DARAH PAGI AIDILADHA

KUANTAN: “Saya dan arwah anak sepatutnya bertemu di Kampung Gemuruh, Kuala Terengganu, Terengganu, pagi ini untuk meraikan Aidiladha, sekali gus mengadakan perhimpunan keluarga kerana nenek saya berhasrat mengumpulkan cucu dan cicitnya.

“Namun, baru separuh perjalanan menuju kampung, saya terpaksa berpatah balik ke Kuantan selepas dihubungi jiran yang memaklumkan berita sedih ini,” kata Mohamad Abdullah, 49.

Mohamad, bapa kepada Marlizatul Akmar, 23, yang maut bersama tunangnya, Mohd Nasir Abdul Hager, 28, dari Marang, Terengganu, dan rakannya, Nur Surwani Jalir, 21, dari Batu Rakit, Terengganu, apabila kenderaan yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan ngeri di Kilometer 39, Jalan Kuantan-Kemaman, dekat Cherating, semalam.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, ketiga-tiga mangsa menaiki Proton Wira dipandu Mohd Nasir, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah selepas kenderaan itu bertembung dengan sebuah lori.
Turut cedera, rakan Mohd Nasir, Saiful Zazeleen Che Yusof, 23, dari Kemaman, Terengganu, yang patah tulang rusuk dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.

Difahamkan, ketika kejadian, Mohd Nasir dan Saiful Zazeleen yang juga anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang sedang berkursus di Kolej Tentera Udara, Alor Star, Kedah, dalam perjalanan pulang ke kampung masing-masing untuk menyambut Aidiladha.

Kedua-duanya menaiki kereta dari Alor Star kemudian singgah di ibu negara untuk menjemput Marlizatul Akmar dan Nur Surwani sebelum pulang bersama ke kampung masing-masing di negeri berkenaan.

Menurut Mohamad, arwah anaknya memberitahu akan terus pulang ke Terengganu dari ibu negara kerana Mohd Nasir akan menjemputnya ketika berbual dalam telefon kira-kira jam 11 malam, kelmarin.

“Arwah kemudian menghantar SMS memaklumkan dia dan tunangnya sudah bertolak ke Terengganu. Malah, arwah juga sempat berpesan supaya membawa telekung miliknya pulang ke kampung kerana dia tidak akan singgah di rumah kami di Kampung Sri Fajar, di sini.

“Selain itu, arwah yang baru saja tamat peperiksaan akhir, Rabu lalu, tidak menunjukkan sebarang perubahan pelik. Tetapi, saya hanya hairan kemalangan berlaku di Cherating berikutan dia memberitahu akan pulang ke Terengganu melalui Grik, Perak,” katanya ketika ditemui di pekarangan bilik mayat HTAA.

Katanya, ketika dalam perjalanan menuju Terengganu, dia ternampak sebuah lori dan kereta yang rosak akibat kemalangan, tetapi tidak menyangka ia membabitkan anaknya.

“Selepas solat sunat Aidiladha, saya dan keluarga bertolak ke Terengganu dan ternampak kesan kemalangan terbabit di laluan berkenaan, tetapi tidak mengesyaki apa-apa.

“Namun, ketika berhenti makan di Kijal kira-kira jam 10 pagi tiba-tiba seorang jiran menelefon dan meminta saya segera pulang ke Kuantan kerana arwah terbabit kemalangan di Cherating dan kini di HTAA,” katanya.

Mohamad berkata, dia reda dengan pemergian anak ketiga daripada lima beradik yang disifatkan sebagai anak yang baik dan menjadi penyeri keluarga berikutan sikapnya yang ceria sekalipun kejadian berlaku ketika umat Islam bergembira menyambut Aidiladha.

“Tragedi ini cukup memilukan kerana ia berlaku ketika Aidiladha. Malah, hasrat moyang arwah yang ingin bertemunya dalam majlis perhimpunan keluarga kerana tidak pernah berjumpa selama ini juga tidak kesampaian.

“Tambah menyedihkan apabila kami sudah mula membuat persiapan perkahwinan arwah yang baru bertunang dengan Mohd Nasir lebih dua bulan lalu dan dijangka melangsungkan perkahwinan Oktober depan selepas beberapa tahun berkenalan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff, berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Mohd Nasir dari Kuantan hilang kawalan ketika cuba mengelak sebuah kereta yang tiba-tiba keluar dari simpang berhampiran sebuah stesen minyak.

Menurutnya, kereta mangsa kemudian memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung sebuah lori menyebabkan ketiga-tiga mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat patah leher dan tulang rusuk selepas tersepit dalam kenderaan yang remuk itu.

Beliau berkata, polis juga sudah mengambil keterangan pemandu lori terbabit berusia 36 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41, Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Baca Lagi...

PESANAN TERAKHIR RAKAN SEBELUM HILANG

BUKIT MERTAJAM 21 Nov. - "Hang (kamu) pegang kuat-kuat, aku nak bawa bot ni laju sikit". Demikian pesanan Zulkefli Abu Bakar sebelum dia tiba-tiba terjatuh dari bot ketika keluar memancing bersama rakannya, Mohd. Farid Ismail, 19, di Sungai Perai semalam.

Ibu Zulkefli, Sepiah Mat, 68, berkata, kata-kata terakhir anaknya itu diceritakan sendiri oleh Mohd. Farid yang memaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 6.30 petang.

Sehingga pukul 7 malam ini, usaha mencari Zulkefli, 24, yang dijalankan pasukan penyelamat sejak semalam, belum menampakkan sebarang hasil.

"Sudah lebih 24 jam mereka cari anak saya. Saya hanya berdoa dan berharap supaya Zulkefli ditemui semula, tidak kira dalam keadaan apa sekalipun," katanya sebak ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pertama di sini hari ini.

Sepiah memberitahu, Mohd. Farid memaklumkan kepadanya bahawa ketika kejadian, mereka sedang dalam perjalanan menaiki bot menyusuri alur Sungai Derhaka dari Sungai Perai untuk pulang ke rumah.

"Ketika itulah Zulkefli berpesan kepada Mohd. Farid supaya berjaga-jaga kerana dia mungkin ingin menguji kekuatan enjin botnya yang baru dibaiki.

"Dia (Mohd Farid) yang duduk bahagian depan bot hanya menyedari ketiadaan Zulkefli apabila bot seperti hilang kawalan dan menghala ke tebing sungai," katanya.

Menurut Sepiah, Zulkefli yang juga anak bongsu daripada lima beradik memang dikenali sebagai kaki pancing di kalangan rakan dan keluarga kerana sering menghabiskan masa lapangnya dengan memancing di banyak tempat.

Malah, katanya, bot yang dinaiki Zulkefli dan Mohd. Farid dalam kejadian itu dibeli hasil duit yang dikongsi bersama rakan-rakannya yang mempunyai hobi sama.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Perai, A'Azelan Hassan berkata, pihaknya memulakan operasi mencari dan menyelamat kira-kira pukul 7.30 malam semalam.

"Hari ini, pasukan mencari menyambung semula operasi dengan kawasan tumpuan operasi adalah sekitar 100 meter dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh dari bot.

"Kita menghadapi kesukaran kerana paras air semakin tinggi ketika air laut pasang dan kita terpaksa menghentikan operasi pukul 7 malam ini berikutan cuaca yang sudah gelap," jelasnya.

Baca Lagi...

WANITA DITEMUI MATI DENGAN KECEDERAAN PARAH DI KEPALA

PULAU PINANG 21 Nov. – Penemuan mayat seorang wanita dalam keadaan terlentang di pintu masuk sebuah kondominium 23 tingkat di Jalan Bukit Gambir, Gelugor di sini mengejutkan penghuni perumahan itu, malam tadi.

Lebih mengerikan, mayat wanita yang berusia lingkungan awal 20-an itu ditemui dalam keadaan kepalanya pecah, dipercayai kesan hentakan akibat terjatuh dari tempat tinggi.

Wanita yang belum dikenal pasti identitinya itu ditemui pengawal keselamatan yang bertugas di kondominium tersebut, kira-kira pukul 8 malam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner II Wan Abdullah Tunku Said berkata, sebaik sahaja menerima maklumat mengenai penemuan mayat itu, pakar Patologi Hospital Pulau Pinang (HPP), Datuk Bhupinder Singh dan pasukan forensik polis bergegas ke tempat kejadian.

“Polis turut menemui kasut dan jam tangan yang sudah berkecai dipercayai milik wanita terbabit dalam lingkungan jarak tiga hingga 10 meter mayat mangsa,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Mayat wanita dipercayai jatuh dari ketinggian lebih 10 tingkat di Kondominium di Pulau Pinang.

Tambahnya, wanita berkenaan didapati memakai seluar panjang berwarna hitam dan baju lengan panjang biru. Bagaimanapun, tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui di tempat kejadian.

Beliau memberitahu, siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai terjatuh dari tempat tinggi namun, siasatan lanjut berhubung punca insiden itu sedang giat dijalankan.

“Buat masa ini kita mengklasifikasikan kes kematian wanita ini sebagai kematian mengejut,” ujarnya.

Baca Lagi...

DAPAT SLIP 5A DEPAN JENAZAH IBU


SEREMBAN - Tidak seperti murid Tahun Enam lain yang kegirangan ketika menerima keputusan cemerlang 5A Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Siti Amynur Ain Putri Rosdy (gambar kecil) terpaksa menempuh kesedihan semasa menerima keputusan itu di hadapan jenazah ibu.

Apabila keputusan UPSR diumumkan di pejabat Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Dusun Nyior di sini semalam, Siti Amynur Ain Putri berada di surau rumah rakyat Taman Dusun Nyior untuk membantu anggota keluarga yang lain menguruskan jenazah ibunya, Rusmah Abdullah, 47, yang meninggal dunia akibat tekanan darah rendah pada tengah malam Rabu selepas terlantar di wad hospital selama dua minggu.


Berderai air mata Siti Amynur Ain Putri dan anggota keluarga yang lain apabila guru besar sekolah itu, Noreha Adam menyampaikan keputusan ke tangan pelajar itu sendiri di hada- pan tubuh kaku ibunya beberapa minit sebelum solat jenazah dimulakan pada pukul 11.30 pagi kelmarin.

"Saya sedih sangat, ibu tidak dapat melihat keputusan ini. Ibu selalu berpesan semasa hidup bahawa saya ini harapan dia, ayah pula sudah meninggal dunia empat tahun lalu," katanya dalam linangan air mata.

Pelajar itu kini hidup yatim piatu bersama abangnya yang berusia 14 tahun.

Selepas ayahnya meninggal dunia akibat sakit tibi, ibu Siti Amynur Ain Putri bekerja sebagai tukang cuci di sebuah hotel bajet rendah di Serem- ban dengan pendapatan RM500 sebulan.

Baca Lagi...

OREN PERISA ARAK


KUALA LUMPUR: Luaran nampak seperti minuman ringan biasa, namun ia sebenarnya minuman berperisa arak yang kini menjadi kegilaan remaja terutama di kalangan pelajar sekolah di negara ini.

Mendedahkan perkembangan membimbangkan itu, Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), N V Subbarow, berkata hasil siasatan pihaknya mendapati minuman itu mengandungi alkohol 5.5 peratus.

Menurutnya, ramuan arak yang ditin dan dibotolkan itu menggunakan pewarna seperti warna oren, epal dan campuran buah tropika bagi menarik perhatian pembeli membelinya dengan harga antara RM5 hingga RM12 sebotol.

“Ibu bapa terutama mereka yang beragama Islam perlu memberi perhatian serius kerana peratusan alkohol dalam minuman ringan ini melebihi kandungan (alkohol) yang terkandung dalam setin ‘beer’ iaitu 5 peratus saja.

“Kajian yang dilakukan CAP mendapati lebih 50 peratus murid dan pelajar sekolah kini menyukai minuman ini. Lebih serius ia mudah didapati di pasar raya mini dan kedai serbaneka.

“Pejabat CAP dihujani panggilan daripada golongan ibu bapa yang risau dengan penjualan minuman ringan itu kerana ada di antaranya mendakwa anak-anak mereka berasa pening lalat selepas meminumnya,” katanya di Balai Berita di sini, semalam.

Selain itu, pihak CAP turut mendapat aduan daripada pihak sekolah yang mengatakan segelintir murid dan pelajar membawa minuman ini ke sekolah untuk tujuan mengadakan jamuan hari jadi.

Menurutnya, tinjauan CAP mendapati terdapat lebih 25 jenama minuman ringan berperisa alkohol dijual di pasaran negara ini.

