MELAKA: Seorang bayi lelaki berusia kira-kira seminggu ditemui ditinggalkan oleh individu tidak bertanggungjawab di belakang Jabatan Perubatan Forensik dan Bilik Mayat Hospital Melaka (HM), petang kelmarin.
Difahamkan, bayi terbabit ditinggalkan agak lama sebelum ditemui oleh seorang orang awam berusia 40-an kira-kira jam 4.30 petang yang kebetulan melalui kawasan berkenaan untuk melawat ahli keluarganya sebelum dia menghubungi pihak polis.
Sumber berkata, bayi terbabit ditemui dibalut dengan sehelai kain batik dan diletakkan di dalam sebuah beg berwarna merah bertulis ‘Parkson’ yang turut dilapik dengan tilam nipis.
“Bayi terbabit kemudiannya dibawa polis yang bertugas di pondok hospital ke Jabatan Kecemasan untuk pemeriksaan kesihatan. Bayi terbabit sudah tidak mempunyai tali pusat dan selamat serta keadaannya adalah sihat,” katanya.
Sumber berkata, bayi berkenaan kini diletakkan dalam pengawasan pihak hospital bagi memastikan keadaan kesihatannya benar-benar terjamin sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk penjagaan selanjutnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan bayi berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan individu yang terbabit meninggalkan bayi berkenaan untuk tindakan.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana kecuaian dalam menjaga kanak-kanak yang berada dalam jagaan, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya sekali.
Salehhudin bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana kes berkenaan masih dalam siasatan polis.
Ini adalah kes kedua berkaitan bayi yang berlaku dalam bulan ini.
Pada 18 Mei lalu, akhbar ini melaporkan satu pasangan remaja mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh atas tuduhan menyembunyikan kelahiran dan menanam mayat seorang bayi lelaki di tepi sungai di Taman Melaka Baru, Batu Berendam pada 12 Mei lalu.
Ibu bayi itu, seorang pelajar berusia 15 tahun, dari Durian Tunggal, Alor Gajah dan teman lelakinya, Muhammad Safiuddin Mohd Zahari, 19, dari Taman Melaka Baru, di sini, dituduh bersama-sama melakukan kesalahan itu antara jam 12 tengah hari hingga 12.30 tengah hari pada 12 Mei lalu.
>Buang bayi dalam kotak Oleh Salman Hamat salman@hmetro.com.my KULAIJAYA: “Kali pertama melihat wajah bayi di dalam kotak susu itu, saya mahu menyelamatkannya malah sepanjang perjalanan ke hospital, saya tidak putus mendoakan bayi yang masih bertali pusat itu panjang umur dan dapat diselamatkan.
“Bagaimanapun, saya terkilan apabila tepat azan Subuh dilaungkan bilal surau hospital, doktor mengesahkan bayi perempuan malang itu sudah menghembuskan nafas terakhirnya walaupun pelbagai usaha dilakukan pasukan perubatan,” kata Zulkifli Samsi, 40, bapa kepada tiga anak menceritakan detik cemas cubaannya menyelamatkan bayi perempuan yang ditemuinya di dalam kotak susu di sebuah hentian bas depan Sekolah Menengah Munsyi Addullah, di sini, jam 4.50 pagi semalam.
Menurutnya, ketika kejadian, dia secara kebetulan melalui jalan berkenaan untuk minum di gerai berhampiran sementara menunggu azan Subuh sebelum berjemaah di surau berhampiran.
Bagaimanapun, katanya, dia terkejut apabila melihat sebuah kereta tiba-tiba berhenti di kawasan berkenaan dalam keadaan tergesa-gesa sebelum memecut laju.
“Dalam keadaan samar-samar, saya dapat melihat kelibat manusia keluar daripada kereta terbabit sambil membawa sesuatu, dengan kelam-kabut dia terus meletakkan objek di hentian bas sebelum memecut laju ke arah Johor Bahru.
“Sifat ingin tahu menyebabkan saya berhenti dan mendapati sebuah kotak ditinggalkan di situ. Saya kemudian mengambil sebatang kayu untuk membuka kotak susu berkenaan sebelum terpandang wajah bayi yang diam membisu di balut menggunakan kain.
“Naluri kebapaan menyebabkan saya tidak berfikir panjang dan terus mengambil kotak berisi bayi itu dan masuk ke dalam kereta menuju ke Hospital Kulai (HK),” katanya.
“Ketika bayi itu dirawat, saya dapat melihat jarinya bergerak sebelum disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya, ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan pihaknya menjalankan siasatan berhubung penemuan bayi itu. “Hasil siasatan awal bayi perempuan itu dipercayai berketurunan Melayu dan kami percaya dia dilahirkan dalam tempoh 24 jam.
“Ketika dirawat tali pusatnya masih lengkap dia hanya dibalut menggunakan kain tanpa baju serta ditinggalkan dalam kotak berkenaan.
“Berikutan itu kami memohon bantuan orang ramai membantu siasatan kes ini serta mengesan ibu dan individu bertanggungjawab melakukan perkara tidak berperikemanusiaan itu,” katanya.
KEJUTAN BELAKANG BILIK MAYAT
PONTIANAK BALAI POLIS
BETONG: Kelibat wanita berpakaian putih dan berambut panjang yang dikaitkan dengan pontianak didakwa sering mengganggu anggota dan pegawai polis bertugas pada waktu malam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) baru Betong di sini, sejak sebulan lalu.
Ia berlaku beberapa hari selepas IPD berkenaan berpindah ke lokasi barunya iaitu kira-kira dua kilometer dari Jalan Kuek Huat Wee bersebelahan Stadium Betong, April lalu. Betong terletak kira-kira 150 kilometer dari Kuching.
Sejak itu, satu demi satu kejadian menyeramkan dialami anggota bertugas apabila mereka mendakwa ternampak wanita misteri dalam lokap di IPD baru berkenaan.
Malah, kejadian itu berlarutan beberapa hari selepas itu dengan anggota lain turut mendakwa melihat kelibat lembaga terbabit ‘menyamar’ rakan setugas mereka.
Menurut sumber, lembaga terbabit kelihatan berlegar-legar di IPD itu namun tidak menjawab apabila ditegur.
“Wajahnya sama dengan seorang anggota bertugas di sini. Apabila ditegur untuk diberikan tugas seperti diarahkan pegawai atasan, ‘anggota’ terbabit hanya mendiamkan diri,” katanya.
Beliau berkata, anggota polis berkenaan hanya menyedari jelmaan itu selepas menghubungi rakannya untuk memaklumkan tugas yang perlu diselesaikan.
“Kejadian seumpama itu kerap berlaku sejak IPD berpindah ke sini. Ada anggota polis memberitahu ketika bertugas pada waktu malam, mereka diganggu seorang wanita yang menjelma dengan berpakaian serba putih dan berambut panjang.
“Malah, ia turut dilihat berada di kerusi pegawai atasan dan ada anggota hampir pengsan apabila mereka disergah makhluk halus itu,” katanya.
Dalam kejadian terbaru minggu lalu, seorang anggota penyiasat hampir pengsan dan terpaksa melompat dari tingkap dua bangunan berkenaan selepas melihat lembaga itu berdiri di depannya.
“Ketika itu, saya hendak keluar dan mengunci pintu kaca di pejabat. Tiba-tiba saya nampak seseorang berlari di belakang saya. Saya nampak jelas menerusi pintu kaca dan terus beristighfar.
“Ketika mahu membuka suis lampu berdekatan, tiba-tiba lembaga itu berdiri di depan saya dengan rambut berjuntai ke lantai,” katanya.
Difahamkan, pihak IPD terpaksa mendapatkan khidmat seorang ustaz untuk ‘menangkap’ lembaga terbabit.
Menurutnya, ustaz berkenaan memaklumkan lembaga terbabit ‘tidak tenteram’.
“Kami dimaklumkan, tempat ini pernah menjadi tempat pembunuhan yang menyebabkan lembaga itu melakukan gangguan. Ketika hayatnya, lembaga itu dipercayai dirogol dan dibunuh di sini,” katanya.
30 TERBAKAR HIDUP-HIDUP
BANGALORE, India 30 Mei - Lebih 30 orang termasuk 10 kanak-kanak terbakar hidup-hidup setelah bas yang mereka naiki melanggar satu penghadang jalan raya dan terbakar hari ini.
Superintendan polis, Labhu Ram ketika dihubungi menerusi telefon berkata, bas milik kerajaan tempatan itu terbabas ke arah sebuah jambatan kecil selepas terlanggar penghadang jalan raya dalam keadaan gelap dan terhumban ke dalam parit.
"Bas itu terbakar apabila tangki minyak dieselnya meletup akibat hentaman," katanya.
Ketika kejadian, bas itu membawa 64 penumpang dan dalam perjalanan dari Surpur di selatan Karnataka ke Bangalore.
Selain itu, sekurang-kurangnya tiga mangsa yang terselamat kini berada dalam keadaan serius.
Menteri Pengangkutan, R. Ashok yang melawat tempat kejadian memberitahu wartawan, laporan awal menunjukkan kemalangan itu berpunca dari kecuaian pemandu.
"Kemalangan itu dikatakan berpunca daripada pemanduan yang cuai kerana bas itu dipandu laju sebelum terlanggar penghadang jalan di jambatan itu dan terhumban ke dalam parit," katanya.
Polis memfailkan kes pendakwaan cuai terhadap pemandunya yang terselamat dalam kejadian berkenaan.
Berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Dunia, India adalah negara yang mencatatkan jumlah kematian jalan raya paling tinggi setiap tahun yang berpunca daripada kelajuan, keadaan jalan raya yang teruk, kesesakan dan penyelenggaraan kenderaan yang tidak dititik beratkan
HENTI GUNA NAMA KHALIFAH UMAR
PULAU PINANG 5 Mei - Ketua Menteri, Lim Guan Eng diminta tidak lagi menggunakan Khalifah Umar Abdul Aziz sebagai ikon dalam pentadbirannya kerana tindakan, perbuatan dan ciri pemerintahan yang ditunjukkan beliau tidak sama seperti yang dilaung-laungkan.
Shahbuddin Yahya (BN-Permatang Berangan) berkata, tindakan itu jika diteruskan hanya akan mengganggu sensitiviti orang Islam di negeri ini serta menimbulkan suasana tidak baik di kalangan masyarakat pelbagai kaum.
