<< MOHD FAISAL B ISMAIL >> 10 DIS 1985
<< MOHD MUIZZUDDIN B ABD RAHIM >> 12 DIS 1986
<< MOHAMMAD NASRULLAH B NAZRI >> 12 DIS 1986
<< MOHD ZUL QIFTHI B MAHSIM >> 17 DIS 1984
<< MUHAMMAD SYURAHBIL B AMRAN >> 20 DIS 1988
<< MOHD AMIRUL AMIN B OTHMAN >> 22 DIS 1986
<< MOHD ILYA FARHAN B CHE MOHAMAD ILIAS >> 25 DIS 1986
<< AHMAD SYAHRIL HAFIFI B SAAD >> 27 DIS 1989
<< THAHIRAH BT ABD AZIZ >> 1 DIS 1981
<< NORHAFIZA BT ABD WAHAB >> 1 DIS 1987
<< MAZLIANA BT MAZLAN >> 2 DIS 1986
<< NOOR SYAHEEDATUL AISHAH BT ZULKIFLI >> 2 DIS 1989
<< FARILAH BT ZAHADI >> 3 DIS 1986
<< SITI SARAH BT YUSOFF >> 4 DIS 1981
<< NUR KHAIRUNIZA BT SEZALI >> 14 DIS 1987
<< WANI SULIANIEY BT SAZALI >> 19 DIS 1981
<< MIRIAM BT AZIZI >> 20 DIS 1988
<< NOR SYAQINAH BT RAZALI >> 20 DIS 1990
<< NOR DIYANA BT KHAMIS >> 22 DIS 1988
<< SITI NAZIHAH BT ABD RAHMAN >> 23 DIS 1987
<< SITI FARAH BT MOHAMAD >> 26 DIS 1983
<< NOORSYAHIRAH BT MUSTAFA >> 29 DIS 1984
<< KHANSA’ BT MOHD RASHID >> 31 DIS 1988
....SIAPAKAH MEREKA......
Sangat setia & pemurah,bersifat patriotik,sangat aktif dalam permainan & pergaulan,sikap kurang sabar & tergesa-gesa,bercita-cita tinggi,suka menjadi orang yang berpengaruh dalam organisasi,seronok didampingi,suka bercampur dengan orang,suka dipuji,suka diberi perhatian & suka dibelai,sangat jujur,amanah & bertolak ansur,tidak pandai berpura-pura,cepat marah,perangai yang berubah-ubah,tidak ego walaupun harga diri yang sangat tinggi,benci pada kongkongan,suka berlawak,pandai buat lawak & berfikiran dengan logik
::Sanah Helwa Ya Jamil ( DEC )::
MISKIN TEGAR MENINGKAT DI PULAU PINANG
BUTTERWORTH 19 Dis. – Setelah hampir dua tahun mentadbir negeri ini, kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng didakwa gagal menghapuskan kemiskinan tegar di negeri ini, sebaliknya meningkat.
Ketua Pembangkang, Datuk Azhar Ibrahim berkata, beliau difahamkan, Jabatan Perangkaan sedang melakukan bancian semula bagi mendapatkan jumlah baru golongan itu.
Menurutnya, setakat November ini, 697 keluarga miskin tegar dapat dikenal pasti di negeri ini.
“Jumlah itu meningkat berbanding 494 keluarga miskin tegar yang dikeluarkan jabatan itu bagi 2008, tapi itu baru setakat November sahaja, saya pasti jumlah rasminya lebih tinggi daripada itu.
“Kajian terbaru jabatan itu juga mendapati terdapat 1,888 keluarga miskin berpendapatan RM700 ke bawah, manakala kumpulan yang bergaji bawah RM1,500 adalah 8,074 keluarga.
“Bagaimana kerajaan negeri April lalu kata miskin tegar tiada lagi sedangkan masih ramai dalam golongan ini,” katanya pada sidang akhbar di pejabat Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) di sini kelmarin.
Beliau mengulas kenyataan Exco Kesihatan, Kebajikan dan Masyarakat Penyayang negeri, Phee Boon Poh yang mendakwa statistik golongan miskin tegar yang digunakan oleh Azhar iaitu 494 keluarga sudah lapuk.
Dalam laporan sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris semalam, Boon Poh berkata, Azhar sepatutnya membuat kajian serta menyemak fakta sebenar terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.
Sehubungan itu, Azhar mengingatkan kerajaan negeri supaya tidak terus mengelirukan rakyat Pulau Pinang dengan menguar-uarkan bahawa mereka berjaya membasmi miskin tegar.
“Kerajaan negeri perlu berhenti daripada terus memperalatkan golongan ini, jangan mengheret mereka dengan cakap-cakap politik semata-mata nak tunjuk kononnya sudah berjaya hapus miskin tegar.
“Bantuan yang diberikan kerajaan negeri hanya cukup membeli makanan sahaja. Kenapa mereka tidak fikir bagaimana pula dengan perlatan sekolah anak-anak serta keperluan lain,” ujarnya.
Mengulas lanjut beliau memberitahu, Perda sebenarnya telah banyak membantu golongan berkenaan supaya mereka berterusan berada di luar zon kemiskinan tegar itu dengan memberikan pelbagai bantuan.
Tambahnya, usaha tersebut dijalankan sejak kerajaan negeri di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN) antaranya menganjurkan kursus dan latihan, memberikan peralatan seperti mesin jahit, alat pertukangan dan banyak lagi.
“Malah, kita juga membantu membina rumah atau membaiki rumah secara percuma, memberi perlatan serta pakaian seragam sekolah dan turut menyediakan peluang pekerjaan.
“Jadi, wakil-wakil rakyat kerajaan negeri ini dijemput untuk turun ke kampung dan lihat sendiri keadaan yang sebenarnya,” katanya.
4 JARUM BERJAYA DIKELUARKAN
SAO PAULO 19 Dis. – Pakar-pakar bedah Brazil semalam berjaya mengeluarkan empat batang jarum dari paru-paru dan kawasan berhampiran jantung seorang budak lelaki berusia dua tahun yang dilakukan oleh bapa tirinya dalam upacara sihir selama sebulan.
Pembedahan berjalan selama hampir lima jam dan kini kanak-kanak itu berada dalam keadaan stabil, kata jurucakap sebuah hospital di timur laut bandar Salvador, Susy Moreno.
“Dia dalam keadaan baik, pembedahan berjaya dilakukan,” katanya dalam satu wawancara menerusi telefon.
Berpuluh-puluh jarum berukuran lima sentimeter masih lagi berada dalam badan budak lelaki itu namun empat jarum yang dikeluarkan adalah yang paling membahayakan nyawanya.
Doktor akan menilai keadaan kanak-kanak malang itu sebelum melakukan sekurang-kurangnya dua pembedahan lagi untuk mengeluarkan lebih banyak jarum.
Polis berkata, bapa tiri budak itu, Roberto Carlos Magalhaes, 30, mengaku memasukkan jarum tersebut atas arahan kekasihnya dalam ritual yang dilakukan selama sebulan supaya mereka kekal bersama.
Pihak berkuasa mengesyaki wanita itu cuba membalas dendam ke atas isteri Magalhaes dengan mempengaruhi lelaki itu untuk melukakan anaknya.
Wanita itu, Angelina Ribeiro dos Santos, membayar sejumlah wang untuk mendapat jarum-jarum yang dijampi oleh bomoh wanita yang mengamalkan Candomble, agama keturunan Afro-Brazil.
Pihak berkuasa menganggarkan terhadap kira-kira 50 jarum dalam badan budak lelaki itu namun selepas beberapa ujian dijalankan, pasukan doktor percaya jumlah yang lebih hampir adalah 30 batang jarum.
Kanak-kanak itu mengalami jangkitan daripada satu jarum namun telah diberikan antibiotik dan berada dalam keadaan stabil serta mampu bernafas sendiri sebelum dibedah.
Magalhaes dan dos Santos kini ditahan di sebuah lokap yang dirahsiakan lokasinya selepas sebuah balai polis yang menempatkan mereka dibaling batu oleh orang ramai.
RIBUT SALJI SELUBUNGI SELURUH EROPAH
LONDON 19 Dis. - Eropah hari ini berdepan dengan masalah pengangkutan ketika cuaca sejuk menyelubungi sebahagian benua ini beberapa hari sebelum ketibaan Krismas.
Perkhidmatan kereta api Terowong Channel yang menghubungkan Britain dengan tanah besar Eropah terpaksa ditangguhkan berikutan kerosakan tiga kereta api penumpang Eurostar yang menghalang laluan kedua-dua landasan sehingga penumpang terpaksa dibawa keluar, kata pengendali Eurotunnel kepada pemberita.
Cuaca buruk menjejaskan benua ini dari Britain hingga ke Laut Hitam, dengan salji memenuhi lapangan terbang, jalan raya dan landasan kereta api serta memaksa sekolah ditutup selain masalah bekalan tenaga.
Eurotunnel menyatakan situasi yang berlaku adalah 'tidak dijangka' ketika usaha mengeluarkan penumpang dari terowong bawah laut terpanjang di dunia itu masih diteruskan.
"Setakat ini terowong itu masih ditutup," kata jurucakap tersebut.
Kira-kira 1,300 penumpang dari dua kereta api di satu terowong akan dibawa keluar menggunakan kenderaan dari terowong bersebelahan.
Kereta api ketiga pula dijadualkan untuk ditolak keluar kemudian.
"Ketika ini kami tidak membuat sebarang penentuan masa. Kami berharap semuanya dapat diselesaikan secepat mungkin" kata jurucakap itu lagi.
Kereta api keempat yang rosak telah ditarik kembali ke London sebelum ini.
"Disebabkan cuaca, salji dan kesejukan luar biasa, kami berdepan dengan masalah besar dengan kereta api kami," jelas seorang jurucakap Eurostar.
Katanya, perbezaan suhu luar yang membeku dengan bahagian dalam terowong yang panas menyebabkan kereta api rosak dan gangguan perkhidmatan akan berterusan sepanjang hari ini.
Di Perancis, salji menyebabkan gangguan di Paris dan penerbangan hanya dapat dilakukan di lapangan terbang Charles de Gaulle dan Orly.
Badan kaji cuaca Perancis memberi amaran, lebih banyak salji dan ais akan meliputi utara negara itu, banjaran Alps dan pulau Corsica di Mediterranean
SILING JATUH HEMPAP BAYI
JOHOR BAHRU: “Saya tergamam melihat sekeping siling melayang jatuh di depan mata saya sebelum menghiris kelopak bawah mata kiri anak saya di atas katil,” kata Hairiszani Zailani, 29, menceritakan detik cemas bayinya yang baru berusia 24 jam, Puteri Nur Qaseh Damia, dihempap kepingan siling di wad bersalin Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 pagi itu, Puteri Nur Qaseh dilahirkan pada jam 10.32 pagi Rabu lalu dengan berat 3.4 kilogram, nyaris buta dan bahagian mata yang terhiris itu membengkak.
Hairiszani berkata, ketika kejadian dia bersama bapa dan ibu mentua, Rahmat Kastari, 53, serta Safiah Sidek, 52, sedang bersiap membawa pulang anak keduanya itu dari HSA ke rumah, manakala isterinya, Fadzliana, 29, berada di tandas.
Kakitangan kerajaan itu berkata, anaknya pula berada di atas katil sambil ibu mentua membetulkan kain bedung dan tiba-tiba sekeping siling jatuh melayang dan mengenai kelopak bawah mata kiri anaknya.
“Saya terkejut kerana langsung tidak terfikir kejadian itu boleh berlaku di depan mata. Siling itu terus jatuh dan pecah di lantai dan saya dapati darah mula mengalir keluar dari bawah kelopak mata anak saya, manakala habuk bertaburan di tubuhnya.
“Bapa mentua terus mendukung dan melihat keadaan Puteri Nur Qaseh sebelum ibu mentua memberikan anak saya itu kepada jururawat bertugas.
“Jururawat yang menerima anak saya itu membawanya ke bilik rawatan sebelum dihantar ke bilik imbasan X-Ray untuk memeriksa kecederaannya,” katanya.
Menurutnya, doktor pakar yang memeriksa mata kiri anaknya mengesahkan tiada sebarang kecederaan akibat kejadian itu, namun sehingga kini mereka masih menunggu keputusan imbasan X-Ray dilakukan.
Katanya, mereka sekeluarga kesal dengan kejadian berkenaan kerana bangunan kerajaan terutama hospital berfungsi sebagai tempat memulihkan kecederaan dan bukan sebaliknya.
Selepas kejadian itu, katanya, wakil pengurusan hospital menemuinya dan selepas pemeriksaan dilakukan, wad berkenaan dikosongkan bagi mengelak kejadian sama berulang.
