OBAMA HARGAI SUMBANGAN MALAYSIA KEKAL KEAMANAN SERANTAU

SINGAPURA: Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama, hari ini menyatakan penghargaan besar negaranya terhadap sumbangan Malaysia selama ini dalam memelihara keamanan dan keselamatan serantau.

Obama menyebut peranan yang dimainkan oleh Malaysia dalam menangani keganasan, sebagai orang tengah dalam menyelesaikan konflik di Selatan Filipina, menjaga keselamatan Selat Melaka dan membanteras penyeludupan manusia ke negara ketiga dalam mesyuarat antara Asean dan AS di Hotel Shangri-La di sini.

Perkara ini dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat itu yang diadakan Mesyuarat Pemimpin-pemimpin Ekonomi Asia Pasifik (AELM) di Istana.

Najib berkata, mesyuarat Asean-AS itu amat bersejarah kerana inilah kali pertama ia diadakan dan jelas AS berhasrat hendak mengadakan hubungan erat dan mendalam dengan Asean.

Katanya, Obama menyatakan beliau berhasrat untuk meningkatkan hubungan dengan Asean melalui pelbagai kerjasama termasuk perdagangan, pelaburan, teknologi, pendidikan, pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris serta meneruskan program "Peace Corp".

Perdana Menteri berkata, Vietnam, yang akan menjadi pengerusi Asean tahun depan, turut menyuarakan hasratnya supaya mesyuarat pemimpin Asean dengan Presiden AS itu dijadikan sebagai acara tahunan.

Katanya, Obama hendak berhubungan rapat dengan Asean dan mahukan Asean menjadi satu rantau ekonomi yang terbuka.

"Kerajaan AS ingin mengadakan dailog dengan negara Islam dan Obama meminta Malaysia membantunya dalam proses mengadakan dailog antara agama.

"Obama juga menyatakan AS akan berusaha menyelesaikan proses perdamaian di Timur Tengah walau bagaimana susah sekali pun," katanya yang menganggap itu satu permulaan baik untuk dunia Islam.

Mengenai isu Myanmar yang turut disentuh dalam mesyuarat Asean-AS itu, Najib berkata Obama ada menyatakan keinginannya untuk melihat proses pencapaian demokrasi dan pembebasan pemimpin pembangkang Aung Sang Suu Kyi berlaku di negara anggota Asean itu.

Katanya, Myanmar tidak memberikan apa-apa respon ketika soal pembebasan Suu Kyi dibangkitkan oleh Obama tetapi negara itu menyatakan ia mengalu-alukan dasar berhubungan baik AS.

Ditanya pendirian Obama mengenai perdagangan bebas, Perdana Menteri berkata walaupun jelas presiden AS itu menghadapi tekanan di negaranya supaya melindungi pasarannya, nada Obama menunjukkan beliau menolak perlindungan dan lebih menerima perdagangan bebas.

Najib berkata, pendekatan Obama mungkin berlainan tetapi prinsip perdagangan bebasnya tetap sama dan beliau memberi komitmen dalam hal itu.

Selepas sidangan media itu, Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, mengambil kesempatan menziarahi Sultan Kelantan yang sedang mendapatkan rawatan di Hospital Mount Elizabeth sejak beberapa bulan lalu, sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur selepas berada di Singapura selama empat hari.

Template by : kendhin x-template.blogspot.com