Jelasnya, orang Islam meletakkan Khalifah Umar sebagai manusia yang tinggi akidahnya serta mengamalkan ciri-ciri terpuji dalam pemerintahan sehingga mendapat tempat dan kedudukan yang tinggi dalam sanubari umat Islam di seluruh dunia.
''Saya faham, niat Ketua Menteri menjadikan Khalifah Umar sebagai ikon adalah baik, namun, untuk menjadikan Khalifah Umar sebagai contoh, banyak benda kita kenal lihat.
"Paling utama, akidah, ciri dan perbuatan kedua-duanya tapi apa yang dilihat, kedua-dua mereka tidak sama.
''Saya bukan pertikai peribadi Ketua Menteri, namun bila tindakan yang dibuatnya tidak memaparkan ciri-ciri Khalifah Umar, orang Islam di luar sana mula bercakap dan rasa tidak senang lalu mereka minta saya cakap perkara ini dan sampaikan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Terima Kasih Ucapan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
RSN Rayer (DAP-Seri Delima) kemudiannya bangun mencelah dengan menyatakan apa yang diminta oleh Shahbudin itu merupakan satu sindiran seolah-olah Guan Eng tidak layak untuk berbuat demikian.
Shabuddin memberitahu, beliau tidak berniat untuk menyindir atau memperkatakan tentang keperibadian Guan Eng, namun, tindakan itu dibuat bertujuan menjamin keharmonian masyarakat di negeri ini.
''Contohnya bila kita lihat di akhbar tentang tindakan Ketua Menteri melakukan pelbagai upacara berkaitan agama lain, ini tidak ada apa salah sebenarnya tapi bagi orang Islam, perkara ini agak janggal," katanya.
Speaker DUN, Datuk Abdul Halim Hussain kemudiannya menjelaskan, Guan Eng hanya menjadikan corak pemerintahan Khalifah Umar sebagai contoh dalam pemerintahannya dan tidak wujud sebarang perbandingan di antara kedua-dua mereka.
''Apa-apa pun, saya akan minta Ketua Menteri memberi penjelasan," katanya.
LEBIH 200 KELUARGA MOHON MENGAMBIL BAYI DIBUANG
KUALA LUMPUR 30 Mei - Dalam pada kes pembuangan bayi semakin meningkat dan merisaukan, masih terdapat anggota masyarakat yang prihatin dan mahu membela bayi-bayi terbuang tersebut.
Presiden Pertubuhan Kebajikan dan Pengurusan Anak-Anak Yatim Kuala Lumpur (Orphan Care), Datuk Adnan Mohd. Tahir berkata, perkara itu dibuktikan dengan lebih 200 permohonan diterima untuk mengambil bayi-bayi dibuang yang ditempatkan di pusat itu sebagai anak angkat.
Katanya, sambutan menggalakkan itu diperoleh pihaknya sejak berita berhubung pelindung bayi yang diwujudkan di pusat berkenaan dilaporkan dalam akhbar.
"Banyak keluarga menelefon saya untuk mendapat butir-butir terperinci mengenai proses permohonan mendapatkan anak angkat.
"Kini, terdapat lebih 200 keluarga di dalam senarai menunggu Orphan Care untuk mengambil anak angkat," katanya ketika dihubungi oleh Utusan Malaysia.
Orphan Care ditubuhkan pada April 2009 bertujuan memberi bantuan kepada gadis hamil luar nikah bagi memastikan ibu dan bayi berkenaan berada dalam keadaan selamat.
Pertubuhan itu berjaya memberi penjagaan baik kepada gadis yang mengandung dan menempatkan tujuh bayi yang tidak diingini kepada keluarga lain sepanjang tahun lalu.
Kini, Orphan Care mewujudkan ruang khas menempatkan bayi bagi membolehkan ibu terdesak yang tidak inginkan bayi mereka, meninggalkannya dengan selamat.
Ruang tersebut yang dikenali 'pelindung bayi' adalah yang pertama seumpamanya di negara ini dan ia ditempatkan di pejabat pertubuhan itu di No. 6 Lorong SS1/24A, Kampung Tunku, Petaling Jaya.
Adnan berkata, proses permohonan pengambilan anak angkat tersebut akan mengambil masa antara dua hingga tiga hari.
"Pemohon perlu memohon melalui laman web Orphan Care iaitu www.orphancare.org.my.
"Selepas itu, kita memerlukan sedikit masa untuk mengadakan temu janji dengan pemohon dan memeriksa kesihatan mereka bagi memastikan keluarga tertentu mampu membesarkan bayi itu," katanya.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Orphan Care, Situ Azura Nordin Torji menasihati gadis Muslim yang menghadapi masalah seumpama itu agar menelefon atau berjumpa dengan petugas pertubuhan itu untuk mendapat bantuan sewajarnya.
"Tujuan kita adalah membantu ibu mengandung dan bayi itu bagi memastikan mereka berkeadaan sihat dan selamat," tegasnya.
GURU LEPASAN IJAZAH JADI REBUTAN
KOTA BHARU 30 Mei - Bidang perguruan semakin mendapat perhatian masyarakat khususnya di kalangan generasi muda apabila jumlah siswazah yang memohon mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) kian bertambah.
Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, pihaknya menerima 40,000 permohonan KPLI setiap tahun iaitu jumlah yang sangat ramai.
''Selain siswazah, KPLI turut menjadi buruan golongan yang telah bekerja dan sanggup melepaskan jawatan sebagai peguam, jurutera, pegawai eksekutif dan pensyarah bergaji lebih lumayan untuk menjadi seorang guru.
''Perkembangan ini amat menakjubkan kerana mereka sanggup mengorbankan kerjaya yang telah diterokai dan melepaskan gaji tinggi semata-mata menjadi guru," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Konvokesyen kali ke-47 Institut Pendidikan Guru, Kampus Kota Bharu di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti Kementerian Pelajaran, Datuk Misrah Ibrahim.
Dalam pada itu, Alimuddin meminta guru pelatih menunjukkan kesungguhan yang berterusan selepas bergelar guru dengan mengajar murid-murid daripada pelbagai latar belakang dengan ikhlas.
''Sekiranya teori dan praktikal semasa latihan gagal diaplikasikan, rujuk dengan guru-guru yang lebih berpengalaman," katanya.
Sementara itu, seorang graduan dan bapa kepada tiga anak dianugerahkan Pelajar Cemerlang Kokurikulum apabila berjaya menyeimbangkan di antara akademik dan aktiviti luar.
Shahrul Nizam Shahlan, 32, mengakui untuk menyeimbangkan akademik dan kokurikulum memang meletihkan.
Sebelum mengikuti KPLI, Shahrul Nizam memegang jawatan Pengurus Keselamatan di Johor Bahru selepas memperoleh Ijazah Sarjana Muda Teknologi Percetakan dari Universiti Teknologi Mara, Shah Alam.
Seorang lagi pelatih yang juga bekas Eksekutif Pemasaran Takaful Malaysia cawangan Kota Bharu, Mahani Mat Deris, 33, berkata, dia sanggup meninggalkan jawatan dan gaji lumayan semata-mata untuk menjadi guru.
''Guru adalah cita-cita sejak kecil dan apabila anak-anak semakin membesar, kerjaya ini paling sesuai kerana mempunyai lebih banyak masa dengan mereka," katanya yang dianugerahkan sebagai Pelajar Cemerlang Praktikal.
Penerima Anugerah Pencapaian Terbaik Keseluruhan, Aminah Sabtu, 29, berkata, dia pernah kecewa apabila permohonannya sebelum ini untuk memasuki maktab perguruan ditolak.
Namun dia tidak berputus asa dan kesabarannya itu berbaloi apabila hari ini, selain anugerah itu dia turut menerima anugerah Pelajar Cemerlang Akademik.
Aminah kini mengajar di Sekolah Kebangsaan Batu Unjur, Klang, Selangor sebagai guru bimbingan dan kaunseling.
WASPADA JARINGAN ISLAM LIBERAL
BESUT 30 Mei – Umat Islam di negara ini diminta lebih berwaspada dengan gerakan Jaringan Islam Liberal (JIL) yang boleh mengancam pendekatan sederhana yang diamalkan selama ini.
Penasihat Agama Kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Abdullah Md. Zin berkata, gerakan itu yang sudah bertapak dan berkembang di beberapa negara telah membawa banyak masalah kepada orang Islam.
‘‘Paling ketara pendekatan itu mewujudkan sifat ekstrem dan umat Islam pula bersikap sambil lewa terhadap pelaksanaan Islam sehingga ia menjadi satu cabaran besar kepada mereka,’’ katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) negeri Terengganu di sini hari ini.
Menurutnya, pendekatan sederhana atau wasatiyyah yang dilaksanakan oleh kerajaan telah dijelaskan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu dialog dengan ulama sebelum ini.
‘‘Pendekatan wasatiyyah ini tidak ekstrem dan tidak juga terlalu longgar,” katanya.
Sebanyak lapan guru KAFA menerima anugerah kecemerlangan pada majlis itu yang dianjurkan oleh Persatuan Guru-guru KAFA Negeri Terengganu (Perkat) dan turut dihadiri oleh lebih 1,000 guru Kafa di negeri ini.
Abdullah yang juga Ahli Parlimen Besut berkata, pendekatan sederhana itu dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah diharap dapat membendung JIL dan mampu membawa kemajuan kepada umat Islam dan negara.
Terdahulu dalam ucapannya beliau berkata, komitmen guru-guru KAFA seharusnya dipuji kerana walaupun menerima elaun yang kecil, mereka masih terus menyumbangkan khidmat tanpa jemu.
ULAMA PATUT GALAK PERPADUAN BUKAN PERPECAHAN
KOTA BAHARU 31 Mei - Kecenderungan ulama masa kini terlibat dalam politik sehingga timbul kesangsian terhadap mereka adalah antara faktor golongan ini tidak lagi dipandang tinggi oleh masyarakat, kata Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan, Datuk Prof Hussin Abdul Rahman.
Sambil menyifatkan ulama masa kini semakin kebuntuan untuk mengutamakan antara ideologi politik dan kebenaran, beliau berkata ulama kini seharusnya melihat kepada legasi ulama terdahulu yang merupakan pemimpin yang dihormati dan diingati kerana mampu menegakkan kebenaran meskipun terpaksa mengetepikan kehendak dan naluri sendiri.
"Istilah ulama sebenarnya merupakan golongan pemimpin yang memahami tuntutan kebenaran, mereka merupakan golongan yang menyelesaikan, pemikir yang berfikir dengan berpaksikan kebenaran untuk dijadikan satu teladan.