“Isteri saya trauma. Walaupun dibenarkan pulang, dia masih enggan berbuat demikian kerana anak kami terpaksa ditahan selama tiga hari lagi untuk menjalani pemeriksaan.
“Jururawat dan doktor memang bertindak pantas merawat kecederaan berkenaan, namun kami terkilan dengan tahap penyelenggaraan hospital sehingga berlaku kejadian tidak diingini.
“Kali ini, mungkin hanya kelopak bawah mata kiri anak saya yang luka tetapi siapa tahu, sekiranya tidak dijadikan pengajaran, kejadian lebih serius berlaku pada masa akan datang,” katanya yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, di sini, kelmarin.
Menurutnya, selepas selesai menjalani imbasan X-Ray anaknya dibawa ke wad kanak-kanak lain tetapi masih ada kesan lebam dan calar di bawah kelopak mata akibat insiden berkenaan.
ISTERI 3 JAM
KANGAR: Hanya tiga jam. Itulah tempoh sempat dinikmati seorang lelaki untuk bergelar suami sebelum menemui ajal dalam kemalangan ngeri apabila kereta dinaikinya bertembung sebuah bas persiaran di Kilometer 7, Jalan Kangar-Padang Besar, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian jam 1.05 tengah hari itu, Mohd Ariff Ab Kadir, 23, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Melati Indah, Beseri, dekat sini, selepas majlis akad nikah di masjid berhampiran rumah keluarga isterinya, Teh Affifah Shahirah Abd Hamid, 23, di Taman Berlian, Alor Star, kira-kira jam 10 pagi.
Turut terbunuh kedua-dua ibu bapa Mohd Ariff iaitu Apsah Othman, 58, dan Ab Kadir Awang, 55, serta rakan karibnya, Mohd Farhan Musa,18.
Mohd Ariff yang baru saja menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan mekanikal di sebuah universiti di United Kingdom, tahun ini, sepatutnya memulakan tugasnya sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Arau, dekat sini, Rabu depan.
Abang sulung Mohd Ariff, Mohd Hazly, 32, berkata, rombongan keluarga pengantin lelaki yang menaiki empat kereta bertolak ke sini kira-kira jam 11.30 pagi, selepas tamat majlis akad nikah di Masjid Intan Safinaz, Anak Bukit, Alor Star.
“Bagaimanapun, konvoi kami terpisah sebaik tiba di Kangar dan saya yang menaiki kereta lain tiba di rumah terlebih dulu.
“Namun, kira-kira 15 minit kemudian saya mendapat panggilan daripada bapa Mohd Farhan menyatakan kereta dinaiki adik saya terbabit kemalangan,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, semalam.
Menurut Mohd Hazly, dia bersama beberapa ahli keluarga bergegas ke tempat kejadian kira-kira lima kilometer dari rumah mereka dan terkejut mendapati Proton Iswara dinaiki mangsa remuk.
“Sebaik nampak keadaan kereta yang remuk, saya tak sampai hati mendekatinya kerana tahu mereka sudah meninggal dunia,” katanya sebak.
Menurutnya, kejadian itu sangat mengejutkan dan tidak menyangka ia berlaku pada hari pernikahan adik bongsunya.
“Sebaik selesai majlis akad nikah, saya lihat ketiga-tiga mereka cukup ceria. Sebelum ini mereka tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap kecuali merancang pulang awal ke rumah bagi membuat persediaan majlis kenduri di rumah pengantin perempuan esok (hari ini),” katanya.
Menurutnya, bapanya yang juga pembantu makmal di Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Syed Putra di sini, dan ibunya seorang suri rumah, tidak sabar menyambut menantu bongsu mereka.
“Saya tidak sangka majlis yang sepatutnya menggembirakan kami sekeluarga bertukar tragedi, namun saya reda,” katanya.
Mohd Hazly berkata, majlis persandingan adiknya sepatutnya berlangsung hari ini di sebelah pengantin perempuan di homestay Taman Kancil, Alor Star, manakala majlis menyambut menantu di sebelah lelaki di Taman Melati Indah di sini, esok.
Sementara itu, isteri mangsa, Teh Affifah ketika ditemui enggan ditemubual kerana terlalu sedih dan masih terkejut dengan kejadian itu.
Difahamkan, Teh Affifah masih menuntut di sebuah universiti di Australia dan pulang ke sini untuk majlis perkahwinannya.
Mereka berkenalan ketika sama-sama menuntut di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Beseri, dekat sini, sebelum mengambil keputusan berkahwin apabila Mohd Ariff tamat pengajian di United Kingdom.
Teh Affifah pula masih mempunyai setahun lagi untuk menamatkan pengajian.
Semua jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Beseri, malam tadi.
>Tubuh, kepala cedera parah
KANGAR: Siasatan polis mendapati kereta yang terbabit kemalangan ngeri sehingga mengorbankan tiga sekeluarga dan seorang remaja di Kilometer 7, Jalan Kangar-Padang Besar, dekat sini, semalam memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah bas persiaran.
Timbalan Ketua Polis Perlis, Asisten Komisioner Zull Aznam Haron, berkata semua mangsa yang menaiki kereta Proton Iswara itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.
Mangsa yang maut dalam kejadian jam 1.05 tengah hari itu ialah Mohd Ariff Ab Kadir, 23, yang baru tiga jam bernikah dengan pasangannya, Teh Affifah Shahirah Abd Hamid, 23, serta ibu dan bapa Mohd Ariff, Apsah Othman, 58, dan Ab Kadir Awang, 55.
Turut maut dalam kejadian itu rakan Mohd Ariff, Mohd Farhan Musa, 18, yang juga jurugambar bagi majlis pernikahan itu.
Zull Aznam berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini untuk dibedah siasat dan pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kemalangan berkenaan.
Beliau berkata, pemandu serta 27 penumpang bas persiaran dari Klang, Selangor yang dalam perjalanan pulang dari Padang Besar ke Kangar itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kami sudah mengambil keterangan pemandu dan beberapa penumpang bas terbabit dan kes disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
>Kereta diseret 10 meter
KANGAR: “Saya nampak kereta itu tiba-tiba berpusing-pusing sebelum merempuh sebuah bas persiaran dari arah bertentangan,” kata saksi kejadian, Mat Saad Senapi.
Mat Saad, 75, yang ketika itu dalam perjalanan menunaikan solat Jumaat, berkata dia hairan bagaimana kereta Proton Iswara itu boleh berpusing sehingga memasuki laluan bertentangan seterusnya merempuh bas berkenaan.
“Saya tidak tahu sama ada tayar kereta itu pecah atau terkena angin lintang,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di Kilometer 7, Jalan Kangar-Padang Besar, dekat sini semalam.
Mat Saad berkata, dia kemudian menghentikan motosikalnya dan terkejut apabila mendapati keadaan mangsa yang parah termasuk cebisan daging mangsa yang terlekat pada badan kereta berkenaan.
“Saya sempat membisikkan kalimah syahadah kepada empat mangsa kemalangan itu kerana sudah menjangka ajal mereka akan tiba berdasarkan kecederaan mereka yang parah.
“Saya lihat semua mangsa tersepit dalam kereta yang remuk teruk itu dan ketika itu mereka dalam keadaan nazak serta tidak mampu bergerak,” katanya.
Mat Saad berkata, selepas merempuh bas persiaran berkenaan, kereta dinaiki empat mangsa itu diseret lebih 10 meter sebelum terhenti berhampiran longkang di tepi jalan raya.
“Kereta terbabit remuk menyebabkan orang ramai gagal mengeluarkan mangsa yang tersepit dan menunggu kehadiran anggota bomba untuk memotong bumbung,” katanya.
>Majlis bersanding jadi kenduri arwah
ALOR STAR: Majlis persandingan pasangan Mohd Ariff Ab Kadir, 23, dan Teh Affifah Shahirah Abd Hamid, 23, yang sepatutnya berlangsung hari ini di homestay Taman Kancil, di sini, bertukar menjadi kenduri arwah apabila Mohd Ariff maut dalam kemalangan di Kilometer 7, Jalan Kangar-Padang Besar, Perlis, semalam.
Pasangan terbabit bernikah di Masjid Intan Safinaz, Anak Bukit, di sini, kira-kira jam 10 pagi semalam, sebelum Mohd Ariff maut dalam kemalangan itu tiga jam kemudian.
Turut maut dalam kemalangan itu ialah ibu dan bapa Mohd Ariff, Apsah Othman, 58, dan Ab Kadir Awang, 55, serta rakannya, Mohd Farhan Musa, 18.
Teh Affifah yang menetap di Taman Berlian, di sini, mengadakan majlis persandingan itu di homestay berkenaan tidak jauh dari rumah keluarganya.
Jirannya, Abd Jabir Mokhtar, 50, yang juga Setiausaha Surau Taman Berlian, berkata malam tadi Teh Affifah sepatutnya mengadakan majlis khatam al-Quran di surau berkenaan.
“Namun, majlis itu dibatalkan dan kami mengambil-alih dengan mengadakan bacaan tahlil,” katanya ketika ditemui, semalam.
Tinjauan Harian Metro semalam di homestay berkenaan mendapati pelamin serta bilik tidur pengantin sudah disiapkan untuk majlis persandingan yang sepatutnya berlangsung hari ini.
Difahamkan, keluarga terbabit sudah menjemput lebih 1,500 tetamu dan majlis itu tetap diteruskan tetapi dengan mengadakan kenduri arwah.
>Sempat sarapan bersama
KANGAR: “Kami bertiga sempat bersarapan pagi tadi (semalam) di sebuah gerai berhampiran Pasar Besar Kangar di sini, sebelum arwah anak bongsu saya memaklumkan untuk menemani rakannya melangsungkan pernikahan,” kata Musa Awang, 50-an, bapa kepada Mohd Farhan, 18, yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan bas persiaran di Kilometer 7, Jalan Kangar-Padang Besar, dekat sini, semalam.
Musa, anggota polis di Balai Polis Kangar, berkata anaknya itu bangun awal pagi semalam untuk menunggu kepulangan ibunya dari Kuala Lumpur di stesen bas ekspres di sini sebelum membawa ibunya untuk bersarapan.
“Saya turut sama bersarapan dengan arwah dan kami bertiga berbual panjang. Saya ketika itu tidak melihat sebarang perubahan terhadap diri arwah dan dia kelihatan biasa saja,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, semalam.
Musa berkata, anak bongsunya yang menuntut di Kolej Komuniti Arau, dekat sini, sangat meminati bidang fotografi dan bertindak sebagai jurugambar untuk majlis pernikahan Mohd Ariff.
Katanya, Mohd Farhan dan Mohd Ariff adalah rakan karib dan berjiran di rumah mereka di Taman Melati Indah, dekat sini.
“Saya mengetahui kemalangan terbabit menerusi seorang rakan yang menghubungi balai polis Kangar dan terkejut mendapati anak saya sudah tidak bernyawa apabila tiba di tempat kejadian,” katanya.
Mohd Farhan dikebumikan di Tanah Perkuburan Tunjung, Beseri, dekat sini, malam tadi.
KERETA TERJUN
KOTA BHARU: “Saya macam tidak percaya apabila menyaksikan sebuah kereta tiba-tiba ‘terbang’ dari tingkat atas sebelum jatuh ke atas tangga bergerak di ruang legar kompleks,” kata Mohd Jawaidi Mohd Zain, 23.
Penolong Pengurus Kyros Kebab itu berkata, sebelum kejadian dia sibuk melayan pelanggan di premisnya di ruang legar berhadapan tangga bergerak berkenaan.
Katanya, tiba-tiba dia terdengar bunyi seperti bangunan runtuh sebelum terlihat sebuah kereta Ford Laser jatuh dari tingkat atas lalu menghempap tiga wanita di tempat kejadian.
“Saya dan pelanggan tergamam sebelum lari menyelamatkan diri,” katanya.
Kejadian kira-kira jam 5 petang itu berlaku apabila kereta di tingkat tiga parkir kereta pasar raya KB Mall di sini, hilang kawalan sebelum merempuh dinding dan terjunam ke bawah dari ketinggian lebih 18 meter lalu menghempap tiga penuntut Kolej Kejururawatan Masterskill cawangan bandar ini.
Kejadian itu menyebabkan dua daripada pelajar berkenaan iaitu Siti Nor Amira Shamsuddin, 19, mati di tempat kejadian manakala Siti Nordiana Azman, 18, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Seorang lagi pelajar kolej itu, Rashidah Ahmad Lufti, 24, dan pemandu kereta itu, Nor Ain Said, 19, cedera parah.
