SEBERANG PERAI PULA DILANDA BANJIR

TASEK GELUGOR 11 Nov. – Selepas beberapa daerah di Kedah dan Perlis dilanda banjir sejak kelmarin, kawasan sekitar Seberang Perai pula dinaiki air hari ini ekoran hujan lebat sejak petang semalam.

Paling terjejas kawasan sekitar Seberang Perai Utara (SPU) termasuk di Kampung Paya Tok Akil, Kampung Desapuri dan Tepi Sungai di sini selain Kampung Kota Aur, Bumbung Lima serta Rantau Panjang di Kepala Batas.

Seberang Perai Tengah (SPT) iaitu daerah yang sering dilanda banjir bagaimanapun dilaporkan masih selamat daripada bencana itu, tetapi penduduknya dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya cuaca semakin buruk.

Di Kampung Paya Tok Akil, 17 buah rumah ditenggelami air sejak awal pagi semalam sehingga memaksa 70 orang penduduk dipindahkan ke dewan penempatan banjir kampung tersebut.

Selain itu, sembilan buah rumah di Kampung Desapuri dan 15 di Kampung Tepi Sungai dinaiki air sejak awal pagi ini tetapi keadaan dilaporkan semakin pulih.

Banjir di beberapa tempat di SPU dipercayai berlaku ekoran limpahan air Sungai Jarak dan Sungai Muda yang membawa bersama aliran deras banjir di kawasan kejiranan di sekitar negeri Kedah sejak kelmarin.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula memaklumkan kejadian banjir berlaku selepas beberapa pintu air milik jabatan itu dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dibuka ekoran paras air sungai yang semakin meningkat.

Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Simpang Tiga, Ibrahim Nordin berkata, banjir di Kampung Paya Tok Akil adalah yang terburuk selepas perkampungan itu dilanda musibah yang sama pada 2003.

‘‘Sehingga pukul 3 petang ini, penduduk yang dipindahkan masih berada di pusat pemindahan dan jika cuaca semakin baik, mereka boleh balik ke rumah masing-masing malam ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Ibrahim berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menyampaikan bantuan selimut dan tikar kepada mangsa selain bantuan kilat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Selain itu, wakil dari Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Berangan, Shahbudin Yahya dan ADUN Sungai Dua, Datuk Jasmin Mohamed juga turun padang meninjau perkembangan banjir di kawasan terbabit.

Sementara itu, seorang mangsa, Ruslan Che Ros, 38, memberitahu, rumahnya mula dinaiki air kira-kira pukul 4.30 pagi ini apabila air Sungai Jarak melimpah berikutan tindakan JPS lewat melepaskan air tebatan yang penuh.

‘‘Tapi kami bersyukur kerana banjir nampaknya mula surut dan kami berharap dapat pulang semula ke rumah secepat mungkin,” tambahnya.

Template by : kendhin x-template.blogspot.com