BEKALAN AIR KRITIKAL

KOTA BHARU 1 Ogos - Krisis bekalan air di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) yang berlarutan hampir setahun lalu, kini kritikal sehingga menjejaskan kelancaran operasi dan perkhidmatan yang ditawarkan di hospital berkenaan.

Pengarah HRPZ II, Datuk Dr. Ghazali Md. Hassan berkata, paling membimbangkan kemungkinan berlaku jangkitan di kalangan pesakit apabila banyak peralatan yang telah digunakan tidak dapat dibersihkan akibat ketiadaan air.

Beliau berkata, wad yang teruk terjejas adalah wad bersalin, kanak-kanak, pesakit kanser, wad diraja dan bilik kelas satu untuk orang kenamaan yang kesemuanya terletak di bangunan lama hospital berkenaan.

Jelasnya, masalah berpunca apabila tekanan air yang dibekalkan oleh Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) sangat rendah sehingga tidak mampu naik ke tangki simpanan utama untuk disalurkan ke wad-wad.

Katanya, pihak hospital telah pun membelanjakan hampir RM500,000 bagi mengganti saluran paip lama yang sebelum ini dikatakan punca kepada krisis bekalan air, namun masalah tetap berlaku.

Secara purata, jelasnya, setiap pesakit yang dirawat di hospital memerlukan bekalan air sebanyak 200 gelen sehari (757.08 liter).

Tambah beliau, ketika ini terdapat lebih 300 pesakit yang menerima pelbagai rawatan di wad-wad yang terdapat di bangunan lama.

"Wad bersalin sahaja mencatatkan antara 30 hingga 40 kes kelahiran bayi sehari. Bayangkan apabila air tak ada, tak boleh bersih alat-alat kelengkapan dan bayi itu sendiri.

"Implikasinya jika ada rawatan kecemasan, dan paling terjejas masalah nak kawal jangkitan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Dr. Ghazali, secara keseluruhan HRZP II kini menempatkan lebih 900 pesakit dengan 3,200 kakitangan dan membayar bil air RM35,000 sebulan sekali gus menjadi antara pelanggan terbesar syarikat milik kerajaan negeri itu.

Bagaimanapun, katanya, perkhidmatan yang diberikan oleh AKSB tidak setimpal apabila bekalan air di bangunan lama sentiasa terputus dan lambat bertindak apabila aduan dibuat.

"Kita sering mengadakan perbincangan dengan AKSB, namun kaedah hendak menyelesaikan masalah masih tidak ada. Masalah utama ialah bekalan air tak sampai, tangki ada tapi sumber air tak cukup dan tidak boleh disalurkan ke wad atau unit terlibat.

"Interaksi dengan AKSB tidak ke mana, mereka merasakan mereka lebih mustahak, sepatutnya pelanggan yang diutamakan," jelasnya.

Difahamkan, bangunan lama hospital berkenaan mempunyai tiga tangki simpanan air serta sebuah tangki utama yang boleh menampung sehingga lebih 100,000 gelen (378,541.178 liter) air.

Namun petang semalam, keadaan amat kritikal apabila bekalan air yang diterima hanya di paras 0.5 meter berbanding keperluan semasa dua meter. Krisis bekalan air bagaimanapun tidak berlaku di bangunan baru hospital berkenaan.

Dr. Ghazali turut mengakui selain tekanan rendah dan bekalan sering terputus, HRPZ II turut berdepan dengan masalah air kuning.

"Keadaan itu memang tak elok, tetapi paling merisaukan air tak ada," katanya.

Mengenai tindakan hospital jika masalah terus berlarutan, beliau yang meminta kerajaan negeri turut campur tangan memberitahu, pihaknya ada bercadang menggali tiub air sendiri, tetapi masih di peringkat kajian.

Template by : kendhin x-template.blogspot.com