ARAB SAUDI,AS KECAM ISRAEL


RIYADH: Arab Saudi semalam menyelar keputusan Israel untuk terus membina 900 rumah baru di timur Baitulmaqdis dan menganggapnya "halangan utama" dalam usaha menyambung semula rundingan damai di Asia Barat.

"Kami berpendapat pendudukan itu adalah halangan utama dalam usaha mencapai rundingan damai...terutama di timur Baitulmaqdis," kata jurucakap kementerian luar, Osama Nugali, apabila ditanya mengenai keputusan Israel untuk memperluaskan kawasan pendudukan Gilo di timur Baitulmaqdis.

"Kecuali ada langkah lebih pasti berhubung dasar berkenaan, adalah sukar untuk meneruskan usaha damai," kata Osama.

Arab Saudi sebagai kuasa serantau di Asia Barat tetap mahukan semua perluasan kawasan pendudukan Yahudi di Tebing Barat dibekukan sebelum ia sanggup membantu memulihkan rundingan damai antara Palestin dan Israel.

Sementara itu, di WASHINGTON, Amerika Syarikat menegur Tel Aviv selepas rejim Zionis itu meluluskan projek perumahan Yahudi di timur Baitulmaqdis itu.

"Kami dukacita dengan keputusan jawatankuasa perancangan untuk meneruskan dan membenarkan peluasan pembinaan di Gilo, di Baitulmaqdis.

"Ketika kami bertungkus-lumus untuk melancarkan semula rundingan, tindakan dilakukan Israel menyebabkan usaha kami menjadi lebih sukar," kata jurucakap Rumah Putih Robert Gibbs.

Tindakan rejim Zionis itu menjadi satu lagi tamparan kepada Palestin yang sebelum ini menggesa pembekuan sepenuhnya sebarang bentuk pembinaan sebelum pusingan baru rundingan boleh dibuat.

Ketika penduduk Palestin terus menerus dilanda kekecewaan berikutan kegagalan usaha damai dua hala dan mendapatkan sebuah negara sendiri, kedua-dua belah pihak terus 'renggang'.

Laporan media Israel menyatakan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu menolak rayuan Amerika untuk membekukan pembinaan di Gilo, tetapi tidak merujuk secara langsung mengenai projek terbaru itu.

Netanyahu menerima kecaman masyarakat antarabangsa kerana membenarkan pembinaan projek perumahan baru di wilayah yang menjadi perebutan kedua-dua belah pihak.

"Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon melahirkan rasa dukacita dengan keputusan Israel untuk meneruskan projek perumahan di Gilo, wilayah Palestin yang ditaklukinya dalam perang 1967," kata jurucakap Setiausaha Agung PBB itu.

Presiden Palestin Mahmud Abbas berkata kebuntuan itu menyebabkan beliau tidak mempunyai pilihan kecuali berusaha mendapatkan pengiktirafan antarabangsa untuk sebuah negara Palestin walaupun menimbulkan rasa tidak senang Eropah dan Amerika.

Template by : kendhin x-template.blogspot.com