DUA BERADIK TERBABAS

KUALA LUMPUR 8 Nov. - Pada usia 8 dan 12 tahun, dua beradik ini sepatutnya berada di rumah selepas waktu tengah malam.

Namun, keadaan sebaliknya berlaku apabila kedua-dua mereka bukan sahaja keluar rumah tetapi menaiki motosikal pada pukul 4 pagi di Jalan Besar, Kampung Klang Gate di sini, baru-baru ini.

Perbuatan mereka bagaimanapun menerima padah apabila motosikal yang ditunggangi si abang terbabas ketika cuba melarikan diri selepas terkejut melihat kenderaan polis peronda.

Si abang cedera di bahu, manakala adiknya tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, kanak-kanak berusia 12 tahun itu hilang kawalan dipercayai akibat cemas dan terkejut.

"Anggota peronda yang ternampak kejadian itu kemudiannya menghantar mangsa ke Hospital Ampang bagi mendapatkan rawatan," katanya.

Abdul Jalil menasihati ibu bapa agar lebih peka dengan tingkah laku dan keselamatan anak masing-masing bagi mengelak kejadian yang tidak diingini

Template by : kendhin x-template.blogspot.com