DARAH PAGI AIDILADHA

KUANTAN: “Saya dan arwah anak sepatutnya bertemu di Kampung Gemuruh, Kuala Terengganu, Terengganu, pagi ini untuk meraikan Aidiladha, sekali gus mengadakan perhimpunan keluarga kerana nenek saya berhasrat mengumpulkan cucu dan cicitnya.

“Namun, baru separuh perjalanan menuju kampung, saya terpaksa berpatah balik ke Kuantan selepas dihubungi jiran yang memaklumkan berita sedih ini,” kata Mohamad Abdullah, 49.

Mohamad, bapa kepada Marlizatul Akmar, 23, yang maut bersama tunangnya, Mohd Nasir Abdul Hager, 28, dari Marang, Terengganu, dan rakannya, Nur Surwani Jalir, 21, dari Batu Rakit, Terengganu, apabila kenderaan yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan ngeri di Kilometer 39, Jalan Kuantan-Kemaman, dekat Cherating, semalam.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, ketiga-tiga mangsa menaiki Proton Wira dipandu Mohd Nasir, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah selepas kenderaan itu bertembung dengan sebuah lori.
Turut cedera, rakan Mohd Nasir, Saiful Zazeleen Che Yusof, 23, dari Kemaman, Terengganu, yang patah tulang rusuk dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.

Difahamkan, ketika kejadian, Mohd Nasir dan Saiful Zazeleen yang juga anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang sedang berkursus di Kolej Tentera Udara, Alor Star, Kedah, dalam perjalanan pulang ke kampung masing-masing untuk menyambut Aidiladha.

Kedua-duanya menaiki kereta dari Alor Star kemudian singgah di ibu negara untuk menjemput Marlizatul Akmar dan Nur Surwani sebelum pulang bersama ke kampung masing-masing di negeri berkenaan.

Menurut Mohamad, arwah anaknya memberitahu akan terus pulang ke Terengganu dari ibu negara kerana Mohd Nasir akan menjemputnya ketika berbual dalam telefon kira-kira jam 11 malam, kelmarin.

“Arwah kemudian menghantar SMS memaklumkan dia dan tunangnya sudah bertolak ke Terengganu. Malah, arwah juga sempat berpesan supaya membawa telekung miliknya pulang ke kampung kerana dia tidak akan singgah di rumah kami di Kampung Sri Fajar, di sini.

“Selain itu, arwah yang baru saja tamat peperiksaan akhir, Rabu lalu, tidak menunjukkan sebarang perubahan pelik. Tetapi, saya hanya hairan kemalangan berlaku di Cherating berikutan dia memberitahu akan pulang ke Terengganu melalui Grik, Perak,” katanya ketika ditemui di pekarangan bilik mayat HTAA.

Katanya, ketika dalam perjalanan menuju Terengganu, dia ternampak sebuah lori dan kereta yang rosak akibat kemalangan, tetapi tidak menyangka ia membabitkan anaknya.

“Selepas solat sunat Aidiladha, saya dan keluarga bertolak ke Terengganu dan ternampak kesan kemalangan terbabit di laluan berkenaan, tetapi tidak mengesyaki apa-apa.

“Namun, ketika berhenti makan di Kijal kira-kira jam 10 pagi tiba-tiba seorang jiran menelefon dan meminta saya segera pulang ke Kuantan kerana arwah terbabit kemalangan di Cherating dan kini di HTAA,” katanya.

Mohamad berkata, dia reda dengan pemergian anak ketiga daripada lima beradik yang disifatkan sebagai anak yang baik dan menjadi penyeri keluarga berikutan sikapnya yang ceria sekalipun kejadian berlaku ketika umat Islam bergembira menyambut Aidiladha.

“Tragedi ini cukup memilukan kerana ia berlaku ketika Aidiladha. Malah, hasrat moyang arwah yang ingin bertemunya dalam majlis perhimpunan keluarga kerana tidak pernah berjumpa selama ini juga tidak kesampaian.

“Tambah menyedihkan apabila kami sudah mula membuat persiapan perkahwinan arwah yang baru bertunang dengan Mohd Nasir lebih dua bulan lalu dan dijangka melangsungkan perkahwinan Oktober depan selepas beberapa tahun berkenalan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff, berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Mohd Nasir dari Kuantan hilang kawalan ketika cuba mengelak sebuah kereta yang tiba-tiba keluar dari simpang berhampiran sebuah stesen minyak.

Menurutnya, kereta mangsa kemudian memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung sebuah lori menyebabkan ketiga-tiga mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat patah leher dan tulang rusuk selepas tersepit dalam kenderaan yang remuk itu.

Beliau berkata, polis juga sudah mengambil keterangan pemandu lori terbabit berusia 36 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41, Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Template by : kendhin x-template.blogspot.com