ZULFADLI KETUAI KEMARAAN SKUAD REMAJA

ZULFADLI Zulkifli mengetuai kemaraan pemain remaja negara memburu gelaran Kejohanan Badminton Remaja Asia ke peringkat seterusnya selepas cemerlang mengatasi dua pemain Korea.
Pada pusingan kedua sebelah pagi semalam, Zulfadli menewaskan Kang Ji Wook 21-17, 13-21, 21-12 sebelum menyingkir Lee Honh Je 21-6, 21-18 untuk meneruskan aksi pusingan keempat berdepan rakan senegara, Nur Mohd Azriyn Ayub untuk memburu tempat ke suku akhir pada sebelah petang.

Loh Wei Sheng, Goh Giah Chin dan Lim Yu Sheng turut mara ke pusingan keempat.

Dalam pada itu, hanya Sonia Cheah melangkah ke pusingan keempat perseorangan wanita selepas menyingkir pemain Korea Selatan Kang Ga Hee 21-13, 21-13 di pusingan ketiga, selepas dia mempamerkan aksi cemerlang membelasah pemain Vietnam, Pham Nhu Thao di pusingan kedua pada sesi pagi.

Kecemerlangan Sonia gagal disusuli tiga lagi pemain, Yang Li Lian, Ng Sin Er dan Lim Yin Fun yang tewas kepada lawan masing-masing.

Sementara itu, tiga beregu lelaki Ow Yao Han/Yew Hong Kheng, Teo Ee Yi/Nelson Heg dan Lim Chun Ming/Low Juan Shen beraksi di pusingan ketiga pagi ini dijangka mampu melangkah ke suku akhir pada sebelah petang.

Beregu wanita pula hanya dua wakil negara meneruskan cabaran ke pusingan ketiga, iaitu Yang Li Lian/Sonia Cheah dan Lai Pei Jing/Shevon Lai akan beraksi di pusingan ketiga pagi ini.

Li Lian/Sonia menewaskan pemain Thailand, Kititharakul Chonthicha/Phetmaneelumkha Rassanan 21-18, 21-16 manakala Pei Jing/Shevon menundukkan pemain Uzbekistan, Pakina Mariya/Ahmadjonova Surayyo 21-4, 21-6.

Yao Han yang berganding dengan Pei Jing dalam beregu campuran turut melangkah ke pusingan ketiga diiringi Jani Sant Enos/Erica Khoo.

Template by : kendhin x-template.blogspot.com