"Namun, disebabkan delima politik, terdapat perilaku ulama yang menimbulkan kesangsian dan kebuntuan sehingga harapan masyarakat kepada ulama kini tidak lagi dipenuhi. Sebagai contoh mereka sepatutnya menyumbang kepada perpaduan tetapi mereka jadi benih perpecahan,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Seminar Keintelektualan Islam Legasi Ulama Kelantan Di Nusantara di sini hari ini.
Hussin berkata bagi menimbulkan kesedaran terhadap kedangkalan ulama antara mempertahankan kebenaran dan politik, UiTM menganjurkan Seminar Keintelektualan Islam Legasi Ulama Kelantan Di Nusantara itu bagi mengangkat kembali martabat ulama di negara ini dengan cara mencontohi dan mengingati perjuangan ulama terdahulu.
42 PEMBERONTAK MAUT DALAM SERANGAN JET PEJUANG PAKISTAN
KALAYA, Pakistan 31 Mei - Lebih 42 orang anggota kumpulan pemberontak terkorban selepas tempat persembunyian mereka diserang jet pejuang Pakistan di wilayah Orakzai hari ini, kata pegawai keselamatan.
“Jet pejuang kami melancarkan serangan selepas mendapat maklumat tentang kewujudan kumpulan pemberontak di kawasan ini,” kata seorang pegawai keselamatan yang enggan namanya disiarkan.
Sementara itu, Pegawai kanan kerajaan, Nauman Khan, mengesahkan 42 orang terbunuh manakala 18 lagi cedera dalam serangan itu.
REMAJA DISERET 100 METER
NIBONG TEBAL: Seorang remaja maut dalam keadaan ngeri apabila tubuhnya digilis sebelum diseret sebuah lori lebih 100 meter selepas terbabit dengan kemalangan jalan raya di Jambatan Sungai Kerian, dekat sini, malam kelmarin.
Ooh Jun Liang, 18, dari Taman Tangling Jaya, Simpang Ampat, dekat sini, yang baru 30 minit keluar dari rumahnya, mati serta-merta di tempat kejadian selepas kepalanya hancur dan sebahagian badannya bertaburan di jalan raya akibat digilis tayar lori.
Bapa mangsa, Ooh Teck Wong, 57, berkata anaknya keluar dari rumah jam 8 malam untuk pergi bekerja di sebuah pusat snuker di Taman Fajar, dekat sini, berikutan waktu bekerjanya bermula jam 9 malam sehingga lewat malam.
“Anak saya baru bekerja dua minggu di Taman Fajar dan membawa bekal makanan yang dimasak ibunya.
“Saya terkejut dan sedih selepas menerima panggilan bahawa anak saya maut dalam kemalangan jalan raya kerana dia baru saja keluar dari rumah tidak sampai 30 minit,” katanya ketika ditemui di perkarangan Unit Forensik dan Bilik Mayat HSB, di sini, kelmarin.
Menurutnya, anak sulung daripada tiga beradik itu bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Ampat adalah seorang yang rajin dan motosikal yang digunakan itu dibelinya sendiri.
Ooh yang bekerja sebagai peniaga buah-buahan berkata, anak sulungnya adalah satu-satunya harapan bagi mereka sekeluarga.
Sementara itu, Ketua Polis Seberang Perai Selatan, Superintendan Safieen Mamat, berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa cuba memotong dari arah kiri dan gagal dikawal apabila motosikalnya bergesel dengan lori terbabit.
Katanya, mangsa kemudian terjatuh dan diseret kira-kira 100 meter oleh lori berkenaan dan mati di tempat kejadian.
“Pemandu lori kilang beras di Nibong Tebal itu kemudian dibawa rakannya ke balai polis sejurus selepas kejadian untuk membuat laporan.
“Kemalangan ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya sambil meminta orang ramai yang ada maklumat mengenai kejadian itu menghubungi Ibu pejabat Polis Daerah SPS di talian 04-5932222 bagi membantu siasatan.
SISWI LEMAS BANTU TEMAN
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KUALA TERENGGANU: Seorang siswi Universiti Darul Iman (UDM) lemas apabila cuba membantu dua rakannya yang terkapai-kapai ketika sekumpulan pelajar pusat pengajian tinggi itu mandi di Pantai Tok Jembal, awal pagi semalam.
Mayat Nur Hidayu ditemui kaku beberapa minit selepas dibawa ke Bilik Forensik manakala dua rakannya yang berjaya diselamatkan penuntut lain kini menjalani rawatan di Bahagian Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Bapa mangsa, Mokhtar Yusof, 50, berkata kali terakhir dia bertemu anaknya pada Khamis lalu ketika Nur Hidayu meminta ditumpangkan ke UDM, Gong Badak, untuk mengadakan persiapan bagi kejohanan silat yang diadakan di Selangor esok, (hari ini).
Bapa kepada enam anak berasal dari Kampung Paya, Marang itu berkata, dia tergamam selepas menerima panggilan memberitahu anaknya lemas di Pantai Tok Jembal ketika mengadakan aktiviti di kawasan berkenaan.
Menurutnya, anak keduanya dikatakan cuba menyelamat dua rakan namun dia pula yang kehilangan nyawa.
“Saya tidak tahu bagaimana kejadian itu boleh menimpa anak saya. Saya difahamkan seorang daripada mangsa yang cuba diselamatkan anak saya kini dirawat di HSNZ manakala seorang lagi sudah pulang ke rumah,’’ katanya.
16 REMAJA ANTARA DITAHAN BERPESTA LIAR
TELUK KEMANG 15 Mei - Keasyikan 27 orang termasuk 16 remaja menyertai satu pesta liar dalam bilik yang diubah suai di sebuah resort di Port Dickson dekat sini, mengundang padah, apabila diserbu sepasukan polis awal pagi tadi.
Dalam serbuan kira-kira pukul 3 pagi itu, semua mereka berusia antara 16 hingga 26 tahun ditahan ketika sedang khayal menikmati alunan muzik ala disko.
Daripada kesemua remaja yang ditahan, empat adalah wanita.
Menurut Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supritendan Baljeet Singh, serbuan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson hasil maklumat awam.
Katanya, ujian air kencing mendapati tujuh daripada mereka positif mengambil dadah termasuk empat wanita berkenaan.
"Penganjur mengubah suai bilik di resort berkenaan untuk dijadikan mini disko dengan membawa pelbagai peralatan seperti pembesar suara.
"Polis turut merampas sejumlah dadah dipercayai jenis ketamin dalam bilik itu," katanya di sini hari ini.
Baljeet berkata, kumpulan itu dikatakan menyewa bilik di resort berkenaan sejak semalam untuk bersuka ria.
Pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengetahui punca bekalan dadah itu diperoleh.
"Mereka yang didapati positif dadah itu ditahan untuk tindakan lanjut dan siasatan mengenainya masih dilakukan.
"Polis mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai yang mengetahui perlakuan jenayah supaya memaklumkan kepada polis untuk tindakan," ujarnya.
Tambahnya lagi, kesemua yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a), akta yang sama.
"Kesemua mereka kini ditahan di IPD Port Dickson untuk membantu siasatan," katanya.
MAKMAL PROSES DADAH DIBONGKAR
PULAU PINANG 15 Mei – Polis membongkar sebuah makmal memproses dadah dengan penahanan dua lelaki dan merampas 32.4 kilogram heroin dianggarkan bernilai RM1.95 juta dalam dua serbuan berasingan di sini semalam.
Kedua-dua suspek rakyat tempatan berusia dalam lingkungan 40 tahun itu ditahan dalam serbuan yang bermula pada pukul 3.30 petang hingga 2 pagi tadi.
Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, kedua-duanya merupakan ahli sindiket dadah terbabit yang telah beroperasi sejak tiga bulan lalu.
Katanya, hasil maklumat awam dan risikan, kedua-dua suspek tersebut ditahan di kawasan Jelutong dan polis merampas 4.5 kilogram heroin.
“Susulan itu, sepasukan polis negeri ini dengan kerjasama polis Bukit Aman menyerbu seunit rumah pangsa di Bukit Jambul dan berjaya membongkar makmal memproses dadah tersebut.
“Hasilnya polis menemui heroin seberat 27.9 kilogram, kafein (85 kilogram), dadah jenis ketamin (460 gram) dan bahan perisa (24 botol).
“Selain itu, pelbagai peralatan memproses dadah antaranya tong gas, oven, lampu serta alat timbang turut dirampas,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, Supritendan S. Batumalai.
Beliau berkata, polis turut menyita dua buah kereta iaitu Honda Civic dan Hyundai Atos yang digunakan sindiket terbabit.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati salah seorang suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau dan baru dibebaskan dari penjara tahun lepas atas kesalahan jenayah serta dadah.
“Seorang daripada mereka juga bekerja sebagai penjual cakera padat video (VCD). Kedua-duanya ditahan reman bagi siasatan kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ayub berkata, sejak awal tahun ini sehingga Mac lalu, sebanyak 6.25 kilogram heroin dirampas berbanding hanya 4.14 kilogram rampasan dalam tempoh sama tahun lalu.
Jelasnya, dalam tempoh sama juga, seramai 4,829 orang membabitkan pelbagai jenis kesalahan terlibat dengan dadah ditahan berbanding 3,448 orang pada tahun lalu.
“Kita akan menjalin kerjasama dengan agensi-agensi lain dan melancarkan inisiatif pencegahan bagi membersihkan kawasan perumahan supaya bebas daripada gejala dadah,” katanya.
PERTEMPURAN DI DARFUR, LEBIH 160 TERBUNUH
KHARTOUM, Sudan 15 Mei - Lebih 160 orang dilaporkan terbunuh dalam pertempuran antara tentera Sudan dan kumpulan pemberontak paling berpengaruh di Darfur.
Jurucakap tentera, Kapten Khalid al-Sawarmi berkata, tentera membunuh 108 pemberontak Gerakan Keadilan (JEM) di kawasan Jebel Moon di barat Darfur, semalam.
Agensi berita Sudan, SUNA melaporkan, pertempuran turut berlaku berhampiran Nyala di selatan Darfur.
SUNA yang memetik kenyataan pegawai kanan polis, Dr. Mohamed Abdul Magid al-Tayeb melaporkan, seramai 27 polis dan 33 pemberontak terbunuh dalam pertempuran itu.