“Undang-undang negara jelas menyatakan sebarang minuman yang mengandungi alkohol dilarang penjualannya secara terbuka kepada golongan berumur 18 tahun ke bawah.

“Tetapi murid dan pelajar sekolah secara biasanya tidak gemar membaca kandungan label dan terus minum sebaik saja membelinya.

“Justeru, CAP bimbang dengan perkara ini kerana ia tahap permulaan untuk mereka minum arak apabila meningkat dewasa,” katanya.

Baca Lagi...

NENEK DISYAKI SETERIKA CUCU

KUANTAN: Alasan tidak masuk akal apabila seorang nenek mendakwa cucunya terkena seterika panas di beberapa bahagian badan akibat perbuatan kanak-kanak itu sendiri, sekali gus mengundang curiga menantunya yang juga bapa budak perempuan berusia dua tahun terbabit yang mengesyaki anaknya didera.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang Selasa lalu, lelaki terbabit yang berada di tempat kerjanya di Indera Mahkota di sini, menerima panggilan telefon daripada isterinya memaklumkan anak mereka yang dijaga wanita berusia 49 tahun itu cedera.

Bapa berusia 32 tahun yang juga seorang mekanik bergegas ke rumah ibu mentuanya di Kampung Tengah di sini, bagi mendapatkan kepastian.

Namun, setiba di sana, dia terkejut mendapati kecederaan dialami anak sulungnya itu tidak mungkin akibat perbuatan sendiri kerana kesan melecur terdapat pada muka dan kedua-dua tangan.

Lelaki itu yang enggan dikenali berkata, anak perempuannya dijaga ibu mentuanya dan mereka tinggal berasingan.

Dia yang dihubungi semalam berkata, anak sulungnya itu baru enam bulan dijaga ibu mentuanya selepas dia menghadapi krisis rumah tangga dengan isterinya yang berusia 30 tahun.

“Saya tak boleh terima alasan anak saya terkena seterika selepas dia bermain dengan alat menggosok pakaian itu seperti didakwa emak mentua.

“Jika benar dia terkena seterika akibat perbuatan sendiri, tak mungkin kecederaan dialaminya membabitkan bahagian muka dan kedua-dua belah tangan.

“Bukan satu bahagian saja yang kena, tapi banyak bahagian badan lain,” katanya yang tidak puas hati dengan kejadian menimpa anaknya itu.

Berikutan itu, katanya dia membuat laporan polis bagi meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut terhadap kejadian itu.

Menurutnya, ini kejadian pertama menimpa anaknya sejak dijaga wanita berkenaan enam bulan lalu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Zulkifli Taha, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu kelmarin.

Katanya, lelaki berkenaan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Kuantan, kira-kira jam 12.30 tengah hari selepas menghantar anaknya untuk pemeriksaan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

“Polis sedang menunggu laporan perubatan daripada hospital sebelum siasatan lanjut dilakukan.

“Jika benar kanak-kanak itu didera, polis akan membuka kertas siasatan bagi menyiasat kejadian itu,” katanya.

Baca Lagi...

TEMPURUNG KEPALA LOGAM



LONDON: Seorang pemuda yang tinggal hanya separuh kepalanya selepas diserang secara kejam oleh dua samseng, menerima tempurung kepala baru yang diperbuat daripada titanium, semalam.

Steve Gater, 26, menjadi lelaki bionik selepas dipasang dengan kepingan titanium untuk melindungi otaknya dan menggantikan dahinya.

Ibunya, Nina, 47, menyifatkan perkembangan itu sebagai langkah besar untuk membolehkan anaknya meneruskan kehidupan.

“Kepingan titanium itu akan menjadikan kehidupan Gater lebih baik.”
Pemandu forklif itu mengalami kerosakan otak dan kehilangan separuh tengkorak selepas diserang dua remaja ketika berjalan pulang dari tempat kerja awal tahun ini.

Kisah sedih yang dialami pemuda itu menjadi tumpuan akhbar di seluruh dunia selepas pendakwa raya menggugurkan kes itu dan membolehkan penyerangnya bebas.

Gater menjalani pembedahan rumit di Hospital Queens, Romford Khamis lalu untuk membolehkan kepingan titanium itu dipasang pada kepalanya.

“Kepalanya bengkak ketika ini tetapi agak melegakan untuk melihat dia dengan dahi barunya.

“Kini, yang tinggal ialah untuk membina semula keyakinannya dan memastikan dia merasa lebih selamat.

“Selepas kejadian itu, dia tidak ada perlindungan langsung. Otaknya hanya dilitupi kulit,” kata Nina.

Serangan itu berlaku ketika Steve dalam perjalanan pulang pada 15 Januari lalu.

Dua samseng berusia 18 dan 17 tahun mengejeknya.

Gater kemudian mencabar mereka tetapi dia diserang dan dibelasah di muka dan jatuh menyebabkan kepalanya terhentak di lantai.

Dia koma dua minggu akibat kejadian itu dan kini berdepan dengan masalah hilang ingatan.

Baca Lagi...

BONGKAH AIS ANTARTIK MENGHALA KE NEW ZEALAND

WELLINGTON: Sekelompok bongkah ais terapung Antartik sedang menghala ke arah New Zealand selepas ditemui kira-kira 400 kilometer selatan negara itu, kata saintis semalam.

Bongkah ais terapung adalah pemandangan jarang dilihat di perairan sub-Antartik selatan New Zealand namun pada 2006, sejumlah ketulan itu terapung dalam lingkungan 25 kilometer dari garisan pantai, kejadian pertama seumpamanya sejak 1931.

Pakar lautan Mike Williams berkata, arus dan angin akan menentukan sama ada bongkah ais terbaru itu dianggarkan sehingga 80 meter panjang akan menghampiri garisan pantai New Zealand.

Bongkah ais itu ditemui oleh sebuah kapal pelancong Spirit of Enderby, berhampiran Pulau Auckland dan pemimpin ekspedisi Rodney Russ berkata ia adalah kali pertama dalam tempoh 37 tahun beliau melihat bongkah ais di kawasan itu dan bergerak 1.25 kilometer sejam ke arah utara.

Baca Lagi...

ISRAEL BERDEGIL BINA PETEMPATAN HARAM

BAITULMAQDIS - Israel semalam mempertahankan tindakan membina ratusan buah kediaman baru dengan merampas secara haram tanah penduduk Arab di timur Baitulmaqdis.

Penempatan Yahudi terbaru itu sekali gus menolak gesaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama yang memberi amaran langkah rejim itu berbahaya kepada usaha pelan damai.

Pembinaan penempatan haram itu, kata Obama dalam wawancara bersama dengan stesen televisyen AS, Fox News, akan mencetuskan perasaan marah di kalangan penduduk Palestin.

"Saya fikir pembinaan penempatan tambahan tidak menyumbang kepada keselamatan Israel.
Mempunyai foto percutian yang hebat? Bolehkah ia memenangi pertandingan foto ini?

"Saya berpendapat ia menyukarkan jalan perdamaian dengan jiran mereka," katanya.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Israel, Eli Yishai mempertahankan keputusan kementerian itu membina 900 buah rumah baru untuk pendatang Yahudi di timur Baitulmaqdis.

Kedegilan Israel mencetuskan kritikan meluas masyarakat antarabangsa namun rejim itu menganggap wilayah timur Baitulmaqdis itu bakal menjadi sebahagian daripada ibu negara baru Israel.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Palestin turut mahu menjadikan wilayah itu sebagai ibu negara.

"Membekukan penempatan di Gilo seperti cuba membekukan kawasan penempatan penduduk Yahudi lain di Baitulmaqdis.

"Ia tidak boleh ditangguh kerana Gilo terletak di dalam Baitulmaqdis," kata Yishai.

Baca Lagi...

MISTERI BATU BERGERAK DI GURUN AMERIKA SYARIKAT


LOS ANGELES - Beberapa batu besar ditemui saintis-saintis Amerika Syarikat (AS) telah bergerak di padang pasir Taman Negara Death Valley, lapor sebuah akhbar semalam.

Batu-batu itu yang ada mencecah sehingga 108 kilogram mencetuskan kebingungan di kalangan penyelidik kerana ia bergerak walaupun suhu panas setinggi 50 darjah Celsius.

Mereka mendapati, batu-batu di gurun yang terkenal di California itu dipercayai mampu 'mengembara' sejauh 320 meter setahun dan meninggalkan jejak laluan.

Saintis-saintis negara itu percaya, fenomena aneh tersebut disebabkan oleh keadaan cuaca spesifik yang datang bersama dengan tiupan angin kencang selaju 145 kilometer sejam.

Ia dipercayai berlaku akibat pembentukan ais pada waktu malam dan lapisan nipis tanah liat basah di permukaan gurun itu yang membantu menolak batu berat tersebut ke satu arah tertentu.

Jurugambar Mike Byrne, 40, mengambil masa bertahun-tahun untuk merakamkan foto-foto misteri pergerakan batu berat itu yang disifatkan sebagai kejadian amat pelik.

Dia berkata: "Beberapa batu itu mempunyai berat seperti seorang manusia.

"Adalah sesuatu yang amat ganjil untuk berimaginasi bahawa ia bergolek di gurun seperti ini.

"Batu itu bergolek di atas tanah dan saya tidak percaya terdapat seseorang yang melakukannya.

Baca Lagi...

KANAK-KANAK HILANG DITEMUI SEMULA


KUALA LUMPUR - Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang dilarikan pembantu rumah warga Indonesia kelmarin ditemui selamat di Stesen Komuter di Batu Tiga Shah Alam semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar berkata, Siti Nurdiana Aung Soe ditinggalkan di Stesen Komuter Batu Tiga pada pukul 6.30 petang semalam bersama seorang pekerja restoran wanita warga Indonesia.

"Pembantu rumah itu yang dikenali sebagai Suparmi, 50, telah meninggalkan mereka sebaik sampai di stesen komuter itu," kata beliau di sini semalam.

Menurut beliau, pekerja restoran itu telah menemankan Suparmi untuk mengembalikan Siti Nurdiana kepada keluarganya apabila dia menemui mereka di sebuah restoran di ibu negara.

"Suparmi telah membawa Siti Nurdiana ke sebuah restoran di Chow Kit.

Melihat Suparmi yang mencurigakan, pekerja restoran itu mempersoalkan siapakah kanak-kanak perempuan terbabit.

"Wanita itu kemudian mengaku budak itu anak majikannya sebelum pekerja restoran itu berjaya memujuk wanita itu untuk mengembalikan semula mangsa," katanya.

Zainal Rashid berkata, Suparmi kemudian meminta pekerja restoran itu menemaninya untuk menghantar kanak-kanak itu pulang di Shah Alam dengan menaiki komuter.

Baca Lagi...

HIDUP LELAKI,MATI WANITA


SEBERANG PRAI: “Saya tak boleh berkahwin sama ada sebagai suami atau isteri. Mengenai solat pula, saya boleh bersembahyang seperti lelaki dan perempuan, manakala solat Jumaat tidak diwajibkan.

“Dalam soal berpakaian pula, saya boleh pakai seperti lelaki atau perempuan tapi apabila meninggal dunia hendaklah dikebumikan mengikut jenazah perempuan Muslim,” jelas seorang khunsa mengenai dilema dihadapinya sejak enam tahun lalu.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Azli, 33, (gambar) berkata dilema itu dialami sejak menerima pengesahan status khunsa dari Jabatan Mufti Kedah 18 Ogos 2003.

Menurutnya, dia tidak mempertikai atau menolak pengesahan status khunsa berkenaan, namun wujud masalah setiap kali berhasrat melakukan sesuatu perkara.

Laporan itu turut mengesahkan Azli dari Kedah adalah khunsa musykil, bermaksud individu yang tidak diketahui langsung jantinanya disebabkan tiada sebarang tanda yang boleh diklasifikasikan lelaki atau perempuan.

“Apabila hendak bersolat sebagai lelaki, misalnya saya hendaklah di belakang saf kanak-kanak lelaki, tapi ada ketika saya perlu mengisi saf kosong di depan dan masalah timbul apabila ada orang menjadi makmum saya.

“Jika saya hendak bersembahyang sebagai perempuan pula, saya mempunyai nafsu lelaki begitu juga penampilan dan bagaimana pula jika saya bersentuhan dengan mereka.

“Disebabkan itu, saya jarang ke masjid malah solat Jumaat dan hari raya pun sudah 10 tahun saya tidak pergi disebabkan celaru identiti,” katanya.

