KAKAKKU PENYELAMAT

KUALA LUMPUR: Bau asap kuat menyedarkan seorang pelajar yang ketika itu sedang mengulangkaji pelajaran sebelum dia dengan pantas menarik dua adiknya keluar selepas rumah mereka di tingkat 4, Blok B, Pangsapuri Taman Melati, Jalan Melati, di sini, terbakar, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, pelajar terbabit, Nurdhaniyah Shamsu Shuhaimi, 17, bertindak pantas membawa dua adiknya Mohd Fikri, 12, dan Mohd Farid, 5, yang ketika itu sedang tidur di ruang tamu rumah mereka.

Tindakan pantas remaja terbabit yang tidak panik menyelamatkan nyawa mereka ketika api marak dipercayai bermula dari sebuah bilik.

Ketika kebakaran memusnahkan hampir 80 peratus kediaman itu, bapa mereka tiada di rumah kerana mempunyai urusan kerja di Rembau, Negeri Sembilan manakala ibu mereka, Amirah Saadullah, 43, yang bekerja sebagai pemandu teksi juga tidak berada di rumah ketika itu.

Akibatnya, mereka tinggal sehelai sepinggang termasuk semua buku digunakan untuk persiapan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan juga Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang hangus sama sekali dalam kebakaran itu.

Difahamkan, ketika itu Nurdhaniyah sempat membuka pintu hadapan sebelum api marak dan dia dengan pantas menarik keluar dua adiknya dan mujur pintu jeriji tidak dikunci membuatkan dia sempat bertindak.

Nurdhaniyah, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wangsa Maju Seksyen 2 akan menduduki peperiksaan SPM beberapa bulan lagi dan dia yang trauma dan terlalu sedih dengan kejadian itu terpaksa ditenangkan beberapa penduduk selepas dilihat menangis teresak-esak.

Namun, tindakan pantas dan beraninya itu mendapat pujian penduduk berikutan dia berjaya menyelamatkan dua adiknya walaupun api marak ketika itu.

Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan, Azizan Ismail, berkata punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat.

Menurutnya, bomba menerima panggilan jam 3.14 petang dan tiga jentera dari Wangsa Maju, Setapak dan Gombak Selatan bergegas ke lokasi kebakaran.

“Ketika sampai, api sedang marak di tingkat empat dan beberapa penghuni yang berada di tingkat lima pangsapuri itu terperangkap kerana asap tebal.

“Bagaimanapun, kami berjaya menyelamatkan mereka dan membawa turun mangsa yang terperangkap itu tanpa mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Template by : kendhin x-template.blogspot.com