TIDAK BERNAFAS 30 MINIT


SERDANG: Hanya ungkapan ajaib dapat digambarkan apabila seorang bayi lelaki yang dikatakan tidak bernafas hampir 30 minit akibat lemas selepas terjatuh ke dalam baldi berisi air, didapati hidup kembali selepas dibawa ke hospital.

Kejadian itu dianggap detik paling mencemaskan apabila Adif Hakimi Nazari, 2, ditemui ibu dan bapanya dalam keadaan tertonggeng dalam baldi selepas masuk ke tandas tanpa disedari.


Mangsa yang sudah tidak bernafas dan lemas hampir 15 minit dalam baldi setinggi paras lutut orang dewasa itu tiba-tiba kembali bernafas selepas doktor hanya memberi harapan lima peratus untuk menyelamatkan mangsa.


Ibu mangsa, Norhayati Mohd Basri, 33, berkata kira-kira jam 7.30 petang Selasa lalu, dia dan suami, Nazari Hussin, 35, berkemas untuk pulang ke rumah selepas habis bekerja di butik perkahwinannya di Seri Serdang di sini.


Menurutnya, ketika itu anak sulungnya, Adam Hakimi, 7, memberitahu ingin membuang air besar sebelum ke tandas di belakang premis di tingkat satu berkenaan.


“Saya tidak menyedari Adif mengekori abangnya berikutan sibuk mengemas barang tempahan perkahwinan.


“Adam kemudian kembali ke bahagian hadapan kedai tanpa menyedari adiknya masih di luar tandas,” katanya.


Menurutya, 15 minit kemudian Adam yang mencari adiknya terkejut melihat Adif tertonggeng dengan kepala tenggelam dalam baldi besar berkenaan.


“Keseluruhan kepala dan muka Adif berada dalam air dengan kakinya ke atas serta tidak bergerak.

“Suami saya segera mengeluarkan anak kami dari baldi. Namun ketika itu, Adif sudah tidak bernafas dan badannya lembik,” katanya.


Menurutnya, perut anaknya yang kembung menunjukkan Adif tertelan banyak air.


Dia yang masih trauma berkata, keadaan anaknya seolah-olah sudah mati berikutan muka dan tubuhnya menjadi biru gelap selain tiada denyutan nadi dikesan.


“Namun, suami tidak berputus asa dan berusaha melakukan pernafasan dari mulut ke mulut terhadap Adif.

“Beberapa minit kemudian, air yang tertelan mula mengalir keluar dari mulut dan hidungnya,” katanya.


Menurutnya, dia dan suami membawa Adif ke Hospital Serdang dengan harapan Adif dapat diselamatkan.


“Ketika itu keadaan cukup cemas apatah lagi dengan jalan yang sesak. Namun, nasib menyebelahi kami apabila sebuah kereta peronda polis kebetulan berhenti di hadapan kami sewaktu menunggu di persimpangan lampu isyarat.


“Saya terus keluar dari kereta dan meluru ke arah kereta polis terbabit. Saya merayu anggota polis berkenaan membantu membawa anak kami ke hospital,” katanya.


Menurutnya, dua anggota polis berkenaan terus menghulurkan bantuan sebelum memecut sepantas mungkin ke Hospital Serdang.


“Sebaik tiba di wad kecemasan Hospital Serdang, doktor dan jururawat bertugas segera memberi bantuan kecemasan. Namun, doktor memberitahu peluang Adif pulih hanyalah lima peratus.


“Dia menasihati saya bersabar, membaca Yasin dan berdoa semoga ada keajaiban bakal berlaku,” katanya.


Menurutnya, selama empat hari dia dan suami tidak lena tidur dan menunggu di luar wad kecemasan dengan harapan dan doa.


Dia berkata, penantian mendebarkan itu membuatkannya menitis air mata apabila anaknya mula sedarkan diri kelmarin, sebelum meminta disusukan.


“Saya menangis kegembiraan apabila mengetahui dia hidup kembali. Apa yang berlaku benar-benar satu keajaiban dan hadiah sempena Hari Ibu paling bermakna kepada saya,” katanya.


Menurutnya, dia amat terhutang budi kepada anggota polis dari Balai Seri Serdang, doktor dan kakitangan Hospital Serdang yang membantu menyelamatkan nyawa anaknya.

Template by : kendhin x-template.blogspot.com