Bukan itu saja, katanya, masalah identiti itu turut menyebabkan hidupnya tertekan sehingga terdetik di hatinya berhijrah ke luar negara akibat tidak mampu berdepan dugaan masyarakat.

“Ada rakan sekerja apabila mengetahui status saya mereka memanggil saya kakak. Lebih menyedihkan, ada pihak tidak bertanggungjawab yang tahu identiti diri saya ambil kesempatan seperti meraba.

“Ada juga minta nombor kad pengenalan bagi tujuan menikam nombor ekor,” katanya yang sedih dengan tanggapan masyarakat terhadap dirinya yang dilahirkan Allah dengan ciri ‘istimewa’.

Azli berkata, masalah itu bukan pertama kali dilalui dan dia semakin buntu mengenangkan nasib serta masa depannya.

“Saya bertukar kerja hampir 10 kali. Setiap kali saya minta kerja, saya ceritakan masalah sebenar supaya majikan faham kerana dalam kad pengenalan, nama dan jantina saya wanita, tetapi beridentiti lelaki.

“Namun, rahsia yang saya minta simpan itu sedikit demi sedikit terbongkar sehingga saya ambil keputusan berhenti. Tidak semua boleh terima keadaan saya dan bukan saya minta jadi begini sehingga diperlakukan sedemikian,” katanya.

Azli mengakui dia memiliki dua alat kelamin iaitu lelaki dan wanita selain ada ciri kedua-dua jantina berkenaan seperti mempunyai ovari, tetapi tumbuh bulu di dada, kaki, misai serta janggut.

Meskipun begitu, katanya, dia lebih cenderung ke arah lelaki apabila memiliki nafsu seperti lelaki normal yang meminati wanita.

“Saya tiada nafsu terhadap lelaki sebaliknya lebih meminati wanita. Nafsu saya membuak-buak malah saya boleh melakukan hubungan kelamin dengan mereka kerana alat kelamin lelaki saya boleh berfungsi meskipun tiada buah zakar.

“Selain itu, saya juga tiada payu dara seperti wanita lain sebaliknya di dada ditumbuhi bulu begitu juga kaki, misai dan janggut,” katanya.

Azli berkata, sebelum ini dia pernah menjalin hubungan dengan lima wanita, malah pernah merancang berkahwin, namun disebabkan statusnya sebagai khunsa musykil, dia tidak dibenarkan berbuat demikian.

“Sepanjang berkawan dengan lima wanita, mereka tahu identiti dan status saya malah tidak kisah.

“Ada yang sanggup menanggung risiko berkahwin dengan saya termasuk melakukannya di luar negara, tapi apabila saya fikir kembali, pelbagai masalah akan timbul seperti perkahwinan tidak boleh didaftarkan di sini, niat itu terpaksa dilupakan,” katanya.

Azli berkata, lesen memandunya tercatat nama wanita dengan gambarnya yang bertudung tetapi dalam kad pengenalan, dia berambut pendek seperti lelaki.

“Ada orang kata saya tomboi apabila melihat wajah saya dalam kad pengenalan dan luar sedangkan nama saya wanita tetapi saya tak kisah kerana saya tahu diri saya yang sebenar,” katanya.

Menurutnya, dia hanya mengetahui memiliki dua alat kelamin ketika usia 15 tahun apabila tidak datang haid seperti wanita lain kerana ketika itu dia berpakaian dan beridentiti wanita.

“Apabila tidak datang haid, saya berjumpa doktor sebelum disahkan ada dua alat kelamin. Sebelum itu, diri saya wanita apabila keluarga minta saya berpakaian wanita.

“Apabila dapat tahu ada dua alat kelamin, saya masih seperti wanita dan ketika usia 21 tahun, saya nekad berubah menjadi lelaki disebabkan naluri saya,” katanya yang pernah ditentang keluarga disebabkan tindakannya itu.

Menurutnya, sejak usia 21 tahun, dia berusaha mendapatkan status diri sama ada lelaki atau perempuan namun belum menemui jawapan hingga kini.

“Pada 2003, saya ke pejabat Mufti Kedah meluahkan masalah dihadapi dan diminta menemui pakar sebelum menjalani beberapa pemeriksaan perubatan di Hospital Alor Setar dan Hospital Universiti (kini Pusat Perubatan Universiti Malaya).

“Berdasarkan ujian, saya disahkan ada dua alat kelamin, namun doktor beritahu ovari saya tidak normal.

“Selepas ujian itu, Jabatan Mufti Kedah mengeluarkan surat menyatakan status saya dan sejak itu saya buntu memikirkan status diri sedangkan saya ada nafsu lelaki.

“Justeru, saya meminta pihak berkuasa mengeluarkan panduan khusus kepada golongan seperti saya supaya saya boleh hidup seperti orang lain,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Penyelidik Jabatan Mufti Kedah, Faridah Ahmad ketika dihubungi mengesahkan pihaknya mengeluarkan laporan pengesahan status khunsa musykil kepada Azli.

Katanya, ketika itu Azli membuat permohonan mengesahkan jantinanya untuk berkahwin, namun pihaknya meminta dia melakukan pemeriksaan pakar perubatan.

“Pada masa itu, Mufti Kedah, Datuk Sheikh Hasbillah Abd Halim, pakar sakit puan, ahli Jawatankuasa Fatwa, pemohon serta ibu bapanya hadir.

“Berdasarkan ujian doktor, alat kelamin lelaki dan perempuannya tidak berfungsi sepenuhnya. Disebabkan itu, pejabat mufti mengambil keputusan tidak membenarkannya berkahwin atas alasan matlamat perkahwinan tidak tercapai seperti tidak boleh mendapat zuriat.

“Sebagai lelaki, dia tiada air mani manakala sebagai perempuan pula rahimnya tidak normal,” katanya.

Baca Lagi...

PERAGUT WANITA TUMPAS

ALOR SETAR 18 Nov. - Taktik licik seorang wanita berusia 45 tahun yang meragut rantai seorang kanak-kanak gagal apabila dia ditahan oleh orang awam di pasar sehari di Kota Sarang Semut, dekat sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.15 pagi, suspek sebelum itu mengekori mangsa berusia tiga tahun bersama ibunya, Hamidah Ishak, 46, di pasar tersebut.

Hamidah berkata, ketika kejadian dia tidak menyedari rantai leher yang dipakai anaknya, Nur Afza Adlina Ibrahim telah direntap suspek itu.

"Saya hanya sedar apabila peniaga-peniaga di situ menahan suspek yang dikatakan telah meragut rantai anak saya," ujarnya yang ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, di sini semalam.

Menurutnya, beberapa peniaga di situ telah memerhatikan suspek setelah mengesyaki kegiatan wanita itu sebelum ini.

"Mereka memberitahu suspek dah ekori saya sejak dari awal saya tiba di pasar sehari ini.

"Pada mulanya, suspek berjalan menghampiri anak saya namun gagal meragut rantai tersebut pada cubaan kali pertama," ujarnya.

Selepas itu, katanya, suspek menghampiri anaknya buat kali kedua dan meragut sekali lagi rantainya.

"Mereka yang nampak suspek meragut rantai itu terus menahannya namun dia terus membuang rantai itu.

"Dia juga enggan mengaku dia yang mengambil rantai leher itu yang telah putus," katanya.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kota Setar, Deputi Supritendan Fiesal Libertus Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan suspek tersebut kini ditahan untuk siasatan lanjut.

Baca Lagi...

BANJIR:5 KAMPUNG SALAHKAN KERJA MENGOREK

BALIK PULAU 18 Nov. - Lima kampung membabitkan lebih 100 rumah dipenuhi lumpur ekoran banjir kilat yang melanda kawasan ini sejak kelmarin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Muhammad Farid Saad berkata, ia kejadian pertama dan beliau mendakwa ia disebabkan kerja mengorek yang dijalankan di sebuah kuari berdekatan.

Malah, dakwanya, kerja yang dilakukan di kuari terbabit tidak mendapat kelulusan mana-mana pihak.

"Belum pernah penduduk di lima kampung iaitu Titi Teras, Pondok Upeh, Kampung Terang, Pulau Betong dan Genting dilanda banjir lumpur begini, ini kali pertama.

"Kita percaya banjir ini disebabkan kerja mengorek kuari, jadi kerajaan negeri perlu prihatin dan memantau aktiviti seperti itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas melawat mangsa banjir di sini semalam.

Ekoran itu, kata Muhammad Farid, 18 laporan polis dibuat para penduduk kampung terbabit sekali gus mengharapkan pihak berkuasa akan mengambil tindakan sewajarnya.

Selepas melakukan lawatan di kawasan dilanda banjir, Muhammad Farid turut melawat satu projek perumahan terletak berhampiran Titi Teras yang didakwa dijalankan tanpa pengawasan sehingga mengganggu penduduk di situ.

"Kita dapat laporan bahawa pihak pemaju menjalankan kerja pembinaan sewenang-wenangnya tanpa mematuhi spesifikasi ditetapkan, ini merumitkan kehidupan penduduk di sini.

"Jika benar, perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana setiap pemaju perlu mematuhi pelan kawalan disediakan oleh konsultan berdaftar," ujar beliau.

Baca Lagi...

TIGA NEGARA KAGUM OPERASI KESELAMATAN BUNGA MAS 5

KUALA LUMPUR 19 Nov. — Tiga negara — Jepun, Korea Selatan dan Jerman — menyatakan hasrat untuk mendalami dan mengaplikasi kerjasama strategik Tentera Laut Diraja Malaysia Malaysia (TLDM) dan MISC Berhad (MISC) dalam mengawal keselamatan laluan dagang di perairan Teluk Aden, Somalia.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, perkongsian strategik antara dua pihak itu dalam operasi kapal bantuan pelbagai guna Bunga Mas 5 jelas menunjukkan negara sentiasa komited menghadapi konflik di perairan.

Beliau berkata, Menteri Pertahanan Jepun menyatakan hasratnya untuk mendalami dan mengikuti langkah perkongsian strategik yang digunapakai negara ini ketika pertemuan mereka pada September lepas.

Jerman pula menghantar surat dengan menyatakan minat yang sama, manakala Menteri Pertahanan dan Panglima Tentera Laut Korea Selatan turut melahirkan rasa kagum mereka, katanya.

"Ketiga-tiga negara memandang tinggi keupayaan Malaysia dalam mengendali kapal ”auxiliary” (pelbagai guna) dengan cara perkongsian strategik yang juga telah mengharumkan nama negara apabila ia dijadikan contoh komuniti maritim dunia,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan upacara Pemakaian Pangkat pegawai Pasukan Simpanan Sukarela TLDM (PSSTLDM) dari MISC di Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Baca Lagi...

ARAB SAUDI,AS KECAM ISRAEL


RIYADH: Arab Saudi semalam menyelar keputusan Israel untuk terus membina 900 rumah baru di timur Baitulmaqdis dan menganggapnya "halangan utama" dalam usaha menyambung semula rundingan damai di Asia Barat.

"Kami berpendapat pendudukan itu adalah halangan utama dalam usaha mencapai rundingan damai...terutama di timur Baitulmaqdis," kata jurucakap kementerian luar, Osama Nugali, apabila ditanya mengenai keputusan Israel untuk memperluaskan kawasan pendudukan Gilo di timur Baitulmaqdis.

"Kecuali ada langkah lebih pasti berhubung dasar berkenaan, adalah sukar untuk meneruskan usaha damai," kata Osama.

Arab Saudi sebagai kuasa serantau di Asia Barat tetap mahukan semua perluasan kawasan pendudukan Yahudi di Tebing Barat dibekukan sebelum ia sanggup membantu memulihkan rundingan damai antara Palestin dan Israel.

Sementara itu, di WASHINGTON, Amerika Syarikat menegur Tel Aviv selepas rejim Zionis itu meluluskan projek perumahan Yahudi di timur Baitulmaqdis itu.

"Kami dukacita dengan keputusan jawatankuasa perancangan untuk meneruskan dan membenarkan peluasan pembinaan di Gilo, di Baitulmaqdis.

"Ketika kami bertungkus-lumus untuk melancarkan semula rundingan, tindakan dilakukan Israel menyebabkan usaha kami menjadi lebih sukar," kata jurucakap Rumah Putih Robert Gibbs.

Tindakan rejim Zionis itu menjadi satu lagi tamparan kepada Palestin yang sebelum ini menggesa pembekuan sepenuhnya sebarang bentuk pembinaan sebelum pusingan baru rundingan boleh dibuat.

