3 KELUARGA HILANG TEMPAT TINGGAL DALAM KEBAKARAN AWAL PAGI

BALING: Lapan orang daripada tiga keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila dua rumah dua tingkat yang mereka diami hangus dalam kebakaran di Kampung Sisik Lantai, Kuala Ketil, di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 6 pagi itu, kesemua penghuni hanya sempat menyelamatkan diri selepas menyedari rumah mereka terbakar.

Seorang mangsa, S Saravana, 37, berkata dia tersedar daripada tidur apabila terdengar bunyi percikan api dan terus keluar dari rumah dan meminta bantuan jiran. "Mujurlah kedua ibu bapa saya tiada di rumah kerana mereka menghadiri majlis pengebumian saudara kami di Ipoh," kata beliau.

Seorang lagi mangsa Nadhira Ibrahim, 48, pula gagal menyelamatkan harta benda rumahnya kerana sibuk membantu memadamkan api rumah jirannya itu.

Beliau yang tinggal bersama ibunya Aminah Abdullah, 73, berkata rumahnya turut hangus apabila api dari rumah Saravana itu merebak dengan cepat.

"Pada mulanya saya turut membantu untuk memadam api rumah Saravana tetapi kemudian rumah saya sendiri terbakar kerana api terus merebak," katanya.

Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Baling, Abdul Kudus Abdul Malik, berkata bomba berjaya mengawal kebakaran dari merebak ke beberapa buah rumah berdekataan dalam tempoh 20 minit.

Katanya, sebanyak lapan anggota dengan dua buah kenderaan bekejar ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan pada pukul 6 pagi.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat, katanya.

Template by : kendhin x-template.blogspot.com