Sumber JEM mengesahkan keganasan yang berlaku di selatan Darfur itu.
Pemberontak yang menghentikan rundingan dengan kerajaan setelah menuduh tentera melancarkan serangan baru di Darfur.
PULAU PINANG HALANG UMNO GUNA DEWAN
PULAU PINANG 15 Mei - Mungkin takut kebenaran diketahui rakyat, kerajaan negeri Pulau Pinang membatalkan kebenaran menggunakan Dewan Kongsi di Balik Pulau di sini bagi program Pentas Pemuda UMNO yang sepatutnya berlangsung malam ini.
Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dan Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Lokman Noor Adam adalah antara pemimpin yang menyampaikan ceramah pada program tersebut.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Balik Pulau, Aziaan Ariffin berkata, beliau amat terkejut apabila dimaklumkan oleh pegawai Pejabat Daerah dan Tanah Barat Daya bahawa kebenaran yang diberikan telah dibatalkan.
Katanya, pegawai tersebut menjelaskan bahawa tindakan itu dibuat atas arahan Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan dua pemimpin lain yang meminta pihaknya membatalkan kebenaran menggunakan dewan tersebut untuk program Pentas Pemuda yang telah diberikan, semalam.
''Saya amat kecewa apabila dihubungi pegawai tersebut pukul 9 pagi tadi. Dia kata telah diarahkan Guan Eng, Timbalan Ketua Menteri 1, Mansor Othman dan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Agama Islam negeri, Abdul Malik Kassim untuk membatalkan kebenaran menggunakan dewan tersebut.
''Adakah ini yang dinamakan kebebasan bersuara yang mereka laungkan sebagai dasar kerajaan negeri? Saya rasa ia amat bertentangan. Matlamat untuk menyatakan kebenaran disekat hanya kerana amalan dwi standard," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
RAKYAT PALESTIN PERINGATI PERISTIWA NAQBA
GAZA CITY 15 Mei - Rakyat Palestin semalam memperingati hari ulang tahun ke-62 peristiwa Naqba atau 'malapetaka' berpunca daripada penubuhan negara Israel, dan menuntut hak bagi beratus ribu penduduk Palestin yang diusir dari kampung halaman mereka untuk kembali ke tanah air mereka yang dirampas Israel.
Tunjuk perasaan dilancarkan di Genting Gaza yang diperintah oleh Hamas dan di Lebanon, negara yang menempatkan kira-kira 400,000 pelarian Palestin.
Ketua perunding damai Palestin, Saeb Erakat membidas Israel kerana 'tidak menghiraukan undang-undang antarabangsa'.
Kira-kira 3,000 penduduk mengadakan tunjuk perasaan di kem pelarian Jabaliya di Gaza dalam protes anjuran Hamas, sementara bilangan yang sama menyertai demonstrasi anjuran Jihad Islam di kem pelarian Nuseirat.
"Kita tidak akan melepaskan hak pelarian untuk pulang ke pekan dan kampung asal mereka," kata seorang pemimpin Hamas, Muin Mderes kepada orang ramai di Jabaliya. Beliau menggesa semua pejuang Palestin bersatu menentang Israel.
Kerajaan Israel enggan membenarkan pelarian Palestin atau keturunan mereka pulang ke kampung halaman mereka yang ditinggalkan pada 1948 selepas penubuhan negara Israel kerana khuatir kepulangan besar-besaran mereka akan mengancam negara Israel serta 5.7 juta penduduk Yahudi.
Pemimpin Jihad Islam, Mohammed al-Hindi menyeru 'seluruh penduduk Palestin, Arab dan Islam supaya menyokong jihad dan perjuangan menentang Israel dan bersiap sedia untuk menghadapi pertempuran dengan musuh'.
Kanak-kanak yang turut menyertai protes di Gaza membawa anak kunci ke rumah-rumah yang ditinggalkan oleh datuk nenek mereka berikutan penubuhan Israel.
Kira-kira 700,000 penduduk Arab melarikan diri atau diusir dari rumah mereka.
Dalam perutusan sempena hari ulang tahun Naqba, Erakat menegaskan bahawa pelarian Palestin yang bersama-sama keturunan mereka kini berjumlah 4.7 juta orang berhak untuk pulang ke kampung halaman mereka.
"Dalam sebarang konflik, hak-hak pelarian ditunaikan dan dihormati, termasuk hak untuk kembali, mendapat semula harta mereka dan mendapat ganti rugi.
"Sebaliknya, Israel enggan mengiktiraf hak Palestin untuk pulang, dengan terus menafikan hak paling asas bagi orang pelarian," kata Eraka
LEBIH 100,000 MOHON JAWATAN GURU
KUANTAN 15 Mei - Profesion perguruan dianggap antara kerjaya paling popular apabila Kementerian Pelajaran menerima lebih 100,000 permohonan kemasukan ke maktab-maktab perguruan di seluruh negara.
Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom bagaimanapun berkata, maktab-maktab perguruan sedia ada hanya mampu menampung kemasukan kira-kira 4,000 penuntut.
Katanya, kewujudan 27 institusi pendidikan dan universiti awam yang berupaya melahirkan guru berkualiti juga dapat menyelesaikan masalah kekurangan guru yang mungkin berlaku di sesuatu tempat atau sekolah dengan kadar segera.
"Profesion guru memang cukup popular, lebih 100,000 orang memohon untuk memasuki maktab perguruan yang hanya boleh diisi lebih kurang 4,000 orang.
"Jadi, dari segi pemilihan bakal guru yang berkualiti tiada masalah, kita banyak pilihan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau ditemui pada majlis pelancaran Festival Hari Guru 2010 peringkat kebangsaan yang dirasmikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob di pusat beli-belah East Coast Mall (ECM) di sini.
Turut hadir, Pengarah Pelajaran Pahang, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin, Pengarah Eksekutif Kumpulan, Kumpulan Utusan, Mohd. Nasir Ali dan Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Othman Mohamad.
Mengulas lanjut, Alimuddin berkata, bagi melahirkan pendidik berkualiti, setiap bakal guru perlu melalui tiga tapisan iaitu memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) tidak kurang 2.75, lulus ujian bertulis dan temuduga.
"Jadi, kita akan mendapat guru yang berkualiti," katanya.
Mengenai penempatan di pedalaman, Alimuddin menjelaskan, masalah itu tidak timbul kerana setiap guru yang ditempatkan di kawasan itu diberi elaun sebanyak RM1,500.
Bagaimanapun katanya, pihak kementerian sentiasa memberi pertimbangan kepada guru yang memohon untuk dipindahkan atas faktor-faktor tertentu seperti kesihatan.
Mengenai masalah kekurangan guru di Pahang seperti dilaporkan baru-baru ini, beliau menjelaskan, perkara tersebut telah diatasi sepenuhnya.
SAMBUTAN HARI BELIA TERBESAR
PUTRAJAYA 15 Mei – Sambutan Hari Belia Negara 2010 pada hari kedua karnival itu diadakan cukup meriah dengan puluhan ribu pengunjung membanjiri lokasi-lokasi program di sekitar pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan ini.
Sambutan kali ini begitu bermakna dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang meluangkan masa melawat setiap lokasi program yang dianjurkan.
Beliau diiringi Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek bersama dua timbalannya, Datuk Razali Ibrahim dan Wee Jeck Seng.
Lokasi pertama yang dilawatinya adalah Gelanggang Futsal Putrajaya di mana berlangsungnya Kejohanan Rentap Futsal Putrajaya Kosmo!
Kehadiran Perdana Menteri ternyata dinanti-nantikan oleh ribuan belia terdiri daripada pemain dan penonton yang membanjiri kompleks futsal itu.
Najib menyifatkan program-program yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sentiasa mendapat sambutan yang menggalakkan.
“Dengan adanya sambutan Hari Belia Negara, corak seperti ini terbukti amat tepat kerana mendapat sambutan luar biasa dan luar dugaan,” katanya.
Sebanyak 88 acara dan aktiviti menanti pengunjung sempena sambutan Hari Belia Negara 2010 di Putrajaya bermula semalam hingga Ahad ini.
Perdana Menteri seterusnya meluangkan masa menyaksikan aksi drift menerusi Cabaran Good Year anjuran Kelab Sukan Bermotor Integrasi di Presint 3.
Beliau kemudiannya melancarkan Myideas serta Kreatif GiG‘S di pekarangan Menara KBS yang merupakan program usahasama Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam memperkasakan lagi golongan belia negara.
Seterusnya Persiaran Perdana Presint 3 menjadi persinggahan Perdana Menteri yang mengunjungi gerai-gerai jualan dan pameran pelbagai institusi pengajian tinggi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Sementara itu, Perdana Menteri, menyampaikan Anugerah Belia Negara 2010 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.
Anugerah sempena Hari Belia Negara 2010 itu adalah sebagai satu bentuk pengiktirafan kerajaan kepada golongan belia dan organisasi mereka yang cemerlang serta berjasa kepada pembangunan belia di negara ini.
KEDUTAAN MALAYSIA BELUM AKTIFKAN PELAN PEMINDAHAN
BANGKOK 16 Mei – Kedutaan Malaysia di Thailand belum mengaktifkan pelan pemindahannya kerana keadaan sekarang belum memerlukannya berbuat demikian, kata Duta Besar, Datuk Husni Zai Yaacob hari ini.
"Kami telah sediakan rancangan luar jangkaan bagi menghadapi keadaan lebih buruk, tetapi sekarang, keadaan masih terkawal.
"Sekarang ini, tak ada huru-hara dan tidak wujud sebarang suasana perang,” katanya.
Beliau berkata, pertempuran selama empat hari antara tentera dan penunjuk perasaan antikerajaan yang meragut 24 nyawa dan mencederakan 200 orang setakat ini, hanya berlaku di kawasan tertentu di Bangkok dan bukan di seluruh bandar raya ini, manakala wilayah lain juga tidak terjejas.
Orang masih boleh keluar untuk membeli-belah, katanya.
Husni berkata, pada masa ini, terdapat 300 rakyat Malaysia di ibu kota Thailand ini yang berdaftar dengan kedutaan itu, 250 daripada mereka adalah pemastautin di sini, manakala selebihnya adalah pelancong.
BUDAK KERACUNAN SUSU TEPUNG BERULAT
AMPANG: Seorang kanak-kanak berusia empat tahun dari Taman Persiaran Desa Ampang Sembilan, di sini mengalami cirit birit selepas dipercayai meminum susu tepung sudah berulat dipercayai keluaran sebuah syarikat terkenal.