Ketika penduduk Palestin terus menerus dilanda kekecewaan berikutan kegagalan usaha damai dua hala dan mendapatkan sebuah negara sendiri, kedua-dua belah pihak terus 'renggang'.

Laporan media Israel menyatakan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu menolak rayuan Amerika untuk membekukan pembinaan di Gilo, tetapi tidak merujuk secara langsung mengenai projek terbaru itu.

Netanyahu menerima kecaman masyarakat antarabangsa kerana membenarkan pembinaan projek perumahan baru di wilayah yang menjadi perebutan kedua-dua belah pihak.

"Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon melahirkan rasa dukacita dengan keputusan Israel untuk meneruskan projek perumahan di Gilo, wilayah Palestin yang ditaklukinya dalam perang 1967," kata jurucakap Setiausaha Agung PBB itu.

Presiden Palestin Mahmud Abbas berkata kebuntuan itu menyebabkan beliau tidak mempunyai pilihan kecuali berusaha mendapatkan pengiktirafan antarabangsa untuk sebuah negara Palestin walaupun menimbulkan rasa tidak senang Eropah dan Amerika.

Baca Lagi...

174 KES TAUN DIREKODKAN SEHINGGA KINI


PUTRAJAYA: Kes taun yang mula dilapor di Kuala Terengganu 11 November lalu sehingga kini merekod 174 kes dengan satu kematian.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata sejumlah 116 kes dikesan daripada 451 kes cirit-birit yang mendapatkan rawatan di hospital, manakala 58 kes lagi dikesan dari 1,074 kontak terdekat kes kolera yang dilapor.

"Satu kes taun kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU)," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Ke-8 Majlis Keselamatan Makanan dan Pemakanan Kebangsaan di sini hari ini.

Liow berkata, penyakit itu berjangkit melalui makanan atau minuman yang tercemar dengan kuman taun kerana pengendalian makanan atau minuman yang tidak bersih.

Beliau berkata, sebagai langkah pencegahan dan kawalan penyakit itu, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu telah memeriksa 65 premis dan 12 premis telah ditutup termasuk lima kilang ais kerana tahap kebersihan yang tidak baik.

"Sebanyak 71 sampel air dan 50 sampel makanan diambil untuk ujian kuman, di mana 35 sampel didapati negatif kepada V.Cholerae manakala 86 lagi masih menunggu keputusan.

"Sejumlah 36 telaga telah diklorin dan 304 tandas dan tempat pembuangan sampah telah didisinfeksi," katanya.

Liow berkata, penularan taun kali ini juga membabitkan jenis yang berbeza kerana ia tidak dapat dirawat dengan menggunakan antibiotik yang biasa digunakan untuk merawat penyakit itu.

Bagaimanapun, penyakit itu masih boleh dirawat dengan menggunakan antibiotik lain, katanya.

Liow turut menggesa mereka yang mengalami tanda-tanda cirit-birit agar tidak mengambil mudah dan segera mendapatkan rawatan, kerana ia boleh menyebabkan dehidrasi, seterusnya mengakibatkan kerosakan pada buah pinggang.

"Orang ramai juga dinasihat supaya mengamalkan kebersihan diri yang baik, dan tidak melanggan atau makan di kedai atau gerai makanan yang diragui tahap kebersihannya," katanya.

Baca Lagi...

OBAMA HARGAI SUMBANGAN MALAYSIA KEKAL KEAMANAN SERANTAU

SINGAPURA: Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama, hari ini menyatakan penghargaan besar negaranya terhadap sumbangan Malaysia selama ini dalam memelihara keamanan dan keselamatan serantau.

Obama menyebut peranan yang dimainkan oleh Malaysia dalam menangani keganasan, sebagai orang tengah dalam menyelesaikan konflik di Selatan Filipina, menjaga keselamatan Selat Melaka dan membanteras penyeludupan manusia ke negara ketiga dalam mesyuarat antara Asean dan AS di Hotel Shangri-La di sini.

Perkara ini dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat itu yang diadakan Mesyuarat Pemimpin-pemimpin Ekonomi Asia Pasifik (AELM) di Istana.

Najib berkata, mesyuarat Asean-AS itu amat bersejarah kerana inilah kali pertama ia diadakan dan jelas AS berhasrat hendak mengadakan hubungan erat dan mendalam dengan Asean.

Katanya, Obama menyatakan beliau berhasrat untuk meningkatkan hubungan dengan Asean melalui pelbagai kerjasama termasuk perdagangan, pelaburan, teknologi, pendidikan, pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris serta meneruskan program "Peace Corp".

Perdana Menteri berkata, Vietnam, yang akan menjadi pengerusi Asean tahun depan, turut menyuarakan hasratnya supaya mesyuarat pemimpin Asean dengan Presiden AS itu dijadikan sebagai acara tahunan.

Katanya, Obama hendak berhubungan rapat dengan Asean dan mahukan Asean menjadi satu rantau ekonomi yang terbuka.

"Kerajaan AS ingin mengadakan dailog dengan negara Islam dan Obama meminta Malaysia membantunya dalam proses mengadakan dailog antara agama.

"Obama juga menyatakan AS akan berusaha menyelesaikan proses perdamaian di Timur Tengah walau bagaimana susah sekali pun," katanya yang menganggap itu satu permulaan baik untuk dunia Islam.

Mengenai isu Myanmar yang turut disentuh dalam mesyuarat Asean-AS itu, Najib berkata Obama ada menyatakan keinginannya untuk melihat proses pencapaian demokrasi dan pembebasan pemimpin pembangkang Aung Sang Suu Kyi berlaku di negara anggota Asean itu.

Katanya, Myanmar tidak memberikan apa-apa respon ketika soal pembebasan Suu Kyi dibangkitkan oleh Obama tetapi negara itu menyatakan ia mengalu-alukan dasar berhubungan baik AS.

Ditanya pendirian Obama mengenai perdagangan bebas, Perdana Menteri berkata walaupun jelas presiden AS itu menghadapi tekanan di negaranya supaya melindungi pasarannya, nada Obama menunjukkan beliau menolak perlindungan dan lebih menerima perdagangan bebas.

Najib berkata, pendekatan Obama mungkin berlainan tetapi prinsip perdagangan bebasnya tetap sama dan beliau memberi komitmen dalam hal itu.

Selepas sidangan media itu, Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, mengambil kesempatan menziarahi Sultan Kelantan yang sedang mendapatkan rawatan di Hospital Mount Elizabeth sejak beberapa bulan lalu, sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur selepas berada di Singapura selama empat hari.

Baca Lagi...

KANAK-KANAK DIHANYUT ARUS DITEMUI MATI

PADANG BESAR: Kanak-kanak berusia 12 tahun yang dilaporkan hilang selepas dihanyut arus deras ketika bermain air di Sungai Santan, petang kelmarin, ditemui mati pagi semalam selepas hampir 15 jam operasi mencari dan menyelamat dijalankan.

Mayat mangsa, Wan Nor Diana Wan Selamat yang menunggu keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), ditemui jam 9.30 pagi dalam keadaan terapung di kawasan Padang Jejawi, dekat sini, kira-kira 10 kilometer (km) dari lokasi dia dilaporkan hilang, petang kelmarin.

Difahamkan, mayat mangsa ditemui Bilal Masjid Santan, Ku Seman Ku Ibrahim, ketika memukat ikan di sungai terbabit dan dimaklumkan kepada penduduk kampung.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Che Man Md Dros, ketika dihubungi semalam, mengesahkan penemuan mayat mangsa itu.

“Mayat mangsa ditemui dalam keadaan terapung sebelum berjaya dikeluarkan dengan bantuan penduduk kampung. Mayat kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga bagi tujuan pengebumian,” katanya.

Dalam kejadian kelmarin, Wan Nor Diana dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras, sebaik tergelincir ke dalam Sungai Santan.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan menemani tiga rakannya yang lain bermain air di sungai terbabit yang terletak kira-kira 1.5 km dari rumahnya pada jam 5.30 petang.

Sehubungan itu, gerakan mencari dan menyelamatkan mangsa segera dijalankan dengan bantuan Unit Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat. Bagaimanapun, mangsa gagal dikesan.

Sementara itu, bapa mangsa, Wan Selamat Wan Ibrahim, 43, berkata dia langsung tidak menyangka anaknya itu menuju ke sungai, kerana dia dimaklumkan Wan Nor Diana keluar bersama rakan untuk bermain.

“Dia tidak pandai berenang, Justeru, saya percaya dia tidak akan berani untuk bermain di sungai terbabit.

“Apa pun, takdir sudah menetapkan ajal anak perempuan saya di sungai berkenaan dan saya reda," katanya ketika ditemui di bilik mayat HTF semalam.

Hadiah sama menziarahi mangsa di bilik mayat, Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Seri Azmi Khalid; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Santan, Sabry Ahmad dan Setiausaha Politik Menteri Besar Perlis, Azali Abas.

Baca Lagi...

SELANGOR MASIH CATAT KES DENGGI TERTINGGI

KUALA LUMPUR: Selangor masih mencatatkan kes denggi paling banyak di seluruh negara walaupun jumlahnya menurun berbanding tahun lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata kes di Selangor merangkumi 40 peratus daripada keseluruhan kes tahun lalu dan setakat minggu pertama bulan ini.

“Selangor mempunyai sembilan kawasan panas denggi dan dua daripada sembilan daerah ini adalah di Hulu Langat. Sebahagian kawasan ini mengalami wabak denggi yang berlarutan lebih dua bulan,” katanya selepas merasmikan Kempen Anti Aedes Sara Lee-Tesco di sini, semalam.

Bagi tahun lalu, Selangor mencatatkan sejumlah 21,262 kes dengan empat kematian, iaitu 43 peratus daripada 49,335 kes demam denggi di seluruh Malaysia. Sementara sehingga minggu pertama November 2009, 16,591 kes dicatatkan di Selangor.

Liow berkata, denggi sukar dibendung jika orang ramai bersikap sambil lewa dalam menjaga kebersihan kediaman dan kawasan persekitarannya.

Baca Lagi...

'STRATEGI JIHAD CINTA TIDAK WUJUD'


KAHERAH: Polis India menafikan tuduhan penduduk Hindu bahawa masyarakat Muslim di negara itu menggunakan percintaan sebagai cara berjihad menarik mereka memeluk agama baru.

“Banyak pertubuhan Muslim menafikan sekeras-kerasnya wujud jihad cinta,” kata polis dalam satu laporan, kelmarin.

“Mereka kata jika seorang wanita Hindu dewasa memutuskan untuk mengahwini lelaki Muslim, tiada apa yang boleh dilakukan untuk menyekatnya. Itu bukan perkara baru dalam isu perkahwinan berlainan agama,” kata laporan itu lagi.

Perkara itu berbangkit selepas seorang lelaki Hindu menuduh belia Muslim memaksa anak perempuannya memeluk Islam sebagai syarat untuk berkahwin.

Isu itu mendapat liputan meluas di negara majoriti penduduk Hindu itu dengan media tempatan menggelarnya ‘jihad cinta.’

Bagaimanapun, wanita terbabit, Siljaraj menafikan laporan dia dipaksa suaminya memeluk Islam.

“Jihad cinta tidak wujud. Saya mengahwininya dengan sukarela,” kata Siljaraj kepada wartawan di luar mahkamah tinggi Karnataka.

Kes itu menyebabkan masyarakat Muslim India menuduh media dan pihak berkuasa sengaja memperbesar-besarkan perkara tidak benar mengenai Islam.

T Arifali, pemimpin Jamat e-Islami di Kerala, mendesak media tidak menyebarkan maklumat salah mengenai penduduk Muslim India.

Katanya, jihad bermaksud berjuang melawan ‘maksiat’ dan tidak ada kena mengena dengan cinta.

“Kini ada cubaan untuk menghina perkataan jihad itu sendiri dengan menyamakannya dengan cinta sedangkan Islam tidak menggalakkannya. Itulah tujuan cubaan yang disengajakan ini,” katanya.

Jihad adalah antara konsep dalam Islam yang sering disalah tafsirkan oleh kalangan bukan Islam, lapor Islam Online.

Baca Lagi...

WARGA AFRIKA BANJIRI MALAYSIA

KUALA LUMPUR 15 Nov. – Sudah berulang kali desakan dibuat agar masalah kebanjiran pendatang asing warga Afrika ditangani segera.

Walaupun pelbagai tindakan diambil pihak penguat kuasa namun kehadiran mereka bukannya berkurangan malah semakin bertambah saban hari.

