AHLI MAJLIS MATI DIHENTAK BENDA KERAS

IPOH 1 Ogos - Hasil bedah siasat terhadap mayat Ahli Majlis Perbandaran Manjung, Lim Ting Peng yang dibunuh dan mayatnya ditemui di dalam perigi semalam mendapati, kematian mangsa disebabkan oleh hentakan benda keras di belakang kepalanya.

Malah, pihak polis yang melakukan siasatan kes pembunuhan kejam ke atas Ketua MCA cawangan Changkat Keruing itu turut menemui batang tukul besi di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohd. Jamil Osman berkata, doktor yang menjalankan bedah siasat mengesahkan punca kematian mangsa itu.

"Polis juga tidak menolak kemungkinan batang tukul besi yang ditemui itu digunakan dalam pembunuhan tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Ting Peng, 49, ditemui mati dibunuh di dalam perigi di ladang ternakan ayam miliknya di Kampung Baru Changkat Keruing, Manjung.

Mayat mangsa ditemui anak lelakinya, Tommy Lim, 18, yang turut serta dalam operasi mencari bapanya yang hilang.

Sebelum itu, mangsa yang memandu sendirian keluar dari rumah kira-kira pukul 5 petang kelmarin untuk bertemu dengan dua pekerja warga Myanmar di ladang ternakan ayam tersebut.

Sementara itu, Mohd. Jamil berkata, kenderaan mangsa iaitu Nissan Frontier telah ditemui kira-kira pukul 9 pagi ini di Sungai Batu, Pantai Remis kira-kira 25 kilometer dari tempat kejadian.

"Hasil pemeriksaan polis, kita menemui sebuah telefon bimbit, dipercayai milik salah seorang pekerja mangsa yang sehingga kini menghilangkan diri.

"Kita dapati beberapa panggilan telah dibuat oleh pemilik telefon itu di sekitar kawasan Pantai Remis," ujar beliau.

Pihak polis juga, katanya, menemui beberapa kesan cap jari tetapi belum dapat disahkan pemiliknya di dalam kenderaan mangsa.

Sehingga kini, Mohd. Jamil berkata, pihaknya masih menyiasat motif pembunuhan tersebut dan usaha untuk menjejaki kedua-dua pekerja mangsa bagi membantu siasatan giat dijalankan.

Template by : kendhin x-template.blogspot.com