LEMBU KACAU

MASJID TANAH: Kemunculan puluhan ekor lembu yang dibiarkan berkeliaran penternak tidak bertanggungjawab di kawasan taman perumahan bukan perkara baru di daerah ini terutama sekali di sekitar Taman Rebana Jernih, Ayer Molek, Kuala Sungai Baru.
Tinjauan Metroplus di kawasan itu baru-baru ini mendapati terdapat lima hingga enam kawasan lembu berkeliaran dan menyelongkar tong sampah di hadapan rumah penduduk taman berkenaan.


Difahamkan, lebih 300 penduduk taman mendakwa tertekan dan tidak selesa dengan kehadiran puluhan lembu di sekitar kawasan taman itu berikutan sikap lepas tangan pemiliknya dan membiarkan binatang peliharaan merayau-rayau di situ. Penduduk, Ali Nasir, 58, berkata masalah itu sudah berlarutan sejak beberapa tahun lalu dan semua lembu itu dibiarkan berkeliaran di kawasan taman itu tanpa dikurung di tempat sepatutnya dan bertindak menyelongkar tong sampah serta membuang najis merata-rata.


“Longgokan najis lembu di sana sini menjadikan keadaan di taman ini kotor dan menjijikkan. Saya berasa hairan mengapa pemilik lembu terbabit tidak mahu mengurung binatang peliharaan mereka dalam kandang.


“Setiap malam, lembu itu merayau-rayau di kawasan taman sekitar jam 3 hingga 4 pagi ketika keadaan sunyi dan menyelinap di setiap lorong di kawasan taman untuk mencari makanan di dalam tong sampah.


“Penternak terbabit sepatutnya menternak lembu dalam kawasan berpagar dan tidak membiarkannya berkeliaran sehingga mengganggu penduduk,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Rukun Tetangga (KRT) Taman Rebana Jernih.


Beliau berkata, perkara itu kerap dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa penduduk mengenai puluhan lembu namun masih buntu.


Katanya, penduduk menyarankan tindakan tegas dikenakan terhadap penternak yang gagal menjaga ternakan mereka termasuk mengenakan kompaun tinggi.


"Ini sajalah jalan yang kami nampak untuk menyedarkan pemilik lembu terbabit," katanya.


Seorang lagi Ahli Jawatankuasa KRT, Robini Sado, berkata longgokan najis lembu di merata-rata tempat bukan saja memalukan apabila saudara-mara berkunjung ke rumah, malah menimbulkan pencemaran bau yang begitu meloyakan dan dikhuatiri boleh menimbulkan penyakit.

Template by : kendhin x-template.blogspot.com