16 REMAJA ANTARA DITAHAN BERPESTA LIAR

TELUK KEMANG 15 Mei - Keasyikan 27 orang termasuk 16 remaja menyertai satu pesta liar dalam bilik yang diubah suai di sebuah resort di Port Dickson dekat sini, mengundang padah, apabila diserbu sepasukan polis awal pagi tadi.

Dalam serbuan kira-kira pukul 3 pagi itu, semua mereka berusia antara 16 hingga 26 tahun ditahan ketika sedang khayal menikmati alunan muzik ala disko.

Daripada kesemua remaja yang ditahan, empat adalah wanita.

Menurut Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supritendan Baljeet Singh, serbuan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson hasil maklumat awam.

Katanya, ujian air kencing mendapati tujuh daripada mereka positif mengambil dadah termasuk empat wanita berkenaan.

"Penganjur mengubah suai bilik di resort berkenaan untuk dijadikan mini disko dengan membawa pelbagai peralatan seperti pembesar suara.

"Polis turut merampas sejumlah dadah dipercayai jenis ketamin dalam bilik itu," katanya di sini hari ini.

Baljeet berkata, kumpulan itu dikatakan menyewa bilik di resort berkenaan sejak semalam untuk bersuka ria.

Pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengetahui punca bekalan dadah itu diperoleh.

"Mereka yang didapati positif dadah itu ditahan untuk tindakan lanjut dan siasatan mengenainya masih dilakukan.

"Polis mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai yang mengetahui perlakuan jenayah supaya memaklumkan kepada polis untuk tindakan," ujarnya.

Tambahnya lagi, kesemua yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a), akta yang sama.

"Kesemua mereka kini ditahan di IPD Port Dickson untuk membantu siasatan," katanya.

Template by : kendhin x-template.blogspot.com