Suasana mencemaskan itu menyebabkan aktiviti perniagaan lebih 40 premis di pasar raya terbabit terpaksa dihentikan bagi memberi laluan kepada lapan anggota bomba dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Darulnaim dan Kota Bharu melakukan tugas menyelamat.
Kejadian turut menyebabkan Jalan Hamzah berhampiran sesak teruk kira-kira dua jam apabila sekitar bangunan pasar raya itu dipenuhi hampir 2,000 orang awam yang mahu melihat keadaan itu.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah, berkata kejadian berlaku apabila kereta dipandu Nor Ain Said, 19, bersama adiknya, Nor Atikah, 17, hilang kawalan ketika ditolak seorang lelaki dikenali sebagai Sabri, 27, bagi menghidupkannya.
Menurutnya, kereta berkenaan tiba-tiba hilang kawalan lalu merempuh dinding lubang angin di tingkat tiga dan menghempap tiga penuntut kolej berkenaan.
“Siti Nor Amira dan Rashidah di temui di tangga bergerak, manakala Nordiana terpelanting ke bawah,” katanya.
Menurutnya, Nor Ain dihantar ke HRPZ II untuk rawatan lanjut, manakala Sabri dan Nor Atikah dipercayai melarikan diri dan gerakan mengesan mereka bagi membantu siasatan sedang dilakukan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
DARAH PAGI AIDILADHA
KUANTAN: “Saya dan arwah anak sepatutnya bertemu di Kampung Gemuruh, Kuala Terengganu, Terengganu, pagi ini untuk meraikan Aidiladha, sekali gus mengadakan perhimpunan keluarga kerana nenek saya berhasrat mengumpulkan cucu dan cicitnya.
“Namun, baru separuh perjalanan menuju kampung, saya terpaksa berpatah balik ke Kuantan selepas dihubungi jiran yang memaklumkan berita sedih ini,” kata Mohamad Abdullah, 49.
Mohamad, bapa kepada Marlizatul Akmar, 23, yang maut bersama tunangnya, Mohd Nasir Abdul Hager, 28, dari Marang, Terengganu, dan rakannya, Nur Surwani Jalir, 21, dari Batu Rakit, Terengganu, apabila kenderaan yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan ngeri di Kilometer 39, Jalan Kuantan-Kemaman, dekat Cherating, semalam.
Dalam kejadian jam 7 pagi itu, ketiga-tiga mangsa menaiki Proton Wira dipandu Mohd Nasir, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah selepas kenderaan itu bertembung dengan sebuah lori.
Turut cedera, rakan Mohd Nasir, Saiful Zazeleen Che Yusof, 23, dari Kemaman, Terengganu, yang patah tulang rusuk dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.
Difahamkan, ketika kejadian, Mohd Nasir dan Saiful Zazeleen yang juga anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang sedang berkursus di Kolej Tentera Udara, Alor Star, Kedah, dalam perjalanan pulang ke kampung masing-masing untuk menyambut Aidiladha.
Kedua-duanya menaiki kereta dari Alor Star kemudian singgah di ibu negara untuk menjemput Marlizatul Akmar dan Nur Surwani sebelum pulang bersama ke kampung masing-masing di negeri berkenaan.
Menurut Mohamad, arwah anaknya memberitahu akan terus pulang ke Terengganu dari ibu negara kerana Mohd Nasir akan menjemputnya ketika berbual dalam telefon kira-kira jam 11 malam, kelmarin.
“Arwah kemudian menghantar SMS memaklumkan dia dan tunangnya sudah bertolak ke Terengganu. Malah, arwah juga sempat berpesan supaya membawa telekung miliknya pulang ke kampung kerana dia tidak akan singgah di rumah kami di Kampung Sri Fajar, di sini.
“Selain itu, arwah yang baru saja tamat peperiksaan akhir, Rabu lalu, tidak menunjukkan sebarang perubahan pelik. Tetapi, saya hanya hairan kemalangan berlaku di Cherating berikutan dia memberitahu akan pulang ke Terengganu melalui Grik, Perak,” katanya ketika ditemui di pekarangan bilik mayat HTAA.
Katanya, ketika dalam perjalanan menuju Terengganu, dia ternampak sebuah lori dan kereta yang rosak akibat kemalangan, tetapi tidak menyangka ia membabitkan anaknya.
“Selepas solat sunat Aidiladha, saya dan keluarga bertolak ke Terengganu dan ternampak kesan kemalangan terbabit di laluan berkenaan, tetapi tidak mengesyaki apa-apa.
“Namun, ketika berhenti makan di Kijal kira-kira jam 10 pagi tiba-tiba seorang jiran menelefon dan meminta saya segera pulang ke Kuantan kerana arwah terbabit kemalangan di Cherating dan kini di HTAA,” katanya.
Mohamad berkata, dia reda dengan pemergian anak ketiga daripada lima beradik yang disifatkan sebagai anak yang baik dan menjadi penyeri keluarga berikutan sikapnya yang ceria sekalipun kejadian berlaku ketika umat Islam bergembira menyambut Aidiladha.
“Tragedi ini cukup memilukan kerana ia berlaku ketika Aidiladha. Malah, hasrat moyang arwah yang ingin bertemunya dalam majlis perhimpunan keluarga kerana tidak pernah berjumpa selama ini juga tidak kesampaian.
“Tambah menyedihkan apabila kami sudah mula membuat persiapan perkahwinan arwah yang baru bertunang dengan Mohd Nasir lebih dua bulan lalu dan dijangka melangsungkan perkahwinan Oktober depan selepas beberapa tahun berkenalan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff, berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Mohd Nasir dari Kuantan hilang kawalan ketika cuba mengelak sebuah kereta yang tiba-tiba keluar dari simpang berhampiran sebuah stesen minyak.
Menurutnya, kereta mangsa kemudian memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung sebuah lori menyebabkan ketiga-tiga mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat patah leher dan tulang rusuk selepas tersepit dalam kenderaan yang remuk itu.
Beliau berkata, polis juga sudah mengambil keterangan pemandu lori terbabit berusia 36 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41, Akta Pengangkutan Jalan 1987.
PESANAN TERAKHIR RAKAN SEBELUM HILANG
BUKIT MERTAJAM 21 Nov. - "Hang (kamu) pegang kuat-kuat, aku nak bawa bot ni laju sikit". Demikian pesanan Zulkefli Abu Bakar sebelum dia tiba-tiba terjatuh dari bot ketika keluar memancing bersama rakannya, Mohd. Farid Ismail, 19, di Sungai Perai semalam.
Ibu Zulkefli, Sepiah Mat, 68, berkata, kata-kata terakhir anaknya itu diceritakan sendiri oleh Mohd. Farid yang memaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 6.30 petang.
Sehingga pukul 7 malam ini, usaha mencari Zulkefli, 24, yang dijalankan pasukan penyelamat sejak semalam, belum menampakkan sebarang hasil.
"Sudah lebih 24 jam mereka cari anak saya. Saya hanya berdoa dan berharap supaya Zulkefli ditemui semula, tidak kira dalam keadaan apa sekalipun," katanya sebak ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pertama di sini hari ini.
Sepiah memberitahu, Mohd. Farid memaklumkan kepadanya bahawa ketika kejadian, mereka sedang dalam perjalanan menaiki bot menyusuri alur Sungai Derhaka dari Sungai Perai untuk pulang ke rumah.
"Ketika itulah Zulkefli berpesan kepada Mohd. Farid supaya berjaga-jaga kerana dia mungkin ingin menguji kekuatan enjin botnya yang baru dibaiki.
"Dia (Mohd Farid) yang duduk bahagian depan bot hanya menyedari ketiadaan Zulkefli apabila bot seperti hilang kawalan dan menghala ke tebing sungai," katanya.
Menurut Sepiah, Zulkefli yang juga anak bongsu daripada lima beradik memang dikenali sebagai kaki pancing di kalangan rakan dan keluarga kerana sering menghabiskan masa lapangnya dengan memancing di banyak tempat.
Malah, katanya, bot yang dinaiki Zulkefli dan Mohd. Farid dalam kejadian itu dibeli hasil duit yang dikongsi bersama rakan-rakannya yang mempunyai hobi sama.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Perai, A'Azelan Hassan berkata, pihaknya memulakan operasi mencari dan menyelamat kira-kira pukul 7.30 malam semalam.
"Hari ini, pasukan mencari menyambung semula operasi dengan kawasan tumpuan operasi adalah sekitar 100 meter dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh dari bot.
"Kita menghadapi kesukaran kerana paras air semakin tinggi ketika air laut pasang dan kita terpaksa menghentikan operasi pukul 7 malam ini berikutan cuaca yang sudah gelap," jelasnya.
WANITA DITEMUI MATI DENGAN KECEDERAAN PARAH DI KEPALA
PULAU PINANG 21 Nov. – Penemuan mayat seorang wanita dalam keadaan terlentang di pintu masuk sebuah kondominium 23 tingkat di Jalan Bukit Gambir, Gelugor di sini mengejutkan penghuni perumahan itu, malam tadi.
Lebih mengerikan, mayat wanita yang berusia lingkungan awal 20-an itu ditemui dalam keadaan kepalanya pecah, dipercayai kesan hentakan akibat terjatuh dari tempat tinggi.
Wanita yang belum dikenal pasti identitinya itu ditemui pengawal keselamatan yang bertugas di kondominium tersebut, kira-kira pukul 8 malam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner II Wan Abdullah Tunku Said berkata, sebaik sahaja menerima maklumat mengenai penemuan mayat itu, pakar Patologi Hospital Pulau Pinang (HPP), Datuk Bhupinder Singh dan pasukan forensik polis bergegas ke tempat kejadian.
“Polis turut menemui kasut dan jam tangan yang sudah berkecai dipercayai milik wanita terbabit dalam lingkungan jarak tiga hingga 10 meter mayat mangsa,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.
Mayat wanita dipercayai jatuh dari ketinggian lebih 10 tingkat di Kondominium di Pulau Pinang.
Tambahnya, wanita berkenaan didapati memakai seluar panjang berwarna hitam dan baju lengan panjang biru. Bagaimanapun, tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui di tempat kejadian.
Beliau memberitahu, siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai terjatuh dari tempat tinggi namun, siasatan lanjut berhubung punca insiden itu sedang giat dijalankan.
“Buat masa ini kita mengklasifikasikan kes kematian wanita ini sebagai kematian mengejut,” ujarnya.
DAPAT SLIP 5A DEPAN JENAZAH IBU
SEREMBAN - Tidak seperti murid Tahun Enam lain yang kegirangan ketika menerima keputusan cemerlang 5A Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Siti Amynur Ain Putri Rosdy (gambar kecil) terpaksa menempuh kesedihan semasa menerima keputusan itu di hadapan jenazah ibu.
Apabila keputusan UPSR diumumkan di pejabat Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Dusun Nyior di sini semalam, Siti Amynur Ain Putri berada di surau rumah rakyat Taman Dusun Nyior untuk membantu anggota keluarga yang lain menguruskan jenazah ibunya, Rusmah Abdullah, 47, yang meninggal dunia akibat tekanan darah rendah pada tengah malam Rabu selepas terlantar di wad hospital selama dua minggu.
Berderai air mata Siti Amynur Ain Putri dan anggota keluarga yang lain apabila guru besar sekolah itu, Noreha Adam menyampaikan keputusan ke tangan pelajar itu sendiri di hada- pan tubuh kaku ibunya beberapa minit sebelum solat jenazah dimulakan pada pukul 11.30 pagi kelmarin.
"Saya sedih sangat, ibu tidak dapat melihat keputusan ini. Ibu selalu berpesan semasa hidup bahawa saya ini harapan dia, ayah pula sudah meninggal dunia empat tahun lalu," katanya dalam linangan air mata.
Pelajar itu kini hidup yatim piatu bersama abangnya yang berusia 14 tahun.
Selepas ayahnya meninggal dunia akibat sakit tibi, ibu Siti Amynur Ain Putri bekerja sebagai tukang cuci di sebuah hotel bajet rendah di Serem- ban dengan pendapatan RM500 sebulan.
OREN PERISA ARAK
KUALA LUMPUR: Luaran nampak seperti minuman ringan biasa, namun ia sebenarnya minuman berperisa arak yang kini menjadi kegilaan remaja terutama di kalangan pelajar sekolah di negara ini.
Mendedahkan perkembangan membimbangkan itu, Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), N V Subbarow, berkata hasil siasatan pihaknya mendapati minuman itu mengandungi alkohol 5.5 peratus.
