RIBUT PASIR MENUJU KOREA


GAMBAR menunjukkan perbezaan cuaca sebelum dan ketika Beijing dilanda ribut pasir, semalam.
Kerikil selimuti kota besar China, Hong Kong, Taiwan

SEOUL: Ribut pasir yang melanda China, Hong Kong dan Taiwan, menyebabkan pencemaran dan mengehadkan jarak penglihatan akan tiba di Korea Selatan hari ini.

Jangkaan itu dimaklumkan oleh pegawai Pentadbiran Kaji Cuaca Korea, Kim Seung-bum, semalam, selain meramalkan Korea Selatan akan dilanda jerebu ‘habuk kuning’ terburuk sejak 2005.
Ramalan itu juga menyebabkan pihak berkuasa Korea Selatan mengeluarkan amaran kepada penduduk di seluruh negara selepas ia melanda China, Hong Kong dan Taiwan. Malah, kerikil berpunca daripada ribut pasir China didapati mampu sampai sehingga ke sebelah barat Amerika Syarikat.

Di Beijing, laporan menyatakan, ribut pasir yang melanda kota utama China menyebabkan kawasan diselimuti pasir dan kerikil hinggalah ke Hong Kong dan Taiwan.

Keadaan itu dianggap isyarat terbaru menunjukkan kesan kawasan bandar yang semakin meluas, saiz hutan yang mengecil, kegiatan pertanian terlalu giat dan kemarau di sebelah utara dan barat China.

Kedudukan tanah yang berubah hingga meliputi kawasan penduduk memburukkan kesan ‘serangan’ ribut pasir itu.
Angin yang bergerak dari barat laut turut membawa pasir ke kawasan seluruh China sejak Sabtu lalu dan menjejaskan Xinjiang ke baratnya dan Beijing di sebelah timur hingga ke Taiwan, 2,600 kilometer dari Inner Mongolia.

Ribut pasir di Taiwan, 160 kilometer dari tanah besar, memaksa penduduk menutup muka dan mengelak daripada bernafas supaya tidak tersedut kerikil yang boleh menyebabkan rasa tidak selesa dan masalah pernafasan.

Di Hong Kong, pegawai perlindungan alam sekitar pula berkata, tahap pencemaran meningkat ketika ribut pasir itu menuju tempat lain.

Seramai 20 orang tua mendapatkan bantuan kerana sesak nafas menyebabkan kerajaan menggesa penduduk tidak keluar rumah.

Template by : kendhin x-template.blogspot.com