KASIH BAPA

AMPANG: Kasih bapa hingga ke hujung nyawa. Itu padah yang menimpa seorang ayah ketika cuba menghalang empat samseng daripada menyerang anaknya apabila mati ditetak oleh kumpulan penyangak terbabit di Flet Permai Ria, Ampang, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam kelmarin, mangsa yang hanya dikenali sebagai Kanayah, 62, maut selepas ditetak dengan parang oleh kumpulan samseng yang berkunjung ke rumahnya untuk merekrut dua anak warga emas berkenaan menganggotai kumpulan kongsi gelap.

Difahamkan, empat samseng terbabit pergi ke rumah keluarga berkenaan di tingkat enam pangsapuri itu dan mereka dipercayai cuba memaksa dua anak mangsa menganggotai kumpulan kongsi gelap sebelum berlaku pertengkaran.

Berikutan ketegangan itu, kumpulan terbabit cuba menyerang anak mangsa sebelum dia campur tangan dalam usaha menghalang anaknya dicederakan.

Tindakan itu membangkitkan kemarahan kumpulan terbabit menyebabkan mereka bertindak ganas dengan menyerang dan membelasah warga emas berkenaan.

Mangsa yang juga bekas kakitangan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) ditetak dengan parang di kepala dan anggota badan sebelum dia meninggal dunia di tempat letak kereta pangsapuri berkenaan ketika mahu dikejarkan ke hospital.

Dalam serangan itu, dua anak mangsa cedera ketika bergelut dengan kumpulan penjenayah terbabit dalam usaha menyelamatkan bapa mereka.

Anak mangsa, K Pebaragan, 34, yang juga kakitangan sebuah firma guaman parah dan dikejarkan ke Hospital Ampang manakala adiknya yang bekerja di kedai cuci kereta, K Arasan, 22, cedera ringan.

Difahamkan, sebelum ini kumpulan terbabit pernah mengganggu ahli keluarga berkenaan melalui panggilan telefon dengan tujuan memaksa anak mangsa menganggotai kongsi gelap.

Malah, mereka pernah mengugut hendak membunuh seluruh ahli keluarga Kanayah jika anaknya enggan menyertai kumpulan kongsi gelap itu, namun mangsa tidak melayan ugutan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan, berkata warga emas terbabit maut akibat parah di kepala, tangan serta badan dan meninggal dunia sebelum dikejarkan ke hospital.

Menurutnya, penduduk yang menyedari kejadian itu mengejar keempat-empat penjenayah terbabit yang dipercayai berusia 20-an hingga 30-an dan sempat membelasah seorang daripada mereka, namun tiga rakannya menyerang semula sebelum suspek melarikan diri.

“Semua suspek melarikan diri dengan menaiki kereta Nissan Sentra dan sebuah motosikal. Siasatan di rumah mangsa menemui sebuah beg mengandungi pedang samurai dipercayai milik penjenayah terbabit.

“Berikutan itu, polis melancarkan gerakan memburu keempat-empat suspek yang dipercayai mendalangi kumpulan kongsi gelap di sekitar ibu negara,” katanya.

Menurutnya, polis juga tidak menolak kemungkinan serangan itu bermotifkan dendam selain cubaan menarik remaja menyertai kumpulan samseng dan setakat ini keterangan anak mangsa yang bekerja sebagai pencuci kereta itu dirakamkan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Template by : kendhin x-template.blogspot.com