Menurutnya, ramuan arak yang ditin dan dibotolkan itu menggunakan pewarna seperti warna oren, epal dan campuran buah tropika bagi menarik perhatian pembeli membelinya dengan harga antara RM5 hingga RM12 sebotol.
“Ibu bapa terutama mereka yang beragama Islam perlu memberi perhatian serius kerana peratusan alkohol dalam minuman ringan ini melebihi kandungan (alkohol) yang terkandung dalam setin ‘beer’ iaitu 5 peratus saja.
“Kajian yang dilakukan CAP mendapati lebih 50 peratus murid dan pelajar sekolah kini menyukai minuman ini. Lebih serius ia mudah didapati di pasar raya mini dan kedai serbaneka.
“Pejabat CAP dihujani panggilan daripada golongan ibu bapa yang risau dengan penjualan minuman ringan itu kerana ada di antaranya mendakwa anak-anak mereka berasa pening lalat selepas meminumnya,” katanya di Balai Berita di sini, semalam.
Selain itu, pihak CAP turut mendapat aduan daripada pihak sekolah yang mengatakan segelintir murid dan pelajar membawa minuman ini ke sekolah untuk tujuan mengadakan jamuan hari jadi.
Menurutnya, tinjauan CAP mendapati terdapat lebih 25 jenama minuman ringan berperisa alkohol dijual di pasaran negara ini.
“Undang-undang negara jelas menyatakan sebarang minuman yang mengandungi alkohol dilarang penjualannya secara terbuka kepada golongan berumur 18 tahun ke bawah.
“Tetapi murid dan pelajar sekolah secara biasanya tidak gemar membaca kandungan label dan terus minum sebaik saja membelinya.
“Justeru, CAP bimbang dengan perkara ini kerana ia tahap permulaan untuk mereka minum arak apabila meningkat dewasa,” katanya.
NENEK DISYAKI SETERIKA CUCU
KUANTAN: Alasan tidak masuk akal apabila seorang nenek mendakwa cucunya terkena seterika panas di beberapa bahagian badan akibat perbuatan kanak-kanak itu sendiri, sekali gus mengundang curiga menantunya yang juga bapa budak perempuan berusia dua tahun terbabit yang mengesyaki anaknya didera.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang Selasa lalu, lelaki terbabit yang berada di tempat kerjanya di Indera Mahkota di sini, menerima panggilan telefon daripada isterinya memaklumkan anak mereka yang dijaga wanita berusia 49 tahun itu cedera.
Bapa berusia 32 tahun yang juga seorang mekanik bergegas ke rumah ibu mentuanya di Kampung Tengah di sini, bagi mendapatkan kepastian.
Namun, setiba di sana, dia terkejut mendapati kecederaan dialami anak sulungnya itu tidak mungkin akibat perbuatan sendiri kerana kesan melecur terdapat pada muka dan kedua-dua tangan.
Lelaki itu yang enggan dikenali berkata, anak perempuannya dijaga ibu mentuanya dan mereka tinggal berasingan.
Dia yang dihubungi semalam berkata, anak sulungnya itu baru enam bulan dijaga ibu mentuanya selepas dia menghadapi krisis rumah tangga dengan isterinya yang berusia 30 tahun.
“Saya tak boleh terima alasan anak saya terkena seterika selepas dia bermain dengan alat menggosok pakaian itu seperti didakwa emak mentua.
“Jika benar dia terkena seterika akibat perbuatan sendiri, tak mungkin kecederaan dialaminya membabitkan bahagian muka dan kedua-dua belah tangan.
“Bukan satu bahagian saja yang kena, tapi banyak bahagian badan lain,” katanya yang tidak puas hati dengan kejadian menimpa anaknya itu.
Berikutan itu, katanya dia membuat laporan polis bagi meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut terhadap kejadian itu.
Menurutnya, ini kejadian pertama menimpa anaknya sejak dijaga wanita berkenaan enam bulan lalu.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Zulkifli Taha, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu kelmarin.
Katanya, lelaki berkenaan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Kuantan, kira-kira jam 12.30 tengah hari selepas menghantar anaknya untuk pemeriksaan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.
“Polis sedang menunggu laporan perubatan daripada hospital sebelum siasatan lanjut dilakukan.
“Jika benar kanak-kanak itu didera, polis akan membuka kertas siasatan bagi menyiasat kejadian itu,” katanya.
TEMPURUNG KEPALA LOGAM
LONDON: Seorang pemuda yang tinggal hanya separuh kepalanya selepas diserang secara kejam oleh dua samseng, menerima tempurung kepala baru yang diperbuat daripada titanium, semalam.
Steve Gater, 26, menjadi lelaki bionik selepas dipasang dengan kepingan titanium untuk melindungi otaknya dan menggantikan dahinya.
Ibunya, Nina, 47, menyifatkan perkembangan itu sebagai langkah besar untuk membolehkan anaknya meneruskan kehidupan.
“Kepingan titanium itu akan menjadikan kehidupan Gater lebih baik.”
Pemandu forklif itu mengalami kerosakan otak dan kehilangan separuh tengkorak selepas diserang dua remaja ketika berjalan pulang dari tempat kerja awal tahun ini.
Kisah sedih yang dialami pemuda itu menjadi tumpuan akhbar di seluruh dunia selepas pendakwa raya menggugurkan kes itu dan membolehkan penyerangnya bebas.
Gater menjalani pembedahan rumit di Hospital Queens, Romford Khamis lalu untuk membolehkan kepingan titanium itu dipasang pada kepalanya.
“Kepalanya bengkak ketika ini tetapi agak melegakan untuk melihat dia dengan dahi barunya.
“Kini, yang tinggal ialah untuk membina semula keyakinannya dan memastikan dia merasa lebih selamat.
“Selepas kejadian itu, dia tidak ada perlindungan langsung. Otaknya hanya dilitupi kulit,” kata Nina.
Serangan itu berlaku ketika Steve dalam perjalanan pulang pada 15 Januari lalu.
Dua samseng berusia 18 dan 17 tahun mengejeknya.
Gater kemudian mencabar mereka tetapi dia diserang dan dibelasah di muka dan jatuh menyebabkan kepalanya terhentak di lantai.
Dia koma dua minggu akibat kejadian itu dan kini berdepan dengan masalah hilang ingatan.
BONGKAH AIS ANTARTIK MENGHALA KE NEW ZEALAND
WELLINGTON: Sekelompok bongkah ais terapung Antartik sedang menghala ke arah New Zealand selepas ditemui kira-kira 400 kilometer selatan negara itu, kata saintis semalam.
Bongkah ais terapung adalah pemandangan jarang dilihat di perairan sub-Antartik selatan New Zealand namun pada 2006, sejumlah ketulan itu terapung dalam lingkungan 25 kilometer dari garisan pantai, kejadian pertama seumpamanya sejak 1931.
Pakar lautan Mike Williams berkata, arus dan angin akan menentukan sama ada bongkah ais terbaru itu dianggarkan sehingga 80 meter panjang akan menghampiri garisan pantai New Zealand.
Bongkah ais itu ditemui oleh sebuah kapal pelancong Spirit of Enderby, berhampiran Pulau Auckland dan pemimpin ekspedisi Rodney Russ berkata ia adalah kali pertama dalam tempoh 37 tahun beliau melihat bongkah ais di kawasan itu dan bergerak 1.25 kilometer sejam ke arah utara.
ISRAEL BERDEGIL BINA PETEMPATAN HARAM
BAITULMAQDIS - Israel semalam mempertahankan tindakan membina ratusan buah kediaman baru dengan merampas secara haram tanah penduduk Arab di timur Baitulmaqdis.
Penempatan Yahudi terbaru itu sekali gus menolak gesaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama yang memberi amaran langkah rejim itu berbahaya kepada usaha pelan damai.
Pembinaan penempatan haram itu, kata Obama dalam wawancara bersama dengan stesen televisyen AS, Fox News, akan mencetuskan perasaan marah di kalangan penduduk Palestin.
"Saya fikir pembinaan penempatan tambahan tidak menyumbang kepada keselamatan Israel.
Mempunyai foto percutian yang hebat? Bolehkah ia memenangi pertandingan foto ini?
"Saya berpendapat ia menyukarkan jalan perdamaian dengan jiran mereka," katanya.
Semalam, Menteri Dalam Negeri Israel, Eli Yishai mempertahankan keputusan kementerian itu membina 900 buah rumah baru untuk pendatang Yahudi di timur Baitulmaqdis.
Kedegilan Israel mencetuskan kritikan meluas masyarakat antarabangsa namun rejim itu menganggap wilayah timur Baitulmaqdis itu bakal menjadi sebahagian daripada ibu negara baru Israel.
Bagaimanapun, pihak berkuasa Palestin turut mahu menjadikan wilayah itu sebagai ibu negara.
"Membekukan penempatan di Gilo seperti cuba membekukan kawasan penempatan penduduk Yahudi lain di Baitulmaqdis.
"Ia tidak boleh ditangguh kerana Gilo terletak di dalam Baitulmaqdis," kata Yishai.
MISTERI BATU BERGERAK DI GURUN AMERIKA SYARIKAT
LOS ANGELES - Beberapa batu besar ditemui saintis-saintis Amerika Syarikat (AS) telah bergerak di padang pasir Taman Negara Death Valley, lapor sebuah akhbar semalam.
Batu-batu itu yang ada mencecah sehingga 108 kilogram mencetuskan kebingungan di kalangan penyelidik kerana ia bergerak walaupun suhu panas setinggi 50 darjah Celsius.
Mereka mendapati, batu-batu di gurun yang terkenal di California itu dipercayai mampu 'mengembara' sejauh 320 meter setahun dan meninggalkan jejak laluan.
Saintis-saintis negara itu percaya, fenomena aneh tersebut disebabkan oleh keadaan cuaca spesifik yang datang bersama dengan tiupan angin kencang selaju 145 kilometer sejam.
Ia dipercayai berlaku akibat pembentukan ais pada waktu malam dan lapisan nipis tanah liat basah di permukaan gurun itu yang membantu menolak batu berat tersebut ke satu arah tertentu.
Jurugambar Mike Byrne, 40, mengambil masa bertahun-tahun untuk merakamkan foto-foto misteri pergerakan batu berat itu yang disifatkan sebagai kejadian amat pelik.
Dia berkata: "Beberapa batu itu mempunyai berat seperti seorang manusia.
"Adalah sesuatu yang amat ganjil untuk berimaginasi bahawa ia bergolek di gurun seperti ini.
"Batu itu bergolek di atas tanah dan saya tidak percaya terdapat seseorang yang melakukannya.
KANAK-KANAK HILANG DITEMUI SEMULA
KUALA LUMPUR - Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang dilarikan pembantu rumah warga Indonesia kelmarin ditemui selamat di Stesen Komuter di Batu Tiga Shah Alam semalam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar berkata, Siti Nurdiana Aung Soe ditinggalkan di Stesen Komuter Batu Tiga pada pukul 6.30 petang semalam bersama seorang pekerja restoran wanita warga Indonesia.
"Pembantu rumah itu yang dikenali sebagai Suparmi, 50, telah meninggalkan mereka sebaik sampai di stesen komuter itu," kata beliau di sini semalam.
Menurut beliau, pekerja restoran itu telah menemankan Suparmi untuk mengembalikan Siti Nurdiana kepada keluarganya apabila dia menemui mereka di sebuah restoran di ibu negara.
"Suparmi telah membawa Siti Nurdiana ke sebuah restoran di Chow Kit.
Melihat Suparmi yang mencurigakan, pekerja restoran itu mempersoalkan siapakah kanak-kanak perempuan terbabit.
"Wanita itu kemudian mengaku budak itu anak majikannya sebelum pekerja restoran itu berjaya memujuk wanita itu untuk mengembalikan semula mangsa," katanya.
Zainal Rashid berkata, Suparmi kemudian meminta pekerja restoran itu menemaninya untuk menghantar kanak-kanak itu pulang di Shah Alam dengan menaiki komuter.
HIDUP LELAKI,MATI WANITA
SEBERANG PRAI: “Saya tak boleh berkahwin sama ada sebagai suami atau isteri. Mengenai solat pula, saya boleh bersembahyang seperti lelaki dan perempuan, manakala solat Jumaat tidak diwajibkan.
“Dalam soal berpakaian pula, saya boleh pakai seperti lelaki atau perempuan tapi apabila meninggal dunia hendaklah dikebumikan mengikut jenazah perempuan Muslim,” jelas seorang khunsa mengenai dilema dihadapinya sejak enam tahun lalu.
Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Azli, 33, (gambar) berkata dilema itu dialami sejak menerima pengesahan status khunsa dari Jabatan Mufti Kedah 18 Ogos 2003.