Kebimbangan masyarakat di negara ini juga sudah banyak kali diluahkan di dada-dada akhbar mengenai kehadiran warga Afrika yang semakin ramai dan lebih dikenali sebagai ‘Awang Hitam’ di negara ini, namun ia seolah-olah tidak memberi kesan.

Akibatnya, satu demi satu masalah dan perlakuan jenayah membabitkan warga Afrika diselongkar.

Insiden terbaru yang mencetuskan kebimbangan rakyat Malaysia ialah seorang lelaki Sudan yang dituduh membunuh anak perempuan kekasihnya yang berusia tiga tahun, Aaliyah Ayman Hussin Abdullah di sebuah kondominium di Hulu Langat pada 12 Oktober lalu.

Perangkaan dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen mendapati dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, seramai 56,240 warga Afrika memasuki negara ini secara sah.

Kemasukan pelawat dari Afrika Selatan mengatasi negara-negara Afrika yang lain dengan 20 peratus dari keseluruhan daftar kemasukan.

Perangkaan yang sama, sepanjang tahun lalu menyaksikan 110,805 warga Afrika memasuki Malaysia manakala 81 peratus daripada mereka merekodkan aliran keluar semula dari negara dalam tempoh berkenaan.

Dalam pada itu, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, Jabatan Imigresen telah mengambil tindakan undang-undang ke atas 128 warga Afrika atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Kesalahan itu termasuk tamat tempoh permit, terlibat dalam aktiviti pelacuran dan pemalsuan dokumen.

Daripada jumlah itu, 48 peratus kesalahan adalah dilakukan oleh warga Nigeria diikuti Sudan dengan 18 peratus dan Somalia (13 peratus).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin turut menyatakan kebimbangannya dengan kebanjiran warga Afrika yang bertumpu di beberapa lokasi terpilih di ibu negara seperti Puchong, Seri Kembangan, Ampang, Kepong dan Pandan Indah.

Ketika diminta mengulas mengenai senario itu, pemimpin nombor satu Jabatan Siasatan Jenayah itu berkata, situasi tersebut ekoran wujudnya persepsi kononnya mereka akan berada di ruang lingkup yang ‘selesa’ jika berada di kawasan dipenuhi kaum mereka.

“Jadi ia akan mendorong serta cenderung untuk melakukan jenayah disebabkan memikirkan mereka ‘raja’ di kawasan itu,” katanya di sini hari ini.

Tegasnya, polis sentiasa memantau pergerakan mereka termasuk meletakkan anggota polis berpakaian preman terutama di kawasan-kawasan yang menjadi lokasi tumpuan golongan itu.

Beliau menambah, sekiranya dilihat pada trend terkini, warga Afrika kebanyakannya memasuki negara menggunakan pas pelajar.

“Bila sampai sini, mereka tak belajar sebaliknya melakukan jenayah. Pas sebagai pelajar khususnya di institusi pengajian tinggi (IPT) kebanyakannya swasta itu hanyalah sebagai tiket untuk mereka memasuki Malaysia,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau tidak menolak kemungkinan mereka menyamun kaum mereka sendiri. Bagaimanapun, mangsa mungkin tidak mendedahkan atau membuat laporan kerana khuatir keselamatan disebabkan mereka senang dikesan di kalangan sesama kaum.

Apa yang membimbangkan serta menimbulkan rasa kurang selesa di kalangan orang ramai, kata Mohd. Bakri, adalah gelagat mereka yang gemar berkumpul secara beramai-ramai di kawasan-kawasan tumpuan ramai.

“Berdasarkan perangkaan, kebanyakan daripada mereka dilihat terlibat dalam kegiatan pemalsuan wang, dadah, penipuan dan curi,” ujarnya.

Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, kata Mohd. Bakri, seramai 21 warga Afrika ditahan kerana terlibat dalam pelbagai kesalahan jenayah.

Menurutnya, 76 peratus daripada kesalahan yang dilakukan adalah mencuri, diikuti pecah rumah, samun berkawan tanpa senjata dan mendatangkan kecederaan.

Berdasarkan perangkaan sepanjang tahun lalu, beliau berkata, jenayah curi membabitkan warga Afrika masih mengatasi kesalahan lain dengan 54 peratus, diikuti samun berkawan tanpa bersenjata, pecah rumah, mendatangkan kecederaan dan bunuh.

Beliau berkata, trend terkini juga memperlihatkan penglibatan mereka dalam kes-kes pecah hotel.

Dalam pada itu Mohd. Bakri mengakui warga Afrika memang cukup pandai untuk memikat wanita tempatan dengan menggunakan pujuk rayu sebagai senjata utama mereka.

“Wanita kita (Malaysia) pula senang terpedaya dengan kata-kata manis tanpa menyedari agenda mereka di sebalik itu,” jelasnya.

Malah, lebih menyedihkan kata beliau, ada wanita tempatan yang sanggup merelakan diri mereka dicabul dan dirogol.

Sehubungan itu, beliau meminta, gadis-gadis tempatan supaya mengambil iktibar dan tidak mudah terjerumus untuk melakukan perbuatan-perbuatan terkutuk dan salah di sisi undang-undang.

Baca Lagi...

SWASTA DIMINTA BANTU TABIKA KEMAS

PULAU PINANG 15 Nov. - Sektor swasta diminta tampil memberi sokongan bagi membantu kerajaan membangunkan modal insan yang berkualiti di negara ini terutama di peringkat prasekolah.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hasan Malek berkata, pendidikan prasekolah antara komponen yang penting dalam sistem pendidikan negara pada masa kini.

Katanya, melalui pendidikan tahap itu, nilai-nilai murni akan dapat disemai ke dalam diri anak-anak.

''Kita semua sedar, anak-anak ini akan menjadi pewaris kepimpinan negara satu masa nanti. Justeru mereka ini tidak boleh kita mempersia-siakan.

''Janganlah hanya mengharapkan kerajaan. Sektor swasta digesa sama-sama membantu. Bantuan boleh dilakukan dalam pelbagai cara termasuk menyediakan premis untuk Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) selain membantu menghulurkan bantuan kewangan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Tabika Kemas kawasan Bayan Baru.

Jelas Hasan, peranan sektor swasta juga amat diperlukan terutama di negeri-negeri yang dikenalpasti sukar mendapatkan tempat untuk diadakan Tabika Kemas kerana kekurangan tanah atau akibat pelbagai masalah lain

Baca Lagi...

IRAN TUBUH UNIT JENAYAH INTERNET

TEHERAN 15 Nov. – Iran mewujudkan satu unit polis yang berperanan menghapuskan laman-laman web politik dan mendakwa pihak yang dianggap menyebarkan penipuan, lapor media Iran semalam.

Tindakan itu dilihat sebagai salah satu langkah yang bertujuan menyekat pihak pembangkang daripada meneruskan kempen mereka.

Kebanyakan laman web pembangkang telah diharamkan, namun penubuhan unit dengan 12 anggota polis yang akan melaporkan dakwaan kepada pejabat pendakwa itu, jelas bertujuan memberi tamparan lebih hebat kepada pergerakan yang enggan menerima pemilihan semula Presiden Mahmoud Ahmadinejad pada Jun lalu.

“Pihak berkuasa sedar Internet merupakan satu daripada saluran terhad bagi pembangkang dalam memastikan suara mereka didengar. Mereka mahu mendiamkan suara pembangkang,’’ kata seorang pemberita, Akbar Montajabi, yang menyifatkan langkah itu sebagai sekatan terbaru yang dikenakan kepada media di negara berkenaan.

Kolonel Polis, Mehrdad Omidi yang diberi tanggungjawab mengetuai unit jenayah Internet itu berkata, unit baru itu akan mencari pesalah yang ‘menghina dan menyebarkan penipuan’, satu istilah meluas yang digunakan badan kehakiman bagi menerangkan aktiviti-aktiviti pembangkang.

“Memandangkan penggunaan Internet yang meluas, polis terpaksa berdepan dengan jenayah yang berlaku di laman-laman web.

“Sebuah jawatankuasa khas telah ditubuhkan bagi mengawasi Internet dan menguruskan jenayah seperti penipuan, penghinaan dan penyebaran penipuan,’’ katanya seperti yang dipetik laporan berita tempatan.

Pihak berkuasa Iran telah mengharamkan kebanyakan laman web berkaitan pembangkang Iran atau yang mengandungi artikel menyokong pergerakan reformasi. Bagaimanapun, pembangkang terus mencipta laman web baru dalam masa beberapa hari selepas laman web lama disekat.

Pembangkang juga tidak boleh mengakses media kerajaan dan hanya menyebarkan mesej-mesejnya secara meluas melalui Internet.

Akhbar-akhbar di Iran juga diberi amaran dari semasa ke semasa agar tidak menyiarkan artikel yang menyokong pemimpin pembangkang.

Radio dan televisyen Iran dikawal secara langsung oleh pemimpin tertinggi negara itu, Ayatollah Ali Khamenei, yang sangat menyokong pemilihan semula Ahmadinejad.

Baca Lagi...

15 MAUT SERANGAN BOM TERBARU

PESHAWAR 15 Nov. - Seorang pengebom berani mati meletupkan kereta yang dipandunya di sebuah pos pemeriksaan polis dekat barat laut Pakistan semalam, mengorbankan 15 orang termasuk empat kanak-kanak dalam gelombang terbaru serangan militan yang telah membunuh lebih 300 nyawa bulan lalu.

Seorang pegawai polis yang bertugas di lokasi kejadian semalam, Malik Jehangir berkata, satu letupan kuat kedengaran berpunca daripada sebuah kereta.

Ketua Polis Peshawar, Liaqat Ali Khan berkata, 15 mangsa termasuk dua pegawai polis maut dalam kejadian itu.

Turut maut katanya ialah empat kanak-kanak dan seorang wanita, sementara 25 yang lain dilaporkan cedera.

Menurut seorang pegawai kerajaan, Sahibzada Mohammad Anis, kawalan keselamatan keluar masuk di sekitar Peshawar telah dipertingkat selepas insiden berlaku.
Mempunyai foto percutian yang hebat? Bolehkah ia memenangi pertandingan foto ini?

Katanya, anggota polis telah ditempatkan di semua pintu masuk ke bandar ini bagi memeriksa semua kenderaan.

Seorang komander Taliban mengaku bertanggungjawab terhadap serangan semalam dan satu lagi serangan berasingan ke atas sebuah balai polis juga pada hari yang sama di daerah Bannu. Dia turut berjanji keganasan akan diteruskan.

"Pengebom-pengebom berani mati dilatih oleh saya dan saya mempunyai lebih ramai sukarelawan untuk melaksanakan serangan,'' kata Qari Hussain Mehsud kepada seorang pemberita AP melalui telefon.

Insiden semalam di pinggir bandar Peshawar itu, menjelaskan lagi status bandar itu sebagai sasaran utama militan dalam cubaan memaksa tentera menghentikan serangan terhadap kumpulan mereka yang dilancarkan bulan lalu di sempadan wilayah Waziristan Selatan, di mana pemimpin al-Qaeda dan Taliban dipercayai bersembunyi.

Serangan yang dilakukan pada minggu lalu sahaja telah mengorbankan lebih 50 orang di bandar ini, termasuk 10 di pejabat wilayah agensi perisikan utama Pakistan yang dibom Jumaat lalu.

Baca Lagi...

SINGGAH DI BALAI POLIS UNTUK BERITAHU NIAT BUNUH RAKAN SEBELUM DITEMBAK MATI

KANGAR,16 NOVEMBER 2009 - Seorang peniaga makanan mengamuk hampir tiga jam sebelum ditembak mati pagi semalam gara-gara terlalu marah akibat ditinggalkan oleh kenalan lamanya di Alor Setar sehingga terpaksa berjalan kaki pulang sejauh 50 kilometer ke Arau awal pagi semalam.


Muhammad Taufik Noorizan, 21, pada mulanya mengikut rakannya itu yang hanya dikenali sebagai Rashidi dan bekerja sebagai kontraktor ke Alor Setar dengan tujuan untuk minum pada pukul 10 malam kelmarin.

Namun mereka dipercayai berselisih faham dan akibatnya, Muhammad Taufik yang tidak mempunyai wang terpaksa berjalan kaki pulang.

Sebaik sampai di rumahnya pada pukul 6 pagi semalam, dia naik angin dan keluar semula sebelum membelasah rakannya itu dengan kayu dan besi di rumah mangsa dekat Pusat Khidmat Wakil Rakyat Guar Sanji, kira-kira tiga kilometer dari situ.

