PEMBUNUHAN ALBINO MENINGKAT

LONDON: Tujuh pembunuhan baru membabitkan golongan albino dilapor berlaku di Tanzania dan Burundi.
Ia menunjukkan perdagangan bahagian tubuh mereka terus mendapat permintaan tinggi.

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Under the Same Sun yang berpejabat di Vancouver, Kanada, menganggarkan, seramai 57 albino dibunuh di Tanzania setakat ini.

Dalam kejadian terbaru, seorang wanita albino berumur 28 tahun dan anaknya berusia empat tahun dibunuh di Cendajuru, wilayah Burundi yang bersempadan dengan Tanzania.

Pertubuhan itu juga mendedahkan satu pembunuhan dan empat percubaan membunuh albino di Tanzania antara Februari dan April lalu.

“Ini menjadikan jumlah pembunuhan albino di Tanzania meningkat kepada 57 dan enam cubaan membunuh yang menyaksikan beberapa anggota tubuh mangsa dipotong dan dilarikan.

“Di Burundi, 14 pembunuhan dilapor berlaku. Bagaimanapun, jumlah sebenar dipercayai lebih tinggi,” menurut kenyataan pertubuhan itu.

Pembunuhan albino bermula pada 2007. Anggota tubuh mereka dijual dengan harga yang begitu tinggi untuk dijadikan tangkal cepat kaya oleh tukang sihir.

Polis Tanzania menganggarkan, anggota tubuh albino yang lengkap boleh mencecah sehingga RM240,000.

Template by : kendhin x-template.blogspot.com