Menurutnya, dia tidak mempertikai atau menolak pengesahan status khunsa berkenaan, namun wujud masalah setiap kali berhasrat melakukan sesuatu perkara.
Laporan itu turut mengesahkan Azli dari Kedah adalah khunsa musykil, bermaksud individu yang tidak diketahui langsung jantinanya disebabkan tiada sebarang tanda yang boleh diklasifikasikan lelaki atau perempuan.
“Apabila hendak bersolat sebagai lelaki, misalnya saya hendaklah di belakang saf kanak-kanak lelaki, tapi ada ketika saya perlu mengisi saf kosong di depan dan masalah timbul apabila ada orang menjadi makmum saya.
“Jika saya hendak bersembahyang sebagai perempuan pula, saya mempunyai nafsu lelaki begitu juga penampilan dan bagaimana pula jika saya bersentuhan dengan mereka.
“Disebabkan itu, saya jarang ke masjid malah solat Jumaat dan hari raya pun sudah 10 tahun saya tidak pergi disebabkan celaru identiti,” katanya.
Bukan itu saja, katanya, masalah identiti itu turut menyebabkan hidupnya tertekan sehingga terdetik di hatinya berhijrah ke luar negara akibat tidak mampu berdepan dugaan masyarakat.
“Ada rakan sekerja apabila mengetahui status saya mereka memanggil saya kakak. Lebih menyedihkan, ada pihak tidak bertanggungjawab yang tahu identiti diri saya ambil kesempatan seperti meraba.
“Ada juga minta nombor kad pengenalan bagi tujuan menikam nombor ekor,” katanya yang sedih dengan tanggapan masyarakat terhadap dirinya yang dilahirkan Allah dengan ciri ‘istimewa’.
Azli berkata, masalah itu bukan pertama kali dilalui dan dia semakin buntu mengenangkan nasib serta masa depannya.
“Saya bertukar kerja hampir 10 kali. Setiap kali saya minta kerja, saya ceritakan masalah sebenar supaya majikan faham kerana dalam kad pengenalan, nama dan jantina saya wanita, tetapi beridentiti lelaki.
“Namun, rahsia yang saya minta simpan itu sedikit demi sedikit terbongkar sehingga saya ambil keputusan berhenti. Tidak semua boleh terima keadaan saya dan bukan saya minta jadi begini sehingga diperlakukan sedemikian,” katanya.
Azli mengakui dia memiliki dua alat kelamin iaitu lelaki dan wanita selain ada ciri kedua-dua jantina berkenaan seperti mempunyai ovari, tetapi tumbuh bulu di dada, kaki, misai serta janggut.
Meskipun begitu, katanya, dia lebih cenderung ke arah lelaki apabila memiliki nafsu seperti lelaki normal yang meminati wanita.
“Saya tiada nafsu terhadap lelaki sebaliknya lebih meminati wanita. Nafsu saya membuak-buak malah saya boleh melakukan hubungan kelamin dengan mereka kerana alat kelamin lelaki saya boleh berfungsi meskipun tiada buah zakar.
“Selain itu, saya juga tiada payu dara seperti wanita lain sebaliknya di dada ditumbuhi bulu begitu juga kaki, misai dan janggut,” katanya.
Azli berkata, sebelum ini dia pernah menjalin hubungan dengan lima wanita, malah pernah merancang berkahwin, namun disebabkan statusnya sebagai khunsa musykil, dia tidak dibenarkan berbuat demikian.
“Sepanjang berkawan dengan lima wanita, mereka tahu identiti dan status saya malah tidak kisah.
“Ada yang sanggup menanggung risiko berkahwin dengan saya termasuk melakukannya di luar negara, tapi apabila saya fikir kembali, pelbagai masalah akan timbul seperti perkahwinan tidak boleh didaftarkan di sini, niat itu terpaksa dilupakan,” katanya.
Azli berkata, lesen memandunya tercatat nama wanita dengan gambarnya yang bertudung tetapi dalam kad pengenalan, dia berambut pendek seperti lelaki.
“Ada orang kata saya tomboi apabila melihat wajah saya dalam kad pengenalan dan luar sedangkan nama saya wanita tetapi saya tak kisah kerana saya tahu diri saya yang sebenar,” katanya.
Menurutnya, dia hanya mengetahui memiliki dua alat kelamin ketika usia 15 tahun apabila tidak datang haid seperti wanita lain kerana ketika itu dia berpakaian dan beridentiti wanita.
“Apabila tidak datang haid, saya berjumpa doktor sebelum disahkan ada dua alat kelamin. Sebelum itu, diri saya wanita apabila keluarga minta saya berpakaian wanita.
“Apabila dapat tahu ada dua alat kelamin, saya masih seperti wanita dan ketika usia 21 tahun, saya nekad berubah menjadi lelaki disebabkan naluri saya,” katanya yang pernah ditentang keluarga disebabkan tindakannya itu.
Menurutnya, sejak usia 21 tahun, dia berusaha mendapatkan status diri sama ada lelaki atau perempuan namun belum menemui jawapan hingga kini.
“Pada 2003, saya ke pejabat Mufti Kedah meluahkan masalah dihadapi dan diminta menemui pakar sebelum menjalani beberapa pemeriksaan perubatan di Hospital Alor Setar dan Hospital Universiti (kini Pusat Perubatan Universiti Malaya).
“Berdasarkan ujian, saya disahkan ada dua alat kelamin, namun doktor beritahu ovari saya tidak normal.
“Selepas ujian itu, Jabatan Mufti Kedah mengeluarkan surat menyatakan status saya dan sejak itu saya buntu memikirkan status diri sedangkan saya ada nafsu lelaki.
“Justeru, saya meminta pihak berkuasa mengeluarkan panduan khusus kepada golongan seperti saya supaya saya boleh hidup seperti orang lain,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Penyelidik Jabatan Mufti Kedah, Faridah Ahmad ketika dihubungi mengesahkan pihaknya mengeluarkan laporan pengesahan status khunsa musykil kepada Azli.
Katanya, ketika itu Azli membuat permohonan mengesahkan jantinanya untuk berkahwin, namun pihaknya meminta dia melakukan pemeriksaan pakar perubatan.
“Pada masa itu, Mufti Kedah, Datuk Sheikh Hasbillah Abd Halim, pakar sakit puan, ahli Jawatankuasa Fatwa, pemohon serta ibu bapanya hadir.
“Berdasarkan ujian doktor, alat kelamin lelaki dan perempuannya tidak berfungsi sepenuhnya. Disebabkan itu, pejabat mufti mengambil keputusan tidak membenarkannya berkahwin atas alasan matlamat perkahwinan tidak tercapai seperti tidak boleh mendapat zuriat.
“Sebagai lelaki, dia tiada air mani manakala sebagai perempuan pula rahimnya tidak normal,” katanya.
PERAGUT WANITA TUMPAS
ALOR SETAR 18 Nov. - Taktik licik seorang wanita berusia 45 tahun yang meragut rantai seorang kanak-kanak gagal apabila dia ditahan oleh orang awam di pasar sehari di Kota Sarang Semut, dekat sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.15 pagi, suspek sebelum itu mengekori mangsa berusia tiga tahun bersama ibunya, Hamidah Ishak, 46, di pasar tersebut.
Hamidah berkata, ketika kejadian dia tidak menyedari rantai leher yang dipakai anaknya, Nur Afza Adlina Ibrahim telah direntap suspek itu.
"Saya hanya sedar apabila peniaga-peniaga di situ menahan suspek yang dikatakan telah meragut rantai anak saya," ujarnya yang ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, di sini semalam.
Menurutnya, beberapa peniaga di situ telah memerhatikan suspek setelah mengesyaki kegiatan wanita itu sebelum ini.
"Mereka memberitahu suspek dah ekori saya sejak dari awal saya tiba di pasar sehari ini.
"Pada mulanya, suspek berjalan menghampiri anak saya namun gagal meragut rantai tersebut pada cubaan kali pertama," ujarnya.
Selepas itu, katanya, suspek menghampiri anaknya buat kali kedua dan meragut sekali lagi rantainya.
"Mereka yang nampak suspek meragut rantai itu terus menahannya namun dia terus membuang rantai itu.
"Dia juga enggan mengaku dia yang mengambil rantai leher itu yang telah putus," katanya.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kota Setar, Deputi Supritendan Fiesal Libertus Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan suspek tersebut kini ditahan untuk siasatan lanjut.
BANJIR:5 KAMPUNG SALAHKAN KERJA MENGOREK
BALIK PULAU 18 Nov. - Lima kampung membabitkan lebih 100 rumah dipenuhi lumpur ekoran banjir kilat yang melanda kawasan ini sejak kelmarin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Muhammad Farid Saad berkata, ia kejadian pertama dan beliau mendakwa ia disebabkan kerja mengorek yang dijalankan di sebuah kuari berdekatan.
Malah, dakwanya, kerja yang dilakukan di kuari terbabit tidak mendapat kelulusan mana-mana pihak.
"Belum pernah penduduk di lima kampung iaitu Titi Teras, Pondok Upeh, Kampung Terang, Pulau Betong dan Genting dilanda banjir lumpur begini, ini kali pertama.
"Kita percaya banjir ini disebabkan kerja mengorek kuari, jadi kerajaan negeri perlu prihatin dan memantau aktiviti seperti itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas melawat mangsa banjir di sini semalam.
Ekoran itu, kata Muhammad Farid, 18 laporan polis dibuat para penduduk kampung terbabit sekali gus mengharapkan pihak berkuasa akan mengambil tindakan sewajarnya.
Selepas melakukan lawatan di kawasan dilanda banjir, Muhammad Farid turut melawat satu projek perumahan terletak berhampiran Titi Teras yang didakwa dijalankan tanpa pengawasan sehingga mengganggu penduduk di situ.
"Kita dapat laporan bahawa pihak pemaju menjalankan kerja pembinaan sewenang-wenangnya tanpa mematuhi spesifikasi ditetapkan, ini merumitkan kehidupan penduduk di sini.
"Jika benar, perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana setiap pemaju perlu mematuhi pelan kawalan disediakan oleh konsultan berdaftar," ujar beliau.
TIGA NEGARA KAGUM OPERASI KESELAMATAN BUNGA MAS 5
KUALA LUMPUR 19 Nov. — Tiga negara — Jepun, Korea Selatan dan Jerman — menyatakan hasrat untuk mendalami dan mengaplikasi kerjasama strategik Tentera Laut Diraja Malaysia Malaysia (TLDM) dan MISC Berhad (MISC) dalam mengawal keselamatan laluan dagang di perairan Teluk Aden, Somalia.
Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, perkongsian strategik antara dua pihak itu dalam operasi kapal bantuan pelbagai guna Bunga Mas 5 jelas menunjukkan negara sentiasa komited menghadapi konflik di perairan.
Beliau berkata, Menteri Pertahanan Jepun menyatakan hasratnya untuk mendalami dan mengikuti langkah perkongsian strategik yang digunapakai negara ini ketika pertemuan mereka pada September lepas.
Jerman pula menghantar surat dengan menyatakan minat yang sama, manakala Menteri Pertahanan dan Panglima Tentera Laut Korea Selatan turut melahirkan rasa kagum mereka, katanya.
"Ketiga-tiga negara memandang tinggi keupayaan Malaysia dalam mengendali kapal ”auxiliary” (pelbagai guna) dengan cara perkongsian strategik yang juga telah mengharumkan nama negara apabila ia dijadikan contoh komuniti maritim dunia,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan upacara Pemakaian Pangkat pegawai Pasukan Simpanan Sukarela TLDM (PSSTLDM) dari MISC di Kementerian Pertahanan di sini hari ini.
ARAB SAUDI,AS KECAM ISRAEL
RIYADH: Arab Saudi semalam menyelar keputusan Israel untuk terus membina 900 rumah baru di timur Baitulmaqdis dan menganggapnya "halangan utama" dalam usaha menyambung semula rundingan damai di Asia Barat.
"Kami berpendapat pendudukan itu adalah halangan utama dalam usaha mencapai rundingan damai...terutama di timur Baitulmaqdis," kata jurucakap kementerian luar, Osama Nugali, apabila ditanya mengenai keputusan Israel untuk memperluaskan kawasan pendudukan Gilo di timur Baitulmaqdis.
"Kecuali ada langkah lebih pasti berhubung dasar berkenaan, adalah sukar untuk meneruskan usaha damai," kata Osama.
Arab Saudi sebagai kuasa serantau di Asia Barat tetap mahukan semua perluasan kawasan pendudukan Yahudi di Tebing Barat dibekukan sebelum ia sanggup membantu memulihkan rundingan damai antara Palestin dan Israel.