Baca Lagi...

CAMPAK ANAK DALAM PERIGI



KUALA TERENGGANU ,12 NOVEMBER 2009: Seorang bayi perempuan berusia dua bulan nyaris bersemadi dalam sebuah perigi selepas dicampakkan ibu kandungnya sendiri ke dalam telaga berkenaan berhampiran rumahnya di Kampung Pengkalan Arang, Batu Enam di sini, kelmarin.

Bagaimanapun, ajal belum menjemput bayi berkenaan apabila dia tidak tenggelam dalam perigi berisi air sedalam enam meter berkenaan, sebaliknya terapung di permukaan sambil bertarung dengan maut sejurus dibuang kira-kira jam 5 petang.

Malah, keajaiban Tuhan terhadap bayi yang tidak berdosa itu menyelamatkannya apabila dia sempat diselamatkan datuknya, Raja Ibrahim Raja Ali, 64, yang menyedari perbuatan ibu berusia 26 tahun itu.

Terkejut dengan perbuatan anak perempuannya, warga emas berkenaan yang tidak sanggup melihat cucu keempatnya terkapai-kapai dalam perigi, nekad turun ke dalam telaga berkenaan dengan hanya berpaut pada dindingnya.

Tindakan itu diambil kerana warga emas berkenaan tidak sanggup melihat bayi tidak berdosa itu terkapai-kapai dalam perigi walaupun menyedari tindakannya itu membahayakan diri jika pautan pada dinding perigi berkenaan terlepas.

Nenek bayi berkenaan, Hasnah Mat Ali, 50, berkata sebelum kejadian, wanita berkenaan yang juga anak angkatnya yang tinggal di rumah sewa berhampiran memberitahu dia geram melihat bayi berkenaan.

Katanya, bimbang kejadian tidak diingini berlaku selepas anaknya yang menghidap penyakit meroyan itu melakukan sesuatu terhadap cucunya, dia cuba menenangkan perasaan wanita berkenaan dan menyuruhnya bersabar.

Bagaimanapun, kebimbangan warga emas itu menjadi kenyataan apabila anaknya yang menghadapi tekanan perasaan mencampakkan bayinya ke dalam perigi berkenaan.

“Mujur saya sedar dan segera mengejutkan suami yang ketika itu sedang tidur. Tanpa berlengah, suami turun ke dalam perigi dengan berpaut pada dinding sebelum mencapai bayi berkenaan yang terapung di permukaan air yang jaraknya lebih satu meter dari muka perigi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Sementara itu, sumber polis berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu selepas menerima panggilan kecemasan daripada datuk bayi berkenaan jam 5 petang sebelum bergegas ke tempat kejadian.

“Ketika diselamatkan, muka bayi berkenaan yang hanya memakai lampin pakai buang kebiru-biruan dipercayai kesejukan selepas dibuang ke dalam perigi berkenaan.

“Bagaimanapun, bayi berkenaan sihat dan polis segera mengarahkannya dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Siasatan awal polis mendapati wanita berkenaan bertindak demikian kerana dipercayai menghadapi tekanan perasaan dan meroyan selepas melahirkan anak ketiga.

Katanya, ketika kejadian, wanita berkenaan turut mengakui tidak menyedari perbuatannya mencampakkan bayinya ke dalam perigi berkenaan.

“Ketika kejadian suami wanita itu tiada di rumah kerana bertugas di sebuah kilang di Kuantan dan siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya.

Baca Lagi...

KAHERAH KAWAL KETAT PANTAI LAUT MERAH

KAHERAH-12 NOVEMBER 2009: Arab Saudi mengenakan sekatan di pesisiran pantai Laut Merah di utara Yaman bagi menghalang pemberontak Syiah daripada memperoleh bantuan senjata dan pejuang di sepanjang sempadannya, kata seorang penasihat kerajaan Arab Saudi kelmarin.

Iran, golongan Syiah yang terbesar di Asia Barat, memberi amaran kepada negara jirannya agar tidak masuk campur dalam hal ehwal dalaman Yaman, yang dengan jelasnya dirujukkan kepada golongan Sunnah Arab Saudi.

Yaman dan Arab Saudi juga menuduh Iran menghantar wang dan senjata kepada pemberontak berkenaan bagi tujuan melawan pasukan keselamatan kerajaan. Iran menafikan tuduhan itu.

"Kami dengan seriusnya meminta negara serantau, terutama negara jiran agar tidak masuk campur dalam isu dalaman Yaman dan sebaliknya cuba memulihkan kestabilan di Yaman," tegas Menteri Luar Iran, Manochehr Mottaki.

Arab Saudi melancarkan serangan darat dan udara terhadap pemberontak Yaman minggu lalu. Pertempuran itu menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan berlaku satu lagi peperangan proksi di Asia Barat di antara Iran dan Arab Saudi, kata sekutu Amerika Syarikat.

Yaman terbabit dalam konflik lima tahun dengan pemberontak Syiah di utara wilayah Saada di sempadan Arab Saudi. Puak Syiah menuduh pihak berkuasa mengabaikan keperluan mereka dan bersekutu dengan golongan fundamentalis Sunni.

Pertempuran menjadi bertambah hebat sejak Ogos lalu, menyebabkan beribu-ribu orang kehilangan tempat tinggal dan mengehadkan capaian mereka kepada bantuan kemanusiaan.

Sekatan Saudi adalah perkembangan terbaru dalam pertempuran di negara miskin berkenaan di hujung selatan semenanjung Arab.

Seorang penasihat kerajaan Saudi berkata kapal perang negara berkenaan diarah menggeledah mana-mana kapal yang disyaki berlayar berhampiran pantai Yaman, bagi mencari senjata atau pejuang yang dihantar bagi membantu pemberontak berkenaan.

Baca Lagi...

GRADUAN UKM BUNUH TEMAN WANITA KE TALI GANTUNG




SHAH ALAM: Graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Irawadi Mohammad, dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam, selepas didapati bersalah membunuh teman wanitanya, Norzi Ayu Md Noor, lima tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Yazid Mustafa, menjatuhkan hukuman itu setelah mendapati tertuduh yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan, gagal membuktikan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Irawadi, 28, graduan jurusan Ekonomi dan Perniagaan, dituduh membunuh Norzi Ayu, 27, di rumah sewa mangsa di No 2-1-6 Blok ST12, Pangsapuri Sri Tanjung, Jalan 7/1D, Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, di antara jam 3.30 petang dan 5 petang pada 26 Julai 2004.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sepanjang perbicaraan yang bermula pada Oktober 2005, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Roslan Abu Bakar memanggil 18 saksi, manakala pihak pembelaan yang diwakili peguam Imran Hadzalie Abdul Hamid mengemukakan seorang saksi.

Ahli keluarga Irawadi segera mengerumuninya selepas prosiding selesai, manakala tertuduh kelihatan sebak ketika dibawa semula ke lokap mahkamah.

Dalam penghakimannya, Mohd Yazid berkata, mahkamah mendapati pembelaan hanya menumpukan satu isu, iaitu tertuduh tidak mempunyai niat untuk membunuh Norzi Ayu - seorang pegawai penyelidik di Institut Penyelidikan Perubatan Malaysia, Kuala Lumpur.

"Tertuduh memberi keterangan bahawa dia tertikam si mati ketika si mati cuba menghalang tertuduh keluar (dari bilik) untuk bertemu SP4 (saksi pendakwaan keempat), pengawal keselamatan di UKM, Azman Mat Zain, 37. Keterangan tertuduh jelas bercanggah dengan keterangan saksi," katanya.

Beliau berkata, tingkah laku tertuduh melarikan diri dengan pisau yang telah menikam mangsa jelas menunjukkan dia ada niat membunuh mangsa.

Mohd Yazid juga berkata, ada enam perkara dibangkitkan dalam kes pendakwaan yang tidak disangkal di peringkat pembelaan.

"Mahkamah mendapati berdasarkan keterangan saksi keempat, hubungan tertuduh dan mangsa tidak baik beberapa bulan sebelum kejadian dan mangsa juga ada memberitahu saksi keempat bahawa dia sudah mempunyai kekasih lain dan akan bertunang, jelas tidak dicabar oleh peguam bela tertuduh," katanya.

Selain itu, katanya, keterangan Azman yang juga guru silat mangsa bahawa dia memasuki bilik Norzi Ayu dan mendapati tertuduh sedang merangkul mangsa dengan tangannya memegang pisau, tidak disangkal pada peringkat pembelaan.

"Keterangan saksi sama yang dia mengetuk pintu rumah mangsa selama setengah jam, juga tidak disangkal pembelaan," katanya.

Beliau berkata, pembelaan turut tidak menyangkal keterangan Azman bahawa selepas berlaku pertelingkahan selama setengah jam, Norzi Ayu dapat melepaskan diri dan masuk ke biliknya dengan diikuti tertuduh.

"Selepas masuk ke dalam bilik, tertuduh berada dalam bilik bersama mangsa dalam tempoh lima hingga 10 minit, juga tidak dipertikaikan.

"Dalam tempoh lima hingga 10 minit apabila SP4 menemui kunci, buka pintu dan nampak tertuduh terlentang dengan pisau berlumuran darah serta si mati terbaring di atas katil dalam keadaan tertiarap juga tidak dipertikaikan pembelaan," katanya.

Mohd Yazid berkata, beliau turut meneliti keterangan saksi ke-16 pendakwaan, iaitu Pakar Perunding Patologi Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Dr Khairul Azman Ibrahim, yang mengesahkan mangsa mengalami lima kecederaan termasuk di pembuluh darah utama di tengah abdomen.

"Kesan kecederaan ini, luka bocor yang agak berat, iaitu 1.5 sentimeter (sm) dengan kedalaman enam sm. Mengikut keterangan ahli patologi, kematian itu disebabkan luka dalaman yang (terhasil) dengan menggunakan satu senjata panjang yang sampai ke tempat luka," katanya.

Mohd Yazid berkata, berdasarkan kesan luka dan kesan lebam pudar pada beberapa bahagian tubuh Norzi Ayu, beliau menolak keterangan tertuduh bahawa dia tercucuk mangsa ketika bergelut.

Baca Lagi...

SEBERANG PERAI PULA DILANDA BANJIR

TASEK GELUGOR 11 Nov. – Selepas beberapa daerah di Kedah dan Perlis dilanda banjir sejak kelmarin, kawasan sekitar Seberang Perai pula dinaiki air hari ini ekoran hujan lebat sejak petang semalam.

Paling terjejas kawasan sekitar Seberang Perai Utara (SPU) termasuk di Kampung Paya Tok Akil, Kampung Desapuri dan Tepi Sungai di sini selain Kampung Kota Aur, Bumbung Lima serta Rantau Panjang di Kepala Batas.

Seberang Perai Tengah (SPT) iaitu daerah yang sering dilanda banjir bagaimanapun dilaporkan masih selamat daripada bencana itu, tetapi penduduknya dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya cuaca semakin buruk.

Di Kampung Paya Tok Akil, 17 buah rumah ditenggelami air sejak awal pagi semalam sehingga memaksa 70 orang penduduk dipindahkan ke dewan penempatan banjir kampung tersebut.

Selain itu, sembilan buah rumah di Kampung Desapuri dan 15 di Kampung Tepi Sungai dinaiki air sejak awal pagi ini tetapi keadaan dilaporkan semakin pulih.

Banjir di beberapa tempat di SPU dipercayai berlaku ekoran limpahan air Sungai Jarak dan Sungai Muda yang membawa bersama aliran deras banjir di kawasan kejiranan di sekitar negeri Kedah sejak kelmarin.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula memaklumkan kejadian banjir berlaku selepas beberapa pintu air milik jabatan itu dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dibuka ekoran paras air sungai yang semakin meningkat.

Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Simpang Tiga, Ibrahim Nordin berkata, banjir di Kampung Paya Tok Akil adalah yang terburuk selepas perkampungan itu dilanda musibah yang sama pada 2003.

‘‘Sehingga pukul 3 petang ini, penduduk yang dipindahkan masih berada di pusat pemindahan dan jika cuaca semakin baik, mereka boleh balik ke rumah masing-masing malam ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Ibrahim berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menyampaikan bantuan selimut dan tikar kepada mangsa selain bantuan kilat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Selain itu, wakil dari Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Berangan, Shahbudin Yahya dan ADUN Sungai Dua, Datuk Jasmin Mohamed juga turun padang meninjau perkembangan banjir di kawasan terbabit.

