ALOR SETAR 25 Mac - Setelah setahun tidak bersekolah, nasib tiga beradik yang kematian ibu akibat barah dan ditinggalkan oleh bapa tanpa berita akhirnya terbela apabila ada pihak yang membantu untuk menyekolahkan mereka semula.
Bantuan itu dihulurkan kepada Mohd. Redzuan Fikri Abdul Razak, 14, dan dua adik lelakinya, Mohd. Aiman, 13 serta Mohd. Khuzaimi, 11, dari Kampung Alor Pulai, Kuala Kangkung oleh Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.
GPMS akan membantu memasukkan ketiga-tiga beradik itu ke sekolah manakala JKM Kedah pula menghulurkan bantuan bulanan sebanyak RM100 sebagai bayaran persekolahan.
Sebelum ini, Mohd. Redzuan, Mohd. Aiman dan Mohd. Khuzaimi tidak bersekolah kerana kesempitan hidup.
Hanya seorang lagi adik mereka, Nur Athirah, 8, yang masih belajar dalam Tahun Dua di Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Empat, Kangkong dekat sini.
Kesemuanya kini dijaga oleh datuk dan nenek mereka di Kampung Alor Pulai, sejak Mei tahun lalu.
Ibu mereka, Siti Ubudiah Hashim, 39, yang menderita barah kerongkong meninggal dunia pada September tahun lalu dan sejak itu bapa mereka didakwa tidak mengambil peduli mengenai hal persekolahan.
Nenek mereka, Esah Hamid, 62, memberitahu, sejak ibu mereka sakit, hanya adik bongsu kepada tiga beradik itu, Nur Athirah yang bersekolah disebabkan kekangan kewangan.
"Saya hanya ke sawah dan suami cuma bertugas sebagai Siak di masjid kampung ini.
"Pendapatan kami tidak menentu, sekitar RM200 sahaja setiap bulan, tambahan pula kami berdua sudah tua dan dengan kudrat yang tidak seberapa ini, kami gagahkan diri untuk menjaga empat orang cucu kami," katanya ketika ditemui di rumah mereka di sini hari ini.
Menurut Esah, dia memang risau memikirkan masa depan ketiga-tiga cucunya yang tidak dapat meneruskan persekolahan mereka.
"Mereka duduk di rumah pun asyik bermain namun kadang-kadang Mohd. Redzuan akan belajar sendiri.
"Saya ingin sangat melihat kesemua mereka pergi ke sekolah kembali demi masa depan mereka," katanya.
Sementara itu, Pengerusi GPMS Kedah, Zuraidi Rahim yang melawat keluarga itu hari ini berkata, pihaknya telah berbincang dengan Jabatan Pelajaran Kedah untuk menempatkan kembali ketiga-tiga beradik tersebut ke sekolah.
"Ketiga-tiga mereka akan ditempatkan di Sekolah Model Khas Jenun, Pendang yang mempunyai asrama.
"Di sekolah tersebut, ada sekolah rendah dan menengah, jadi ketiga-tiga mereka tidak terpisah dan boleh saling membantu di asrama.
"Pihak JKM Kedah juga telah bersetuju memberi bantuan bulanan sebanyak RM100 kepada mereka untuk digunakan untuk tujuan persekolahan," katanya.
Selain itu, katanya, pihak GPMS akan memantau pelajaran ketiga-tiga beradik ini bagi memastikan mereka tidak tercicir dalam pelajaran.
TIGA BERADIK TERBELA
TAQWIM
BLOG ARCHIVE
-
▼
2010
(204)
-
▼
March
(25)
- SYRIA BERSEDIA JIKA ISRAEL LANCAR PERANG
- OSAMA ANCAM BUNUH WARGA AS
- SEKS GEREJA MEREBAK KE AS
- TIGA BERADIK TERBELA
- MALAYSIA EKONOMI DUNIA KE-27 PALING BERANGKAIAN
- 2 LETUPAN DI BANGUNAN KERAJAAN
- KEMPEN PADAM LAMPU ESOK
- MAYAT BAYI PUTUS TANGAN DITEMUI DALAM TIMBUNAN SAMPAH
- ZULFADLI KETUAI KEMARAAN SKUAD REMAJA
- 9 KUBUR DIGALI UNTUK CARI SENJATA,BOM
- ARAK,DADAH SENJATA BARU ZIONIS
- CALON GABENOR EDAR DADAH
- 2 LAGI BOM LEDAK BANGKOK
- 3 KELUARGA HILANG TEMPAT TINGGAL DALAM KEBAKARAN...
- 'PAK CIK PANIK'
- MAYAT LELAKI DALAM SEMBILAN LAPISAN PLASTIK
- 16 KENDERAAN DIHEMPAP POKOK
- AYAH PENGACAU
- RIBUT PASIR MENUJU KOREA
- REMAJA PINTAR MAUT NAHAS
- PENGANGGUR DITUDUH BUNUH DENGAR SUARA DARI LANGIT
- SABUNG NYAWA UNTUK KE SEKOLAH
- BAYI MANGSA DERA KRITIKAL
- BURUH MAUT DIHEMPAP DAHAN BALAK
- TEKSI TERBABAS PEMANDU DISERANG SAKIT JANTUNG
-
▼
March
(25)