Sementara itu, di WASHINGTON, Amerika Syarikat menegur Tel Aviv selepas rejim Zionis itu meluluskan projek perumahan Yahudi di timur Baitulmaqdis itu.
"Kami dukacita dengan keputusan jawatankuasa perancangan untuk meneruskan dan membenarkan peluasan pembinaan di Gilo, di Baitulmaqdis.
"Ketika kami bertungkus-lumus untuk melancarkan semula rundingan, tindakan dilakukan Israel menyebabkan usaha kami menjadi lebih sukar," kata jurucakap Rumah Putih Robert Gibbs.
Tindakan rejim Zionis itu menjadi satu lagi tamparan kepada Palestin yang sebelum ini menggesa pembekuan sepenuhnya sebarang bentuk pembinaan sebelum pusingan baru rundingan boleh dibuat.
Ketika penduduk Palestin terus menerus dilanda kekecewaan berikutan kegagalan usaha damai dua hala dan mendapatkan sebuah negara sendiri, kedua-dua belah pihak terus 'renggang'.
Laporan media Israel menyatakan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu menolak rayuan Amerika untuk membekukan pembinaan di Gilo, tetapi tidak merujuk secara langsung mengenai projek terbaru itu.
Netanyahu menerima kecaman masyarakat antarabangsa kerana membenarkan pembinaan projek perumahan baru di wilayah yang menjadi perebutan kedua-dua belah pihak.
"Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon melahirkan rasa dukacita dengan keputusan Israel untuk meneruskan projek perumahan di Gilo, wilayah Palestin yang ditaklukinya dalam perang 1967," kata jurucakap Setiausaha Agung PBB itu.
Presiden Palestin Mahmud Abbas berkata kebuntuan itu menyebabkan beliau tidak mempunyai pilihan kecuali berusaha mendapatkan pengiktirafan antarabangsa untuk sebuah negara Palestin walaupun menimbulkan rasa tidak senang Eropah dan Amerika.
174 KES TAUN DIREKODKAN SEHINGGA KINI
PUTRAJAYA: Kes taun yang mula dilapor di Kuala Terengganu 11 November lalu sehingga kini merekod 174 kes dengan satu kematian.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata sejumlah 116 kes dikesan daripada 451 kes cirit-birit yang mendapatkan rawatan di hospital, manakala 58 kes lagi dikesan dari 1,074 kontak terdekat kes kolera yang dilapor.
"Satu kes taun kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU)," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Ke-8 Majlis Keselamatan Makanan dan Pemakanan Kebangsaan di sini hari ini.
Liow berkata, penyakit itu berjangkit melalui makanan atau minuman yang tercemar dengan kuman taun kerana pengendalian makanan atau minuman yang tidak bersih.
Beliau berkata, sebagai langkah pencegahan dan kawalan penyakit itu, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu telah memeriksa 65 premis dan 12 premis telah ditutup termasuk lima kilang ais kerana tahap kebersihan yang tidak baik.
"Sebanyak 71 sampel air dan 50 sampel makanan diambil untuk ujian kuman, di mana 35 sampel didapati negatif kepada V.Cholerae manakala 86 lagi masih menunggu keputusan.
"Sejumlah 36 telaga telah diklorin dan 304 tandas dan tempat pembuangan sampah telah didisinfeksi," katanya.
Liow berkata, penularan taun kali ini juga membabitkan jenis yang berbeza kerana ia tidak dapat dirawat dengan menggunakan antibiotik yang biasa digunakan untuk merawat penyakit itu.
Bagaimanapun, penyakit itu masih boleh dirawat dengan menggunakan antibiotik lain, katanya.
Liow turut menggesa mereka yang mengalami tanda-tanda cirit-birit agar tidak mengambil mudah dan segera mendapatkan rawatan, kerana ia boleh menyebabkan dehidrasi, seterusnya mengakibatkan kerosakan pada buah pinggang.
"Orang ramai juga dinasihat supaya mengamalkan kebersihan diri yang baik, dan tidak melanggan atau makan di kedai atau gerai makanan yang diragui tahap kebersihannya," katanya.
OBAMA HARGAI SUMBANGAN MALAYSIA KEKAL KEAMANAN SERANTAU
SINGAPURA: Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama, hari ini menyatakan penghargaan besar negaranya terhadap sumbangan Malaysia selama ini dalam memelihara keamanan dan keselamatan serantau.
Obama menyebut peranan yang dimainkan oleh Malaysia dalam menangani keganasan, sebagai orang tengah dalam menyelesaikan konflik di Selatan Filipina, menjaga keselamatan Selat Melaka dan membanteras penyeludupan manusia ke negara ketiga dalam mesyuarat antara Asean dan AS di Hotel Shangri-La di sini.
Perkara ini dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat itu yang diadakan Mesyuarat Pemimpin-pemimpin Ekonomi Asia Pasifik (AELM) di Istana.
Najib berkata, mesyuarat Asean-AS itu amat bersejarah kerana inilah kali pertama ia diadakan dan jelas AS berhasrat hendak mengadakan hubungan erat dan mendalam dengan Asean.
Katanya, Obama menyatakan beliau berhasrat untuk meningkatkan hubungan dengan Asean melalui pelbagai kerjasama termasuk perdagangan, pelaburan, teknologi, pendidikan, pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris serta meneruskan program "Peace Corp".
Perdana Menteri berkata, Vietnam, yang akan menjadi pengerusi Asean tahun depan, turut menyuarakan hasratnya supaya mesyuarat pemimpin Asean dengan Presiden AS itu dijadikan sebagai acara tahunan.
Katanya, Obama hendak berhubungan rapat dengan Asean dan mahukan Asean menjadi satu rantau ekonomi yang terbuka.
"Kerajaan AS ingin mengadakan dailog dengan negara Islam dan Obama meminta Malaysia membantunya dalam proses mengadakan dailog antara agama.
"Obama juga menyatakan AS akan berusaha menyelesaikan proses perdamaian di Timur Tengah walau bagaimana susah sekali pun," katanya yang menganggap itu satu permulaan baik untuk dunia Islam.
Mengenai isu Myanmar yang turut disentuh dalam mesyuarat Asean-AS itu, Najib berkata Obama ada menyatakan keinginannya untuk melihat proses pencapaian demokrasi dan pembebasan pemimpin pembangkang Aung Sang Suu Kyi berlaku di negara anggota Asean itu.
Katanya, Myanmar tidak memberikan apa-apa respon ketika soal pembebasan Suu Kyi dibangkitkan oleh Obama tetapi negara itu menyatakan ia mengalu-alukan dasar berhubungan baik AS.
Ditanya pendirian Obama mengenai perdagangan bebas, Perdana Menteri berkata walaupun jelas presiden AS itu menghadapi tekanan di negaranya supaya melindungi pasarannya, nada Obama menunjukkan beliau menolak perlindungan dan lebih menerima perdagangan bebas.
Najib berkata, pendekatan Obama mungkin berlainan tetapi prinsip perdagangan bebasnya tetap sama dan beliau memberi komitmen dalam hal itu.
Selepas sidangan media itu, Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, mengambil kesempatan menziarahi Sultan Kelantan yang sedang mendapatkan rawatan di Hospital Mount Elizabeth sejak beberapa bulan lalu, sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur selepas berada di Singapura selama empat hari.
KANAK-KANAK DIHANYUT ARUS DITEMUI MATI
PADANG BESAR: Kanak-kanak berusia 12 tahun yang dilaporkan hilang selepas dihanyut arus deras ketika bermain air di Sungai Santan, petang kelmarin, ditemui mati pagi semalam selepas hampir 15 jam operasi mencari dan menyelamat dijalankan.
Mayat mangsa, Wan Nor Diana Wan Selamat yang menunggu keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), ditemui jam 9.30 pagi dalam keadaan terapung di kawasan Padang Jejawi, dekat sini, kira-kira 10 kilometer (km) dari lokasi dia dilaporkan hilang, petang kelmarin.
Difahamkan, mayat mangsa ditemui Bilal Masjid Santan, Ku Seman Ku Ibrahim, ketika memukat ikan di sungai terbabit dan dimaklumkan kepada penduduk kampung.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Che Man Md Dros, ketika dihubungi semalam, mengesahkan penemuan mayat mangsa itu.
“Mayat mangsa ditemui dalam keadaan terapung sebelum berjaya dikeluarkan dengan bantuan penduduk kampung. Mayat kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga bagi tujuan pengebumian,” katanya.
Dalam kejadian kelmarin, Wan Nor Diana dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras, sebaik tergelincir ke dalam Sungai Santan.
Ketika kejadian, mangsa dikatakan menemani tiga rakannya yang lain bermain air di sungai terbabit yang terletak kira-kira 1.5 km dari rumahnya pada jam 5.30 petang.
Sehubungan itu, gerakan mencari dan menyelamatkan mangsa segera dijalankan dengan bantuan Unit Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat. Bagaimanapun, mangsa gagal dikesan.
Sementara itu, bapa mangsa, Wan Selamat Wan Ibrahim, 43, berkata dia langsung tidak menyangka anaknya itu menuju ke sungai, kerana dia dimaklumkan Wan Nor Diana keluar bersama rakan untuk bermain.
“Dia tidak pandai berenang, Justeru, saya percaya dia tidak akan berani untuk bermain di sungai terbabit.
“Apa pun, takdir sudah menetapkan ajal anak perempuan saya di sungai berkenaan dan saya reda," katanya ketika ditemui di bilik mayat HTF semalam.
Hadiah sama menziarahi mangsa di bilik mayat, Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Seri Azmi Khalid; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Santan, Sabry Ahmad dan Setiausaha Politik Menteri Besar Perlis, Azali Abas.
SELANGOR MASIH CATAT KES DENGGI TERTINGGI
KUALA LUMPUR: Selangor masih mencatatkan kes denggi paling banyak di seluruh negara walaupun jumlahnya menurun berbanding tahun lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata kes di Selangor merangkumi 40 peratus daripada keseluruhan kes tahun lalu dan setakat minggu pertama bulan ini.
“Selangor mempunyai sembilan kawasan panas denggi dan dua daripada sembilan daerah ini adalah di Hulu Langat. Sebahagian kawasan ini mengalami wabak denggi yang berlarutan lebih dua bulan,” katanya selepas merasmikan Kempen Anti Aedes Sara Lee-Tesco di sini, semalam.
Bagi tahun lalu, Selangor mencatatkan sejumlah 21,262 kes dengan empat kematian, iaitu 43 peratus daripada 49,335 kes demam denggi di seluruh Malaysia. Sementara sehingga minggu pertama November 2009, 16,591 kes dicatatkan di Selangor.
Liow berkata, denggi sukar dibendung jika orang ramai bersikap sambil lewa dalam menjaga kebersihan kediaman dan kawasan persekitarannya.
'STRATEGI JIHAD CINTA TIDAK WUJUD'
KAHERAH: Polis India menafikan tuduhan penduduk Hindu bahawa masyarakat Muslim di negara itu menggunakan percintaan sebagai cara berjihad menarik mereka memeluk agama baru.
“Banyak pertubuhan Muslim menafikan sekeras-kerasnya wujud jihad cinta,” kata polis dalam satu laporan, kelmarin.
“Mereka kata jika seorang wanita Hindu dewasa memutuskan untuk mengahwini lelaki Muslim, tiada apa yang boleh dilakukan untuk menyekatnya. Itu bukan perkara baru dalam isu perkahwinan berlainan agama,” kata laporan itu lagi.
Perkara itu berbangkit selepas seorang lelaki Hindu menuduh belia Muslim memaksa anak perempuannya memeluk Islam sebagai syarat untuk berkahwin.
Isu itu mendapat liputan meluas di negara majoriti penduduk Hindu itu dengan media tempatan menggelarnya ‘jihad cinta.’
Bagaimanapun, wanita terbabit, Siljaraj menafikan laporan dia dipaksa suaminya memeluk Islam.
“Jihad cinta tidak wujud. Saya mengahwininya dengan sukarela,” kata Siljaraj kepada wartawan di luar mahkamah tinggi Karnataka.
Kes itu menyebabkan masyarakat Muslim India menuduh media dan pihak berkuasa sengaja memperbesar-besarkan perkara tidak benar mengenai Islam.
T Arifali, pemimpin Jamat e-Islami di Kerala, mendesak media tidak menyebarkan maklumat salah mengenai penduduk Muslim India.
Katanya, jihad bermaksud berjuang melawan ‘maksiat’ dan tidak ada kena mengena dengan cinta.
