BERI PELUANG MAHASISWA BERPOLIIK

ENTAH apa yang ditakutkan, penyertaan mahasiswa dalam mewarnai arena politik negara dilihat sesetengah pihak tidak kena pada masanya hingga pelbagai mekanisme berbentuk kekangan dilaksanakan.

Mahasiswa sudah pasti tidak mahu mempersiakan peluang yang diberikan dengan terbabit dalam perkara yang merugikan.

Sudahlah hak dan kebebasan bersuara bagai dicabuli, dilempar pula tanggapan dan sindiran sinis sehingga suara mereka seperti anjing menyalak bukit.


Hairan, Mereka diajar bersuara jika tidak puas hati tapi apabila mahu membuka mulut di gelanggang politik, mereka 'dipancung'.


Alasannya, mereka tiada keperluan terbabit dalam gelanggang itu, kurang matang, terlalu emosi dan mudah dieksploitasi pihak tertentu. Adakah wajar sedangkan pada masa sama, semua pihak mahu mahasiswa menjadi golongan kelas pertama, apatah lagi mereka adalah generasi pewaris negara? Namun, ada pihak yang peka dan memberi kepercayaan dengan alasan, mereka sudah besar, terpelajar dan tahu membezakan baik buruk. Melihat fenomena yang berlaku ini, timbul tanda tanya, di mana kedudukan mahasiswa dalam senario politik negara? Profesor politik dan kerajaan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Jayum Jawan berkata, masyarakat perlu bersikap terbuka melihat senario ini dan jangan membandingkan dengan kebangkitan mahasiswa zaman dulu.


Beliau berkata, senario politik kini sudah berubah dengan pelbagai angin pembaharuan dan jika golongan itu terus disekat, ia memberi impak lebih buruk pada masa depan.


"Masyarakat kita agak skeptikal apabila membincangkan isu politik, padahal ia satu proses pembelajaran berterusan.


"Berpolitik tidak semestinya menunjukkan tanda menentang, membantah atau bertindak ganas tapi lebih kepada menyampaikan suara hati.


"Ada pihak takut kepada bayang-bayang sendiri sehingga sanggup merampas hak golongan itu dan memperkenalkan pelbagai akta," katanya.


Dr Jayum berkata, pengenalan akta atau sekatan boleh dilakukan, namun harus dipastikan ia tidak membunuh bakat dan kepemimpinan mereka.

"Sepatutnya kita memberi galakan, memantau atau membimbing mereka. Jika ada sekatan, yang ruginya mahasiswa.


"Daripada membelenggu keinginan itu, beri peluang mereka meluahkan segalanya. Namun biarlah dengan cara betul sebagai membuktikan mereka golongan terpelajar dan terpilih," katanya.


Mengulas mengapa mahasiswa dulu suka berdemonstrasi dan bertindak agak keterlaluan, Dr Jayum berkata, mungkin kurangnya medium menyuarakan pendapat.


"Hari ini sudah banyak medium, ada Majlis Perwakilan Mahasiswa di setiap universiti dan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan tempat mereka mengadu.

Template by : kendhin x-template.blogspot.com