AWAS PRODUK PALSU PENJAGAAN MATA

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada dengan pelbagai produk penjagaan mata dan kesihatan tradisional palsu yang kini berada di pasaran secara berleluasa.

Pengarah Pusat Mata dan Lasik, Pusat Perubatan Prince Court, Prof. Dr. Muhaya Mohamad berkata, produk berkenaan mungkin berbahaya kerana pengeluaran dan penjualannya tidak diluluskan pihak berkuasa.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai membuat rujukan terutama kepada pakar perubatan terlebih dahulu sebelum menggunakan sebarang produk yang dijual bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

"Kebanyakan produk terbabit dibungkus sama seperti yang asli untuk meyakinkan pengguna sedangkan ia dihasilkan tanpa kelulusan pihak berkuasa.

"Sebab itu kita harap mereka (pengguna) mendapatkan barangan di premis yang sah selain merujuk kepada pakar perubatan terlebih dahulu sebelum menggunakannya," katanya.

Beliau berucap pada Seminar Motivasi dan Sesi Interaktif Celik Mata dan Jiwa di Kelab Golf Perkhidmatan Awam (KGPA) di sini hari ini.

Dr. Muhaya berkata, penggunaan produk penjagaan mata palsu amat berbahaya dan boleh mengakibatkan pengguna mengalami jangkitan pada mata dan seterusnya penyakit yang dialami bertambah teruk.

Selain itu, katanya, mereka yang mempunyai masalah berkaitan mata sepatutnya segera berjumpa doktor pakar dan bukannya menggunakan produk penjagaan mata yang tidak diiktiraf.

"Pada kebiasaannya penyakit yang berkaitan dengan masalah mata tidak menunjukkan sebarang gejala pada peringkat awal dan ia hanya dapat dikesan oleh pakar mata.

"Jadi janganlah mengambil jalan mudah dan menggunakan kepakaran sendiri untuk mengubati penyakit mata yang boleh menyebabkan anda menjadi buta," katanya.

Template by : kendhin x-template.blogspot.com