“Kini ada cubaan untuk menghina perkataan jihad itu sendiri dengan menyamakannya dengan cinta sedangkan Islam tidak menggalakkannya. Itulah tujuan cubaan yang disengajakan ini,” katanya.
Jihad adalah antara konsep dalam Islam yang sering disalah tafsirkan oleh kalangan bukan Islam, lapor Islam Online.
WARGA AFRIKA BANJIRI MALAYSIA
KUALA LUMPUR 15 Nov. – Sudah berulang kali desakan dibuat agar masalah kebanjiran pendatang asing warga Afrika ditangani segera.
Walaupun pelbagai tindakan diambil pihak penguat kuasa namun kehadiran mereka bukannya berkurangan malah semakin bertambah saban hari.
Kebimbangan masyarakat di negara ini juga sudah banyak kali diluahkan di dada-dada akhbar mengenai kehadiran warga Afrika yang semakin ramai dan lebih dikenali sebagai ‘Awang Hitam’ di negara ini, namun ia seolah-olah tidak memberi kesan.
Akibatnya, satu demi satu masalah dan perlakuan jenayah membabitkan warga Afrika diselongkar.
Insiden terbaru yang mencetuskan kebimbangan rakyat Malaysia ialah seorang lelaki Sudan yang dituduh membunuh anak perempuan kekasihnya yang berusia tiga tahun, Aaliyah Ayman Hussin Abdullah di sebuah kondominium di Hulu Langat pada 12 Oktober lalu.
Perangkaan dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen mendapati dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, seramai 56,240 warga Afrika memasuki negara ini secara sah.
Kemasukan pelawat dari Afrika Selatan mengatasi negara-negara Afrika yang lain dengan 20 peratus dari keseluruhan daftar kemasukan.
Perangkaan yang sama, sepanjang tahun lalu menyaksikan 110,805 warga Afrika memasuki Malaysia manakala 81 peratus daripada mereka merekodkan aliran keluar semula dari negara dalam tempoh berkenaan.
Dalam pada itu, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, Jabatan Imigresen telah mengambil tindakan undang-undang ke atas 128 warga Afrika atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Kesalahan itu termasuk tamat tempoh permit, terlibat dalam aktiviti pelacuran dan pemalsuan dokumen.
Daripada jumlah itu, 48 peratus kesalahan adalah dilakukan oleh warga Nigeria diikuti Sudan dengan 18 peratus dan Somalia (13 peratus).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin turut menyatakan kebimbangannya dengan kebanjiran warga Afrika yang bertumpu di beberapa lokasi terpilih di ibu negara seperti Puchong, Seri Kembangan, Ampang, Kepong dan Pandan Indah.
Ketika diminta mengulas mengenai senario itu, pemimpin nombor satu Jabatan Siasatan Jenayah itu berkata, situasi tersebut ekoran wujudnya persepsi kononnya mereka akan berada di ruang lingkup yang ‘selesa’ jika berada di kawasan dipenuhi kaum mereka.
“Jadi ia akan mendorong serta cenderung untuk melakukan jenayah disebabkan memikirkan mereka ‘raja’ di kawasan itu,” katanya di sini hari ini.
Tegasnya, polis sentiasa memantau pergerakan mereka termasuk meletakkan anggota polis berpakaian preman terutama di kawasan-kawasan yang menjadi lokasi tumpuan golongan itu.
Beliau menambah, sekiranya dilihat pada trend terkini, warga Afrika kebanyakannya memasuki negara menggunakan pas pelajar.
“Bila sampai sini, mereka tak belajar sebaliknya melakukan jenayah. Pas sebagai pelajar khususnya di institusi pengajian tinggi (IPT) kebanyakannya swasta itu hanyalah sebagai tiket untuk mereka memasuki Malaysia,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau tidak menolak kemungkinan mereka menyamun kaum mereka sendiri. Bagaimanapun, mangsa mungkin tidak mendedahkan atau membuat laporan kerana khuatir keselamatan disebabkan mereka senang dikesan di kalangan sesama kaum.
Apa yang membimbangkan serta menimbulkan rasa kurang selesa di kalangan orang ramai, kata Mohd. Bakri, adalah gelagat mereka yang gemar berkumpul secara beramai-ramai di kawasan-kawasan tumpuan ramai.
“Berdasarkan perangkaan, kebanyakan daripada mereka dilihat terlibat dalam kegiatan pemalsuan wang, dadah, penipuan dan curi,” ujarnya.
Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, kata Mohd. Bakri, seramai 21 warga Afrika ditahan kerana terlibat dalam pelbagai kesalahan jenayah.
Menurutnya, 76 peratus daripada kesalahan yang dilakukan adalah mencuri, diikuti pecah rumah, samun berkawan tanpa senjata dan mendatangkan kecederaan.
Berdasarkan perangkaan sepanjang tahun lalu, beliau berkata, jenayah curi membabitkan warga Afrika masih mengatasi kesalahan lain dengan 54 peratus, diikuti samun berkawan tanpa bersenjata, pecah rumah, mendatangkan kecederaan dan bunuh.
Beliau berkata, trend terkini juga memperlihatkan penglibatan mereka dalam kes-kes pecah hotel.
Dalam pada itu Mohd. Bakri mengakui warga Afrika memang cukup pandai untuk memikat wanita tempatan dengan menggunakan pujuk rayu sebagai senjata utama mereka.
“Wanita kita (Malaysia) pula senang terpedaya dengan kata-kata manis tanpa menyedari agenda mereka di sebalik itu,” jelasnya.
Malah, lebih menyedihkan kata beliau, ada wanita tempatan yang sanggup merelakan diri mereka dicabul dan dirogol.
Sehubungan itu, beliau meminta, gadis-gadis tempatan supaya mengambil iktibar dan tidak mudah terjerumus untuk melakukan perbuatan-perbuatan terkutuk dan salah di sisi undang-undang.
SWASTA DIMINTA BANTU TABIKA KEMAS
PULAU PINANG 15 Nov. - Sektor swasta diminta tampil memberi sokongan bagi membantu kerajaan membangunkan modal insan yang berkualiti di negara ini terutama di peringkat prasekolah.
Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hasan Malek berkata, pendidikan prasekolah antara komponen yang penting dalam sistem pendidikan negara pada masa kini.
Katanya, melalui pendidikan tahap itu, nilai-nilai murni akan dapat disemai ke dalam diri anak-anak.
''Kita semua sedar, anak-anak ini akan menjadi pewaris kepimpinan negara satu masa nanti. Justeru mereka ini tidak boleh kita mempersia-siakan.
''Janganlah hanya mengharapkan kerajaan. Sektor swasta digesa sama-sama membantu. Bantuan boleh dilakukan dalam pelbagai cara termasuk menyediakan premis untuk Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) selain membantu menghulurkan bantuan kewangan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Tabika Kemas kawasan Bayan Baru.
Jelas Hasan, peranan sektor swasta juga amat diperlukan terutama di negeri-negeri yang dikenalpasti sukar mendapatkan tempat untuk diadakan Tabika Kemas kerana kekurangan tanah atau akibat pelbagai masalah lain
IRAN TUBUH UNIT JENAYAH INTERNET
TEHERAN 15 Nov. – Iran mewujudkan satu unit polis yang berperanan menghapuskan laman-laman web politik dan mendakwa pihak yang dianggap menyebarkan penipuan, lapor media Iran semalam.
Tindakan itu dilihat sebagai salah satu langkah yang bertujuan menyekat pihak pembangkang daripada meneruskan kempen mereka.
Kebanyakan laman web pembangkang telah diharamkan, namun penubuhan unit dengan 12 anggota polis yang akan melaporkan dakwaan kepada pejabat pendakwa itu, jelas bertujuan memberi tamparan lebih hebat kepada pergerakan yang enggan menerima pemilihan semula Presiden Mahmoud Ahmadinejad pada Jun lalu.
“Pihak berkuasa sedar Internet merupakan satu daripada saluran terhad bagi pembangkang dalam memastikan suara mereka didengar. Mereka mahu mendiamkan suara pembangkang,’’ kata seorang pemberita, Akbar Montajabi, yang menyifatkan langkah itu sebagai sekatan terbaru yang dikenakan kepada media di negara berkenaan.
Kolonel Polis, Mehrdad Omidi yang diberi tanggungjawab mengetuai unit jenayah Internet itu berkata, unit baru itu akan mencari pesalah yang ‘menghina dan menyebarkan penipuan’, satu istilah meluas yang digunakan badan kehakiman bagi menerangkan aktiviti-aktiviti pembangkang.
“Memandangkan penggunaan Internet yang meluas, polis terpaksa berdepan dengan jenayah yang berlaku di laman-laman web.
“Sebuah jawatankuasa khas telah ditubuhkan bagi mengawasi Internet dan menguruskan jenayah seperti penipuan, penghinaan dan penyebaran penipuan,’’ katanya seperti yang dipetik laporan berita tempatan.
Pihak berkuasa Iran telah mengharamkan kebanyakan laman web berkaitan pembangkang Iran atau yang mengandungi artikel menyokong pergerakan reformasi. Bagaimanapun, pembangkang terus mencipta laman web baru dalam masa beberapa hari selepas laman web lama disekat.
Pembangkang juga tidak boleh mengakses media kerajaan dan hanya menyebarkan mesej-mesejnya secara meluas melalui Internet.
Akhbar-akhbar di Iran juga diberi amaran dari semasa ke semasa agar tidak menyiarkan artikel yang menyokong pemimpin pembangkang.
Radio dan televisyen Iran dikawal secara langsung oleh pemimpin tertinggi negara itu, Ayatollah Ali Khamenei, yang sangat menyokong pemilihan semula Ahmadinejad.
15 MAUT SERANGAN BOM TERBARU
PESHAWAR 15 Nov. - Seorang pengebom berani mati meletupkan kereta yang dipandunya di sebuah pos pemeriksaan polis dekat barat laut Pakistan semalam, mengorbankan 15 orang termasuk empat kanak-kanak dalam gelombang terbaru serangan militan yang telah membunuh lebih 300 nyawa bulan lalu.
Seorang pegawai polis yang bertugas di lokasi kejadian semalam, Malik Jehangir berkata, satu letupan kuat kedengaran berpunca daripada sebuah kereta.
Ketua Polis Peshawar, Liaqat Ali Khan berkata, 15 mangsa termasuk dua pegawai polis maut dalam kejadian itu.
Turut maut katanya ialah empat kanak-kanak dan seorang wanita, sementara 25 yang lain dilaporkan cedera.
Menurut seorang pegawai kerajaan, Sahibzada Mohammad Anis, kawalan keselamatan keluar masuk di sekitar Peshawar telah dipertingkat selepas insiden berlaku.
Mempunyai foto percutian yang hebat? Bolehkah ia memenangi pertandingan foto ini?
Katanya, anggota polis telah ditempatkan di semua pintu masuk ke bandar ini bagi memeriksa semua kenderaan.
Seorang komander Taliban mengaku bertanggungjawab terhadap serangan semalam dan satu lagi serangan berasingan ke atas sebuah balai polis juga pada hari yang sama di daerah Bannu. Dia turut berjanji keganasan akan diteruskan.
"Pengebom-pengebom berani mati dilatih oleh saya dan saya mempunyai lebih ramai sukarelawan untuk melaksanakan serangan,'' kata Qari Hussain Mehsud kepada seorang pemberita AP melalui telefon.
Insiden semalam di pinggir bandar Peshawar itu, menjelaskan lagi status bandar itu sebagai sasaran utama militan dalam cubaan memaksa tentera menghentikan serangan terhadap kumpulan mereka yang dilancarkan bulan lalu di sempadan wilayah Waziristan Selatan, di mana pemimpin al-Qaeda dan Taliban dipercayai bersembunyi.
Serangan yang dilakukan pada minggu lalu sahaja telah mengorbankan lebih 50 orang di bandar ini, termasuk 10 di pejabat wilayah agensi perisikan utama Pakistan yang dibom Jumaat lalu.
SINGGAH DI BALAI POLIS UNTUK BERITAHU NIAT BUNUH RAKAN SEBELUM DITEMBAK MATI
KANGAR,16 NOVEMBER 2009 - Seorang peniaga makanan mengamuk hampir tiga jam sebelum ditembak mati pagi semalam gara-gara terlalu marah akibat ditinggalkan oleh kenalan lamanya di Alor Setar sehingga terpaksa berjalan kaki pulang sejauh 50 kilometer ke Arau awal pagi semalam.
Muhammad Taufik Noorizan, 21, pada mulanya mengikut rakannya itu yang hanya dikenali sebagai Rashidi dan bekerja sebagai kontraktor ke Alor Setar dengan tujuan untuk minum pada pukul 10 malam kelmarin.