Susu tepung itu juga ada serangga seakan kutu beras, rasanya masam, dibeli oleh bapa kanak-kanak itu dari sebuah kedai berhampiran.
Bapa kanak-kanak itu, Mohd Amran Rahman, 32, berkata anaknya, Muhamad Alif muntah beberapa kali selepas beberapa jam meminum susu tepung yang dibuatnya kira-kira jam 11 malam pada 2 Mei lalu.
Beliau berkata, kira-kira jam 3 pagi anaknya itu menangis dan muntah-muntah tetapi beliau tidak mengesyaki ia berpunca daripada susu tepung yang dibelinya daripada sebuah kedai berdekatan rumahnya.
“Keesokannya anak saya masih muntah dan selepas membawanya ke klinik, doktor mengesahkan anak saya mengalami keracunan makanan.
“Apabila pulang ke rumah, anak saya minta minum susu dan ketika membancuh semula saya ternampak objek hitam yang disangka semut. Saya membuang susu itu dan membancuh semula menggunakan penapis tetapi terkejut apabila mendapati objek hitam itu adalah serangga seakan kutu beras dan terdapat ulat kecil didalamnya,” katanya ketika ditemui Berita Harian di rumahnya di sini, semalam.
Amran berkata, pada mulanya beliau tidak menyangka susu tepung itu rosak disebabkan tarikh luputnya pada 12 Jun 2011 tetapi selepas merasanya didapati masam.
“Saya menghubungi kedai yang menjual susu itu dan pihak syarikat pengeluar susu tetapi mereka meminta saya mengembalikan susu tepung itu dan menggantikan dengan susu baru.
“Saya tidak berpuas hati kerana tidak mengetahui kesan jangka panjang yang bakal dialami anak saya, lebih-lebih lagi anak saya trauma untuk meminum susu dan selalu demam,” katanya yang melaporkan kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang, Jabatan Kesihatan Kajang dan Pusat Aduan Pengguna Kebangsaan Fomca (NCCC) di Petaling Jaya.
Beliau berkata, wakil syarikat itu ada menghubunginya dan meminta beliau memulangkan susu tepung terbabit, tetapi beliau enggan berbuat demikian kerana keadaan anaknya masih lemah dan sakit.
CIMB INVESMENT DINOBAT BANK PELABURAN TERBAIK
CIMB Investment Bank Bhd dinobatkan sebagai bank pelaburan terbaik dalam pasaran bon dan sukuk tempatan oleh RAM Holdings Bhd, sekali gus meraih anugerah utama agensi terbabit iaitu Anugerah Liga.
Anugerah itu mengiktiraf kedudukan cemerlang institusi dalam Jadual Liga RAM Holdings dari segi jumlah urus niaga serta nilai terbitan urus niaga yang diselesaikan. Ia juga satu-satu pengiktirafan di peringkat kebangsaan yang memberi penghormatan dan menghargai peneraju serta pemikir inovatif dalam industri berkenaan.
Anugerah itu disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop pada majlis makan malam penghargaan ulang tahun ke-20 RAM Holdings, di Kuala Lumpur, semalam.
Sebagai memperingati ulang tahun ke-20 agensi penarafan tempatan itu, Anugerah Anjung Warisan yang mempunyai enam kategori mengiktiraf perintis aliran baru berwawasan serta berani mengambil risiko turut diperkenalkan.
Public Bank Bhd memenangi anugerah bagi kategori ‘Anugerah Evolutionary,’ PG Municipal Assets Bhd merangkul ‘Anugerah Originality’, manakala YTL Power Generation Sdn Bhd menerima ‘Anugerah Pengasas Trend’.
Sunway City Bhd meraih Anugerah Inspirasi dan kerajaan Sabah membawa pulang Anugerah Genesis, manakala Nor Mohamed Yakcop menerima Anugerah Visi yang mengiktiraf wawasan kepemimpinan
PARLIMEN BRITAIN TERGANTUNG
LONDON: Parti Konservatif menang kerusi terbanyak dalam pilihan raya Britain semalam tetapi gagal menyingkirkan Parti Buruh pimpinan Perdana Menteri, Gordon Brown yang menduduki tempat kedua sekali gus menyebabkan Parlimen Britain berada dalam keadaan ‘tergantung’.
Angka terbaru menurut Aljazeera, selepas 648 daripada 650 kerusi dikira, Konservatif memperoleh 305 kerusi, berbanding 258 yang diperoleh Parti Buruh, yang bermakna mustahil bagi Konservatif memenangi 326 kerusi yang diperlukan untuk memerintah sendiri di Dewan Rakyat.
Parti Liberal Demokrat pula hanya memiliki 57 kerusi - satu kegagalan besar selepas apa yang dilihat sebagai kempen yang kuat, manakala parti lain 28 kerusi.
Keadaan politik tidak menentu ini mengulangi keadaan seperti selepas pengundian 1974. Tetapi, David Cameron, pemimpin Konservatif menegaskan, parti lawannya pimpinan Brown yang berhaluan kiri sudah hilang mandat untuk memerintah.
Begitupun, penyokong utama Brown menyatakan, Parti Buruh yang berkuasa sejak 1997 akan cuba terus memegang kuasa dengan kerjasama Parti Liberal Demokrat pimpinan Nick Clegg.
Timbalan Brown, Peter Mandelson berkata parti Buruh sudah pasti sedia menimbang mengadakan pakatan dengan Parti Liberal Demokrat bagi memboleh-kannya terus berkuasa bagi penggal keempat.
Ahli politik parti Buruh menegaskan, Perlembagaan Britain memberi hak kepada Perdana Menteri, Gordon Brown untuk cuba membentuk kerajaan. Beliau boleh melakukannya dengan kerjasama Parti Liberal Demokrat yang berada di tempat ketiga, tetapi gabungan kedua-duanya pun dijangka tidak mencukupi untuk mendapat majoriti di Parlimen.
Brown, bagaimanapun, tiada masalah untuk Parti Konservatif dan Liberal Demokratik berunding membentuk kerajaan terlebih dulu. Jika gagal, beliau sedia berunding dengan Liberal Demokrat.
Tumpuan semalam adalah mengenai perbincangan mengenai parti yang bertanding. Mereka dibantu oleh pegawai kerajaan yang menyediakan dokumen taklimat yang menggariskan elemen utama cadangan parti dan kosnya.
Menurut tinjauan selepas pengundian di kalangan kira-kira 20,000 orang daripada 45 juta yang layak mengundi kelmarin, Parti Konservatif mungkin menang 305 kerusi dan parti Buruh, 255 kerusi di Dewan Rakyat.
Ia juga meletakkan Parti Liberal Demokrat, yang dijangka memperoleh kejayaan besar, kepada hanya 61 kerusi, kurang dua daripada jumlah kerusinya sebelum pilihan raya.
Parti lain yang menang termasuk Parti Kesatuan Demokratik (DUP) dengan lapan kerusi, Parti Sosial Demokrat dan Buruh (SDLP) dengan tiga kerusi, Sinn Fein (5), Parti Kebangsaan Scotland (6), Plaid Cymru (3) dan Parti Green dengan satu kerusi
SYOR LESEN PERTARUHAN PIALA DUNIA DIBANTAH
Judi beri kesan negatif, imej buruk kepada negara dengan majoriti rakyat beragama Islam
KUALA LUMPUR: Cadangan kerajaan untuk mengeluarkan lesen bagi pertaruhan sukan khususnya pada kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 mendapat tentangan banyak pihak termasuk pemimpin Umno kerana ia akan memberikan kesan negatif dan imej buruk kepada negara yang majoriti rakyatnya beragama Islam.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata cadangan berkenaan bukan saja menjejaskan imej kerajaan, malah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi.
“Kita sepatutnya berusaha untuk mengurangkan gejala judi dan juga pemberian lesen judi, walaupun secara sah atau haram, kegiatan judi ini banyak memberi kesan negatif kepada masyarakat. Sepatutnya kita cari jalan kurangkan budaya judi di negara ini,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Mohd Puad yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, bimbang sekiranya perjudian sukan itu dibenarkan ia akan mempengaruhi generasi muda termasuk pelajar kerana ia adalah sukan nombor satu negara.
Semalam akhbar melaporkan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mengeluarkan lesen bagi pertaruhan sukan terutama kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 awal Jun ini, bertujuan untuk mengelak kegiatan perjudian haram.
Sementara itu, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, berkata semua bentuk judi termasuk pertaruhan bola sepak sempena Piala Dunia adalah haram dalam Islam.
Harussani berkata, beliau tidak nampak langkah itu mampu membantu kerajaan menyelesaikan masalah penganjuran kegiatan perjudian bola tanpa lesen yang dikatakan akan berleluasa menjelang Piala Dunia.
Tokoh agama yang juga bekas penasihat agama Istana Negara, Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz, pula berkata kerajaan tidak wajar meneruskan niat untuk mengeluarkan lesen pertaruhan sukan terutama sempena Piala Dunia kerana langkah itu menggalakkan masyarakat termasuk umat Islam terjebak dengan kegiatan perjudian.
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Mohamad Isa Abd Ralip, dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam juga secara tegas membantah cadangan itu yang akan memberikan kesan negatif terhadap masyarakat.
Beliau berkata, sebarang bentuk pertaruhan adalah judi dan matlamat tidak boleh menghalalkan cara walaupun alasannya setiap hasil yang diterima boleh digunakan untuk pembangunan sukan dan ia juga menjadi suatu kesalahan mengikut undang-undang syariah di negara ini.
Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut, berkata cadangan terbabit adalah tidak wajar dan bertentangan dengan ajaran Islam sekiranya ingin memperoleh kemakmuran.
Di KOTA BHARU, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, berkata kementeriannya menyerahkan kepada kebijaksanaan Kementerian Kewangan untuk membuat pertimbangan bagi mengeluarkan lesen pertaruhan sukan terutama bola sepak Piala Dunia.
“Saya serah kepada Kementerian Kewangan, ini bukan aspek sukan tetapi pengawalan kegiatan perjudian yang semua tahu kegiatan perjudian adalah sekitar perlawanan bola sepak dan sukan lain,” katanya selepas Karnival Bola Sepak Kota Bharu Piala Datuk Fatmi 2010, di Maktab Sultan Ismail di sini, semalam
KUARTERS KILANG PAPAN MILIK BAPA CALON BN DI SIBU TERBAKAR
SIBU: Sebuah kuarters yang didiami 10 pekerja, iaitu kilang papan milik bapa calon Barisan Nasional (BN), bagi pilihan raya kecil Parlimen Sibu, Robert Lau Hui Yew, musnah dalam satu kebakaran, hari ini.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Shafie Ismail yang mengesahkan kebakaran itu, berkata api dikesan kira-kira jam 8.20 pagi dan tiada kecederaan dilaporkan.
