PERAGUT WANITA TUMPAS

ALOR SETAR 18 Nov. - Taktik licik seorang wanita berusia 45 tahun yang meragut rantai seorang kanak-kanak gagal apabila dia ditahan oleh orang awam di pasar sehari di Kota Sarang Semut, dekat sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.15 pagi, suspek sebelum itu mengekori mangsa berusia tiga tahun bersama ibunya, Hamidah Ishak, 46, di pasar tersebut.

Hamidah berkata, ketika kejadian dia tidak menyedari rantai leher yang dipakai anaknya, Nur Afza Adlina Ibrahim telah direntap suspek itu.

"Saya hanya sedar apabila peniaga-peniaga di situ menahan suspek yang dikatakan telah meragut rantai anak saya," ujarnya yang ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, di sini semalam.

Menurutnya, beberapa peniaga di situ telah memerhatikan suspek setelah mengesyaki kegiatan wanita itu sebelum ini.

"Mereka memberitahu suspek dah ekori saya sejak dari awal saya tiba di pasar sehari ini.

"Pada mulanya, suspek berjalan menghampiri anak saya namun gagal meragut rantai tersebut pada cubaan kali pertama," ujarnya.

Selepas itu, katanya, suspek menghampiri anaknya buat kali kedua dan meragut sekali lagi rantainya.

"Mereka yang nampak suspek meragut rantai itu terus menahannya namun dia terus membuang rantai itu.

"Dia juga enggan mengaku dia yang mengambil rantai leher itu yang telah putus," katanya.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kota Setar, Deputi Supritendan Fiesal Libertus Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan suspek tersebut kini ditahan untuk siasatan lanjut.

Template by : kendhin x-template.blogspot.com