Namun mereka dipercayai berselisih faham dan akibatnya, Muhammad Taufik yang tidak mempunyai wang terpaksa berjalan kaki pulang.
Sebaik sampai di rumahnya pada pukul 6 pagi semalam, dia naik angin dan keluar semula sebelum membelasah rakannya itu dengan kayu dan besi di rumah mangsa dekat Pusat Khidmat Wakil Rakyat Guar Sanji, kira-kira tiga kilometer dari situ.
CAMPAK ANAK DALAM PERIGI
KUALA TERENGGANU ,12 NOVEMBER 2009: Seorang bayi perempuan berusia dua bulan nyaris bersemadi dalam sebuah perigi selepas dicampakkan ibu kandungnya sendiri ke dalam telaga berkenaan berhampiran rumahnya di Kampung Pengkalan Arang, Batu Enam di sini, kelmarin.
Bagaimanapun, ajal belum menjemput bayi berkenaan apabila dia tidak tenggelam dalam perigi berisi air sedalam enam meter berkenaan, sebaliknya terapung di permukaan sambil bertarung dengan maut sejurus dibuang kira-kira jam 5 petang.
Malah, keajaiban Tuhan terhadap bayi yang tidak berdosa itu menyelamatkannya apabila dia sempat diselamatkan datuknya, Raja Ibrahim Raja Ali, 64, yang menyedari perbuatan ibu berusia 26 tahun itu.
Terkejut dengan perbuatan anak perempuannya, warga emas berkenaan yang tidak sanggup melihat cucu keempatnya terkapai-kapai dalam perigi, nekad turun ke dalam telaga berkenaan dengan hanya berpaut pada dindingnya.
Tindakan itu diambil kerana warga emas berkenaan tidak sanggup melihat bayi tidak berdosa itu terkapai-kapai dalam perigi walaupun menyedari tindakannya itu membahayakan diri jika pautan pada dinding perigi berkenaan terlepas.
Nenek bayi berkenaan, Hasnah Mat Ali, 50, berkata sebelum kejadian, wanita berkenaan yang juga anak angkatnya yang tinggal di rumah sewa berhampiran memberitahu dia geram melihat bayi berkenaan.
Katanya, bimbang kejadian tidak diingini berlaku selepas anaknya yang menghidap penyakit meroyan itu melakukan sesuatu terhadap cucunya, dia cuba menenangkan perasaan wanita berkenaan dan menyuruhnya bersabar.
Bagaimanapun, kebimbangan warga emas itu menjadi kenyataan apabila anaknya yang menghadapi tekanan perasaan mencampakkan bayinya ke dalam perigi berkenaan.
“Mujur saya sedar dan segera mengejutkan suami yang ketika itu sedang tidur. Tanpa berlengah, suami turun ke dalam perigi dengan berpaut pada dinding sebelum mencapai bayi berkenaan yang terapung di permukaan air yang jaraknya lebih satu meter dari muka perigi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.
Sementara itu, sumber polis berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu selepas menerima panggilan kecemasan daripada datuk bayi berkenaan jam 5 petang sebelum bergegas ke tempat kejadian.
“Ketika diselamatkan, muka bayi berkenaan yang hanya memakai lampin pakai buang kebiru-biruan dipercayai kesejukan selepas dibuang ke dalam perigi berkenaan.
“Bagaimanapun, bayi berkenaan sihat dan polis segera mengarahkannya dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.
Siasatan awal polis mendapati wanita berkenaan bertindak demikian kerana dipercayai menghadapi tekanan perasaan dan meroyan selepas melahirkan anak ketiga.
Katanya, ketika kejadian, wanita berkenaan turut mengakui tidak menyedari perbuatannya mencampakkan bayinya ke dalam perigi berkenaan.
“Ketika kejadian suami wanita itu tiada di rumah kerana bertugas di sebuah kilang di Kuantan dan siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya.
KAHERAH KAWAL KETAT PANTAI LAUT MERAH
KAHERAH-12 NOVEMBER 2009: Arab Saudi mengenakan sekatan di pesisiran pantai Laut Merah di utara Yaman bagi menghalang pemberontak Syiah daripada memperoleh bantuan senjata dan pejuang di sepanjang sempadannya, kata seorang penasihat kerajaan Arab Saudi kelmarin.
Iran, golongan Syiah yang terbesar di Asia Barat, memberi amaran kepada negara jirannya agar tidak masuk campur dalam hal ehwal dalaman Yaman, yang dengan jelasnya dirujukkan kepada golongan Sunnah Arab Saudi.
Yaman dan Arab Saudi juga menuduh Iran menghantar wang dan senjata kepada pemberontak berkenaan bagi tujuan melawan pasukan keselamatan kerajaan. Iran menafikan tuduhan itu.
"Kami dengan seriusnya meminta negara serantau, terutama negara jiran agar tidak masuk campur dalam isu dalaman Yaman dan sebaliknya cuba memulihkan kestabilan di Yaman," tegas Menteri Luar Iran, Manochehr Mottaki.
Arab Saudi melancarkan serangan darat dan udara terhadap pemberontak Yaman minggu lalu. Pertempuran itu menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan berlaku satu lagi peperangan proksi di Asia Barat di antara Iran dan Arab Saudi, kata sekutu Amerika Syarikat.
Yaman terbabit dalam konflik lima tahun dengan pemberontak Syiah di utara wilayah Saada di sempadan Arab Saudi. Puak Syiah menuduh pihak berkuasa mengabaikan keperluan mereka dan bersekutu dengan golongan fundamentalis Sunni.
Pertempuran menjadi bertambah hebat sejak Ogos lalu, menyebabkan beribu-ribu orang kehilangan tempat tinggal dan mengehadkan capaian mereka kepada bantuan kemanusiaan.
Sekatan Saudi adalah perkembangan terbaru dalam pertempuran di negara miskin berkenaan di hujung selatan semenanjung Arab.
Seorang penasihat kerajaan Saudi berkata kapal perang negara berkenaan diarah menggeledah mana-mana kapal yang disyaki berlayar berhampiran pantai Yaman, bagi mencari senjata atau pejuang yang dihantar bagi membantu pemberontak berkenaan.
GRADUAN UKM BUNUH TEMAN WANITA KE TALI GANTUNG
SHAH ALAM: Graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Irawadi Mohammad, dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam, selepas didapati bersalah membunuh teman wanitanya, Norzi Ayu Md Noor, lima tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Yazid Mustafa, menjatuhkan hukuman itu setelah mendapati tertuduh yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan, gagal membuktikan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.
Irawadi, 28, graduan jurusan Ekonomi dan Perniagaan, dituduh membunuh Norzi Ayu, 27, di rumah sewa mangsa di No 2-1-6 Blok ST12, Pangsapuri Sri Tanjung, Jalan 7/1D, Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, di antara jam 3.30 petang dan 5 petang pada 26 Julai 2004.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Sepanjang perbicaraan yang bermula pada Oktober 2005, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Roslan Abu Bakar memanggil 18 saksi, manakala pihak pembelaan yang diwakili peguam Imran Hadzalie Abdul Hamid mengemukakan seorang saksi.
Ahli keluarga Irawadi segera mengerumuninya selepas prosiding selesai, manakala tertuduh kelihatan sebak ketika dibawa semula ke lokap mahkamah.
Dalam penghakimannya, Mohd Yazid berkata, mahkamah mendapati pembelaan hanya menumpukan satu isu, iaitu tertuduh tidak mempunyai niat untuk membunuh Norzi Ayu - seorang pegawai penyelidik di Institut Penyelidikan Perubatan Malaysia, Kuala Lumpur.
"Tertuduh memberi keterangan bahawa dia tertikam si mati ketika si mati cuba menghalang tertuduh keluar (dari bilik) untuk bertemu SP4 (saksi pendakwaan keempat), pengawal keselamatan di UKM, Azman Mat Zain, 37. Keterangan tertuduh jelas bercanggah dengan keterangan saksi," katanya.
Beliau berkata, tingkah laku tertuduh melarikan diri dengan pisau yang telah menikam mangsa jelas menunjukkan dia ada niat membunuh mangsa.
Mohd Yazid juga berkata, ada enam perkara dibangkitkan dalam kes pendakwaan yang tidak disangkal di peringkat pembelaan.
"Mahkamah mendapati berdasarkan keterangan saksi keempat, hubungan tertuduh dan mangsa tidak baik beberapa bulan sebelum kejadian dan mangsa juga ada memberitahu saksi keempat bahawa dia sudah mempunyai kekasih lain dan akan bertunang, jelas tidak dicabar oleh peguam bela tertuduh," katanya.
Selain itu, katanya, keterangan Azman yang juga guru silat mangsa bahawa dia memasuki bilik Norzi Ayu dan mendapati tertuduh sedang merangkul mangsa dengan tangannya memegang pisau, tidak disangkal pada peringkat pembelaan.
"Keterangan saksi sama yang dia mengetuk pintu rumah mangsa selama setengah jam, juga tidak disangkal pembelaan," katanya.
Beliau berkata, pembelaan turut tidak menyangkal keterangan Azman bahawa selepas berlaku pertelingkahan selama setengah jam, Norzi Ayu dapat melepaskan diri dan masuk ke biliknya dengan diikuti tertuduh.
"Selepas masuk ke dalam bilik, tertuduh berada dalam bilik bersama mangsa dalam tempoh lima hingga 10 minit, juga tidak dipertikaikan.
"Dalam tempoh lima hingga 10 minit apabila SP4 menemui kunci, buka pintu dan nampak tertuduh terlentang dengan pisau berlumuran darah serta si mati terbaring di atas katil dalam keadaan tertiarap juga tidak dipertikaikan pembelaan," katanya.
Mohd Yazid berkata, beliau turut meneliti keterangan saksi ke-16 pendakwaan, iaitu Pakar Perunding Patologi Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Dr Khairul Azman Ibrahim, yang mengesahkan mangsa mengalami lima kecederaan termasuk di pembuluh darah utama di tengah abdomen.
"Kesan kecederaan ini, luka bocor yang agak berat, iaitu 1.5 sentimeter (sm) dengan kedalaman enam sm. Mengikut keterangan ahli patologi, kematian itu disebabkan luka dalaman yang (terhasil) dengan menggunakan satu senjata panjang yang sampai ke tempat luka," katanya.
Mohd Yazid berkata, berdasarkan kesan luka dan kesan lebam pudar pada beberapa bahagian tubuh Norzi Ayu, beliau menolak keterangan tertuduh bahawa dia tercucuk mangsa ketika bergelut.
TAQWIM
BLOG ARCHIVE
-
▼
2009
(76)
-
►
November
(43)
- DARAH PAGI AIDILADHA
- PESANAN TERAKHIR RAKAN SEBELUM HILANG
- WANITA DITEMUI MATI DENGAN KECEDERAAN PARAH DI KEPALA
- DAPAT SLIP 5A DEPAN JENAZAH IBU
- OREN PERISA ARAK
- NENEK DISYAKI SETERIKA CUCU
- TEMPURUNG KEPALA LOGAM
- BONGKAH AIS ANTARTIK MENGHALA KE NEW ZEALAND
- ISRAEL BERDEGIL BINA PETEMPATAN HARAM
- MISTERI BATU BERGERAK DI GURUN AMERIKA SYARIKAT
- KANAK-KANAK HILANG DITEMUI SEMULA
- HIDUP LELAKI,MATI WANITA
- PERAGUT WANITA TUMPAS
- BANJIR:5 KAMPUNG SALAHKAN KERJA MENGOREK
- TIGA NEGARA KAGUM OPERASI KESELAMATAN BUNGA MAS 5
- ARAB SAUDI,AS KECAM ISRAEL
- 174 KES TAUN DIREKODKAN SEHINGGA KINI
- OBAMA HARGAI SUMBANGAN MALAYSIA KEKAL KEAMANAN SER...
- KANAK-KANAK DIHANYUT ARUS DITEMUI MATI
- SELANGOR MASIH CATAT KES DENGGI TERTINGGI
- 'STRATEGI JIHAD CINTA TIDAK WUJUD'
- WARGA AFRIKA BANJIRI MALAYSIA
- SWASTA DIMINTA BANTU TABIKA KEMAS
- IRAN TUBUH UNIT JENAYAH INTERNET
- 15 MAUT SERANGAN BOM TERBARU
- SINGGAH DI BALAI POLIS UNTUK BERITAHU NIAT BUNUH ...
- CAMPAK ANAK DALAM PERIGI
- KAHERAH KAWAL KETAT PANTAI LAUT MERAH
- GRADUAN UKM BUNUH TEMAN WANITA KE TALI GANTUNG
-
►
November
(43)