Beliau menolak sebarang unsur khianat dalam insiden itu atau ada hubung kait dengan pilihan raya kecil berkenaan.
"Ia hanya kebetulan," katanya.
Lau, 45, terbabit dalam pertandingan tiga penjuru dengan calon DAP, Wong Ho Leng dan calon Bebas, Narawi Haron pada pilihan raya kecil itu yang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Robert Lau Hoi Chew.
Sementara itu, Shafie melahirkan perasaan puas hati dengan perjalanan proses penamaan calon hari ini yang pada pemerhatiannya berjalan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.
BERI PELUANG MAHASISWA BERPOLIIK
ENTAH apa yang ditakutkan, penyertaan mahasiswa dalam mewarnai arena politik negara dilihat sesetengah pihak tidak kena pada masanya hingga pelbagai mekanisme berbentuk kekangan dilaksanakan.
Mahasiswa sudah pasti tidak mahu mempersiakan peluang yang diberikan dengan terbabit dalam perkara yang merugikan.
Sudahlah hak dan kebebasan bersuara bagai dicabuli, dilempar pula tanggapan dan sindiran sinis sehingga suara mereka seperti anjing menyalak bukit.
Hairan, Mereka diajar bersuara jika tidak puas hati tapi apabila mahu membuka mulut di gelanggang politik, mereka 'dipancung'.
Alasannya, mereka tiada keperluan terbabit dalam gelanggang itu, kurang matang, terlalu emosi dan mudah dieksploitasi pihak tertentu. Adakah wajar sedangkan pada masa sama, semua pihak mahu mahasiswa menjadi golongan kelas pertama, apatah lagi mereka adalah generasi pewaris negara? Namun, ada pihak yang peka dan memberi kepercayaan dengan alasan, mereka sudah besar, terpelajar dan tahu membezakan baik buruk. Melihat fenomena yang berlaku ini, timbul tanda tanya, di mana kedudukan mahasiswa dalam senario politik negara? Profesor politik dan kerajaan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Jayum Jawan berkata, masyarakat perlu bersikap terbuka melihat senario ini dan jangan membandingkan dengan kebangkitan mahasiswa zaman dulu.
Beliau berkata, senario politik kini sudah berubah dengan pelbagai angin pembaharuan dan jika golongan itu terus disekat, ia memberi impak lebih buruk pada masa depan.
"Masyarakat kita agak skeptikal apabila membincangkan isu politik, padahal ia satu proses pembelajaran berterusan.
"Berpolitik tidak semestinya menunjukkan tanda menentang, membantah atau bertindak ganas tapi lebih kepada menyampaikan suara hati.
"Ada pihak takut kepada bayang-bayang sendiri sehingga sanggup merampas hak golongan itu dan memperkenalkan pelbagai akta," katanya.
Dr Jayum berkata, pengenalan akta atau sekatan boleh dilakukan, namun harus dipastikan ia tidak membunuh bakat dan kepemimpinan mereka.
"Sepatutnya kita memberi galakan, memantau atau membimbing mereka. Jika ada sekatan, yang ruginya mahasiswa.
"Daripada membelenggu keinginan itu, beri peluang mereka meluahkan segalanya. Namun biarlah dengan cara betul sebagai membuktikan mereka golongan terpelajar dan terpilih," katanya.
Mengulas mengapa mahasiswa dulu suka berdemonstrasi dan bertindak agak keterlaluan, Dr Jayum berkata, mungkin kurangnya medium menyuarakan pendapat.
"Hari ini sudah banyak medium, ada Majlis Perwakilan Mahasiswa di setiap universiti dan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan tempat mereka mengadu.
SETEM KELIP-KELIP DIJUAL ISNIN INI
KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Berhad mula menjual setem koleksi istimewa dan sampul surat hari pertama dengan tema kelip-kelip kepada orang ramai Isnin ini.
Ketua Unit Setem dan Filateli Pos Malaysia Berhad Yasmin Ramli berkata setem itu ditawarkan dalam empat reka bentuk yang memaparkan beberapa spesis kelip-kelip pada harga 30 sen dan 50 sen, manakala sampul surat hari pertama dijual dengan harga 30 sen tiap satu.
Beliau berkata, pengumpul setem juga boleh membeli helaian kertas unik yang memaparkan imej holografik lutsinar khas yang menampilkan gambaran kelip-kelip berkelip di waktu malam, dijual pada harga RM5 tiap satu.
Menurutnya, selain itu, pengumpul setem boleh membeli satu folder khas pada harga RM5.50 tiap satu atau set lengkap pada RM44.70 tiap satu di pejabat pos terpilih.
“Bila dikatakan mengenai kelip-kelip, orang ramai sering kaitkan dengan Kuala Selangor. Jadi, pelancaran setem ini masyarakat tahu terdapat 2,000 spesies kelip-kelip atau dikenali sebagai kunang-kunang atau api-api ini di seluruh dunia,” katanya pada persidangan media semasa memperkenalkan setem berkenaan di sini, semalam.
BUFET JUDI
KUALA LUMPUR: Seorang tauke sebuah premis dipercayai pusat judi di Taman Sri Rampai, Setapak, dekat sini, seakan-akan terdesak apabila sanggup mengadakan ‘kenduri’ makan secara bufet bagi mempromosi premis judi.
Lebih mengejutkan, notis promosi jamuan itu hanya diletak di luar pintu masuk berkaca yang dilekatkan dengan pelekat gelap bertujuan menarik perhatian orang ramai terutama kaki judi.
Tinjauan Metroplus di kawasan perniagaan di situ mendapati empat premis dipercayai pusat judi beroperasi berselerak di kawasan itu, malah ia dibuka 24 jam.
Taktik mereka yang hanya membuka sebahagian pintu dan menutup bahagian depan premis menyebabkan ia gagal dikesan. Pelanggan yang datang juga perlu dicam terlebih dulu oleh tauke sebelum memasuki premis berkenaan, dipercayai takut diserbu pihak berkuasa.
Dalam premis terbabit, suasananya tidak ubah seperti pusat Internet namun ia pusat permainan dipercayai judi Internet. Ia dikesan wartawan yang melihat melalui pintu premis yang ketika itu dibuka bagi memungut beberapa komputer yang dihantar.
Ada pelanggan yang dilihat datang membawa bekal makanan bagi mengisi perut kerana berada di premis terbabit sepanjang hari dipercayai untuk bermain mesin slot dan judi ‘siber’.
Peniaga makanan berdekatan, Karim, 30-an berkata, premis terbabit sentiasa dikunjungi orang ramai seawal pagi, malah ada yang berada di situ sepanjang hari.
“Kedai (pusat judi) terbabit tempat berjudi, ada mesin judi dilihat di dalam premis itu, malah ada komputer yang digunakan untuk bermain ‘roulette’ secara online.
“Mereka menggunakan pintu cermin yang dilekat dengan pelekat gelap khas yang membuatkan orang di luar tidak dapat melihat apa yang berlaku di dalam, tetapi mereka yang di dalam dapat melihat ke luar,” katanya.
Karim berkata, pelbagai peringkat umur menjadi pelanggan setia premis terbabit dengan paling ramai ialah remaja.
Sementara itu, Exco Majlis Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Datuk Seri V S Suwaminathan, ketika dihubungi memberikan faktor ketagihan menjadikan premis sebegini dipenuhi kaki judi.
“Mereka tidak serik jika kalah berjudi, tetapi hanya ingin memenuhi nafsu mereka untuk berjudi.
“Ia antara faktor psikologi yang membuatkan mereka ini tidak pernah rasa bersalah terhadap tindakan mereka yang merugikan diri sendiri dan keluarga,” katanya.
MANGSA BUNUH HIDUP SIHAT
BEIJING: Polis di tengah China mengkaji semula kes seorang lelaki yang didapati bersalah membunuh jirannya 11 tahun lalu selepas mangsa berkenaan tiba-tiba muncul semula dalam keadaan sihat.
Zhao Zuohai didapati bersalah dan dihukum mati oleh sebuah mahkamah di Henan atas tuduhan membunuh jirannya, Zhao Zhenxiang pada 1999 berikutan pertelingkahan kerana berebut wanita. Hukuman itu bagaimanapun dipinda kepada penjara seumur hidup dan kemudian dikurangkan kepada 20 tahun.
Zuohai mengaku melakukan pembunuhan itu selepas satu mayat tanpa kepala ditemui dalam perigi di kampungnya di daerah Zhecheng.
Bagaimanapun, mangsanya tiba-tiba muncul di kampung berkenaan beberapa hari lalu selepas menghilangkan diri selama 11 tahun.
Kemunculannya mengejutkan polis, lapor sebuah akhbar tempatan.
Menurut laporan, Zhen- xiang melarikan diri selepas bergaduh dengan Zuohai pada 1999 dan tinggal di tempat lain tanpa memberitahu sesiapa, menyebabkan dia disenarai sebagai orang hilang.
Polis kini membuka semula kes berkenaan dan mengkaji sama ada Zuohai perlu dibebaskan dan cuba mengenal pasti mayat tanpa kepala berkenaan.
Menurut laporan itu, setakat ini tidak dapat dipastikan mengapa Zuohai mengaku bersalah. Namun, kata laporan itu, ada kemungkinan dia didera oleh polis supaya mengaku.
PEMBUNUHAN ALBINO MENINGKAT
LONDON: Tujuh pembunuhan baru membabitkan golongan albino dilapor berlaku di Tanzania dan Burundi.
Ia menunjukkan perdagangan bahagian tubuh mereka terus mendapat permintaan tinggi.
Sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Under the Same Sun yang berpejabat di Vancouver, Kanada, menganggarkan, seramai 57 albino dibunuh di Tanzania setakat ini.
Dalam kejadian terbaru, seorang wanita albino berumur 28 tahun dan anaknya berusia empat tahun dibunuh di Cendajuru, wilayah Burundi yang bersempadan dengan Tanzania.
Pertubuhan itu juga mendedahkan satu pembunuhan dan empat percubaan membunuh albino di Tanzania antara Februari dan April lalu.