Sementara itu, seorang mangsa, Ruslan Che Ros, 38, memberitahu, rumahnya mula dinaiki air kira-kira pukul 4.30 pagi ini apabila air Sungai Jarak melimpah berikutan tindakan JPS lewat melepaskan air tebatan yang penuh.

‘‘Tapi kami bersyukur kerana banjir nampaknya mula surut dan kami berharap dapat pulang semula ke rumah secepat mungkin,” tambahnya.

Baca Lagi...

SPRM NAFI SAMBIL LEWA SIASAT SALAH GUNA KUASA DI SARAWAK

KUCHING 11 Nov. — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih belum dapat menyelesaikan siasatan kes salah guna kuasa dalam pengagihan dana pembangunan khas berikutan kesukaran mendapat kenyataan daripada Anggota Parlimen Bandar Kuching Chong Chieng Jen.

"Tindakan siasatan telah dijalankan dengan segera, namun SPRM menghadapi kesukaran untuk melengkapkan siasatan terhadap kes tersebut memandangkan Anggota Parlimen berkenaan akan hanya dapat memberikan kenyataannya kepada SPRM Sarawak pada 20 Nov 2009 nanti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baca Lagi...

DUNIA MAKIN KEHABISAN MINYAK

LONDON 10 Nov. - Dunia semakin hampir kehabisan bekalan minyak tetapi Agensi Tenaga Antarabangsa (IEC) tidak mahu membesar-besarkan kekurangan bekalan yang bakal berlaku kerana khuatir berlaku pembelian panik.

Amerika Syarikat (AS) memainkan peranan berpengaruh dalam menggalakkan IEA supaya menggambarkan kadar penyusutan bekalan daripada telaga minyak sedia ada sebagai lebih rendah daripada kadar sebenar, lapor akhbar Guardian, di sini semalam.
BMW XPo. 3 days only. Click for details.

Akhbar itu memetik seorang pegawai kanan IEA sebagai berkata, AS juga menggalakkan IEA yang berpangkalan di Paris dan ditubuhkan untuk tujuan melindungi bekalan sumber tenaga, supaya membesar-besarkan peluang untuk mencari sumber baru minyak.

Dakwaan itu dibuat sebelum IEA pada minggu ini dijadual menyiarkan tinjauan terbarunya, World Energy Outlook mengenai permintaan dan bekalan minyak, yang digunakan oleh banyak kerajaan untuk membantu membentuk dasar mereka mengenai tenaga dan perubahan iklim.

Tinjauan terbaru itu meramalkan pengeluaran minyak boleh ditingkatkan daripada paras semasa, 83 juta tong sehari kepada 105 juta tong sehari.

"Banyak pihak dalam IEA percaya bekalan minyak mustahil dikekalkan pada paras 90 juta hingga 95 juta tong sehari tetapi terdapat kebimbangan panik akan merebak dalam pasaran kewangan jika angka itu diturunkan lagi," kata pegawai itu di laman web Guardian.

Baca Lagi...

SEOUL, PYONGYANG BERTEMPUR

SEOUL 10 Nov. – Tentera laut Korea Selatan dan Korea Utara berbalas-balas tembakan di sepanjang sempadan di laut sebelah barat yang menjadi pertikaian, dengan kapal Korea Utara mengalami kerosakan yang besar sebelum berundur.

Tiada sebarang korban di sebelah pihak Korea Selatan, kata Ketua Turus Bersama negara ini dalam satu kenyataan.

Tidak dapat dipastikan sama ada anggota tentera Korea Utara terbunuh atau tidak dalam pertempuran itu.

Bot peronda Korea Utara telah melintasi sempadan di laut sebelah barat pada pagi tadi, menyebabkan kapal tentera laut Korea Selatan melepaskan tembakan amaran.

Bot Korea Utara itu kemudian memulakan serangan sebelum dibalas oleh kapal Korea Selatan yang kemudian menyaksikan bot berkenaan kembali ke kawasan perairannya.

Kapal negara komunis itu mengalami kerosakan teruk dalam pertempuran itu, sementara kapal Korea Selatan langsung tidak terjejas.

Tiada ulasan dibuat oleh Korea Utara berhubung pertempuran tersebut.

Tentera laut kedua-dua Korea pernah bertempur di kawasan yang sama pada 1999 dan 2002. Tiada kelasi Korea Selatan terbunuh dalam insiden 1999 itu, namun enam terbunuh dalam kejadian pada 2002.

Seoul dan Pyongyang masih belum mencapai persetujuan mengenai sempadan perairan bersama, walaupun selepas lebih 50 tahun tamatnya perang saudara antara 1950 hingga 1953 melalui perjanjian gencatan senjata dan bukan perjanjian damai.

Sempadan Korea Selatan dan Korea Utara sehingga kini bergantung kepada garisan yang ditentukan oleh bekas komander pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas tamatnya konflik.

Korea Utara pada bulan lalu menuduh kapal perang Korea Selatan menceroboh sempadannya di perairan pantai baratnya dan memberi amaran akan berlakunya pertempuran di zon yang kaya dengan tangkapan ketam.

Baca Lagi...

KERAJAAN PULAU PINANG DIBIDAS

PULAU PINANG 10 Nov. - Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr. Teng Hock Nan membidas kerajaan negeri kerana merancang pembangunan di sesuatu tempat tanpa berbincang dengan kumpulan terlibat terlebih dahulu.

Beliau berkata, kerajaan negeri dan wakil-wakil rakyatnya perlu turun padang dan mengambil kira pandangan semua pihak, bukan berbuat sebaliknya seperti berlaku kepada penjaja di Kebun Bunga di sini.

Menurut beliau, pihaknya banyak menerima aduan daripada para penjaja di situ yang mendakwa terpaksa menanggung kerugian teruk selepas mereka dipindahkan ke tempat baru sejak dua bulan lalu.

Tambahnya, jika mengikut perancangan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, tempat letak kereta disediakan di bahagian hadapan berhampiran pintu masuk utama yang baru.

"Gerai-gerai penjaja yang terlibat pula akan ditempatkan di satu kawasan berdekatan dengan tempat letak kereta sekali gus membolehkan para pelancong mudah ke situ.

"Namun kini, kita difahamkan bahawa ia akan kekalkan tempat letak kereta di tempat lama yang jauh dari tempat penjaja berniaga yang baru sekarang, macam mana nak cari makan.

"Penjaja pula tak diberitahu apa-apa berkenaan perkara ini, jadi cara isu ini ditangani sangat penting kerana ia melibatkan mata pencarian orang lain," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tapak penjaja Kebun Bunga di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, pasti ada sebab mengapa 16 penjaja di situ membuat aduan mengenai masalah tersebut dan pelbagai jenis perniagaan dijalankan khususnya untuk pelancong tidak mendapat sambutan.

Sementara itu, seorang penjual buah-buahan di tempat itu, Yeoh Chin Hin, 55, berkata, sejak berpindah dua bulan lalu, beliau hanya mendapat keuntungan RM300 sebulan berbanding sebelum ini RM3,000 hingga RM4,000.

"Perniagaan keluarga saya ini telah diusahakan lebih 50 tahun dan sekarang ini kami tak tahu nak cakap macam mana, sejak dua bulan jualan kami pun macam tak jalan.

"Selain itu, di sini apa-apa pun tidak disediakan, tandas tidak berfungsi, lampu ada tetapi meter elektrik tiada dan kotor, apabila kita cakap mereka suruh tanya kontraktor pula, bukan kita yang lantik kontraktor," ujarnya.

Seorang lagi penjaja, V. Subramaniam, 40, berkata, beliau berniaga menjual cenderamata di tempat lama sejak 18 tahun lalu dan kini berdepan dengan masalah kerugian.

Beliau berkata, jika sebelum ini keuntungan bersih sehari boleh mencecah hingga RM65 tetapi keuntungan yang diperoleh sejak tiga hari lalu hanya RM3 sahaja.

Baca Lagi...

STRUKTUR BINAAN TIDAK KUKUH MUNGKIN PUNCA JAMBATAN RUNTUH

KUALA LUMPUR: Siasatan awal kejadian jambatan gantung runtuh di Kuala Dipang, Kampar, mendapati struktur binaannya yang tidak kukuh mungkin punca kejadian yang mengorbankan tiga murid bulan lalu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, siasatan awal Jabatan Kerja Raya (JKR) itu juga mendapati pembinaan jambatan berkenaan tidak mempunyai pelan lengkap.

Bagaimanapun, katanya, siasatan terperinci sedang dilakukan jawatankuasa khas dengan membabitkan pelbagai agensi termasuk JKR, polis negeri Perak dan kerajaan negeri.
"Kementerian Pelajaran akan menyediakan laporan terperinci dan dijangka dapat diumumkan selewat-lewatnya akhir November ini," katanya dalam teks penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2010 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pelajaran yang diedarkan di Parlimen, di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran hanya sempat membaca sebahagian daripada teks penggulungan itu selama 80 minit sebelum meninggalkan persidangan Dewan kerana perlu menghadiri majlis jamuan malam meraikan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono, dan isteri, Ani Bambang Yudhoyono, di Sri Satria, Putrajaya.

Muhyiddin berkata, beliau juga telah mengarahkan pegawai kementerian di semua peringkat untuk mempertingkatkan lagi langkah keselamatan murid apabila melaksanakan aktiviti sama ada di dalam atau luar sekolah.

Katanya, ini bagi memastikan keselamatan pelajar sentiasa diberi perhatian dan semua prosedur yang telah ditetapkan oleh kementerian hendaklah dipatuhi sepanjang masa.

"Semasa pemantauan dan taklimat kepada saya di tempat kejadian, saya mendapati guru dan jurulatih yang terbabit telah mengikut prosedur operasi standard (SOP) sebagaimana yang ditetapkan dalam Buku Panduan Pengurusan Pusat Kokurikulum.

"Saya juga dimaklumkan sewaktu tragedi itu berlaku, guru, jurulatih dan pengawal keselamatan yang bertugas di tempat kejadian telah melakukan sedaya upaya mereka untuk menyelamatkan murid-murid terbabit tanpa memikirkan keselamatan dan nyawa mereka sendiri," katanya.

Muhyiddin berkata, seramai 19 murid dapat diselamatkan dan seorang guru tercedera kerana terkepit kabel jambatan dalam usaha menyelamat itu.

"Kasih sayang dan tanggungjawab mereka kepada murid sama seperti mereka curahkan kasih sayang terhadap anak-anak mereka sendiri," katanya.

Muhyiddin turut mengucapkan takziah kepada ketiga-tiga keluarga mangsa tragedi itu serta keluaga pelajar yang terkorban dalam beberapa tragedi lain

Baca Lagi...

ANAK NELAYAN PELAJAR TERBAIK KPM


MELAKA 24 Okt. - Majlis Konvokesyen Kolej Profesional Mara (KPM) Kedua hari ini memberi seribu makna buat seorang nelayan, Abdul Rahman Tan Abdullah dari Kampung Tanjung Langsat, Masai, Johor apabila anak lelakinya diumumkan sebagai penerima Anugerah Pelajar Terbaik Keseluruhan.

Setelah dua kali tidak berkesempatan menghadiri majlis konvokesyen dua anak lelakinya sebelum ini akibat kesempitan hidup, akhirnya impian Abdul Rahman Tan, 54, dan isteri, Afidah Omar, 50, menjadi kenyataan untuk melihat kejayaan anak ketiganya itu.

Lebih menggembirakan buat pasangan suami isteri itu apabila mereka turut naik ke pentas mengiringi anaknya, Mohamad Khairul Adnan, 24, menerima Diploma Komputer (BIT) dan diiktiraf pelajar cemerlang KPM daripada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Abdul Rahman Tan yang tidak pernah bersekolah itu kelihatan begitu sebak dan sesekali mengesat air mata kegembiraan ketika mendengar Mohamad Kairul Adnan memberi ucapan penghargaan kepada insan yang bertanggungjawab di atas kejayaannya.

''Biarlah saya tidak mengenal huruf dan jangan kesemua tujuh anak saya buta huruf dan apa yang diimpikan selama ini telah menjadi kenyataan sepanjang hayat saya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen KPM di Dewan Seri Negeri di sini hari ini.

Menurut Abdul Rahman Tan, dia terkilan kerana tidak mampu menghadiri majlis konvokesyen dua anaknya sebelum ini di UiTM Shah Alam dan Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (KUiTTHO) Pahang ekoran ketiadaan wang.

