KAHERAH KAWAL KETAT PANTAI LAUT MERAH

KAHERAH-12 NOVEMBER 2009: Arab Saudi mengenakan sekatan di pesisiran pantai Laut Merah di utara Yaman bagi menghalang pemberontak Syiah daripada memperoleh bantuan senjata dan pejuang di sepanjang sempadannya, kata seorang penasihat kerajaan Arab Saudi kelmarin.

Iran, golongan Syiah yang terbesar di Asia Barat, memberi amaran kepada negara jirannya agar tidak masuk campur dalam hal ehwal dalaman Yaman, yang dengan jelasnya dirujukkan kepada golongan Sunnah Arab Saudi.

Yaman dan Arab Saudi juga menuduh Iran menghantar wang dan senjata kepada pemberontak berkenaan bagi tujuan melawan pasukan keselamatan kerajaan. Iran menafikan tuduhan itu.

"Kami dengan seriusnya meminta negara serantau, terutama negara jiran agar tidak masuk campur dalam isu dalaman Yaman dan sebaliknya cuba memulihkan kestabilan di Yaman," tegas Menteri Luar Iran, Manochehr Mottaki.

Arab Saudi melancarkan serangan darat dan udara terhadap pemberontak Yaman minggu lalu. Pertempuran itu menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan berlaku satu lagi peperangan proksi di Asia Barat di antara Iran dan Arab Saudi, kata sekutu Amerika Syarikat.

Yaman terbabit dalam konflik lima tahun dengan pemberontak Syiah di utara wilayah Saada di sempadan Arab Saudi. Puak Syiah menuduh pihak berkuasa mengabaikan keperluan mereka dan bersekutu dengan golongan fundamentalis Sunni.

Pertempuran menjadi bertambah hebat sejak Ogos lalu, menyebabkan beribu-ribu orang kehilangan tempat tinggal dan mengehadkan capaian mereka kepada bantuan kemanusiaan.

Sekatan Saudi adalah perkembangan terbaru dalam pertempuran di negara miskin berkenaan di hujung selatan semenanjung Arab.

Seorang penasihat kerajaan Saudi berkata kapal perang negara berkenaan diarah menggeledah mana-mana kapal yang disyaki berlayar berhampiran pantai Yaman, bagi mencari senjata atau pejuang yang dihantar bagi membantu pemberontak berkenaan.

Template by : kendhin x-template.blogspot.com