“Ini menjadikan jumlah pembunuhan albino di Tanzania meningkat kepada 57 dan enam cubaan membunuh yang menyaksikan beberapa anggota tubuh mangsa dipotong dan dilarikan.
“Di Burundi, 14 pembunuhan dilapor berlaku. Bagaimanapun, jumlah sebenar dipercayai lebih tinggi,” menurut kenyataan pertubuhan itu.
Pembunuhan albino bermula pada 2007. Anggota tubuh mereka dijual dengan harga yang begitu tinggi untuk dijadikan tangkal cepat kaya oleh tukang sihir.
Polis Tanzania menganggarkan, anggota tubuh albino yang lengkap boleh mencecah sehingga RM240,000.
MAUT ISI PERUT TERBURAI
KUALA LUMPUR: Dalam keadaan isi perut terburai selepas digilis tayar lori, seorang penunggang motosikal masih mampu mengucap dua kalimah syahadah ketika orang ramai datang membantu menyelamatkannya, semalam.
Detik kemalangan ngeri yang menyayat hati itu, bagaimanapun, berakhir beberapa minit kemudian apabila mangsa menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan berlumuran darah.
Jurucakap polis berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa sedang menunggang motosikal bersendirian melalui jalan di Kilometer 38, Jalan Lingkaran Tengah Dua (MRR2) berhampiran Desa Tun Razak di sini.
Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, mangsa yang dalam perjalanan menuju ke Bukit Jalil di sini dipercayai terjatuh selepas bergesel dengan sebuah kereta dipercayai model Proton Saga di sini.
“Kemalangan itu menyebabkan mangsa terjatuh ke atas jalan dan tidak sempat bangun menyelamatkan diri. Pada masa sama sebuah lori tanah yang mengekori dari belakang gagal mengelak sebelum mangsa digilis di perutnya.
“Lebih mengerikan apabila mangsa diseret lebih 10 meter oleh lori berkenaan hingga menyebabkan isi perut dan daging tubuhnya bertaburan di atas jalan raya,” katanya.
Menurutnya, mangsa, Muhammad Qaiyyum Jamal Abd Nasir, 24, dari Taman Desa Tasik, Sungai Besi di sini masih bernyawa beberapa saat selepas dia digilis walaupun separuh tubuhnya hancur.
“Orang ramai yang mengetahui mangsa beragama Islam dan kebetulan ada yang mengenalinya sempat mengajar mengucap dua kalimah syahadah sebelum dia menghembuskan nafas terakhir.
“Susulan kejadian itu, polis yang dimaklumkan berhubung kejadian itu bergegas ke lokasi kejadian sebelum mengawal lalu lintas selain mengutip cebisan mayat mangsa,” katanya.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk bedah siasat.
Sementara itu, pemandu lori terbabit, Daymonds Mamertus, 35, memberitahu tidak sempat mengelak berikutan mangsa jatuh betul-betul di hadapan kenderaannya.
Menurutnya, kejadian itu pengalaman paling mengerikan dalam hidupnya sejak memandu lori hampir 10 tahun lalu apatah lagi dengan keadaan mayat mangsa yang amat tragis.
'REMBOO JEJAS REZEKI KAMI'
KUALA LUMPUR: ‘Remboo atau bunjut’. Itu gelaran yang diberikan kepada peniaga warga asing terutama Indonesia yang tumbuh bagai cendawan berhampiran Masjid India kini menyebabkan rasa tidak puas hati peniaga berlesen Bazar Moden Masjid India (BMMI).
Lambakan peniaga warga asing terbabit menjejaskan pendapatan 143 peniaga berlesen di Jalan Melayu dan Jalan Masjid India memandangkan mereka menjual barang sama dengan harga lebih murah disebabkan tidak perlu menanggung sewa bulanan dan lesen tapak kerana beroperasi secara haram.
Antara barang yang dijual di BMMI ialah beg, tudung, kasut, minyak wangi dan jam tangan dengan perniagaan bermula seawal jam 9 pagi dan berakhir kira-kira jam 10 malam.
Difahamkan, hampir 30 peniaga warga asing mula beroperasi seawal jam 2 petang hingga 10 malam pada hari bekerja dan memulakan perniagaan seawal jam 9 pagi hingga 10 malam pada hari minggu di depan Masjid India walaupun perniagaan dilarang di kawasan berkenaan.
Sebelum projek menaik taraf BMMI pada 2006, seramai 22 orang peniaga berlesen BMMI pernah beroperasi di depan Masjid India.
Bagaimanapun, semua mereka berpindah ke bahagian dalam atas permintaan ahli jawatankuasa Masjid India yang mahu kawasan masjid berkenaan dikosongkan demi keselesaan jemaah.
Wakil peniaga BMMI, Syed Yusof Abdullah, berkata kehadiran peniaga warga asing terbabit bukan hanya menjejaskan pendapatan mereka, malah menyebabkan peniaga BMMI dipersoalkan pengunjung apabila harga yang ditawarkan peniaga warga asing lebih rendah.
“Pelanggan kami dirampas dan peniaga asing terbabit mudah meraih keuntungan sedangkan kami perlu membayar sewa tapak RM200 sebulan dan lesen RM168 bagi tempoh setahun,” katanya.
Beliau berkata, bayaran sewa dan lesen menyebabkan mereka terpaksa meletakkan harga barangan lebih tinggi berbanding yang dijual peniaga asing terbabit.
Syed Yusof mendakwa peniaga asing terbabit juga semakin berani dan seolah-olah tidak takut pihak berkuasa. Walaupun pelbagai tindakan sudah diambil pihak berkuasa, ia seolah-olah tiada kesudahan.
“Malah, ada yang memulakan perniagaan seperti biasa pada keesokan harinya walaupun barang mereka dirampas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya yang enam tahun beroperasi di BMMI.
TOLAK PERMOHONAN 4 PELAJAR
KUALA LUMPUR: Usaha empat pelajar mendapatkan perisytiharan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah sejak 2003 terbatal dan tidak sah, gagal apabila Mahkamah Tinggi di sini semalam menolak permohonan mereka.
Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh menolak dengan kos permohonan itu selepas mendengar penjelasan kedua-dua pihak dalam kamar.
Dalam prosiding ini, peguam Mohamed Hanipa Maidin mewakili empat pelajar terbabit dan peguam kanan persekutuan Suzana Atan, mewakili kerajaan.
Suzana ditemui pemberita berkata hakim memutuskan, dua surat pekeliling ikhtisas pelaksanaan PPSMI di sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan (Cina dan Tamil) tidak bercanggah Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, peruntukan tersebut berkenaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan di sekolah, bahasa Melayu masih kekal bahasa perantara.
3 REMAJA LEMAS RAKIT TERBALIK DI LOMONG
SEREMBAN: “Kejadian berlaku begitu pantas apabila rakit kayu berkenaan tiba-tiba hilang keseimbangan dan terbalik hingga menyebabkan kami berempat terhumban ke dalam air,” kata Muhd Zarul Asyraf, 14, ketika menceritakan semula detik cemas dalam kejadian lemas, petang semalam.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, dua beradik iaitu S Joganathan, 13, dan adiknya, S Jayamalini, 10, serta remaja lelaki dikenali Mohd Asyraf Azmi, 14, lemas apabila rakit daripada kayu dan tong plastik yang dinaiki mereka terbalik di sebuah lombong di Taman Desa Cempaka, Nilai, dekat sini.
Muhd Zarul berkata, sebelum itu pada kira-kira jam 4.30 petang, dia bersama Mohd Asyraf dan tiga rakannya ke lombong berkenaan yang terletak berdekatan rumah mereka untuk memancing.
“Sejurus tiba, kami melihat dua beradik iaitu masing-masing lelaki dan perempuan itu asyik bermain air di kawasan berkenaan.
“Tidak lama kemudian, kami ternampak sebuah rakit kayu hanyut di tepi tebing lombong berkenaan dan terus menariknya menggunakan sebatang kayu.
“Saya dan Asyraf serta pasangan adik-beradik itu cuba menaiki rakit berkenaan sebelum ia tiba-tiba tidak dapat dikawal lalu terbalik hingga menyebabkan kami terjatuh ke dalam air,” katanya di sini, semalam.
Menurutnya, dia sempat melompat ke arah tebing sebelum ditarik seorang rakannya, Putera Alif Azlan, 14, sebelum mendapati tiga mangsa lain sudah tenggelam dan langsung tidak kelihatan.
“Dalam keadaan panik itu, beberapa rakan lain segera berlari mendapatkan bantuan dan saya cuba mencari mangsa di sekitar kawasan tepi tebing berkenaan sebelum merasai seolah-olah terpijak sesuatu objek.
“Apabila diperiksa, saya terkejut apabila mendapati objek berkenaan tangan kanak-kanak perempuan terbabit dan segera menariknya ke atas,” katanya.
Sementara itu, penduduk, R Seelan, 43, berkata dia yang dalam perjalanan untuk menghantar anaknya ke pusat tuisyen di kawasan berdekatan segera memberhentikan kenderaan sejurus melihat beberapa kanak-kanak melambai-lambai sambil menjerit meminta pertolongan.
“Saya terkejut apabila melihat kanak-kanak perempuan berkenaan dalam keadaan nyawa-nyawa ikan dan segera memberikan bantuan pernafasan kepadanya,” katanya.
Difahamkan, kanak-kanak terbabit bagaimanapun sudah meninggal dunia, manakala dua mangsa lain mati di tempat kejadian.
Mayat kedua-dua itu ditemui dan dibawa keluar sepasukan anggota mencari dan menyelamat (SAR) Jabatan Bomba dan Penyelamat dengan kerjasama Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), kira-kira jam 6 petang.
Ketiga-tiga mereka dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat.
SEBAK LIHAT CEBISAN OTAK
KOTA TINGGI: “Sebaik melihat cebisan otak manusia di tempat kemalangan, saya dapat rasakan mungkin nyawa isteri dan anak sudah melayang,” kata Mohd Fadzely Aziz, 28, menceritakan kemalangan ngeri yang meragut nyawa enam anggota keluarganya termasuk bayi dalam kandungan di Kilometer 81.5 Jalan Johor Bahru-Mersing di sini, kira-kira 1.5 kilometer dari Felcra Sungai Ara di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, Proton Wira yang dinaiki tujuh sekeluarga dalam perjalanan ke Johor Bahru untuk menghadiri majlis pertunangan saudara di Kangkar Pulai, sebelum bertembung sebuah Mercedes Benz dari arah bertentangan.