Namun, harapannya untuk melihat anak ketiga daripada tujuh beradik itu mengikuti jejak dua abangnya menjadi kenyataan setelah dua anaknya itu sudah bekerja menanggung perbelanjaan mereka menghadiri majlis tersebut.

''Kesemua anak saya bergantung wang pengajian mereka dengan kerajaan sehingga mereka berjaya hari ini kerana pendapatan sebagai nelayan tidak menentu.

''Kadang-kadang boleh dapat pendapatan lebih RM200 sehari tetapi pada hari lain langsung tidak dapat apa-apa, sebab itu, pak cik mahu mereka jangan sesekali lupa kepada jasa kerajaan," katanya.

Sementara itu, bagi Mohamad Khairul Adnan, kejayaan yang dicapainya adalah hadiah untuk kedua ibu bapa dan keluarga yang dianggap telah banyak membantunya mencapai kejayaan tersebut.

Baca Lagi...

KAUNSELOR BERDAFTAR KURANG

KUALA LUMPUR 3 Nov. - Bilangan siswazah dalam bidang kaunseling yang berdaftar dan benar- benar mengamalkan profesion itu masih tidak mencukupi berbanding jumlah yang diperlukan negara pada masa ini iaitu seramai 60,000 orang.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kira-kira 2,000 siswazah yang menamatkan pengajian di dalam bidang itu tidak memasuki alam pekerjaan selari dengan kelulusan mereka di institut pengajian tinggi (IPT).

''Disebabkan itu, negara masih kekurangan kaunselor yang berdaftar. Kita masih perlukan kira-kira 60,000 kaunselor berdaftar di pelbagai peringkat termasuk IPT, kerajaan dan swasta,'' katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas melancarkan Persidangan Kebangsaan Kaunseling 2009 anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Persatuan Kaunseling Malaysia (Pekama) di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, sehubungan itu, Kementerian Pengajian Tinggi sedang mengkaji aspek-aspek penting dalam bidang tersebut terutama dari segi kokurikulum untuk melihat kesesuaiannya dengan bidang pekerjaan.

Katanya, sehingga kini hanya terdapat 1,865 orang kaunselor berdaftar di seluruh negara yang bertugas di sektor kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), akademik dan swasta.

Terdahulu semasa berucap, Mohamed Khaled berkata, perkhidmatan bimbingan dan kaunseling merupakan sektor penting dalam proses perkembangan dan kesihatan mental masyarakat.

''Ini terutama ketika masyarakat di negara ini mengharungi pelbagai bentuk cabaran kehidupan,'' katanya.

Menurutnya, sehingga kini terdapat 12 IPTA yang menawarkan program kaunseling dengan melahirkan 2,000 siswazah dalam bidang itu setiap tahun.

Baca Lagi...

5 GENG PCO BOY DITEMBAK MATI


SHAH ALAM 8 Nov. – Sekumpulan lima penjenayah Geng PCO Boy yang terlibat dengan kegiatan samun di sekitar Lembah Klang ditembak mati oleh anggota polis dalam kejadian berbalas tembakan di Lorong Keramat, Batu 4, Jalan Kapar, Klang, awal pagi ini.

Mereka yang berusia 20 hingga 30 tahun itu termasuk ketua kumpulannya memiliki 13 rekod jenayah dan dipercayai merancang melakukan jenayah di kawasan berhampiran ketika kejadian pada pukul 12.30 tengah malam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Hasnan Hassan memberitahu, pergerakan kumpulan lelaki itu mula dikesan apabila berada dalam keadaan mencurigakan ketika menaiki sebuah kereta Perodua Kelisa di kawasan tersebut.

Katanya, sepasukan polis yang mengadakan operasi cegah jenayah di situ terus mengekori kereta suspek dan sejurus menghampirinya telah mengarahkan mereka berhenti.

“Bagaimanapun salah seorang suspek telah melepaskan tembakan ke arah polis menyebabkan anggota kami terpaksa membalas tembakan bagi mempertahankan diri. Kejadian berbalas tembakan itu berlangsung kira-kira 20 minit.

“Semasa hendak melepaskan diri, kereta suspek yang hendak mengundur telah terbabas dan melanggar benteng sungai menyebabkannya tersangkut. Kesemua penjenayah kemudian ditembak mati,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Md. Yusof.

Hasil pemeriksaan kata Hasnan, polis menemui sepucuk pistol automatik jenis Remington 0.4 bersama tiga butir peluru, lima bilah parang serta pedang samurai dalam kereta suspek.

Jelas beliau, polis percaya hasil kejayaan tersebut telah dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya 10 kes samun di Lembah Klang dan gerakan memburu saki baki ahli kumpulan tersebut telah dilancarkan.

Katanya, kesemua mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk bedah siasat.

Baca Lagi...

SERANGAN BERANI MATI,DATUK BANDAR MAUT


PESHAWAR 8 Nov. - Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh, termasuk datuk bandar tempatan dan 36 lagi cedera dalam serangan letupan kenderaan oleh pengebom berani mati di barat laut bandar ini, hari ini.

Ketua pentadbiran daerah, Sahibzada Anis berkata, pengebom berani yang menggunakan kenderaan meletupkan dirinya ketika datuk bandar berdiri bersama-sama beberapa pelawat lain di luar rumah tetamu berhampiran pasar ternakan.

Sementara itu, ketua polis Peshawar, Liaqat Ali Khan berkata, pengebom itu menjadikan datuk bandar Adizai, Abdul Malik sebagai sasaran.

"Abdul dan komander tentera anti-Taliban tempatan adalah antara mangsa yang terbunuh.

"Abdul meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital," kata Liaqat.

Pakistan sedang melancarkan serangan besar-besaran di barat laut negara ini, kawasan persembunyian kumpulan pemberontak Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP), menyebabkan kumpulan militan bertindak balas melakukan pengeboman dan serangan berani mati yang mengorbankan banyak orang awam.

Baca Lagi...

LELAKI ASING DITAHAN

KUALA LUMPUR 8 Nov. - Akibat mabuk, seorang lelaki warga Vietnam hilang kewarasan lalu cuba memotong kaki rakan serumahnya dengan pisau pemotong sayur.

Namun, tindakannya itu mengundang padah apabila dia maut selepas rakannya itu tertikam dada mangsa dengan pisau berkenaan ketika kedua-dua mereka bergelut.

Kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu berlaku ketika mangsa, Nong Viet Dan pulang ke rumah mereka di Taman Prima Selayang dalam keadaan mabuk.

Viet Dan kemudian memasuki bilik dan dalam keadaan tidak sedarkan diri cuba memotong kaki rakannya itu yang sedang tidur.

Rakannya itu yang terkejut dari tidur, lantas mempertahankan diri sebelum bergelut dengan mangsa.

Ketika pergelutan, rakannya tertikam dada mangsa menyebabkannya cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Selayang untuk dirawat.

Viet Dan, bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada pukul 9 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi berkata, polis telah menahan rakan Viet Dan untuk disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Baca Lagi...

47 RAKYAT ASING DITAHAN


PULAU PINANG 8 Nov. - Seramai 47 orang warga asing termasuk tujuh wanita ditahan dalam Ops Rantau bersepadu di Flat Bagan Dalam di Daerah Seberang Perai Utara (SPU) di sini hari ini.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri, Supritendan Wan Aziz Wan Husin berkata, mereka ditahan dalam operasi lebih dua jam itu yang bermula pada pukul 10 pagi.

Katanya, operasi itu dilakukan ekoran aduan penduduk setempat tentang kegiatan sesetengah rakyat asing itu yang mengganggu keselesaan penduduk.

Tambahnya, daripada jumlah itu, seramai 24 warga asing dari pelbagai negara ditahan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan.

"Kesemua mereka yang terdiri daripada rakyat Indonesia, India dan Myanmar itu berusia dalam lingkungan 20 hingga 40-an dan ditahan atas pelbagai kesalahan berdasarkan Akta Imigresen 1959/1963.

"Kita terima banyak aduan mengenai tingkah laku rakyat asing ini antaranya membuat bising, minum minuman keras, berjudi, bergaduh dan melakukan kecurian sehingga menimbulkan ketidakselesaan penduduk tempatan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Operasi yang berakhir pada pukul 2 petang itu melibatkan kira-kira 150 pegawai dan anggota dari pelbagai agensi penguat kuasa termasuk polis trafik, Pasukan Gerakan Am (PGA), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan Jabatan Imigresen.

Menurut beliau, seramai sembilan orang lagi ditahan atas kesalahan menetap di negara ini melebihi tempoh yang dibenarkan dan 14 orang lagi ditahan atas kesalahan melanggar syarat permit.

"Semua mereka yang ditahan itu juga tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan akan didakwa mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/1963, Seksyen 15 (1) dan Seksyen 39(b) akta yang sama," ujarnya.

Baca Lagi...

DUA BERADIK TERBABAS

KUALA LUMPUR 8 Nov. - Pada usia 8 dan 12 tahun, dua beradik ini sepatutnya berada di rumah selepas waktu tengah malam.

Namun, keadaan sebaliknya berlaku apabila kedua-dua mereka bukan sahaja keluar rumah tetapi menaiki motosikal pada pukul 4 pagi di Jalan Besar, Kampung Klang Gate di sini, baru-baru ini.

Perbuatan mereka bagaimanapun menerima padah apabila motosikal yang ditunggangi si abang terbabas ketika cuba melarikan diri selepas terkejut melihat kenderaan polis peronda.

Si abang cedera di bahu, manakala adiknya tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, kanak-kanak berusia 12 tahun itu hilang kawalan dipercayai akibat cemas dan terkejut.

"Anggota peronda yang ternampak kejadian itu kemudiannya menghantar mangsa ke Hospital Ampang bagi mendapatkan rawatan," katanya.

Abdul Jalil menasihati ibu bapa agar lebih peka dengan tingkah laku dan keselamatan anak masing-masing bagi mengelak kejadian yang tidak diingini

Baca Lagi...

KLASIFIKASI PELAJAR BUMIPUTERA

KUALA LUMPUR 7 Nov. - Kementerian Pengajian Tinggi akan mengiktiraf seseorang pelajar itu bumiputera walaupun hanya salah seorang daripada ibu bapa mereka dikategorikan sebagai bumiputera.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (gambar) berkata, pihaknya akan melaksanakan peraturan baru itu pada bila-bila masa kerana Kabinet telah bersetuju dengan langkah tersebut.

Sebelum ini katanya, Perkara 161A(6)(b) berkenaan Sarawak dalam Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa seseorang itu hanya dianggap seorang bumiputera jika ibu dan bapanya adalah seorang pribumi Sarawak.

''Kita bersetuju jika salah seorang daripada ahli keluarga mereka iaitu ibu atau bapa pelajar berkenaan adalah bumiputera, maka dia juga layak diberi tempat di matrikulasi atau institusi pengajian tinggi (IPTA) yang dikhaskan untuk bumiputera.

''Pelajar tersebut akan diterima sebagai bumiputera walaupun namanya tidak menggambarkan nama seorang bumiputera," katanya pada sidang akhbar Majlis Graduasi Persatuan Akauntan Berkanun Bertauliah (ACCA) 2009 Kali Ke-36 di sini hari ini.

Hadir sama Jawatankuasa Penasihat ACCA Malaysia, Datuk Mohd. Nasir Ahmad.

Beliau mengulas kes seorang pelajar perempuan, Marina Unau yang tidak layak menyambung pelajaran ke program matrikulasi atau IPTA pada tahun ini gara-gara dikelaskan sebagai bukan bumiputera.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simanggang yang memperoleh keputusan 9A 1B pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu itu merupakan anak kedua Unau, hasil perkongsian hidupnya bersama isteri berketurunan Cina iaitu Wong Pick Sing.

Unau mendakwa, maklum balas yang diterimanya daripada Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri menunjukkan terdapat perbezaan status kedudukan bumiputera Sabah dan Semenanjung Malaysia jika dibandingkan kedudukan bumiputera Sarawak.

Maklum balas itu antara lain menyebut, bagi Semenanjung Malaysia jika salah seorang ibu atau bapa calon adalah seorang Melayu yang beragama Islam/Orang Asli seperti yang ditakrifkan di bawah Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan, maka anaknya dianggap seorang bumiputera.

Sebaliknya bagi Sabah, seseorang calon dianggap seorang bumiputera jika bapa calon adalah seorang Melayu beragama Islam/pribumi Sabah seperti yang ditakrifkan dalam Perkara 161A (6)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Baca Lagi...

Template by : kendhin x-template.blogspot.com