WANITA DITEMUI MATI DENGAN KECEDERAAN PARAH DI KEPALA

PULAU PINANG 21 Nov. – Penemuan mayat seorang wanita dalam keadaan terlentang di pintu masuk sebuah kondominium 23 tingkat di Jalan Bukit Gambir, Gelugor di sini mengejutkan penghuni perumahan itu, malam tadi.

Lebih mengerikan, mayat wanita yang berusia lingkungan awal 20-an itu ditemui dalam keadaan kepalanya pecah, dipercayai kesan hentakan akibat terjatuh dari tempat tinggi.

Wanita yang belum dikenal pasti identitinya itu ditemui pengawal keselamatan yang bertugas di kondominium tersebut, kira-kira pukul 8 malam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner II Wan Abdullah Tunku Said berkata, sebaik sahaja menerima maklumat mengenai penemuan mayat itu, pakar Patologi Hospital Pulau Pinang (HPP), Datuk Bhupinder Singh dan pasukan forensik polis bergegas ke tempat kejadian.

“Polis turut menemui kasut dan jam tangan yang sudah berkecai dipercayai milik wanita terbabit dalam lingkungan jarak tiga hingga 10 meter mayat mangsa,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Mayat wanita dipercayai jatuh dari ketinggian lebih 10 tingkat di Kondominium di Pulau Pinang.

Tambahnya, wanita berkenaan didapati memakai seluar panjang berwarna hitam dan baju lengan panjang biru. Bagaimanapun, tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui di tempat kejadian.

Beliau memberitahu, siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai terjatuh dari tempat tinggi namun, siasatan lanjut berhubung punca insiden itu sedang giat dijalankan.

“Buat masa ini kita mengklasifikasikan kes kematian wanita ini sebagai kematian mengejut,” ujarnya.

Template by : kendhin x-template.blogspot.com