KEDUTAAN MALAYSIA BELUM AKTIFKAN PELAN PEMINDAHAN

BANGKOK 16 Mei – Kedutaan Malaysia di Thailand belum mengaktifkan pelan pemindahannya kerana keadaan sekarang belum memerlukannya berbuat demikian, kata Duta Besar, Datuk Husni Zai Yaacob hari ini.

"Kami telah sediakan rancangan luar jangkaan bagi menghadapi keadaan lebih buruk, tetapi sekarang, keadaan masih terkawal.

"Sekarang ini, tak ada huru-hara dan tidak wujud sebarang suasana perang,” katanya.

Beliau berkata, pertempuran selama empat hari antara tentera dan penunjuk perasaan antikerajaan yang meragut 24 nyawa dan mencederakan 200 orang setakat ini, hanya berlaku di kawasan tertentu di Bangkok dan bukan di seluruh bandar raya ini, manakala wilayah lain juga tidak terjejas.

Orang masih boleh keluar untuk membeli-belah, katanya.

Husni berkata, pada masa ini, terdapat 300 rakyat Malaysia di ibu kota Thailand ini yang berdaftar dengan kedutaan itu, 250 daripada mereka adalah pemastautin di sini, manakala selebihnya adalah pelancong.

Template by : kendhin x-template.blogspot.com