Pertembungan kuat itu menyebabkan tiga daripada tujuh beranak maut di tempat kejadian, seorang meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kota Tinggi (HKT), manakala seorang lagi ketika mendapatkan rawatan kecemasan di HKT, melengkapkan kematian tiga generasi keluarga berkenaan.
Isteri Mohd Fadzely, Nadatul Isma Md Isa@Ramli, 25, parah di muka dan tangan, manakala anak tunggal mereka, Putri Alya Batissa, setahun, parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Pemandu Proton Wira berkenaan, Md Azahar Ali Seman, 39, dan kakaknya, Zabidah, 49, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala isteri Md Azahar, Noraini Norzaini, 27, yang dipercayai duduk di sebelah suaminya dan mengandung enam bulan, mati ketika dalam perjalanan ke HKT.
Mangsa terakhir meninggal dunia, Adriana Balqis Md Isa@Ramli, 6, yang juga anak Allahyarham Zabidah, menghembuskan nafas terakhir ketika mendapatkan rawatan kecemasan di HKT pada kira-kira jam 5.10 petang, manakala seorang lagi mangsa, Nazrul Haikal Md Azahar, 6, turut menerima rawatan kecemasan di HKT sebelum dipindahkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Pandan, dekat sini, bersama ibu saudaranya, Nadatul Isma.
Mohd Fadzely ketika ditemui berkata, dia terkejut apabila diberitahu isteri dan anaknya terbabit kemalangan ketika dalam perjalanan ke Johor Bahru kerana sebelum itu mereka bersetuju tidak menghadiri majlis pertunangan saudara isterinya itu.
“Ketika perbualan telefon malam kelmarin, isteri ada memberitahu hasrat ke Johor Bahru, namun saya mengatakan tidak perlu dan hanya pergi ketika majlis perkahwinan mereka kelak kerana mempunyai tugas di rumah kami di Rompin.
“Isteri ketika ini tinggal bersama ibunya (Zabidah) di Felda Keratong, Pahang, dan selepas perbualan itu dia bersetuju untuk tidak pergi ke majlis berkenaan.
“Bagaimanapun, saya terkejut apabila menerima panggilan telefon kira-kira jam 3 petang mengatakan isteri dan anak terbabit kemalangan di Kota Tinggi,” katanya yang bekerja sebagai pemandu lori.
Menurutnya, sebaik mendapat tahu kejadian itu, dia bergegas ke tempat kejadian dan sebaik tiba dia tidak dapat menahan sebak dan hampir pitam melihat cebisan otak bertaburan.
Ketika itu, katanya, terlintas di fikiran mengatakan isteri dan anaknya, Putri Alya Batissa, sudah pun meninggal dunia ditambah perbualan orang ramai yang mengatakan tiga daripada tujuh yang menaiki kereta itu meninggal dunia di tempat kejadian.
“Sepanjang perjalanan ke HKT, badan saya menggigil keresahan, namun terpaksa menggagahkan diri.
“Setibanya di sana, saya diberitahu anak meninggal dunia di tempat kejadian manakala isteri masih mendapatkan rawatan kecemasan,” katanya yang bercadang membawa pulang anak dan isterinya pada 11 Mei ini untuk meraikan hari jadi isterinya, sehari kemudian.
Katanya, sekarang baru dia faham mengapa dia sukar melelapkan mata dan sering teringatkan anak isteri, malam kelmarin.
Sementara itu, Nadatul Isma sempat melihat jenazah ibunya, Allahyarham Zabidah dan anaknya buat kali terakhir apabila dia diusung melalui rumah mayat sebelum menaiki ambulans ke HSI.
Semua jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Perantau Damai, Muadzam Shah, Pahang, sebaik selesai bedah siasat.
TIDAK BERNAFAS 30 MINIT
SERDANG: Hanya ungkapan ajaib dapat digambarkan apabila seorang bayi lelaki yang dikatakan tidak bernafas hampir 30 minit akibat lemas selepas terjatuh ke dalam baldi berisi air, didapati hidup kembali selepas dibawa ke hospital.
Kejadian itu dianggap detik paling mencemaskan apabila Adif Hakimi Nazari, 2, ditemui ibu dan bapanya dalam keadaan tertonggeng dalam baldi selepas masuk ke tandas tanpa disedari.
Mangsa yang sudah tidak bernafas dan lemas hampir 15 minit dalam baldi setinggi paras lutut orang dewasa itu tiba-tiba kembali bernafas selepas doktor hanya memberi harapan lima peratus untuk menyelamatkan mangsa.
Ibu mangsa, Norhayati Mohd Basri, 33, berkata kira-kira jam 7.30 petang Selasa lalu, dia dan suami, Nazari Hussin, 35, berkemas untuk pulang ke rumah selepas habis bekerja di butik perkahwinannya di Seri Serdang di sini.
Menurutnya, ketika itu anak sulungnya, Adam Hakimi, 7, memberitahu ingin membuang air besar sebelum ke tandas di belakang premis di tingkat satu berkenaan.
“Saya tidak menyedari Adif mengekori abangnya berikutan sibuk mengemas barang tempahan perkahwinan.
“Adam kemudian kembali ke bahagian hadapan kedai tanpa menyedari adiknya masih di luar tandas,” katanya.
Menurutya, 15 minit kemudian Adam yang mencari adiknya terkejut melihat Adif tertonggeng dengan kepala tenggelam dalam baldi besar berkenaan.
“Keseluruhan kepala dan muka Adif berada dalam air dengan kakinya ke atas serta tidak bergerak.
“Suami saya segera mengeluarkan anak kami dari baldi. Namun ketika itu, Adif sudah tidak bernafas dan badannya lembik,” katanya.
Menurutnya, perut anaknya yang kembung menunjukkan Adif tertelan banyak air.
Dia yang masih trauma berkata, keadaan anaknya seolah-olah sudah mati berikutan muka dan tubuhnya menjadi biru gelap selain tiada denyutan nadi dikesan.
“Namun, suami tidak berputus asa dan berusaha melakukan pernafasan dari mulut ke mulut terhadap Adif.
“Beberapa minit kemudian, air yang tertelan mula mengalir keluar dari mulut dan hidungnya,” katanya.
Menurutnya, dia dan suami membawa Adif ke Hospital Serdang dengan harapan Adif dapat diselamatkan.
“Ketika itu keadaan cukup cemas apatah lagi dengan jalan yang sesak. Namun, nasib menyebelahi kami apabila sebuah kereta peronda polis kebetulan berhenti di hadapan kami sewaktu menunggu di persimpangan lampu isyarat.
“Saya terus keluar dari kereta dan meluru ke arah kereta polis terbabit. Saya merayu anggota polis berkenaan membantu membawa anak kami ke hospital,” katanya.
Menurutnya, dua anggota polis berkenaan terus menghulurkan bantuan sebelum memecut sepantas mungkin ke Hospital Serdang.
“Sebaik tiba di wad kecemasan Hospital Serdang, doktor dan jururawat bertugas segera memberi bantuan kecemasan. Namun, doktor memberitahu peluang Adif pulih hanyalah lima peratus.
“Dia menasihati saya bersabar, membaca Yasin dan berdoa semoga ada keajaiban bakal berlaku,” katanya.
Menurutnya, selama empat hari dia dan suami tidak lena tidur dan menunggu di luar wad kecemasan dengan harapan dan doa.
Dia berkata, penantian mendebarkan itu membuatkannya menitis air mata apabila anaknya mula sedarkan diri kelmarin, sebelum meminta disusukan.
“Saya menangis kegembiraan apabila mengetahui dia hidup kembali. Apa yang berlaku benar-benar satu keajaiban dan hadiah sempena Hari Ibu paling bermakna kepada saya,” katanya.
Menurutnya, dia amat terhutang budi kepada anggota polis dari Balai Seri Serdang, doktor dan kakitangan Hospital Serdang yang membantu menyelamatkan nyawa anaknya.
TAQWIM
BLOG ARCHIVE
-
▼
2010
(204)
-
▼
May
(35)
- KEJUTAN BELAKANG BILIK MAYAT
- PONTIANAK BALAI POLIS
- 30 TERBAKAR HIDUP-HIDUP
- HENTI GUNA NAMA KHALIFAH UMAR
- LEBIH 200 KELUARGA MOHON MENGAMBIL BAYI DIBUANG
- GURU LEPASAN IJAZAH JADI REBUTAN
- WASPADA JARINGAN ISLAM LIBERAL
- ULAMA PATUT GALAK PERPADUAN BUKAN PERPECAHAN
- 42 PEMBERONTAK MAUT DALAM SERANGAN JET PEJUANG PAK...
- REMAJA DISERET 100 METER
- SISWI LEMAS BANTU TEMAN
- 16 REMAJA ANTARA DITAHAN BERPESTA LIAR
- MAKMAL PROSES DADAH DIBONGKAR
- PERTEMPURAN DI DARFUR, LEBIH 160 TERBUNUH
- PULAU PINANG HALANG UMNO GUNA DEWAN
- RAKYAT PALESTIN PERINGATI PERISTIWA NAQBA
- LEBIH 100,000 MOHON JAWATAN GURU
- SAMBUTAN HARI BELIA TERBESAR
- KEDUTAAN MALAYSIA BELUM AKTIFKAN PELAN PEMINDAHAN
- BUDAK KERACUNAN SUSU TEPUNG BERULAT
- CIMB INVESMENT DINOBAT BANK PELABURAN TERBAIK
- PARLIMEN BRITAIN TERGANTUNG
- SYOR LESEN PERTARUHAN PIALA DUNIA DIBANTAH
- KUARTERS KILANG PAPAN MILIK BAPA CALON BN DI SIBU ...
- BERI PELUANG MAHASISWA BERPOLIIK
- SETEM KELIP-KELIP DIJUAL ISNIN INI
- BUFET JUDI
- MANGSA BUNUH HIDUP SIHAT
- PEMBUNUHAN ALBINO MENINGKAT
- MAUT ISI PERUT TERBURAI
- 'REMBOO JEJAS REZEKI KAMI'
- TOLAK PERMOHONAN 4 PELAJAR
- 3 REMAJA LEMAS RAKIT TERBALIK DI LOMONG
- SEBAK LIHAT CEBISAN OTAK
- TIDAK BERNAFAS 30 MINIT
-
▼
May
(35)