BANJIR:5 KAMPUNG SALAHKAN KERJA MENGOREK

BALIK PULAU 18 Nov. - Lima kampung membabitkan lebih 100 rumah dipenuhi lumpur ekoran banjir kilat yang melanda kawasan ini sejak kelmarin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Muhammad Farid Saad berkata, ia kejadian pertama dan beliau mendakwa ia disebabkan kerja mengorek yang dijalankan di sebuah kuari berdekatan.

Malah, dakwanya, kerja yang dilakukan di kuari terbabit tidak mendapat kelulusan mana-mana pihak.

"Belum pernah penduduk di lima kampung iaitu Titi Teras, Pondok Upeh, Kampung Terang, Pulau Betong dan Genting dilanda banjir lumpur begini, ini kali pertama.

"Kita percaya banjir ini disebabkan kerja mengorek kuari, jadi kerajaan negeri perlu prihatin dan memantau aktiviti seperti itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas melawat mangsa banjir di sini semalam.

Ekoran itu, kata Muhammad Farid, 18 laporan polis dibuat para penduduk kampung terbabit sekali gus mengharapkan pihak berkuasa akan mengambil tindakan sewajarnya.

Selepas melakukan lawatan di kawasan dilanda banjir, Muhammad Farid turut melawat satu projek perumahan terletak berhampiran Titi Teras yang didakwa dijalankan tanpa pengawasan sehingga mengganggu penduduk di situ.

"Kita dapat laporan bahawa pihak pemaju menjalankan kerja pembinaan sewenang-wenangnya tanpa mematuhi spesifikasi ditetapkan, ini merumitkan kehidupan penduduk di sini.

"Jika benar, perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana setiap pemaju perlu mematuhi pelan kawalan disediakan oleh konsultan berdaftar," ujar beliau.

Template by : kendhin x-template.blogspot.com