com