5 GENG PCO BOY DITEMBAK MATI


SHAH ALAM 8 Nov. – Sekumpulan lima penjenayah Geng PCO Boy yang terlibat dengan kegiatan samun di sekitar Lembah Klang ditembak mati oleh anggota polis dalam kejadian berbalas tembakan di Lorong Keramat, Batu 4, Jalan Kapar, Klang, awal pagi ini.

Mereka yang berusia 20 hingga 30 tahun itu termasuk ketua kumpulannya memiliki 13 rekod jenayah dan dipercayai merancang melakukan jenayah di kawasan berhampiran ketika kejadian pada pukul 12.30 tengah malam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Hasnan Hassan memberitahu, pergerakan kumpulan lelaki itu mula dikesan apabila berada dalam keadaan mencurigakan ketika menaiki sebuah kereta Perodua Kelisa di kawasan tersebut.

Katanya, sepasukan polis yang mengadakan operasi cegah jenayah di situ terus mengekori kereta suspek dan sejurus menghampirinya telah mengarahkan mereka berhenti.

“Bagaimanapun salah seorang suspek telah melepaskan tembakan ke arah polis menyebabkan anggota kami terpaksa membalas tembakan bagi mempertahankan diri. Kejadian berbalas tembakan itu berlangsung kira-kira 20 minit.

“Semasa hendak melepaskan diri, kereta suspek yang hendak mengundur telah terbabas dan melanggar benteng sungai menyebabkannya tersangkut. Kesemua penjenayah kemudian ditembak mati,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Md. Yusof.

Hasil pemeriksaan kata Hasnan, polis menemui sepucuk pistol automatik jenis Remington 0.4 bersama tiga butir peluru, lima bilah parang serta pedang samurai dalam kereta suspek.

Jelas beliau, polis percaya hasil kejayaan tersebut telah dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya 10 kes samun di Lembah Klang dan gerakan memburu saki baki ahli kumpulan tersebut telah dilancarkan.

Katanya, kesemua mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk bedah siasat.

Template by : kendhin x-template.blogspot.com